Syair Hamzah Fansuri



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Inilah gerangan suatu madah
mengarangkan syair terlalu indah
membetuli jalan tempat berpindah
di sanalah i’tikat diperbetuli sudah

Wahai muda kenali dirimu
ialah perahu tamsil tubuhmu
tiadalah berapa lama hidupmu
ke akhirat jua kekal diammu

Hai muda arif budiman
hasilkan kemudi dengan pedoman
alat perahumu jua kerjakan
itulah jalan membetuli insan

Perteguh jua alat perahumu
hasilkan bekal air dan kayu
dayung pengayuh taruh di situ
supaya laju perahumu itu

Sudahlah hasil kayu dan ayar
angkatlah pula sauh dan layar
pada beras bekal jantanlah taksir
niscaya sempurna jalan yang kabir

Perteguh jua alat perahumu
muaranya sempit tempatmu lalu
banyaklah di sana ikan dan hiu
menanti perahumu lalu dari situ

Muaranya dalam ikanpun banyak
di sanalah perahu karam dan rusak
karangnya tajam seperti tombak
ke atas pasir kamu tersesak

Ketahui olehmu hai anak dagang
riaknya rencam ombaknya karang
ikanpun banyak datang menyarang
hendak membawa ke tengah sawang

Muaranya itu terlalu sempit
di manakan lalu sampan dan rakit
jikalau ada pedoman dikapit
sempurnalah jalan terlalu ba’id

Baiklah perahu engkau perteguh
hasilkan pendapat dengan tali sauh
anginnya keras ombaknya cabuh
pulaunya jauh tempat berlabuh

Lengkapkan pendarat dan tali sauh
derasmu banyak bertemu musuh
selebu rencam ombaknya cabuh
La ilaha illallahu akan tali yang teguh

Barang siapa bergantung di situ
teduhlah selebu yang rencam itu
pedoman betuli perahumu laju
selamat engkau ke pulau itu

La ilaha illallahu jua yang engkau ikut
di laut keras dan topan ribut
hiu dan paus di belakang menurut
pertetaplah kemudi jangan terkejut

Laut Silan terlalu dalam
di sanalah perahu rusak dan karam
sungguhpun banyak di sana menyelam
larang mendapat permata nilam

Laut Silan wahid al kahhar
riaknya rencam ombaknya besar
anginnya songsongan membelok sengkar
perbaik kemudi jangan berkisar

Itulah laut yang maha indah,
ke sanalah kita semuanya berpindah
hasilkan bekal kayu dan juadah
selamatlah engkau sempurna musyahadah

Silan itu ombaknya kisah
banyaklah akan ke sana berpindah
topan dan ribut terlalu ‘azamah
perbetuli pedoman jangan berubah

Laut Kulzum terlalu dalam
ombaknya muhit pada sekalian alam
banyaklah di sana rusak dan karam
perbaiki na’am, siang dan malam

Ingati sungguh siang dan malam
lautnya deras bertambah dalam
anginpun keras ombaknya rencam
ingati perahu jangan tenggelam

Jikalau engkau ingati sungguh
angin yang keras menjadi teduh
tambahan selalu tetap yang cabuh
selamat engkau ke pulau itu berlabuh

Sampailah ahad dengan masanya
datanglah angin dengan paksanya
belajar perahu sidang budimannya
berlayar itu dengan kelengkapannya

Wujud Allah nama perahunya
ilmu Allah akan dayungnya
iman Allah nama kemudinya
'yakin akan Allah' nama pawangnya

'Taharat dan istinja' nama lantainya
'kufur dan masiat' air ruangnya
tawakkal akan Allah jurubatunya
tauhid itu akan sauhnya

Salat akan nabi tali bubutannya
istigfar Allah akan layarnya
'Allahu Akbar' nama anginnya
subhanAllah akan lajunya

'Wallahu a’lam' nama rantaunya
'iradat Allah' nama bandarnya
'kudrat Allah' nama labuhannya
'surga jannatun naim' nama negerinya

Karangan ini suatu madah
mengarangkan syair tempat berpindah
di dalam dunia janganlah tam’ah
di dalam kubur berkhalwat sudah

Kenali dirimu di dalam kubur
badan seorang hanya tersungkur
dengan siapa lawan bertutur?
di balik papan badan terhancur

Di dalam dunia banyaklah mamang
ke akhirat jua tempatmu pulang
janganlah disusahi emas dan uang
itulah membawa badan terbuang

Tuntuti ilmu jangan kepalang
di dalam kubur terbaring seorang
Munkar wa Nakir ke sana datang
menanyakan jikalau ada engkau sembahyang

Tongkatnya lekat tiada terhisab
badanmu remuk siksa dan azab
akalmu itu hilang dan lenyap

Munkar wa Nakir bukan kepalang
suaranya merdu bertambah garang
tongkatnya besar terlalu panjang
cabuknya banyak tiada terbilang

Kenali dirimu hai anak dagang!
di balik papan tidur telentang
kelam dan dingin bukan kepalang
dengan siapa lawan berbincang?

La ilaha illallahu itulah firman
Tuhan itulah pergantungan alam sekalian
iman tersurat pada hati insaf
siang dan malam jangan dilalaikan

La ilaha illallahu itu terlalu nyata
tauhid ma’rifat semata-mata
memandang yang ghaib semuanya rata
lenyapkan ke sana sekalian kita

La ilaha illallahu itu janganlah kau permudah-mudah
sekalian makhluk ke sana berpindah
da’im dan ka’im jangan berubah
khalak di sana dengan La ilaha illallahu

La ilaha illallahu itu jangan kaulalaikan
siang dan malam jangan kau sunyikan
selama hidup juga engkau pakaikan
Allah dan rasul juga yang menyampaikan

La ilaha illallahu itu kata yang teguh
memadamkan cahaya sekalian rusuh
jin dan syaitan sekalian musuh
hendak membawa dia bersungguh-sungguh

La ilaha illallahu itu kesudahan kata
tauhid ma’rifat semata-mata
hapuskan hendak sekalian perkara
hamba dan Tuhan tiada berbeda

La ilaha illallahu itu tempat mengintai
medan yang kadim tempat berdamai
wujud Allah terlalu bitai
siang dan malam jangan bercerai

La ilaha illallahu itu tempat musyahadah
menyatakan tauhid jangan berubah
sempurnalah jalan iman yang mudah
pertemuan Tuhan terlalu susah.


Kisah : Kita Dan al-Quran



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Puji dan syukur selayaknya kepada Allah kerana dengan taufik dan inayahnya, kita masih diberi peluang merasai nikmat Iman dan nikmat Islam.

Kerana-Nya, ana masih berkesempatan untuk menukilkan persepsi ana setelah seminggu dibiarkan kering dan tandus. Seterusnya selawat dan salam buat Rasulullah dan keluarga serta sahabat yang setia.

Pernahkah anda terfikir, mengapa kita membaca al-Quran?

Sedangkan kita tidak langsung memahami bahasa arab?

Mari saya bawakan satu kisah.

Ada seorang tua yang tinggal di sebuah rumah berdekatan ladang di satu kawasan di timur. Lelaki tua tersebut tinggal bersama cucu lelakinya. Setiap pagi, lelaki tua sentiasa bangun awal dan duduk di meja makan untuk membaca al-Quran.

