Selamat Datang Syawal Bulan Kemenangan



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Selama-lamanya pujian bagi Allah Tuhan sekalian alam. Yang memberikan kita nikmat dan melimpahkan kepada kita rahmat-Nya. Selawat juga salam diucapkan buat Rasulullah, keluarga baginda dan juga para sahabat yang setia.

Semoga kita sentiasa diberi kekuatan untuk terus merempuh onak dan cabaran merebut redha-Nya insyaAllah.

Alhamdulillah. Bulan Syawal telah tiba.

Ketibaan yang penuh dengan cahaya yang gilang-gemilang. Ramadhan kian pergi lama dan mudah-mudahan segala amalan dan ibadah yang kita lakukan sepanjang bulan barakah itu diterima oleh Allah s.w.t.

Semoga madrasah ramadhan mampu mendisiplinkan kita dari segenap segi dan harapnya kekuatan dan kelazatan menunaikan ibadah kala ramadhan itu mampu kita teruskan untuk hari-hari dan bulan-bulan yang seterusnya insyaAllah.

Ayuh, istiqamahlah!

Saat ini seusai solat Isya'. Azan maghrib tadi menandakan bulan Syawal telahpun tiba. Ketika ini ana pasti, ada insan yang tengah bergembira dan tidak lupa ada juga yang berduka.

Namun apa yang penting, sesungguhnya segala yang telah dan akan berlaku adalah dibawah aturan dan pengawalan Allah s.w.t yang sudah pasti merupakan satu perancangan yang Maha Hebat. Jadi, la tahzan! (jangan bersedih!). Bergembiralah dan bersyukurlah.

Salam aidilfitri 1430H


Dalam rahmat bulan mulia
Terhampar hikmah kurniaan Yang Esa
Bersama kita meraikannya
Dalam keinsafan dan ketaqwaan
Mengharap bahagia selamanya

Ana menghimpun sepuluh jari
Memohon kemaafan atas dosa selama ini
Andai terguris rasa di hati
Bersamalah kita saling memaafi
Moga hidup ini terus diberkati
Maaf zahir dan batin




Segala puji bagi Allah, masjid-masjid dan surau-surau di kala maghrib dan isya' tadi dimakmurkan oleh sekalian insan-insan yang membawa segunung rasa kesyukuran atas kehadiran bulan Syawal.

Allahu Akbar. Wa lillahil hamd.

Pada kesempatan ini, ana dan seluruh keluarga ingin mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri kepada semua pengunjung kebun Satu Persepsi.

Tidak lupa juga kepada semua rakan-rakan seiman dan seukhwah yang menjalinkan ikatan persaudaraan di atas panji la ila ha illallah. Semoga ukhwah sentiasa berkekalan insyaAllah.

Juga ana ingin memohon maaf atas segala perbuatan yang sengaja atau tidak disengaja, segala perkataan yang tidak manis didengar dek telinga, dan segala-galanya yang tersurat didepan mata ataupun tersirat.

Halalkanlah segala makan dan minum yang dikongsi bersama selama ini. Semoga kita menyambut syawal kali ini dalam keadaan kita yang benar-benar telah menang.

Semoga Allah menerima segala amalan kita sepanjang sebulan Ramadhan kali ini dengan sebaik-baik ganjaran. Harapan kita mudah-mudahan kita mampu untuk bertemu dengan Ramadhan yang seterusnya, insyaAllah.

Sempena Aidilfitri yang menjelang ini, ana ingin berpesan kepada semua sahabat handai supaya janganlah kita membazir. Sesungguhnya membazir itu adalah amalan syaitan. Juga janganlah kita mendekatkan diri kepada perkara-perkara yang memudaratkan diri terutama dalam konteks syawal ini, kegiatan bermain mercun.

Andai sampai memudaratkan diri, sungguh, amalan tersebut adalah haram disisi Allah. Bertaubatlah.

Akhir kalam, semoga keberadaan kita pada syawal kali ini adalah kita yang benar-benar telah pulang kepada fitrah kita yang suci. Amin ya rabbal 'alamin. Selamat berhari raya!

Separuh Masa Ketiga Piala Ramadhan



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Segala puji bagi Allah Azza wa jalla atas segala nikmat kurnia. Tiada yang layak disembah malainkan Dia yang Maha Kuasa. Selawat dan salam keatas rasul junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dan keluarga serta para sahabat.

Salam Ramadhan Karim.

Alhamdulillah. Akhirnya terbuka hati dan tergerak sendi-sendi untuk menulis setelah sekian lama tangan berhenti menaip.

Ketika ini tirai Ramadhan telahpun sampai ke separuh masa ketiga. Bermaksud hanya 10 hari lagi Ramadhan bakal melabuhkan tirainya dan bermakna hanya tinggal 10 hari lagi untuk kita menikmati pertemuan indah bersama bulan yang mulia.

Sungguh terasa nikmat ramadhan yang ingin ditarik oleh Allah.

Awalnya barakah, pertengahannya maghfirah dan akhirnya pembebasan dari api neraka. Itulah bait-bait yang sering didengar yang bagi ana adalah sebagai agen yang mampu membuatkan sendi dan tulang ini bergerak melakukan ibadah dalam bulan tersebut.

Yang istiqamah itu alhamdulillah, yang tidak itu subhanAllah, parah.

