Dakwah : Perlu Seni Dan Kreativiti


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Budaya di madrasah Tuanku Haji Bujang dahulu sangat saya rindui. Terutama sekali budaya menyampai dan menimba ilmu.

Dalam seminggu sahaja sebenarnya cukup banyak input yang masuk kedalam kepala. Tambahan pula bagi kami yang bergelar warga al-Hidayah.

Sekiranya dikeluarkan kenyataan untuk menulis setiap bait-bait perkataan mahupun tulisan yang disampaikan, rasanya melebihi sepuluh mukasurat. Mungkin 20 helaian.

Seusai solat maghrib, diadakan sedikit tazkirah ringkas. Kemudiannya disusuli dengan amalan tadarus al-Quran. Hari selasa pula akan diadakan aktiviti usrah bersama ahli kumpulan. Khamis biasanya akan ada tahlil dan disambung dengan kuliah.

Seterusnya pada malam hari jumaat diadakan aktiviti yang dipanggil malam keagamaan. Pagi ahad pula usrah nuqaba' (antara naqib dan naqibah bersama ustaz) dan malamnya akan diadakan kuliah maghrib. Begitulah seterusnya.

Sungguh, saya rindu akan semua itu.

Pada setiap kali hari malam khamis dan ahad, pengkuliah yang bertugas dikehendaki bersedia untuk menyampaikan ilmu kepada kami. Penekanan diberikan terutama untuk menyampaikan dan bukan hanya membaca daripada teks.

Pendek kata, beranikan diri depan khalayak.

Sungguh, bukan mudah sebenarnya untuk menyampaikan sesuatu kepada orang ramai dalam bentuk percakapan. Paling penting bagi saya adalah bagaimana untuk menarik hati para pendengar.

Dari memberi tahu sehinggalah kepada usaha untuk memberi mahu dan sekaligus memberi mampu. Bagi yang sudah biasa, perkara ini tidaklah dianggap berat. Apabila dapat bercakap, itu sudah memadai walaupun hakikatnya sukar untuk sampai ke hati pendengar.

Akan tetapi inilah yang diresahkan oleh sebahagian lainnya.

Yang tidak biasa dengan budaya dakwah dan tarbiah.

Resah kerana bimbang kuliah yang dilakukan adalah pasif atau bosan. Sikap resah ini sebenarnya adalah betul kerana sekiranya diambil ringan, mungkin ilmu yang disampaikan itu bagaikan masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri.

Untuk itu, penyelesaian demi penyelesaian dicari untuk bagaimana mengolah dakwah itu dengan kreativiti dan seni dengan tidak mengenepikan tujuan asal.

Kedua-duanya saling diperlukan di samping tawakkal kepada Alah.

Menyingkap Tirai

Teringat saya akan aktiviti usrah yang dilakukan khusus kepada pelajar islam harian madrasah kami. Kebiasaannya, kehadiran ahli usrah bagi pelajar harian adalah tidak memuaskan dan hanya segelintir yang hadir ke majlis ilmu tersebut.

Ingin sahaja diwajibkan tetapi masing-masing ada alasan peribadi dan terpaksa pula berhadapan dengan ibu bapa dan sebagainya.

Memang dugaan.

Apa yang ingin disebut adalah bagaimana seni dalam dakwah itu memainkan peranan dalam kejayaan dakwah. Ikhtiar dicari untuk bagaimana menarik kehadiran ahli-ahli usrah harian. Bermula dengan membuat tayangan video berunsurkan agama, kehadiran ahli semakin bertambah sedikit demi sedikit dari minggu ke minggu.

Walaupun masih jauh dari sasaran, namun alhamdulillah. Daripada berterusan dengan bilangan yang sedikit. Juga turut dilakukan permainan ringan untuk menarik minat.

Melihat kepada sirah, Rasulullah sendiri menunjukkan qudwah yang sangat hasanah dalam berdakwah di samping memberi peringatan kepada umat islam sekaliannya. Ini seterusnya dikekalkan pula oleh para sahabat dan da'ie-da'ie seterusnya.

Dengan menggunakan pendekatan yang sangat sopan dan lemah lembut tanpa ada perasaan benci dan sebagainya, Islam pernah mencatat sejarah sehingga mampu memayungi dua per tiga dunia.

Namun melihat kepada hakikat hari ini, mengajak muslim sendiri sudah sukar, apatah lagi dengan yang bukan.

Dakwah Perlukan Seni



Gambar di atas saya kira sangat unik. Pemuda dalam gambar tersebut adalah seorang pemain bola sepak kebangsaan Mesir yang bernama Muhammad Abu Tarikah. Beliau adalah pemain bola kebangsaan salah satu kelab di Mesir bernama Al-Ahli (kelab bola sepak yang paling mendapat tempat di hati penduduk Mesir). Penyerang kelahiran Giza ini adalah pemain utama pasukan bola kebangsaan Mesir.

Perbuatan beliau ini sempat dirakam dalam salah satu perlawanan bola sepak ketika di mana Mesir bertemu dengan Sudan dalam kejohanan piala Afrika ke-26 pada 27 Januari 2008 yang lalu.

Beliau mengangkat baju jerseynya sehingga menampakkan baju sebelah dalam yang mempamerkan slogan simpati kepada penduduk Ghaza setelah berjaya menjaringkan gol kedua dalam perlawanan tersebut.

Betapa kreatifnya dakwah itu beliau laksanakan.

Walaupun ditayangkan kad kuning setelah perlakuan beliau sebegitu, Semangatnya tidak pudar malah beliau terus mengasak pasukan lawan lalu berjaya menyumbatkan lagi gol ketiga dalam separuh masa kedua perlawanan tersebut. Hasilnya, Mesir menang melawan Sudan dengan mata 3 berbalas 0.

Tindakan Abu Tarikah sudah semestinya berisiko tinggi terutama bagi seorang pemain yang mencari rezeki dengan sukan tersebut.

