Minda Yang Bergerak



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Segala pujian bagi Allah kerana dengan keizinan-Nya, masih lagi berkesempatan menjalani seni-seni kehidupan dibawah payung Islam.

Selawat dan salam buat kekasih-Nya, Rasulullah. Juga buat kaum keluarga baginda serta sahabat yang setia. Semoga kita terus istiqamah dalam menunaikan segala hak dan amanah.

Alhamdulillah. Sekali lagi berkesempatan untuk menulis.

Saya pernah membaca satu artikel berkenaan teknologi. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyeimbangkan antara teknologi dan kehidupan. Jadi untuk entri kali ini, saya ingin membicarakan sedikit tentang teknologi blogger.

Saya mula mengenali dunia blogger setelah tamat tingkatan 5. Itupun setelah diberitahu oleh kawan-kawan. Pertama kali masuk ke alam baru itu, keadaan agak memusingkan kepala kerana banyak istilah-istilah yang tidak difahami.

Bagaikan orang biasa yang masuk ke alam yang luar biasa.

Dahulu ketika pertama kali ingin menghias laman ini, perlu bersengkang mata 'bermain' dengan kod-kod HTML. Kadang-kadang pitam sebentar. Maklumlah, baru mula berjinak-jinak.

Kini, banyak kemudahan-kemudahan baru yang ditawarkan oleh blogspot menyebabkannya mendapat tempat di hati pengguna. Malah yang baru berjinak-jinak dengan dunia baru ini rata-ratanya bermula dengan blogspot.

Kemudian barulah bertukar kepada wordpress dan sebagainya. Saya? Rasanya biarlah begini. Asalkan isi-isi yang dihidangkan mampu sampai ke hati pembaca, alhamdulillah.

Hasilnya, wujudlah kebun ini. Satu Persepsi. Setelah menjalani proses transformasi nama yang pelbagai, iaitu permulaannya dengan nama Musafir Darulfana (Musafir di alam yang tidak kekal) kepada Musafir Borneo (Musafir Sarawak) dan akhirnya kepada Satu Persepsi.

Tulisan tentang persepsi diri, yang lahir dari hati.

Percambahan Minda

Saya tidak nafikan bahawa kebun ini banyak membantu dari segi percambahan minda. Kadang-kadang memikirkan apa yang hendak diisikan kedalamnya sekaligus membuatkan saya lebih banyak membaca bahan-bahan yang boleh dijadikan rempah ratus dalam setiap entri.

Hampir setiap hari mencari idea untuk menyampaikan dakwah sekaligus tarbiyyah kepada para pembaca. Cuma mungkin kesempatan yang kadang-kadang tidak mengizinkan.

Juga sekaligus menjadikan minda ini aktif.

Sentiasa bergerak dan berjalan.

Memutuskan jaring-jaring yang dulunya mengikat, menyebabkan kurniaan Allah ini tidak digunakan sebaiknya. Ya, paling kurang sekiranya ada masa kosong, saya menyerahkan buah fikiran ini kepada jalan-Nya.

Namun kadang-kadang. Setelah fikiran menerawang, idea itu tiba-tiba hilang. Aduh, Ini yang paling tidak menyeronokkan. Lantas menurunkan nafsu untuk menunaikan amar makruf dan nahi mungkar. Biarlah, mungkin ada sesuatu yang lebih penting untuk dilakukan.

Dan saya juga percaya, bahawa sahabat-sahabat yang lain juga begitu. Sentiasa ingin mencari-cari sesuatu untuk berkongsi ilmu dan disamping berdakwah. Adakalanya hingga tidur juga diganggu dengan lamunan idea-idea.

Alhamdulillah. Teruskan perjuangan dan semoga istiqamah.

Namun janganlah sehingga mengabaikan perkara yang lebih penting.

Dasyat.

Alangkah baiknya jika kita mempunyai nafsu sehingga sebegitu rupa terhadap ibadah-ibadah wajib, membaca al-Quran, berzikir dan lain-lain ibadah sunat yang lain? Hati sentiasa gelisah bila sahaja ada sesuatu amalan yang tertinggal. Sentiasa berasa tidak cukup malah menginginkan lebih. Lagi dan lagi. Moga-moga dikurniakan.

Rasa Tenang Di Dada

Membaca bahan-bahan dari alam maya ini adakalanya membuatkan saya terasa seperti berada dalam majlis ilmu. Cuma mungkin suasananya tidak sama seperti majlis yang sebenar. Tenang rasanya apabila membaca dan mengutip sedikit sebanyak ilmu, pengajaran dan pengalaman.

Apatah lagi jika bertemu dengan kebun yang dimiliki oleh insan-insan yang berilmu. Ditambah dengan fikrah dan persepsi yang bermanfaat kepada ummah sekaliannya.

Adakalanya hati ini tersentuh dengan artikel-artikel yang ditulis dan kadang-kadang terasa pedas apabila pulang kepada hakikat bahawa diri ini mempunyai ciri-ciri seperti yang ditulis.

Semoga saya mampu untuk memperbaiki diri.

Akhir kalam, semoga kita terus menjadi insan yang memaksimumkan penggunaan teknologi demi kepentingan agama dan ummah.

Semoga Usaha dakwah kian mekar.

Semoga semangat jihad kian teguh.

Gerakkanlah minda pada jalan-Nya.

0 Komen:

Post a Comment