Mujahid Biru 1



Maka tersebutlah kisah seorang Mujahid Biru.

Sebelum pergi dengan lebih mendalam, sekerdilnya saya ingin menyatakan sebab mengapa insan kerdil tersebut disebut Mujahid Biru. Hal ini kerana pakaian rutinnya setiap hari (tolak hari minggu) adalah jubah warna biru.

Juga serban warna hitam.

Subuh biru. Zohor biru. Asar biru. Maghrib dan Isya' pun turut membiru tatkala Mujahid Biru mengenakan pakaian biru berserta rakannya.

Semuanya serba biru.

Kerana pakaian itu adalah wajib bagi semua mujahid dan mujahidah yang terpilih. Mereka punya seorang komander, lebih comel digelar Encik Tiger. Sang Komander pula mengenakan pakaian berwarna perang serta lilitan serban berwarna merah.

Ditambah lagi dengan ragamnya yang sering berwajah garang, sambil sentiasa memegang tongkat, semakin bertambahlah rasa gerun mujahid biru terhadap Komandernya.

Mereka juga punya seorang jeneral.

Ibnu Abdullah namanya.

Jeneral Ibnu Abdullah.

Dengan mengenakan jubah berwarna campuran perang dan hijau, beliau cukup terkenal dengan ragamnya yang sentiasa memandang ke langit keika menyampaikan kuliah. Warna jubahnya juga, adalah seperti komander.

Petang itu, antara intipati ucapan jeneral adalah mujahid dan mujahidah diwajibkan berjemaah di surau pada setiap kali solat lima waktu.

Keluar kalimah syukur Mujahid Biru kepada al-Khaliqnya.

Surau an-Nur adalah rumah yang dimaksudkan.

Setiap pagi tepat pukul enam, dengan berpakaian serba biru, mujahid dan mujahidah dikerahkan untuk berkumpul dalam empat jemaah. Alpha, Bravo, Charlie dan Delta. Merah, biru, kuning dan merah warna setiap jemaah.

Seterusnya setiap jemaah dimasukkan dalam tiga saf di Medan.

Dengan diketuai oleh seorang imam, setiap jemaah hanya mampu tunduk terketar-ketar menahan rasa kelaparan sambil diperiksa oleh Jeneral akan disiplin pakaian mereka.

Mana yang berjanggut akan ditarik janggutnya. Yang berambut panjang akan segera dibotakkan. Sesiapa yang berkuku panjang akan segera disuruh tekan tubi sebanyak sepuluh kali. Kali kedua ditangkap, sebanyak dua puluh kali.

Begitu seterusnya.

Mujahid Biru tidak terkecuali. Dek kerana janggutnya yang panjang, segera ditarik oleh Jeneral. Pedih bukan kepalang. Malaikat yang bergantung seolah-olah tidak membenarkan janggut Mujahid Biru itu ditarik.

Sabar, mujahid biru hanya menahan.

Seterusnya, mengenai sarapan.

Sarapan hanya dibenarkan pukul 7 pagi. Tetapi selalunya dilewatkan 7.30 pagi. Kasihan para Mujahidin, demi disiplin.

Seketika pada pukul 8 pagi, setelah mensyukuri nikmat kurniaan Allah dengan sedikit Nasi Lemak, mujahid biru sudah bersiap-siaga dengan niat yang ikhlas untuk menuntut ilmu di kelas-kelas yang disediakan.

Mujahid miru merupakan seorang pemerhati. Dia lebih banyak memerhati, kurang bicara. Mana yang hendak dijadikan kawan dan tiada yang ingin dijadikan lawan.

Setiap kali majlis ilmu, mentari dhuha menjadi saksi akan kejayaan tentera iblis dan sekutunya syaitan melekakan para mujahidin sehingga tidur.

Lain halnya dengan si Mujahid Biru.

Matanya, dadanya sentiasa terbuka untuk menerima ilmu.

Pengalaman mengajarnya untuk melawan bisikan musuh-musuh Allah itu dengan ayat kursi. Setiap kali tamat majlis ilmu, guru pun sediakan satu ruang untuk mujahidin dalam madrasah itu untuk berkongsi isi hati. Mujahid Biru Memberanikan diri. Sepatah dua pengalaman dikongsinya.

Malam mula membuka tirai.

Setelah selesai solat berjemaah maghrib dan isyak di surau an-Nur, jemaah mujahidin keseluruhannya berkumpul dalam dewan Saidina Hamzah seterusnya untuk mendengar kuliah daripada timbalan jeneral 2, yang merupakan ayah kepada seorang guru yang mengajar.

Sebelum berucap, jemaah mujahid dan mujahidah diarahkan supaya duduk dalam posisi tegak. Tiada pergerakan. Sekiranya didapati bergerak, pasti akan dihukum oleh komander.

Kehadiran diambil dan tiada yang ponteng.

Siapa yang ponteng akan diambil nama dan akan dikeluarkan dari jemaah mujahidin siri 1 dan akan dimasukkan ke dalam jemaah mujahidin siri 3 yang mempunyai sejarah ekstrimis yang radikal dan menggila.

Sesiapa yang menolak arahan kemasukan akan dipenjara 3 tahun dan bayaran sebayak enam ribu ringgit. Jadi, begitulah rutin Mujahid Biru setiap hari sepanjang di Medan Sungai Rait, Bakam selama 3 bulan.

Permulaan yang dahsyat.

Disiplin, sungguh ketat.

bersambung...

0 Komen:

Post a Comment