Bagi para peminat sukan bola sepak, kalian sudah tentu tahu bahawa tindakan membawa dan memprovokasikan isu-isu sensitif sebegini bertentangan dengan undang-undang FIFA.

Namun Abu Tarikah beruntung kerana perlakuan beraninya telah menarik simpati ramai pihak kepadanya sekaligus menyebabkan beliau terselamat daripada dikenakan tindakan.

Mungkin kerana keberkatan perbuatan itu dan juga kerana doa penduduk Ghaza kepada Mesir, Mesir sekali lagi menjuarai piala Afrika setelah berjaya menumbangkan pasukan gergasi Cameroon dengan pungutan mata sebanyak 4-2.

Dan di Ghaza sekarang ini, penduduk mula menamakan piala perlawanan bola mereka dengan nama piala Abu Tarikah. Di samping itu, baju-baju yang digunakan oleh ank-anak muda Palestin di Ghaza mula dicetak dengan gambar Abu Tarikah.

Akhirnya, saya kira kepentingan seni dan kreativiti dalam dakwah adalah perlu. Kebiasaan yang saya lihat pada para pendakwah kini adalah dengan menyelitkan sedikit unsur-unsur lawak dalam ceramah mereka.

Tidak boleh berlebihan kerana takut lari dari tujuan asal. Dan sekiranya diteliti, dengan menyelitkan sedikit unsur-unsur tersebut juga adalah kreatif bukan?

Apa yang saya dapat simpulkan adalah : Tujuan berdakwah + Ikhlas + Seni dalam dakwah + Tawakal kepada Allah = Kejayaan Dakwah. Allahu'alam.


No Part Time Muslim

Fikir Dan Renung : Amalan Yang Terbalik?


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Salam Ramadhan, selamat berpuasa, selamat bersahur dan selamat beramal di bulan yang penuh kemulian ini. Semoga kita mampu menjaga amalan yang kita lakukan sepanjang ramadhan.

Ikhlaslah dan berusahalah untuk merebut redha dan kasih-Nya.

Untuk itu, penulis ingin mengingatkan para pembaca akan sabda nabi yang bermaksud :

"Berapa ramai yang berpuasa, tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga," (Riwayat Imam Ahmad dan al-Baihaqi)

Kali ini ana ingin membawa pembaca budiman sekalian untuk bermuhasabah diri tentang amalan harian kita.

Antara sedar atau tidak, kadang-kadang amalan yang kita lakukan adalah terbalik atau bertentangan dengan apa yang telah dituntut dan digariskan dalam islam. Mungkin juga amalan yang kita lakukan sebelum ini hanya mengikut orang.

Amalan Yang Terbalik?

Kenduri arwah beberapa hari yang dilakukan oleh keluarga si mati selepas sesuatu kematian (hari pertama, kedua, ketiga dan seterusnya sehingga ketujuh) adalah terbalik daripada apa yang dianjurkan oleh Rasulullah.

Baginda menyatakan bahawa jiran tetangga memasak makanan kepada keluarga si mati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka.

Dengan keadaan keluarga tersebut yang sedang bersedih, terpaksa pula mengeluarkan belanja menyediakan juadah kepada mereka-mereka yang datang bertahlil. Takut-takut kalau rezeki yang mereka jamah malam itu adalah menggunakan harta peninggalan arwah yang belum dibahagikan menurut islam.

Sekiranya kita menjadi tetamu di rumah seseorang dan dihidang dengan aneka jenis juadah, kita rasa segan untuk menghabiskan apa yang dihidangkan, sedangkan yang dituntut adalah dibanyakkan makan dan menghabiskannya.

Pertama, kerana hidangan itu adalah rezeki dari Allah dan yang kedua adalah untuk menggembirakan tuan rumah dan tidak membazir.

Kalau bersolat sunat di masjid atau surau sangatlah rajin, tetapi kalau di rumah, malas semalas-malasnya.

Sedangkan sebaik-baiknya yang dianjurkan oleh Rasulullah adalah memperbanyakkan solat sunat di rumah untuk mengelakkan perasaan riak. Firman Allah :

"Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah dan sujudlah (mengerjakan sembahyang) dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkannya) serta kerjakanlah amal-amal kebajikan supaya kamu berjaya (didunia dan diakhirat)" (Surah al-Hajj ayat 77)

Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang mahupun malam, tetap pergi. Hujan ribut tetap diharungi kerana ingin mematuhi peraturan kerja. Tetapi ke rumah Allah (masjid dan surau) sedangkan tak hujan, tak panas dan tiada ribut tetap tak datang.

Walhal rezeki itu datang dari Allah.

Kalau nak mengerjakan haji kebanyakannya akan mengadakan kenduri sebelum pergi ke mekah dan selepas pulang dari mekah langsung tak buat kenduri.

Sedangkan anjuran berkenduri dalam islam adalah kerana selamat dari bermusafir, barulah dibuat kenduri. Bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri.

Ini pula berkaitan puasa. Dalam bulan ramadhan yang wajib adalah puasa bukannya solat terawih. Sesetengah orang, puasa ditinggalkan tetapi terawih diutamakan. Sedangkan puasa adalah wajib dan terawih adalah sunat.

Ini memang amalan yang luar biasa terbalik.

Kerana apa?

Bila tidak hadir ke masjid berterawih, orang akan mengata. Bila tak puasa, orang tak mengata kerana orang hanya nampak dari segi luaran. Tetapi tidakkah kita sedar bahawa Allah itu Maha Melihat?

Tidak takutkah kita andai Allah mengata kita?

Kita sangat teruja untuk mengforwardkan mesej-mesej atau email dalam bentuk-bentuk gosip-gosip, tentang artis-artis kepada kawan-kawan.

Malah kebanyakan mesej-mesej tersebut adalah tidak benar dan hanya rekaan dan ini boleh menjatuhkan maruah orang lain. Tetapi kenapa susah untuk kita menyampaikan peringatan sebegini kepada mereka.