Cucu lelaki tersebut yang sentiasa memerhatikan tingkah laku datuknya itu mula menyimpan hasrat untuk mengikut contoh dan teladan yang ditunjukkan. Malah ingin mengikuti segala apa yang datuknya lakukan sebelum ini. Apa-apa perkara, semuanya ingin ditiru.

Pada suatu hari, anak kecil itu bertanyakan satu masalah kepada datuknya :

" ... datuk, saya cuba untuk membaca al-Quran sepertimana atuk membaca al-Quran. Tetapi saya langsung tidak memahaminya. Apa yang saya faham sedikit ketika membaca itu hilang setelah saya habis membaca dan menutup al-Quran. Sebenarnya, apakah kebaikan yang akan kita dapat ketika membaca al-Quran? ... "

Tanya cucu lelaki tersebut.

Lelaki tua tersebut yang baru sahaja selesai meletakkan arang di dapur, membalas pertanyaan si kecil itu :

" ... bawa bakul yang atuk gunakan untuk membawa arang ini ke sungai dan tolong bawakan kepada atuk satu bakul yang penuh dengan air ... "

Tiada jawapan.

Hanya suruhan.

Si kecil tersebut tanpa berlengah mula melakukan apa yang disuruh oleh datuknya. Namun, apa yang berlaku adalah dia tidak sempat untuk membawa bakul yang diisi dengan air ke rumah kepada datuknya.

Semua air yang diisi di sungai tumpah keluar dari celah-celah bakul sepanjang perjalanan. Mungkin pergerakannya agak perlahan, fikir si kecil. Lelaki tua hanya mampu ketawa dan berkata :

" ... cucu mungkin perlu bergerak sedikit pantas untuk percubaan akan datang ... "

Perkara ini membuatkan si kecil kembali ke sungai dan cuba untuk membawa sebakul air kepada datuknya.

Kali ini, si kecil melakukan sekali lagi suruhan datuknya.

Dengan langkah yang lebih pantas dari tadi, ternyata apa yang dilakukan olehnya sia-sia sahaja. Bakul tersebut tetap kosong sebelum sampai ke rumah.

Dengan nafas yang tercungap-cungap, si kecil berkata kepada datuknya bahawa mustahil untuknya membawa balik sebakul air seperti yang diinginkan, dan dengan itu, dia mengambil keputusan untuk menukar bakul tersebut kepada sebuah baldi.

Barulah mustahil, fikirnya.

Lelaki tua tersebut terus menyampuk :

" ... Atuk tidak mahu sebaldi air, tetapi atuk mahukan sebakul air. Mungkin cucu pelu tambahkan sedikit usaha lagi ... "

Kemudian dia kembali ke rumah dan menyaksikan lagak si kecil itu di balik tingkap.

Pada saat ini, si kecil tekad bahawa melakukannya adalah satu perkara yang mustahil untuk dilakukannya. Namun kali ini, dia ingin menunjukkan kepada datuknya secara berhadapan bahawa bakul itu tetap kosong sebelum dia sampai ke rumah.

Sekali lagi si kecil membawa bakul ke sungai dan megambil air. Dengan larian sekuat hati, ternyata bakul tersebut masih lagi kosong. Dengan langkah tercungap-cungap di hadapan datuknya, dia berkata :

" ... datuk lihat, tiada guna ..."

Lelaki tua pun membalas.

" ... jadi, cucu fikir apa yang cucu lakukan tidak guna? Cuba lihat pada bakul itu ... "

Cucu tersebut terus melihat bakul tersebut seperti yang disuruh datuknya. Buat pertama kalinya dia baru tersedar bahawa bakul tersebut sedikit berlainan dari tadi. Bakul yang tadinya kehitam-hitaman kerana arang, kini sudah berubah menjadi sangat-sangat bersih.

Dalam juga luaran.

" ... cu, itulah yang berlaku apabila kita membaca al-Quran. Cucu mungkin tidak faham atau lupa akan apa yang dibaca, tetapi ketika cucu membacanya, cucu akan berubah. Dalaman juga luaran. Dan itulah kerja Allah dalam kehidupan kita. Kita mungkin tidak melihat kebaikannya, tetapi Dia mampu. Dan kita, kita hanya boleh merasa. Merasa perubahan pada diri kita. Dalaman mahupun luaran ... "

Kata-kata datuk itu, dia simpan.

Pengajaran baginya.

Pengajaran

Bagaimana? Adakah kita mempunyai nafsu untuk membaca al-Quran sekarang? Wallahu'alam. Bergantung pada masing-masing. Namun yang pasti adalah, kekuatan nafsu untuk mengerjakan kebaikan bukanlah sesuatu yang dapat ditunggu. Ia adalah sesuatu yang harus dibina, dibina dan terus dibina.

Mari, baca Quran!

Perjalanan Membuka Mata



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Segala puji bagi Allah yang Maha Menciptakan dan mematikan. Yang menjadikan langit dan bumi serta isi-isinya. Tuhan yang mengatur alam dengan bijaksana.

Seterusnya selawat dan salam buat penghulu Anbiya', Rasulullah s.a.w. Keluarga dan para sahabat yang setia. Sekerdil doa aku panjatkan buat sahabat-sahabat di luar sana yang berjuang atas nama agama.

Perjalanan

Sekitar jam 6.50 petang setelah menunaikan solat Maghrib, terdetik kerinduan di hati kecilku untuk menjenguk madrasah yang disayangi, Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang.

Tempat yang banyak mengajarku.

Setelah menyatakan hasrat dan meminta kebenaran, aku berlepas dengan menaiki motosikal Honda. Kebiasaannya, aku menunggang dalam kadar kelajuan 80-90 kilometer sejam. Namun malam itu, aku bawa sedikit perlahan. Dalam kadar 60-70 kilometer sejam.

Kesannya, sepanjang perjalanan, aku lebih banyak menikmati keindahan malam.

Melihat kebesaran ciptaan-Nya.

Kedatanganku setelah sekian lama disambut dengan keadaan yang membingungkan. Nampak jelas dari rupa paras adik-adik. Mungkin menjangkakan warden. Namun bila ditanya, sangkaanku ternyata silap.

Penjual kain dan tikar mereka sangkakan.

Sampai hati mereka.

Belum lagi membuka topi keledar, seorang juniorku datang kepadaku. Datang-datang ingatkan ingin bersalaman. Namun jangkaanku jauh sekali melencong.

Rupa-rupanya ingin meminjam motosikal.

Ini, memang ucapan salam yang pelik.

Aku benarkan. Memandangkan minyak motosikal yang masih penuh. Seterusnya aku masuk ke perkarangan surau yang dirindui. Surau al-Hidayah. Tempat yang banyak menabur jasa memberi suasana kepadaku untuk memanusiakan diri.

"Assalamualaikum," Sapaku.

"Wa'alaikumussalam," Jawab mereka. Serentak.

Itu, barulah ucapan salam yang sebenar. Sangat dituntut.

"Apa khabar?" Aku soal.

"Alhamdulillah, beginilah," Jawab segelintir mereka.

"Abang, lama tak lihat, apa khabar sekarang? Tanya mereka.