Jadi ayuh, mari kita renungi hari-hari yang kita lalui bersama dengan ramadhan karim. Adakah kita berasa cukup dan puas hati dengan apa-apa yang telah kita lakukan?

Sekiranya puas hati, alhamdulillah dan mohonlah kepada Allah agar diterima akan segala-galanya. Namun sekiranya tidak, sungguh kita telah membuang dan melepaskan begitu sahaja peluang emas yang dikurniakan secara percuma kepada kita.

Maka untuk itu jangan buang masa, gunakanlah peluang 10 yang berbaki ini untuk kita menagih piala ramadhan yang pastinya lebih bermakna dan indah daripada gambar hiasan di atas.

InsyaAllah, keampunan dan justeru pelepasan dari api neraka.

Andai 20 hari yang lepas kita masih belum lagi menggunakan gear penuh, gunakanlah peluang yang berbaki ini untuk kita melancarkan gear R. Bukanlah gear reverse tetapi gear racing, insyaAllah.

Bersedialah untuk memainkan peranan masing-masing sebagai orang-orang bertuah yang dikurniakan peluang dan sudah tiba masa untuk mengorak langkah. Terutamanya berusahalah mencari lailatul-qadr. InsyaAllah kita masih belum terlambat dan dikurniakan oleh Allah.


Teruslah Mencari malam al-Qadr


Suasana 10 terakhir

Ini bukan perkara baru, tetapi benda yang berlaku sejak dahulu. Seolah-olah sudah menjadi adat sehingga sampai terikut-ikut oleh kebanyakan daripada kita pada hari ini.

Lagu-lagu indah eidul fitri semakin kedengaran di corong-corong radio dan juga televisyen. Kita semakin sibuk dengan urusan menyambut "hari kemenangan" setelah sebulan berpuasa.

Awal Ramadhan dahulu ana kira sangat seronok dan gembira tatkala melihat masjid-masjid dan surau-surau penuh dengan bilangan insan yang ingin mengerjakan ibadah-ibadah.

Namun kini ana kira masih juga seronok kerana masih ada yang ingin daripada kosong dan lengang walaupun ada sedikit rasa sedih di hati. Tidak perlu pergi jauh, kita lihat sahaja pada sahabat kita, sang terawih.

Ingat lagi ana akan khutbah jumaat yang pertama bulan Ramadhan di masjid Luak yang disampaikan oleh Ustaz Nassru. Ketika itu, ramadhan telahpun berlalu lebih kurang 6-7 hari.

Masjid-masjid dan surau ketika terawih kata beliau mula menunjukkan penurunan dari segi bilangan makmum. Bilangan rakaat sama ada 8 ataupun 20 bukanlah persoalannya, tetapi sebenarnya semangat ramadhan itu yang menjadi kayu ukurnya.

Semangat hanya pada awalnya.

Sekarang, di mana semangat itu.

Itu baru suasana 10 awal ramadhan. Apatah lagi hari-hari seterusnya.

Alangkah indahnya andai kita menyambut "hari kemenangan" itu dalam keadaan kita benar-benar telah menang. Atau sekurang-kurangnya kita telah berusaha benar-benar untuk menang.

Berusahalah untuk merebut piala ramadhan itu. Jangan biarkan piala itu diambil oleh pesaing kuat kita. Benar sang syaitan "diikat", namun jangan lupa akan musuh yang menunjukkan kesombongannya untuk patuh kepada Allah saat kita dijadikan.

Terpaksa pula dibakar dengan api neraka sebanyak tiga kali barulah mengaku Allah itu Tuhannya. Waspadalah, nafsu masih ada. Jangan biarkan dia mendapat hasil yang kita telah bersusah-payah selama sebulan untuk menagihnya.

Madrasah Ramadhan

Ramadhan bagaikan satu madrasah untuk kita mendisiplinkan diri. Bukan sahaja disiplin dari segi tingkah laku, namun juga dari segi penunaian ibadah, pergaulan, akhlak dan banyak lagi yang mampu untuk kita disiplinkan.

Harapnya kita akan keluar dari madrasah ramadhan ini dengan satu bentuk disiplin yang kuat. Semoga kita akan dapat berdisiplin dalam ibadah, disiplin terhadap akhlak juga pergaulan kita sesama manusia dan paling penting, semoga kita mampu untuk mendisiplinkan diri kita dihadapan Allah s.w.t.

Apakah kita berupaya untuk merebut piala ramadhan pada musim akan datang? Hanya Allah yang mampu untuk memberikan jawapannya.

Apa yang kita mampu lakukan adalah terus dan terus mengharap pada-Nya. 10 yang awal sudahpun berlalu, jadi sejarah. 10 pertengahannya juga sudah berlalu. Kini yang tinggal adalah 10 terakhir yang berbaki.

"Jibril datang kepadaku dan berkata, wahai Muhammad, barangsiapa yang menjumpai bulan ramadhan namun setelah bulan itu habis dan dia tidak mendapat ampunan, maka jika ia mati masuk neraka. Semoga Allah menjauhkannya. Katakanlah : amin! Aku pun mengatakan : amin! (hadis riwayat ibnu khuzaimah dan ibnu hibban dalam sahihnya)

Sanggupkah kita melepaskannya?

Biarkannya terbang begitu sahaja tanpa usaha?