Anda rasa terbalik?

Betulkanlah.

Celoteh Dikala Puasa


Bismillah itu pembuka surah
Dengan nama Allah Yang Maha Rahmah
Wahai saudaraku kita ini lemah
Ayuh mari tingkatkan amal ibadah

Kehadirannya diserta akan cahaya
Memberi ketenangan tanpa tara
Raga yang duka menjadi sukacita
Jiwa yang kosong menjadi bernyawa

Niatkan puasa sepanjang Ramadhan
Bertadarus juga membaca al-Quran
Banyakkan ibadah tingkatkan amalan
Bersolatlah berjemaah eratkan perpaduan

Buah kurma hidangan pembuka
Bersama berbuka dikala senja
Wahai muslim dimanapun berada
Sambutlah Ramadhan dengan ceria

Makanan pedas silalah elakkan
Elakkan juga berbelanja berlebihan
Perbaiki hubungan sesama jiran
Banyakkan sedekah penuh keikhlasan

Satu tujuan terpatri di dada
Mengharap redha-Nya di akhir masa
Selamat datang bulan penuh rasa
Semoga lulus dengan predikat taqwa

Ya Allah Tuhan Yang Rahman
Teguhkan agamaku di dalam iman
Semoga berkatnya di bulan Ramadhan
Membuka hati kami penuh kesedaran

Ramadhan kini hadir didepan mata
Berkongsi renungan untuk semua
Mengubah benci menjadi cinta
Memberi hangat pada dingin jiwa

Akhir sekali marilah renungkan
Hidup di dunia tiada berkekalan
Ramadhan bulan penuh kemuliaan
Andai salah mohon diampunkan

Selamat Datang Ramadhan Bulan Barakah



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Segala puji bagi Allah kerana ana masih lagi mampu bernafas sehingga ke saat ini. Nikmatnya sentiasa ada walaupun diri ini sentiasa melakukan khilaf kepada-Nya. Selawat dan salam buat penghulu anbiya, Rasulullah s.a.w dan keluarga serta sahabat.

Yang sentiasa bertungkus-lumus menyebarkan risalah tauhid dan kebenaran. Semoga ana terus mencari dan membina kekuatan untuk meneruskan perjuangan itu insyaAllah.

Saat menulis entri ini adalah seusai kepulangan ana dari surau menunaikan solat terawih. Sebelum itu, salam ramadhan dan selamat berpuasa kepada semua muslimin dan muslimah di luar.

Semoga kita mampu menempuh bulan yang mulia ini dengan tabah, sabar dan penuh keikhlasan.

Alhamdulillah, bertemu lagi kita dengan ramadhan tahun ini dan insyaAllah dengan berbekalkan semangat dan niat yang suci kita laksanakan kewajipan ini dengan penuh tanggungjawab. Ayuh gunakanlah kesempatan Bulan ramadhan ini untuk kita memperbaiki kualiti diri.

Firman Allah :

"Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertaqwa," (Surah al-Baqarah ayat 183)

Menulis tentang rukun islam kedua ini, perkara pertama yang timbul dalam minda ana adalah tentang saat dan waktu ketika menyambutnya di madrasah lama dahulu. Ingin dikongsi sedikit.

Saat mentari ingin menyembunyikan dirinya, kami ikhwan dan akhawat muslimin dan muslimah al-Hidayah sesetengahnya menuju ke tapak untuk melihat anak bulan.

Ketika itu begitu ramai anggota dari balai cerap atau entah apa namanya sedang bersiap dengan bahan-bahan yang canggih untuk melihat anak bulan. Berdasarkan pengalaman ana selama 4 tahun sebagai warga al-Hidayah, tak silap hasilnya belum pernah lagi positif (tak pernah nampak anak bulan).

Semuanya atas kuasa Allah.

Sekiranya ingin lebih mudah, silalah rajin-rajinkan diri menonton televisyen untuk mengetahui lebih lanjut. Namun pastinya kepuasan itu tidak sama dengan melihat kehadiran anak bulan dengan mata sendiri.

Setelah agak kecewa (kerana tidak dapat melihat anak bulan), kami terus pulang ke surau. Maghrib pada petang itu penuh dengan kehadiran anggota-anggota dari balai cerap. Kemeriahan itu cukup dirasakan.

Dengan berimamkan salah seorang daripada anggota tersebut, kami berharap agar dapat menempuh ramadhan dengan cemerlang pada tahun tersebut.

Bermula dengan malam pertama terawih. Warga al-Hidayah tekun mengerjakan ibadah sunat itu. Maklumlah, tetamu yang jarang tiba iaitu setahun sekali. Peluang pahala dan barakah pada setiap solat terawih itu tidak mungkin disia-siakan.

Dengan berimamkan ustaz dan berbilalkan ikhwan yang bertugas mengikut jadual yang disediakan. Alhamdulillah, pembuka bilal pada malam pertama itu adalah ana sendiri.

Selawat kepada junjungan Rasulullah disambut dengan penuh tenaga.

Seusai solat terawih, kami akan bersama-sama bertadarus mengikut pasangan yang telah ditetapkan atau dipilih masing-masing. Untuk ana, ketika itu ana memilih adik yang lebih junior.

Jadi ana berpeluang untuk bertadarus bersama dengannya disamping menegur kesalahan dan mengajar sedikit sebanyak yang ana tahu. Sekiranya tidak pasti, ana akan sama ada merujuk kepada ustaz atau membuka risalah tajwid.

Itulah adatnya, ana mengajar dan masih lagi belajar.

Namun perkara utama yang ditekankan adalah untuk mengkhatamkan satu kitab al-Quran itu dalam tempoh bulan tersebut. Dengan sebab itu kami digalakkan untuk membaca sekurang-kurangnya satu juzuk setiap malam.

Sekiranya rajin, bolehlah khatam dua kali sebulan. Ketika itu, terasa sedikitnya amalan jika terkenangkan kisah imam Syafie yang mengkhatamkan al-Quran sebanyak 2 kali semalam.