"Alhamdulillah, begini juga" Aku bagi jawapan yang serupa.

"Sambung tingkatan 6. Mana yang lain?" Sapaku lagi.

"Tu, dalam bilik komputer," Kata mereka.

Aku masuk ke bilik komputer surau. Aduhai terkejut aku melihatkan keadaan adik-adik yang berkumpul dihadapan sebuah komputer riba. Bermain.

"Wah, ramainya disini? Apa yang kamu buat, tiada tadaruskah?" Tanyaku.

"Eh, abang, bila sampai? Er, tadarus? Sudah tadi," Jawab mereka.

Sedih, jauh sekali berubah.

Kenangan Lama

Aku teringat kenangan dahulu.

Dimana amalan suci surauku dahulu? Selepas sahaja solat Maghrib, akan diteruskan dengan solat sunat rawatib selepas Maghrib. Kemudiannya akan diteruskan dengan tadarus, sehinggalah masuk waktu isya'. Kadang-kadang, akan ada kuliah.

Semenjak perpindahan ustaz yang menjaga kami di situ, warga surau semakin bebas. Tidak terkawal. Masing-masing dengan aktiviti masing-masing. Selepas bersalaman, aku terus tinggalkan mereka dan masuk ke dalam surau.

Mereka ini, sebenarnya perlu diingatkan.

Kalau bukan aku, siapa?

Kalau bukan sekarang, bila?

Sinar Cahaya

Itu dia.

Segelintir cahaya yang masih belum padam.

Masih ada yang memaksimumkan masanya di surau. Datang ke surau untuk beribadah, memakmurkan rumah Allah. Aku lihat adikku yang seorang ini sedang tekun membaca al-Quran.

Aku terus pergi kepadanya, membawa al-Quranku.

Sama-sama kami bertadarus.

Masa terus berlalu.

Sehabis sahaja solat Isya' dan bersalaman dengan adik-adik. Terus berniat untuk solat rawatib. Sekali lagi aku terkejut. Alangkah sedikitnya bilangan jemaah yang melakukannya. Sehabis solat, aku bertanya kepada salah seorang.

"Mana yang lain?" Soalku.

"Hm, seperti biasa, di luar, bercerita," Jawabnya.

"Selepas ini ada malam keagamaan, bukan?" Tanyaku.

"Siapa yang uruskan?" Tanyaku lagi.

"Muslimah," Jawabnya.

Seketika apabila malam keagamaan bermula, aku duduk bersama salah seorang adikku di perkarangan surau. Saat itu semuanya sudah berada di dalam melakukan aktiviti. Kami mula bersembang.

Bermacam-macam perkara yang kami kongsikan, dari soal yang kecil sehinggalah soal yang aku anggap serius dan perlukan jalan penyelesaian. Termasuklah tentang perkara-perkara yang tidak enak didengar berlaku di surau dan asrama kediaman.

Penutup

Perbualan itu, membuatkan mataku terbuka. Bermaksud ada sesuatu yang membuatkan aku sedar.

Manusia itu, mudah hanyut andai tiada yang menyedarkan mereka.

Kita lemah, mudah kalah dengan godaan.

Begitu juga dengan diriku sendiri.

Itu aku sedar. Kita semua juga sedar.

Akhirnya, setelah tidak sempat untuk membuat sedikit ucapan lantaran aktiviti yang sangat padat pada malam tersebut, aku ambil keputusan untuk berangkat pulang. Aku bersalaman dengan semua dan menyatakan hasratku untuk datang lagi.

Kehadiranku di sana, telah membuka mataku.

Kepulanganku, dengan azam untuk aku sedar terlebih dahulu, seterusnya untuk aku menyedarkan adik-adikku pula.

Aku terus berjalan, melihat dan mentafsir.

Wahai Lelaki, Kembalilah



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Pertama dan selama-lamanya pujian bagi Allah. Tuhan yang menciptakan segala-galanya dalam bentuk yang besar mahupun halus. Seterusnya selawat dan salam buat Rasulullah dan keluarga serta sahabat yang setia.

Masih terkesan dalam hati saya, akan suatu zaman cemerlang.

Suatu era yang gemilang.

Ketika seorang yang ditafsirkan menjadi penghulu sekalian alam oleh Buhaira, masih ada bersama para sahabat mentadbir bumi.

Itulah zaman Nubuwwah.

Zaman Rasulullah, zaman khulafa. Islam adalah laksana api yang menyala. Satu anugerah yang menerangi alam, menerangi teman dan juga sahabat. Namun adalah satu bahang yang panas membakar lawan.

Namun kini ianya hanyalah satu sejarah.

Sejarah agung yang kian dilupakan. Sejarah yang hanya dijadikan bahan bualan. Sejarah yang dianggap satu dongengan. Namun tetap satu sejarah yang boleh dibanggakan.

Saya ingat lagi akan kisah kejayaan kerajaan Byzantine dan kemenangan bangsa rumawi yang dicapai setelah kekalahan. Kemenangan yang bersandarkan pada Tawakkal dan penyerahan penuh kepada Allah.

Namun juga adalah satu sejarah yang kian dilupakan.

Dulu, bila disebut lelaki, wanitanya mendongak megah. Lelaki mereka Asadullah, Saifullah dan tokoh-tokoh yang ramai lagi tidak terkira.

Kini bila disebut lelaki, wanitanya tertunduk lemah. Tokoh-tokoh mereka juga ramai sekali, dan ramainya adalah boneka Yahudi.

Dulu bila disebut lelaki, wanitanya tenang di hati. Lelaki mereka menjaga dan melindungi. Namun kini bila disebut lelaki, wanitanya ingin sahaja cabut lari.

Kerana lelaki mereka pengkhianat, perogol bersiri.

Dulu apabila seorang wanita teraniaya, sekumpulan kuda putih membela. Al-Mu'tasim kebanggaan bagi wanita. Kini ribuan wanita suci telah dipenjara. Wanita diperkosa minta dibela.

Namun lelaki tunduk bagaikan tidak bertenaga.

Dulu bila wanita di bawah jagaannya, lelaki memagari sehabis daya. Tiada sesiapa yang berani menggoda. Kini bila wanita berada di bawah jagaannya, lelaki tidak kisah akan aurat wanitanya terbuka.

Wanitanya dibiarkan bebas, jatuh binasa.

Dulu lelaki menggadaikan harta juga nyawa. Demi mengangkat kemuliaan agama. Kini lelaki menggadaikan ketinggian agama. Semuanya demi nafsu, dunia dan seisinya.

Dulu lelaki bermatian mencipta sejarah. Mereka kental berjihad, mereka tekun berdakwah. Kini lelaki hanya menyanjungi sejarah.

Mereka bermalasan, malah tenaga tidak langsung dikerah.

Dulu lelaki memperjuangkan agama dan ummah. Al-Farouq, Zunnurain mati terbunuh. Kini lelaki memperjuangkan diri dan kroninya, hingga sanggup membunuh.

Dulu lelaki bersatu menghadapi musuh. Angkatannya kuat lagi teguh. Kini lelakinya berpuak-puak dan berpecah.

Sesama sendiri saling bertelingkah.

Dulu, lelakinya begitu.