Pada akhirnya nanti kami akan mengadakan majlis Khatamul Quran.

Agak melucukan tatkala tiba waktu bersahur. Ada ikhwan dan akhawat yang hanya termenung melihat juadah, makannya tidak. Mengantuk barangkali.

Begitu juga dengan saat berbuka juadah puasa. Kami ikhwan dan akhawat yang sudah dibahagikan mengikut kumpulan akan diberikan satu bekas (talam) yang besar berisi juadah berbuka untuk kumpulan masing-masing. Sunnah nabi kata ustaz.

Indahnya saat itu. Terasa sungguh rapat ukhuwwah sehinggakan sanggup menghabiskan sisa-sisa yang tidak mampu dihabiskan oleh teman-teman. Kata ustaz lagi, banyak kelebihannya ikut sunnah nabi. Juga setiap bahagian pada juadah itu terdapat barakah.

Siapa yang ingin mensia-siakannya?

Itu cerita dahulu.

Kini apabila hari terus berlalu, usia semakin meningkat dan ana telah meninggalkan madrasah itu. Namun hati masih berpaut dan ana masih lagi salah seorang daripada ribuan hasil didikan warga al-Hidayah.

Cumanya kini ana tidak dapat lagi merasakan suasana itu. Sekaligus rasa rindu akan suasana itu memuncak dalam diri. Namun itulah hakikatnya.

InsyaAllah, walau apapun ana doakan mudah-mudahan keluarga, kawan-kawan dan ummah sekalian akan mampu menempuh bulan yang penuh kemuliaan ini dengan ikhlas.

Semoga kita mampu untuk meningkatkan amal ibadah dari segi kuantiti dan kualiti. Berterusan bukan setakat pada bulan ini sahaja namun sehingga hari-hari seterusnya.

Penantian Satu Kerinduan

Azan maghrib yang berkumandang di masjid dan surau hari ini telah menandakan ketibaan bulan yang ditunggu-tunggu oleh sekalian ummah insyaAllah. Bermakna bermula lagi episod seterusnya dalam cerita kehidupan bergelar muslim.

Ceritera Ramadhan al-Mubarak.

Lantas diri ini tertanya-tanya, adakah mampu untuk membuat yang terbaik dalam episod kali ini? Ya Allah berilah daku kekuatan.

Seminggu sebelumnya adalah hari-hari yang penuh dengan kerinduan. Walaupun kepala sedang masak diisi dengan segala macam fakta-fakta yang dihafal untuk ujian namun hati sentiasa berdebar-debar ingin menerima tetamu yang julung kali hadir. Setahun sekali pastinya.

Sudah setahun lamanya berpisah. Kala itu terasa seolah-olah dipermainkan oleh masa dan waktu. Penantian selama seminggu turut ditambah dengan segunung harapan supaya sempat untuk bertemu kerana nyawa sentiasa dipegang oleh Yang Maha Kuasa. Namun kini akhirnya diberi kesempatan bertemu.

Syukur sebanyak-banyaknya kepada Allah s.w.t.

Alangkah indah aturan dan perancangan-Nya.

Kehadirannya membawa sejuta rahmat dan barakah. Turut disertai dengan selautan sakinah. Cahaya ibadah pasti bersinar siang dan malam. Saat dimana setiap denyutan nadi untuk mengabdikan diri hidup subur.

Saat manusia berlumba-lumba mengejar kebaikan dan cinta dari kekasih yang agung. Tasbih dan zikir jadi acuan.

Wahai Allah, izinkan aku melangkah ke madrasah agung-Mu dengan hati yang penuh dengan cinta dan rindu.

Berilah kepadaku kekuatan dan kemampuan untuk memperbaiki diri serta melakukan yang terbaik dalam episod ramadhan kali ini ...

dan hari-hari seterusnya ...


Mencabar Kemampuan Diri



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Seseorang manusia yang melakarkan sejarah umumnya adalah manusia yang melakukan sesuatu perkara yang berada di luar dimensi pemikiran manusia-manusia lain. Apatah lagi hendak dikatakan sekiranya dia adalah insan biasa.

Tidak dikenali dan tidak ingin dikenali.

Dia, insan biasa yang melakukan perkara luar biasa.

Namun kadang-kadang, apabila seseorang terperangkap dengan realiti dan hakikat yang sedang melanda dirinya, dia lantas mudah berputus asa.

Dengan mudah melupakan perkara-perkara besar yang ingin dilakukannya. Dan apabila ini sudah berlaku, memang sukar untuknya melakukan perubahan.

Perubahan memerlukan ketinggian nilai pengetahuan yang seterusnya mampu mencetuskan kemampuan untuk melakukannya.

Seperti yang telah diajarkan kepada ana sewaktu mengikuti program-program kepimpinan dan lain-lain program ilmiah yang dianjurkan, ia memerlukan wawasan yang jauh, kemampuan untuk merealisasikan wawasan itu dalam kehidupan yang nyata, keberanian untuk mempertaruhkan untung dan nasib dan akhirnya tidak boleh lari daripada satu perkara yang sangat penting.

Berserah segalanya kepada Allah.

Kita mengharap yang terbaik dari-Nya dan sentiasa redha dengan apa sahaja ketentuan. Yang baik mahupun sebaliknya. Tawakkal.

Antara syukur dan redha.

Menyingkap Tirai : Mu'awiyah bin Abi Sufyan

Ingin sekali ana berkongsi di sini akan peribadi seorang tokoh islam dahulukala. Seorang pengasas kepada kerajaan Bani Umayyah. Beliau lewat memeluk islam namun meninggalkan warisan kejayaan yang cukup besar dalam sirah.

Beliau melakukan perkara yang luar biasa.

Beliau mengasaskan kerajaan Bani Umayyah yang mampu bertahan selama 91 tahun. Sekiranya melihat kepada sejarah, mungkin ramai kalangan pembaca lebih mengkagumi kehebatan pada zaman Abbasiyyah terutama sekali apabila kota Baghdad menjadi ibu negara khilafah islam.

Namun penyingkapan tirai terhadap Mu'awiyah bin Abi Sufyan ini telah menimbulkan sedikit sebanyak kekaguman ana terhadap kerajaan Abbasiyyah terutama terhadap Mu'awiyah itu sendiri.

Sekadar pendapat dari logik, mana mungkin sesuatu tamadun itu muncul sebagai satu tamadun yang hebat sekiranya permulaan untuk tamadun itu tidak menunjukkan bahawa tamadun itu kuat dan hebat.

Dari zaman Rasulullah, kepada Bani Umayyah dan akhirnya kepada Bani Abbasiyyah dan seterusnya, islam mula dinukilkan dalam sejarah sebagai tamadun dunia yang hebat.

Bani Umayyah berjaya membuka sebahagian India, sebahagian negara besar China dan melakukan serangan pertama keatas kota Konstantinopel. Juga menyeberangi Perancis dan negara lain di Eropah, membuka dan mengasaskan kerajaan Andalus yang mampu bertahan selama 8 kurun dan lain-lain lagi yang tercatat dalam sejarah.

Cadangan Yang Luar Biasa

Pada zaman Khalifah Umar al-Khattab, Mu'awiyah dengan berani dan yakin mencadangkan penubuhan tentera laut islam. Ini cadangan yang ganjil kerana bangsa Arab yang mahir dengan selok belok di padang pasir tidak pernah terfikir untuk menyeberang lautan.

Apabila cadangannya ditolak, beliau mencadangkan pula untuk kali kedua pada zaman Khalifah Usman bin Affan.

Apabila diterima idea yang ganjil dan berani ini, umat islam berjaya menyeberangi laut Mediterranian yang cabarannya sudah tentu berbeza dengan cabaran di padang pasir yang panas.

Kapal perang pertama yang dilancarkan pada zaman pemerintahan Khalifah Usman dikembangkan lagi pada zamannya. Beliau mempunyai hasrat dan wawasan untuk membuka Konstantinopel, sebuah bandar yang sekadar menjadi khayalan umat pada ketika itu.

Menyebutnya sahaja sudah cukup untuk melemahkan semangat.

Namun keyakinan terhadap janji Rasulullah s.a.w menjadi penguat.

Mu'awiyah seterusnya mencabar dirinya dan diri umat islam sekaliannya sehingga mereka mampu memiliki sebanyak 1700 buah kapal perang dan melayakkan mereka untuk melakukan serangan pertama keatas kota Konstantinopel.

Renung Pada Hakikat

Tidaklah kejayaan Sultan Muhammad al-Fateh dan tenteranya pada suatu ketika dahulu membuka Konstantinopel mewarisi semangat Mu'awiyah pada hari pertama beliau bersama tenteranya melakukan serangan pertama keatas kota tersebut.

Lalu mari kita bertanya pada diri.

Pernahkah kemampuan diri kita, sebagai pendakwah pada hari ini dicabar dengan cabaran seumpamanya?

Allahu'alam.


Demi Masa : Benarlah Kita Dalam Kerugian



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Segala puji bagi Allah. Di atas segala nikmat yang tidak dapat dihitung dengan jari-jemari. Semoga diri ini akan terus mampu mengungkapkan kata syukur atas segala yang dinikmati.

Selawat dan salam buat penghulu sekalian nabi, Muhammad s.a.w juga keluarga dan sahabat. Semoga kita semua sentiasa berada dalam iman yang mantap. InsyaAllah.

Bercerita tentang masa.

Masa itu disifatkan sebagai sesuatu yang sangat penting dan berharga. Ada yang mengatakan bahawa masa itu emas. Ada juga yang kata masa itu ibarat wang.

Pelbagai takrifan tentang masa..

Namun apa yang penting, masa itu milik Allah dan pastinya bukan milik kita. Dalam hal ini saya teringat akan kata-kata guru saya ketika di sekolah dahulu, yang mana beliau kata :

"masa itu emas, emas itu kuning dan kuning itu tahi"

Alamak ("^__^") Jadi mungkin sebab itulah saya kurang menerima bahawa masa itu emas. Sedangkan emas juga boleh habis. Oleh itu, Saya pasti, bahawa masa itu lebih berharga dari emas.

Apa-apa pun, mudah kiranya jika saya mengatakan yang saya lebih senang menerima kata-kata seorang pujangga arab :

" ... masa itu ibarat pedang. Jika kamu tidak memotongnya, nescaya ia akan memotong kamu ... "

Kita Hari Ini

Melihat kepada hakikat hari ini, masih ramai yang membazir masa dan tidak menggunakan masa dengan sebaiknya. Kita buang, dan kita biarkan masa berlalu begitu sahaja.

Kita, mesti menjadi orang yang bijak menggunakan masa.

" ... rebutlah 5 masa sebelum datangnya 5 masa yang lebih mencabar. Masa mudamu sebelum datang masa tuamu. Masa sihatmu sebelum datang masa sakitmu. Masa senangmu sebelum datang masa susahmu. Masa hidupmu sebelum datang masa masa matimu dan masa lapangmu sebelum tiba masa sempitmu ... "

Kata-kata itu, seolah-olah pemandu bagi kita.

Jadi gunalah sebaiknya garis panduan yang diberikan sebagai penyuluh hidup kita untuk mementingkan kepentingan masa. Sungguh, ia adalah satu nikmat yang sangat berharga yang Allah kurniakan kepada kita.