Kini, lelakinya begini.

Jadi, lelaki. Ayuh.

Kembalilah pada kelelakianmu.

Adakah Kita Lupa?



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Dalam saya membelek-belek buku-buku lama, saya terjumpa diari lama saya. Lantas, saya membuka dan membaca kandungan di dalamnya. Kebiasaannya, dalam buku diari islam, kita akan disediakan serba sedikit informasi tentang islam.

Saya terus tertarik.

Bukan pada tulisan diari saya, namun pada satu informasi yang diberikan di sana. Lama saya mengamatinya, lantas rasa teringin untuk berkongsi di sini. Informasi yang saya perolehi itu, adalah tentang khutbah terakhir baginda Rasulullah.

Kepada seluruh umat Islam.

Juga kepada kita, secara tidak langsungnya.

Mungkin ada antara kita yang sudah tahu, namun mungkin ada juga yang tidak tahu. Sekarang, saya ingin sampaikan, saya memberitahu. Semoga kita ingat dan sentiasa beringat akannya.

Khutbah ini, baginda sampaikan pada 9 Dzulhijjah tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah Gunung Arafah. Begini bunyi khutbah baginda :

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu.

Allah telah menghramkan riba' oleh itu segala urusan yang melibatkan riba' dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap Syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.

Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia.

Dan hak kamu atas mereka adalah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang tidak kamu sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah. Dirikanlah sembahyang lima kali sehari. Berpuasalah di bulan Ramadhan. Tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu dan kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu.

Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah saudara kepada muslim yang lain. Kamu semua adalah sama. Tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan amal soleh.

Ingatlah bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sesekali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan keada kamu.

Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku.

Saksikanlah Ya Allah bahawasanya aku telah menyampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.

Begitu intipati khutbah baginda.

Penuh dengan pesanan.

Agaknya, berapa ramai yang masih ingat pesanan melalui khutbah baginda, ya?

Itu saya tidak tahu.

Namun, apa yang saya lihat seperti kita ini ramai yang tidak tahu dan lupa dengan pesanan baginda melalui khutbah terakhir itu. Biasanya kita mendengar.

Berapa ramai kita hari ini yang sentiasa menyakiti hati orang lain dengan sengaja? Malah berasa tidak senang jika tidak melakukannya?

Berapa ramai kita hari ini, yang berjual beli mengamalkan riba'?

Kita hari ini mengaku, yang syaitan adalah musuh kita tetapi kita masih mengikuti telunjuknya. Malah tiada langsung berwaspada dengan godaannya.

Berapa ramaikah suami seorang isteri hari ini yang mengabaikan tanggungjawab sebagai suami? Dan berapa ramaikah isteri seorang suami hari ini yang mengabaikan tanggungjawab mereka selaku seorang isteri?

Berapa ramai kita hari ini yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja? Tidak berpuasa pada bulan Ramadhan? Tidak menunaikan zakat dari harta kekayaan mereka? Dan berapa ramai dalam kalangan kita yang tidak mengaku ibu, bapa dan saudara sendiri?

Berapa ramai golongan kita hari ini yang secara terang-terangan mengaku keluar dari agama?

Orang yang mengaku nabi juga tidak terkecuali ada.

Kita hari ini, mengaku berpegang teguh dengan Al-Quran, namun hanya sekadar membaca malah tidak mengamalkannya.

Sepatutnya kita kata, kita langsung tidak ingat pesan itu.

Kita langsung lupa akannya. Jadi, yang ingat dan tidak lupa itu, marilah. Mari kita saling mengingatkan sesama kita.

Kerana baginda ada mengatakan :

Sampaikanlah ilmuku walau sepotong ayat.

Bila al-Quran Berbicara



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Segala puji dan syukur selayaknya kepada Allah kerana kita masih dikurniakan kekuatan untuk berjuang dijalan-Nya. Juga selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dan keluarga serta para sahabat yang setia.

Allah, lebih tahu daripada apa yang kita tahu.

Dia yang Maha Mengetahui dan Maha Melihat.

Tidak akan dapat dilihat oleh kita dengan mata, tidak dapat dijangkau oleh kita dengan akal, dan tidak dapat diketahui oleh kita dengan ilmu yang sangat sedikit jika dibandingkan dengan ilmu-Nya.

Kerana, Allah Maha Besar.

Kadang-kadang, kita seringkali dilanda dengan pelbagai ujian dan dugaan. Lalu kita sedari bahawa semuanya datang dari Allah dan kita pun bersabar semata-mata untuk meraih pahala dari-Nya.

Akan tetapi ujian datang lagi malah lebih dahsyat dari sebelumnya. Berterusan. Namun, kali ini kita tidak dapat menipu diri sendiri. Hati kita pun berkata bahawa aku sudah tidak tahan dengan semua ini.

Sehinggalah terkeluar perkataan yang kurang enak didengar sehingga mampu membuatkan kura-kura menyembunyikan kepala, bunga yang dahulunya mekar kembali layu, dan lidah yang dulunya suci dengan alunan ayat suci al-Quran, kini kotor dengan perkataan yang kotor.

Ayat al-Quran kini diabaikan.

Dimana perginya 'Astaghfirullah', kemana hilangnya 'Subhanallah', tak tercari kemana terbangnya 'MasyaAllah', dan tidak terjumpa dimana sembunyinya 'Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un'. Firman Allah :

"tidak ada suatu kata yang diucapkannya melainkan ada disisinya malaikat pengawas yang selalu siap (mencatat),"

Kala itu, kita tidak sedar, bahawa nafsu dan perasaan berada di depan akal dan hati. Segumpal daging yang dapat membezakan antara yang haq dengan yang batil.

Sabda Rasulullah :

“Ketahuilah kamu di dalam badan manusia terdapat segumpal darah. Apabila ia baik maka baiklah semua tindakannya dan apabila ia buruk maka buruklah seluruh tingkah lakunya. Ketahuilah kamu bahawa ia adalah hati.”

Saat itu, dihati kita tersedia pelbagai persoalan.

Bertanya kepada diri sendiri. Kenapa itu, kenapa ini, bagaimana itu, mengapa begini dan sebagainya. Juga tanpa kita sedari dan jarang bagi kita untuk mengkaji, semua jawapan tercatat dalam al-Quran.

Kita baru bertanya, kalamullah sudah lama berbicara.

Kenapa aku diuji?

"apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan hanya dengan mengatakan : "Kami telah beriman," sedang mereka tidak diuji? dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta," (Surah al-Ankabut ayat 2 dan 3)

Kenapa aku tidak dapat apa yang aku inginkan?

"diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui," (Surah al-Baqarah ayat 216)

Kenapa ujian seberat ini?

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya..." (Surah al-Baqarah ayat 286)

Aku berasa sangat sedih dan kecewa.

"dan janganlah kamu berasa lemah, dan jangan (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman," (Surah Ali Imran ayat 139)

Bagaimana harus aku menghadapinya?

"wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung" (Surah Ali Imran ayat 200)

"dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk,(Surah al-Baqarah ayat 45)

Apa yang aku dapat dari semua ini?

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka..." (Surah at-Taubah ayat 111)

Kepada siapa aku berharap?