Nikmat itu nanti, akan ditanya semula kepada kita, sebagaimana melalui hadis yang telah diriwayatkan oleh Tarmizi, Tabrani dan ibnu Asakir yang bermaksud :

" ... tidak akan tergelincir 2 kaki anak adam melainkan dia ditanya dengan 5 soalan iaitu umurnya kemana dia habiskan, masa muda bagaimana digunakan, hartanya dari mana diperoleh dan kemana pula dibelanjakan serta tentang ilmunya adakah diamalkan ... "

Demi masa : Manusia selalu lupa

1 hari = 24 jam
1 tahun = 12 bulan
52 minggu
365 hari
8760 jam
525600 minit
31536000 saat

Purata umur kebanyakan manusia yang meninggal dunia adalah 65 tahun (menurut kajian geografi). Baligh pula adalah umur dimana seseorang manusia akan mula diperhitungkan segala amal baik dan amal buruknya selama hidup di dunia.

Lelaki baligh = lebih kurang umur 15 tahun
Perempuan baligh = lebih kurang umur 12 tahun
Purata usia yang kita ada untuk beribadah kepada-Nya : Mati - baligh = 65 - 15 = 50 tahun
Apa yang kita lakukan selama 50 tahun itu?

Catatan :

50 tahun = 18250 hari
18250 hari = 458000 jam
458000 jam.
12 jam siang hari
12 jam malam hari
24 jam sehari semalam

Gambaran kasar :

Waktu kita tidur = lebih kurang 8 jam sehari
Dalam 50 tahun, waktu yang kita habiskan hanya untuk tidur adalah :
18250 hari x 8 jam = 146000 jam = 16 tahun 7 bulan =17 tahun
Logik : Alangkah sayangnya waktu 17 tahun digunakan hanya untuk tidur? Padahal nanti kita akan pasti tertidur di dunia selama-lamanya.

Waktu aktiviti di siang hari = lebih kurang 12 jam
Dalam 50 tahun waktu yang dihabiskan untuk aktiviti siang :
18250 x 12 jam = 219000 jam = 25 tahun
Aktiviti di siang hari = Ada yang bekerja, bercinta, belajar dan mengajar, sekolah atau kuliah, ada yang makan sambil jalan-jalan dan banyak lagi.

Waktu rehat = lebih kurang 4 jam
Dalam 50 tahun waktu yang digunakan untuk berehat :
18250 x 4 jam = 73000 jam = 8 tahun
Aktiviti rehat : Menonton televisyen dan mungkin dihabiskan dalam buai tenung di alam khayalan.

Kesimpulan :
17 tahun + 25 tahun + 8 tahun = 50 tahun

Lalu bila kita nak beribadah?

Allah berfirman yang bermaksud :

" ... tidak Kuciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu ... "

Ini yang kita perlu selalu ingat.

Maut datang menjemput tak pernah bersahut
Malaikat datang menuntut untuk merenggut
Manusia tak berkuasa untuk berkata-kata

Allah maha kuasa atas syurga atau neraka
Terimalah habuan kita seadanya
Lakukanlah semuanya kerana Allah

Berapa banyak solat kita dalam 50 tahun?
1 solat = lebih kurang 10 minit
5 solat = 5 x 10 = lebih kurang 1 jam
Dalam waktu yang terpakai selama 50 tahun untuk solat :
18250 hari x 1 jam = 18250 jam = 2 tahun

Kesimpulan :

Waktu yang kita manfaatkan dalam 50 tahun untuk solat hanyalah 2 tahun (ini kalau solat itu dilakukan selama 10 minit untuk satu solat. Kalau solat bagai singa kelaparan bagaimana?). 2 tahun daripada 50 tahun kesempatan kita. Sungguh, itupun belum pasti solat kita diterima-Nya

Semoga Allah beri kita kekuatan untuk ikhlas kepada-Nya.

Renung Sejenak

Berbanding dengan ini : Dalam percakapan kita yang selalu berdusta. Baik yang sengaja ataupun tidak. Dalam pertuturan kita yang sering mengguris orang tua kita. Dalam harta kekayaan kita yang selalu kedekut terhadap orang faqir. Dalam setiap perbuatan kita yang selalu bergelumang dosa.

Terlalu banyak masa yang terbuang percuma selama manusia hidup di dunia dan semuanya itu akan menjadi bencana.

Penutup : Mari Muhasabah Diri

Tiada kata terlambat walau waktu berlalu cepat. Isilah ia dengan sesuatu yang bermanfaat. Ingat negeri destinasi kita. Negeri akhirat.

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh ; dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran,"

Bukanlah satu paksaan untuk disebarluaskan. Saling mengingatkan bersama bukanlah hal binasa. Marilah sama-sama muhasabah diri.

Tepuk dada tanya iman.

Ayuh Curahkan Cinta Kepada Pencipta


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Pertamanya, Syukur kehadrat Allah yang memberi ruang dan kekuatan untuk kita terus berdiri. Menegakkan panji Islam terutama dalam diri.

Semoga seterusnya terus tegak dan tertegak pula di sekitar diri dan keluarga, ummah sekaliannya. Selawat serta salam buat Rasulullah, imam kami, keluarga dan sahabat baginda.

Ada apa dengan cinta?

" ... ya Allah, kurniakan aku cinta-Mu. Cinta orang yang mencintai-Mu serta amalan-amalan yang membawa aku keada cinta-Mu ... "

Andai benar ingin memperoleh cinta sejati untuk diri, maka tautkanlah cinta kepada Allah. Pastinya, sebaik-baik teman hidup akan Allah kurniakan kepada kita.

Jujurnya, bukanlah kepakaran saya untuk berbicara tentang cinta, apatah lagi cinta manusia. Namun itulah satu fitrah yang sudah ditulis oleh Allah dalam kamus kehidupan manusia.

Setiap jiwa pasti akan bercinta.

Seringkali kita mendengar kisah tentang cinta. Suka duka. Duka dan suka. Ada juga yang menyalahgunakan cinta. Tafsirannya untuk itu jauh dari yang asalnya.

Dan ada pula yang menggunakan cinta untuk menggapai sebuah cinta yang merupakan setinggi-tinggi nilai kasih.

Cinta Yang Maha Mencipta.

Apa salahnya dengan cinta. Kerana dengan cintalah manusia akan memberi komitmen terhadap keluarga yang akan dibentuk. Melahirkan zuriat yang menjadi penyejuk sepasang hati dan seterusnya membesar menjadi permata dan pembela buat agama.

Andai sudah jernih dan bersinarnya cinta antara kita, pasti tidak akan terasa kepayahan mengharungi segala jerih-perih kehidupan bersama. Ini jelas, semuanya kerana cinta.

Namun biarlah kita tinggalkan sebentar cinta ini. Kerana cinta yang satu ini masih lagi belum selesai. Tanpa cinta yang satu ini, tiadalah perasaan melakukannya kerana Dia. Jadi, ayuh.

Curahkanlah cinta kepada Pencipta.

Terasa Jauh Dari Landasan Itu

Pernah lebih kurang berminggu saya terasa jauh. Terasa hilang akan sesuatu. Seakan-akan ditinggalkan. Atau adakah saya yang meninggalkan? Astagfirullah. Ampuni aku ya Allah.

Saya sedar, tandanya ada yang sedang merindu malah sentiasa rindu dan menanti dari satu tempat. Dari satu daerah.

Saya mesti membawa hati saya semula kepada-Nya.

Dari mana kita datang, ke situ juga kita akan dikembalikan. Bayangkan kita berada di sesuatu kawasan yang sangat jauh dari tempat asal kita dan kita terasa sangat asing. Kita mula berkenalan dengan seseorang yang tidak dikenali.

Lama kelamaan kita dapat tahu bahawa dia yang kita kenali itu adalah sekampung dengan kita. Dalam keadaan kita berjauhan kita mula berasa gembira kerana ada juga insan yang sama asal dengan kita di sana.

Begitulah. Jika sudah asal kita dari Allah, pasti jiwa dan ruh kita akan terasa senang dan tenang jika kita kembali kembali kepada-Nya.

Sekiranya terasa jiwa dan hati itu jauh melayang entah ke mana, bawalah ia kembali kepada-Nya. Janganlah menyeksa dan rasa terseksa. Bawalah kembali ke tempat asal.

Hanya dengan mengingati Allah jiwa akan tenang. Itu janji Allah pada muslim dan mukmin sekaliannya. Begitu jugalah saya ingin mengingatkan diri. Semoga resah berganti tenteram. InsyaAllah.

Dalam entri sebelum ini, iaitu Pengalaman Mengajar Erti Tanggungjawab, saya ada menyebut tentang penitikberatan kepada agama yang perlu kita dahulukan sebelum datang yang lain-lain. Justeru, biarlah cinta yang satu ini kita dahulukan sebelum cinta yang satu lagi.

Cinta yang akan kekal abadi atau cinta yang akan mati.

Mana yang kita akan pilih?

Ikhlaslah dengan Allah dan peliharalah hubungan dengan-Nya melalui cinta yang pertama kerana pasti akan mempengaruhi kesan cinta yang kedua.

Erti hidup memanglah pada memberi, namun apakah adil andainya sudah banyak yang kita beri namun diri kita tidak lebih dicintai-Nya?

Moga-moga kita mampu mendekati landasan itu.

Cintailah Ilahi

" ... rasa cinta adalah satu anugerah Tuhan. Pada hambanya. Dan kerananya manusia sanggup apa sahaja. Asalkan dia memiliki apa yang dicita. Kerana cinta, kita sanggup berkorban apa sahaja. Harta dan nyawa. Jika engkau mencintai bunga, sedarlah engkau bunga itu akan layu. Jika engkau cintakan manusia, sedarlah satu hari dia akan pergi. Jika engkau mencintai harta, harta itu nanti kau akan tinggalkan. Jika engkau cintakan Ilahi, hanya Dia yang akan kekal abadi. Cintailah Ilahi ... "

Wo Ai Ni Allah




Koleksi novel buat pembakar jiwa bertambah. Alhamdulillah. Sekarang sedang membaca sebuah novel (Promosi sedikit bagi yang belum membaca). Wo Ai Ni Allah. Semoga saya dapat sesuatu yang berharga melalui buku ini.

Semoga benar-benar ana dapat mencintai-Nya. SubhanAllah, saya bukanlah seperti Rabiatul Adawiyah mahupun Sumayyah, Zaid bin Harithah dan ramai lagi insan-insan yang mencurahkan segala rindu dan dendam serta kehangatan cinta kepada Allah.

Namun saya pasti ramai antara kita yang pernah merasa akan belaian lembut dari Allah saat kita terasa sangat haus dan dahaga dengan cintanya. Saya rindu, dan mahukan belaian itu.

Hati yang sedang haus dan gersang dengan panasnya nafsu dan godaan, ditambah lagi dengan pekatnya dosa selama ini, Dia jiruskan dengan air dingin yang mampu menghambat segala ruang, tidakkah itu nikmat?

Semoga kita terus berusaha dan memohon kekuatan untuk memperoleh cinta dan kasih-Nya. Sentiasa istiqamah dalam ibadah kepadanya dan sentiasa ingat akan-Nya setiap detik dan waktu.

Mari, sentiasalah ikhlaskan niat dan tingkatkan amalan.

Dan semoga kita mampu curahkan cinta pada Pencipta.

Tokoh : Pembukaan Konstantinopel



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Segala pujian bagi Allah kerana mengurniakan nikmat iman dan nikmat islam. Tuhan yang maha menciptakan segala yang ada dilangit dan dibumi dengan bijaksana. Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Dia.

Selawat dan salam buat Rasulullah dan keluarga serta para sahabat yang memperjuangkan Islam dan mengajar erti ketabahan.

Ketika menggali perit dalam perang kandak, Rasulullah bersabda :

"Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera ... " (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Ramai umat Islam yang berlumba-lumba dalam membebaskan Konstantinopel untuk mendapatkan penghormatan yang dikatakan oleh nabi melalui hadis tersebut.