"...cukuplah Allah bagiku. Tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki 'Arsy yang agung," (Surah at-Taubah ayat 129)

Aku sudah tidak tahan lagi

"...dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya yang berputus asa dari rahmat Allah hanyalah orang-orang yang kafir,"(Surah Yusuf ayat 87)

Itu dia.

Andai al-Quran itu boleh berbicara.

Semua jawapan, pasti ada untuk segala masalah kita.

Semoga segala persoalan dan rintihan yang melanda jiwa dan sanubari kita terubat dengan janji-janji Allah. Sesungguhnya kepada al-Quran lah tempat kita merujuk segala permasalahan.

Juga sebagai penawar.

Ya, penawar buat kita.

Marilah kembali kepada Allah.

Kembali kepada al-Quran.

Semoga Allah memberkati kita.

Surat Buat Jasad



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Segala puji dan syukur kehadrat Allah kerana kita masih diberikan nikmat iman dan nikmat islam. Juga selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah s.a.w dan keluarga serta para sahabat yang setia.

Salam sejahtera buat para da'ie yang sentiasa berpegang pada agama laksana menggenggam bara api. Teruskanlah misi amar makruf nahi mungkar.

Surat ini, ditujukan buat diriku.

Juga, kutujukan buat kamu, saudaraku.

Surat ini kutujukan buat diriku yang insyaAllah masih dan tetap mencintai Allah dan Rasul-nya di atas segalanya, kerana cinta itu yang dapat mengalahkan segalanya. Sebuah cinta hakiki yang mampu membuat seseorang itu menilai kehidupan dari sudut berbeza.

Sebuah cinta, yang lebih indah dari segalanya.

Surat ini kutujukan buat hatiku yang kerapkali terisi dan diisi dengan cinta selain dari-Nya. Yang cukup mudah sekali terlena kerana indahnya dunia.

Yang terkadang bergerak melakukan sesuatu itu bukan kerana-Nya, lalu di ruang hati yang dalam merasa sangat bangga bila dipuji manusia. Hati yang sentiasa kufur dengan nikmat yang diberi percuma.

Surat ini kutujukan juga buat jiwaku yang mulai lelah dalam perjuangan pada jalan-Nya, ketika seringkali mengeluh dan terasa dibebani malah rasa terpaksa untuk melakukan sesuatu perkara yang sangat mulia disisi-Nya.

Padahal aku sedar.

Bahawa tiada kesakitan, kelelahan dan kepayahan yang akan dirasai oleh seseorang hamba sekiranya tahu bahawa Allah akan mengampuni dosa malah mengurniakan pahala buat sesiapa yang berjuang dijalan-Nya.

Surat ini seterusnya kutujukan buat rohku yang mulai terkikis oleh dunia yang menipu. Serta membiarkan fitrah yang suci tertutup oleh maksiat yang dinikmati.

Dan kini, terabailah sudah nurani yang dahulunya putih bersih saat mana ibadah wajib bagiku hanyalah satu rutin biasa dan kadangkala jika ditinggal tidak mengapa. Juga saat jasmani dan fikiran disibukkan dengan dunia.

Lalu kupaksa diriku bertanya.

Adakah hati ini terseksa atau merana?

Surat ini kutujukan buat diriku yang sombong. Yang kerapkali bangga dengan diri sendiri. Sungguhpun tiada apa yang mampu membuatkan seseorang itu lebih dihadapan-Nya selain dari amalan dan ketaqwaan kepada-Nya.

Padahal diriku sedar bahawa tiap-tiap jiwa akan pasti merasai mati. Tetapi aku, masih tetap bergelumang dengan dunia yang serba fana.

Surat ini juga kutujukan buat hatiku yang mulai mati saat tiada perasaan gentar dan takut tatkala disebut asma Ilahi. Saat tiada perasaan kesal bila mana kebaikan berlalu pergi begitu sahaja.

Saat tiada rasa takut ketika melakukan maksiat dihadapan-Nya, dan saat tiada rasa berdosa ketika menzalimi orang lain dan diri sendiri.

Akhir sekali, kutujukan surat ini buat jiwaku dan jiwa saudara-saudaraku yang masih mempunyai cahaya walaupun sedikit.

Janganlah sesekali biarkan cahaya itu pergi. Teruskan usaha untuk mencari, menggali, mengumpul dan memohon cahaya itu kembali.

Cahaya hidayah dari Ilahi.

Teruskan sehingga cahaya itu menerangi kita.

Dan wajah-wajah di sekeliling kita.

Mujahid Biru 4



Jumaat 12 Rabiulawal 1430 Hijrah : Surau an-Nur

Ada orang cakap, ukhwah itu indah.

Begitulah juga ukhwah pada mujahid biru.

Memang indah.

Kini tiba saat para mujahidin meninggalkan Medan Sungai Rait.

Medan yang sudah pasti meninggalkan banyak nostalgia pahit dan manis sepanjang latihan. Juga saat waktu Mujahid Biru berpisah dengan teman. Teman seiman, teman seukhwah dan teman seperjuangan. Ketika ini, di surau an-Nur dilakukan majlis penutupanan bagi Jemaah Mujahidin Siri 1.

Dalam pada itu, Mujahid Biru dapat merasakan sesuatu.

Bahang kesedihan.

Ya. Bahang kesedihan mula melanda segenap ruang dalam surau an-Nur. Dari saf mujahidah sehinggalah saf mujahid. Namun perasaan Mujahid Biru agak pelik kali ini. Sedih di hati namun tidak dapat diterjemah melalui perbuatan.

Hanya jelas pada raut wajah. Suram dan hambar. Dipaksanya mulut untuk senyum walaupun sedar hakikat matanya jelas berkaca-kaca.

Mungkin kerana hari itu hari terakhir.

Mungkin.

Tidak sanggup rasanya ingin mendengar ucapan perpisahan Jeneral Ibnu Abdullah. Ucapan perpisahan Komander Tiger, Ustaz dan Ustazah yang memimpin mereka selama ini.

Perasaannya seolah-olah ikatan ukhwah antara mereka semakin rapat dan kukuh. Mujahid Biru sedar, semuanya kerana Allah dan Dialah yang telah menyatukan hati mereka sehingga sukar untuk melepaskan masing-masing untuk pergi.

Firman-Nya :

“Dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada dibumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”

Mulalah Mujahid Biru memandang kehidupan ini dari sudut yang berbeza. Dipindahkannya alam ke dalam mata hati. Namun semuanya hanyalah fantasi. Mujahid Biru akur, bahawa semuanya tidak berlaku secara kebetulan.

Disana ada yang mengatur segala-galanya.

Betapa Agungnya Yang Maha Agung.

Kata Imam as-Syahid Hasan al-Banna :

"Dan tiada satupun ikatan yang paling kukuh untuk mempertemukannya selain ikatan akidah dan keimanan. Yang saya maksudkan dengan ukhwah adalah terikatnya hati dan rohani dengan ikatan akidah. Akidah adalah sekukuh-kukuh dan semulia-mulianya ikatan. Ukhuwah adalah saudara keimanan sedangkan perpecahan adalah saudara kembar kekufuran”

Sungguh, hanya dengan kasih-mengasihi kerana Allah hati akan bertemu. Hanya dengan membangun jalan ketaatan hati akan bersatu. Hanya dengan meniti di jalan dakwah hati akan berpadu dan hanya dengan berjanji menegakkan kalimah Allah dalam panji-panji jihad hati akan saling erat bersatu.

Seterusnya, Mujahid Biru dan para sahabat satu jemaah yang memperkenalkan jemaah mereka dengan nama 'Anugerah' dipersilakan untuk menyampaikan sebuah lagu nasyid.

Sebagai penghargaan buat persahabatan yang dijalinkan, pengorbanan dan kesetiaan yang diberikan. Sebuah lagu, yang mampu membangkitkan rasa manisnya persahabatan, hangatnya persaudaraan dan indahnya ukhwah yang dijalinkan semata-mata kerana Tuhan.

Sebuah lagu, teman tejati.

Benar.

Awalnya ketika Mujahid Biru di medan sungguh memeritkan.

Pertengahannya pula perlukan pengorbanan.

Namun, saat akhirnya pasti akan ada tangisan disamping semangat perjuangan untuk berjalan dan menghadapi segala duri di bumi Tuhan.

Disanalah, bermula sebuah perjuangan yang belum selesai ... perjuangan yang menuntut Mujahid Biru untuk mengamalkan segala ilmu yang disampaikan.

Meneruskan misi amar ma'ruf dan nahi mungkar.

Meneruskan misi sebagai seorang hamba.

Membenarkan yang benar, biarpun pahit dan sesekali tidak akan membenarkan yang batil mengalahkan yang haq. Sebuah perjuangan, untuk merebut redha dan kasih sayang-Nya.

Namun hati ini sempat tertanya-tanya.

"Adakah aku mampu untuk meneruskan perjuangan ini?"

"Ya. Aku mampu."

"Kerana Allah bersamaku,"

Mujahid Biru 3



Ketika itu, agama seolah-olah dipinggirkan.

Ya, itu memang terjadi di Medan.

Malah berlaku bila-bila masa saja.

Dari makhluk yang pertama diciptakan sehinggalah hari perhitungan. Hari kiamat yang dijanjikan. Memang itu fitrah sang manusia dilahirkan ke dunia. Tidak sempurna dan tidak akan sempurna.

Begini kisahnya.

Dewan Saidina Hamzah pada hari itu seakan-akan dewan Akademi Fantasia. Tiada beza seperti konsert Fantasia. Segelintir mujahid dan mujahidah mendaftarkan diri untuk turut serta dalam budaya hedonisme itu. Persembahan karaoke.

Ya benar mujahidin pun ingin berseronok, tetapi tidaklah sehingga mengabaikan hak sebagai seorang hamba. Betul negara pentingkan perpaduan, tetapi tidaklah sampai meminggirkan hak agama.

Sambil dihidangkan dengan lagu yang langsung tidak membangkitkan rasa rindu kepada Maha Pencipta, mujahid biru segera memalingkan badan bertentangan dengan si penghidang lagu.

Dia beristighfar.

Tidak sanggup menonton lenggok-lenggok pergerakan badan yang mampu menaikkan tingkat nafsu kepada manusia.

Dia takut akan zina mata.

Namun, tidak dapat lari dari zina telinga dan zina hati.

Mereka disekat keluar dari Dewan Saidina Hamzah.

Sesiapa yang tidak hadir akan dikenakan hukuman. Namun mujahid biru tahu, ramai lagi bersamanya. Dilihatnya di belakang ramai yang menundukkan pandangan dan berusrah sesama mereka.

Tidak sanggup membenarkan nafsu bermaharajalela, mujahid biru membawa diri untuk bersama mereka dan di sana, dia berkenalan dengan insan-insan yang berpegang teguh bahawa agama tidak akan sesekali dipinggirkan. Sama sekali.

Dan muslim sekaliannya, hanyalah hamba Allah.

Semata-mata.

Mujahid Biru punya seorang sahabat yang agak rapat.

Dahulu ketika belajar di madrasah menengah, mujahid biru dan sahabatnya diberi kepercayaan untuk memimpin organisasi pelajar islam di madrasah masing-masing. Mujahid Biru memimpin Persatuan Pelajar Islam (PPI) dan sahabatnya memimpin Jemaah Pimpinan Pelajar (JPP).

Atas dasar ukhwah kerana Allah, mereka saling berhubung untuk berusrah, sehinggalah mereka dipilih untuk menganggotai Jemaah Mujahidin Siri 1 di Medan Sungai Rait. Mungkin sebab itu mereka rapat di medan.

Tika malam menghembuskan nafas segar untuk melenakan para mujahid, Mujahid Biru dan sahabat seukhwahnya mengadakan usrah tentang masalah yang dihadapi sepanjang di medan.

Bermula dari kejutan budaya, ke permasalahan pergaulan yang tiada batas, aurat yang terpampang jelas sehinggalah sikap meninggalkan solat kerana malas. Namun, mereka berusaha menghindari ghibah dan membuka aib.

Mereka ingat akan firman Allah :

"Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka. Sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengunjing sebahagian yang lain. Sukakah seseorang diantara kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang," (al-Hujurat ayat 12)

Mereka ingat suruhan itu.

Dan tidak mungkin ingin memakan daging saudara sendiri.

Dalam menjalani saki-baki hari latihan di medan, mujahid biru bersama teman-teman yang dikenali di 'Konsert Fantasia' sentiasa saling ingat-mengingati antara satu dengan yang lain.

Saling menghisab diri sebelum dihisab oleh Allah.

Seterusnya, mereka mengingati pula yang lain-lain.

Namun, untuk menyampaikan nasihat kepada insan yang sudah banyak titik hitam dihatinya ternyata sukar. Nasihat yang diberi umpama menambah madu pada jagung. Semakin enak. Enak dilakukan perkara yang jauh dari landasan.

Dari solat, pergaulan sehinggalah aurat. Mujahid biru dan sahabat hanya bersabar. Sekurang-kurangnya mereka sudah melakukan sesuatu untuk mencegah kemungkaran.

Mencegah dengan lidah dan dengan hati.

Belum mampu rasanya mencegah dengan tangan.

Kerana kenal baru sebulan.

Namun, hati tetap membenci kemungkaran.

"Sesungguhnya memberi sedikit tetapi ikhlas lebih mulia daripada memberi banyak tetapi diiringi dengan riak,"

bersambung ...

Mujahid Biru 2



Kisah mujahid biru terus berlalu.

Subuhnya dimulakan dengan kalimah syukur kehadrat Ilahi kerana diberikan tidur yang nyaman dan memberinya nikmat kehidupan. Adapun malamnya diakhiri dengan penat lelah hasil latihan sepanjang hari.

Begitulah rutin disiplin harian mujahid biru. Penuh dengan latihan dan latihan. Namun mereka pasrah, kerana semuanya adalah untuk membentuk disiplin.

Petang itu, mujahid biru diserang sakit perut.

Lalu dia dapatkan kebenaran ke klinik.

Klinik Ibnu Sena.

Tempat Mujahid biru mendapatkan rawatan sampingan bagi penyakit batuk dan keracunan makanan yang dihadapinya. Dia tawakkal. Mujahid Biru lebih percaya akan Tuhan yang Maha Penyembuh.

Awalnya sepanjang latihan mujahidin berasa sangat menyeksakan.

Masakan tidak, setiap hari di tengah panas dengan menggunakan jubah biru yang agak kasar dan tebal disarungkan pula dengan serban hitam, keempat-empat jemaah dikerahkan untuk berkumpul dalam 3 saf yang sempurna.

Ternyata sukar bagi para Mujahid dan Mujahidah.

Sedangkan saf solat yang dianggap sempurna dan dipastikan tiada laluan untuk para syaitan lalu-lalang, pun boleh melekakan para makmum.

Firman Allah :

"Sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamanya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh," (Surah as-Saff ayat 4)

Diulang-ulang aktiviti merapatkan saf.

Berterusan sehingga tepat atau lebih sedikit pukul 5.30 petang. Sungguh, Komander Tiger seolah-olah tidak mempunyai perasaan kasihan terhadap mereka. Mungkin komander pernah berada dalam suasana begitu.

Jadi mungkin dengan alasan itu dia memperlakukan mujahid dan mujahidah sebegitu rupa. Tidak cukup masa panasnya mentari Zohor, ditambahnya pulak dengan masa panasnya mentari Asar.

Jiwa meronta-ronta penat berbaur pasrah.

Akhirnya, mujahidin sekaliannya akur.

Disiplin sangat sukar untuk dibentuk.

Ego, sukar untuk tunduk.

Petang : Surau an-Nur

Mungkin sebab itu ramai mujahid dan mujahidah yang tumbang dalam jihad mengerjakan solat fardhu Subuh. Digerak seketika, alhamdulillah bangun. Kemudian tumbang balik. Jadi, kalau boleh bangun, itu tidak selayaknya dijadikan alasan.

Azan yang berkumandang bagi mereka hanyalah satu melodi indah yang meningkatkan lagi nafsu untuk terus leka dengan nikmat mati sementara. Langsung tidak takut seandainya terus mati selamanya.

Mujahid biru, nafsunya berjaya dipandu ke surau.

Sesegar Angin Malam

Begitulah agaknya perasaan Mujahid Biru setelah selesai bermandikan keringat di bawah bahang matahari sepanjang hari. Selesai menyucikan diri dan solat maghrib, mujahid biru meluangkan masa berusrah bersama-sama sahabatnya. Kadang-kadang melakukan ibadah lainnya untuk memakmurkan rumah itu.

Segala penat lelah hilang tatkala wajah yang berkerut penat disambut dengan gelak tawa para sahabat. Tetapi belum cukup. Bagi Mujahid Biru, penat itu hanya hilang seketika cuma.

Sesudah solat Isyak, mujahid biru terasa seakan-akan batin dan zahirnya dipanggil oleh katil yang empuk di biliknya.

Penat, sungguh penat.

Seperti biasa, sesi mendengar kuliah dari timbalan jeneral 2. Namun dipaksanya mata dibuka walaupun hakikat pintu hatinya tertutup setengah.

Dilihatnya ramai yang terangguk-angguk.

Mengantuk.

Selesai memberi kuliah, Mujahidin sekalainnya dibenarkan balik. Mujahid biru segera melabuhkan dirinya di katil.

Dalam keadaan memalingkan sedikit badan ke kiri, mujahid biru sambil menutup kedua matanya bermuhasabah dan merenung akan segunung dosa yang dilakukannya sepanjang hari. Bertaubatnya atas segala khilaf yang disengaja mahupun tidak.

Lalu tertidur.

Lena dibuai mimpi.

bersambung...

Mujahid Biru 1



Maka tersebutlah kisah seorang Mujahid Biru.

Sebelum pergi dengan lebih mendalam, sekerdilnya saya ingin menyatakan sebab mengapa insan kerdil tersebut disebut Mujahid Biru. Hal ini kerana pakaian rutinnya setiap hari (tolak hari minggu) adalah jubah warna biru.

Juga serban warna hitam.

Subuh biru. Zohor biru. Asar biru. Maghrib dan Isya' pun turut membiru tatkala Mujahid Biru mengenakan pakaian biru berserta rakannya.

Semuanya serba biru.

Kerana pakaian itu adalah wajib bagi semua mujahid dan mujahidah yang terpilih. Mereka punya seorang komander, lebih comel digelar Encik Tiger. Sang Komander pula mengenakan pakaian berwarna perang serta lilitan serban berwarna merah.

Ditambah lagi dengan ragamnya yang sering berwajah garang, sambil sentiasa memegang tongkat, semakin bertambahlah rasa gerun mujahid biru terhadap Komandernya.

Mereka juga punya seorang jeneral.

Ibnu Abdullah namanya.

Jeneral Ibnu Abdullah.

Dengan mengenakan jubah berwarna campuran perang dan hijau, beliau cukup terkenal dengan ragamnya yang sentiasa memandang ke langit keika menyampaikan kuliah. Warna jubahnya juga, adalah seperti komander.

Petang itu, antara intipati ucapan jeneral adalah mujahid dan mujahidah diwajibkan berjemaah di surau pada setiap kali solat lima waktu.

Keluar kalimah syukur Mujahid Biru kepada al-Khaliqnya.

Surau an-Nur adalah rumah yang dimaksudkan.

Setiap pagi tepat pukul enam, dengan berpakaian serba biru, mujahid dan mujahidah dikerahkan untuk berkumpul dalam empat jemaah. Alpha, Bravo, Charlie dan Delta. Merah, biru, kuning dan merah warna setiap jemaah.

Seterusnya setiap jemaah dimasukkan dalam tiga saf di Medan.

Dengan diketuai oleh seorang imam, setiap jemaah hanya mampu tunduk terketar-ketar menahan rasa kelaparan sambil diperiksa oleh Jeneral akan disiplin pakaian mereka.

Mana yang berjanggut akan ditarik janggutnya. Yang berambut panjang akan segera dibotakkan. Sesiapa yang berkuku panjang akan segera disuruh tekan tubi sebanyak sepuluh kali. Kali kedua ditangkap, sebanyak dua puluh kali.

Begitu seterusnya.

Mujahid Biru tidak terkecuali. Dek kerana janggutnya yang panjang, segera ditarik oleh Jeneral. Pedih bukan kepalang. Malaikat yang bergantung seolah-olah tidak membenarkan janggut Mujahid Biru itu ditarik.

Sabar, mujahid biru hanya menahan.

Seterusnya, mengenai sarapan.

Sarapan hanya dibenarkan pukul 7 pagi. Tetapi selalunya dilewatkan 7.30 pagi. Kasihan para Mujahidin, demi disiplin.

Seketika pada pukul 8 pagi, setelah mensyukuri nikmat kurniaan Allah dengan sedikit Nasi Lemak, mujahid biru sudah bersiap-siaga dengan niat yang ikhlas untuk menuntut ilmu di kelas-kelas yang disediakan.

Mujahid miru merupakan seorang pemerhati. Dia lebih banyak memerhati, kurang bicara. Mana yang hendak dijadikan kawan dan tiada yang ingin dijadikan lawan.

Setiap kali majlis ilmu, mentari dhuha menjadi saksi akan kejayaan tentera iblis dan sekutunya syaitan melekakan para mujahidin sehingga tidur.

Lain halnya dengan si Mujahid Biru.

Matanya, dadanya sentiasa terbuka untuk menerima ilmu.

Pengalaman mengajarnya untuk melawan bisikan musuh-musuh Allah itu dengan ayat kursi. Setiap kali tamat majlis ilmu, guru pun sediakan satu ruang untuk mujahidin dalam madrasah itu untuk berkongsi isi hati. Mujahid Biru Memberanikan diri. Sepatah dua pengalaman dikongsinya.

Malam mula membuka tirai.

Setelah selesai solat berjemaah maghrib dan isyak di surau an-Nur, jemaah mujahidin keseluruhannya berkumpul dalam dewan Saidina Hamzah seterusnya untuk mendengar kuliah daripada timbalan jeneral 2, yang merupakan ayah kepada seorang guru yang mengajar.

Sebelum berucap, jemaah mujahid dan mujahidah diarahkan supaya duduk dalam posisi tegak. Tiada pergerakan. Sekiranya didapati bergerak, pasti akan dihukum oleh komander.

Kehadiran diambil dan tiada yang ponteng.

Siapa yang ponteng akan diambil nama dan akan dikeluarkan dari jemaah mujahidin siri 1 dan akan dimasukkan ke dalam jemaah mujahidin siri 3 yang mempunyai sejarah ekstrimis yang radikal dan menggila.

Sesiapa yang menolak arahan kemasukan akan dipenjara 3 tahun dan bayaran sebayak enam ribu ringgit. Jadi, begitulah rutin Mujahid Biru setiap hari sepanjang di Medan Sungai Rait, Bakam selama 3 bulan.

Permulaan yang dahsyat.

Disiplin, sungguh ketat.

bersambung...

Program Latihan Khalifah Negara



Program Latihan Khidmat Negara.

Saya gelar Program Latihan Khalifah Negara.

Awalnya, adalah satu program percuma yang agak sukar untuk saya terima, kerana saya sudah merancang untuk berkerja setelah tamat ujian SPM. Namun apakan daya, ketetapan telah diletakkan atasnya, yang menjadikan sesiapa yang menerima surat tawaran itu, wajib untuk menghadirinya, tidak dapat tidak, melainkan ada alasan kukuh, sakit biasanya.

Banyak juga cerita yang saya dengar, itu ini, ada baik dan ada juga yang tidak sedap didengar dek telinga. Menjadikan hati saya dua tiga, dua tiga. Tapi, abang-abang saya sebelum ini baik-baik sahaja.

Jadi, saya positifkan diri, tenang.

Saya juga kadang-kadang berasa pelik, dan mungkin ada hikmah disebalik semua yang berlaku, dimana pelajar-pelajar yang sangat-sangat ingin mengikuti program percuma itu, mereka tidak mendapat peluang. Sebaliknya, yang tidak mahu itu pula yang diberi kesempatan.

Namun, itu semuanya aturan Allah.

Bersangka baik sahajalah.

Tidak hadir, bermaksud akan dipenjara, atau dikenakan hukuman beberapa ribu ringgit, atau kedua-duanya sekali. Oh, apa saya ingin katakan? Rasanya, tidak mampu saya terima kedua-duanya. Mahu tidak mahu, terpaksa juga merelakan jasad ini melangkah pergi.

Minda saya sudah menetapkan untuk saya turut serta.

Kerana kebaikan yang saya akan dapat, lebih besar dari keburukan.

Ramai juga kawan-kawan saya kata, saya nanti akan botaklah, kulit pun akan jadi hitamlah, makanan di sana beracun, tidak selamatlah. Macam-macam. Gerun juga dengar pada awalnya. Ah, apapun,yang perlu saya tahu, semua itu hanyalah perkara sampingan. Pokok pangkalnya, Allah ada bersama-sama saya, dan Dialah yang berkuasa untuk itu, saya hanya menjaga diri saya.

Bakal ditempatkan di Sungai Rait, Bakam, saya akan berada di sana selama sebulan. Tidak kisah sangat, yang penting, saya tidak membuatkan saya sendiri menjadi bosan di sana kelak. Jadi, kenalah ikuti setiap aktiviti yang dilaksanakan.

Apa yang saya harapkan, moga hati saya tetap kuat untuk menerima keadaan di sana kelak. Tidak mudah terpengaruh dengan budaya-budaya yang cemar, mempertahankan apa-apa yang benar, cari hati-hati lain untuk sama-sama berjemaah, dan apa lagi. Banyaklah.

Pendek kata, syariat saya kena jaga.

Baiklah, saya beransur dulu.

InsyaAllah, pengalaman akan saya kongsikan kelak.

Doakan kesejahteraan saya, ya?

Man Ana?



Assalamu'alaikum.

Salam ukhwah dari saya buat semua.

Man ana itu maksudnya siapa aku.

Jadi, senang cerita, ini sesi perkenalan saya. Ringkas sangat.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Berjaya juga saya mencipta blog sendiri. Berserabut juga minda ketika baru mula berjinak-jinak. Lama-lama kalau sudah selalu, senang sahaja rupanya. Kebun ini baru mula beroperasi pada bulan Mac tahun 2009, untuk pengetahuanlah.

Saya anggap, apa yang saya tulis ini adalah sebagai nota kuliah untuk diri saya sendiri. Nota kuliah, untuk saya memberitahu sesuatu dan mengingatkan diri saya terutamanya, dan juga kalian semua.

Kalau ada yang sudi mengimbas hasil tulisan saya, silakan.

Moga-moga ada manfaat yang kita akan dapat.

Gambar di atas itu, yang tertera padanya adalah nama saya. Tidak tahu apa yang ingin saya letakkan untuk sesi ta'aruf ini, jadi saya kumpulkan seberapa banyak tag-tag nama yang saya ada sepanjang saya masih di bangku sekolah menengah, dan muatkannya terus.

Oh, apa lagi?

Saya hiaskanlah sedikit ta'aruf ini dengan nota kuliah saya yang pertama.

Sebelum saya tulis apa-apa, baik saya ingatkan diri saya dulu.

Dari segumpal darah merah

Itu sebenarnya asal aku.

Aku hanyalah hamba

Insan yang selalu membuat dosa

Sering melakukan kesalahan

Sekalipun aku telah mencuba

Untuk menolaknya.

Ya Allah, dengan rahmat-Mu

Ampunkanlah dosa-dosaku

Jangan biarkan aku tenggelam

Terumbang-ambing dengan dosa.

Aku hanya sekadar boneka

Yang diciptakan oleh Engkau

Janganlah Engkau biarkan aku

Tanpa mendapat pimpinan

Kerana aku pasti akan sesat

Dari jalan yang lurus.

Sekiranya Engkau biarkan

aku dengan dosa dan noda

Sekiranya Engkau tinggalkan

aku dengan kesalahan

Segala yang aku lakukan

Tiadalah membawa erti

Ini sesi ta'aruf yang ringkas sahaja. Sekadar bagitahu nama.

Tidak tahu apa lagi hendak ditulis.

Selamat mengikuti nota-nota kuliah saya.

Dan betulkanlah, andai saya salah.