Walaubagaimanapun, kesemua kempen yang dijalankan menemui kegagalan. Antaranya, lima kempen pada zaman kerajaan Umayyah, satu kempen pada zaman pemerintahan kerajaan Abbasiyyah dan dua lagi kempen pada pemerintahan Uthmaniah.

Dalam sebuah kempen pada zaman pemerintahan kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar nabi iaitu Abu Ayyub al-Ansary telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu kota konstantinopel atas wasiatnya sendiri.

Apabila ditanya mengapa beliau ingin dimakamkan di situ, beliau menjawab :

" ... kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan konstantinopel ... "

Teguhnya iman seorang sahabat besar nabi.

Hadis nabi s.a.w ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh khalifah ketujuh kerajaan Uthmaniah bersama-sama 150 000 orang tenteranya.

Sultan Muhammad al-Fatih.

Pengenalan

Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 masihi di Adrianapolis (sempadan Turki - Bulgaria). Sejarah hidup baginda sebenarnya telah tertulis dan bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai 'sebaik-baik raja' dalam hadis tadi.

Juga digelar al-Fatih atas kejayaannya membuka kota Konstantinopel.

Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 - 1481). Baginda merupakan seorang negarawan yang ulung dan panglima tentera yang agung yang memimpin sendiri 25 kempen perang.

Baginda mangkat pada tahun 1481 kerana penyakit gout. Terdapat ahli sejarah yang berpendapat baginda mangkat kerana diracun.

Pendidikan

Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin al-Wali yang dikatakan dari keturunan Saidina Abu Bakar as-Siddiq. Dalam ilmu peperangan pula, baginda diajar tentang teknik peperangan, menunggang kuda dan memanah oleh panglima-panglima tentera.

Dalam bidang akademik pula, beliau merupakan seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam tujuh bahasa iaitu bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew.

Dalam ilmu pemerintahan, ayah baginda, Sultan Murad 2 dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk di Pulau Magnesia, telah melantik baginda yang baru sahaja berumur 12 tahun untuk memangku jawatan khalifah.

Dalam usia semuda ini, baginda sudah mampu menangani helah musuh.

Keperibadian

Sentiasa bersifat tawadhu' dan rendah diri. Semasa membina benteng Rumeli Hissari, baginda membuka baju dan serbannya serta turut sama mengangkat batu-batu dan pasir sehingga para ulama' juga ikut serta.

Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulama' dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.

Persiapan Membebaskan Konstantinopel




Selama 2 tahun selepass menaiki takhta, baginda mengkaji pelan kota Konstantinopel setiap malam bagi mengenal pasti segala kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan terdahulu serta berbincag dengan panglima-panglima perangnya tentang strategi-strategi yang sesuai digunakan.

Baginda memerintahkan agar dibina peralatan-peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300 kg sejauh satu batu.

Benteng Rummeli Hissari dibina di tebing sebelah eropah, lebih kurang lima batu dari kota Konstantinopel di mana selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu.

Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi selat Bosphorus. Perjajjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hunggary untuk memencilkan Konstantinopel apabila diserang nanti.

Baginda membawa bersama para ulama' dan pemotivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri kubu kota Konstantinopel, baginda mengarahkan agar dilaungkan azan dan didirikan solat secara berjemaah.

Tentera Byzantine gentar melihat 150 000 orang tentera Islam bersolat dibelakan pemimpin mereka dengan membunyikan suara takbir memecah kesunyian alam.

Serangan Ke Atas Konstantinopel

Setelah segala persiapan lengkap diatur, baginda menghantar utusan kepada raja Byzantine meminta supaya beliau menyerah. Keengganan menyebabkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan.

Kota tersebut dihujani peluru meriam selama 48 hari. Sesetengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih lagi kukuh.

Seterusnya baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi daripada kubu kota Byzantine dengan memuatkan ratusan orang tentera. Tentera Byzantine berjaya memusnahkan menara tersebut setelah menara itu menebusi kawasan tengah kubu mereka.

Seterusnya, pope vatican di rome menghantar lima buah armada yang dipenuhi dengan armada dan tentera. Perairan teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada tentera Uthmaniah. Keadaan ini telah menaikkan semula semangat tentera Byzantine.

Perang Berterusan

Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya mereka dikejutkan dengan 72 buah kapal perang Uthmaniah di perairan teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan baginda mengarahkan supaya mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian dilancarkan semula ke perairan teluk Golden Horn.

Taktik ini diakui sebagai antara taktik peperangan yang terbaik di dunia oleh para sejarawan barat sendiri. kapal-kapal itu kemudiannya membedil belakang kubu kota.

Kapal-kapal perang Byzantine habis terbakar kerana bedilan dari meriam tentera Uthmaniah. Justeru, pertahanan tentera Byzantine semakin lemah.

Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberi semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada hadis Rasulullah dan bersama-sama berdoa kepada Allah.

Keesokan paginya, tentera Uthmaniah mencuba untuk memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit dari tentera Byzantine menyebabkan ramai yang gugur syahid. Baginda mengarahkan tentera baginda berundur dan tembakan meriam diteruskan sehingga tengahari.

Karisma Seorang Pemimpin

Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera baginda sultan. Pada saat yang genting ini, baginda berucap untuk menaikkan semangat tenteranya :

" ... wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku ...! "

Mendengarkan itu, Hasan Ulubate yang merupakan salah seorang tentera baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 orang tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh dan memacakkan bendera Islam di situ. Mereka semuanya gugur syahid setelah dihujani panah-panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan tentera Byzantine sambil melaungkan kalimah takbir sekuatnya.

Penawanan Konstantinopel

Pada 29 Mei 1453, kota Konstantinopel jatuh ketangan tentera Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam secara keseluruhan). Gereja besar st. sophies ditukarkan kepada masjid Aya Sofiya.

Lantas, baginda dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah baginda diberikan gelaran " al-Fatih " yang menang kerana kejayaannya membuka kota Konstantinopel.

Itulah yang dimaksudkan Rasulullah dalam hadis baginda.

Sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera.