Masih Ingatkah Kita?



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Didedikasikan terutama buat diri saya, dan kalian semua, yang mudah hanyut dalam dunia yang penuh mehnah dan noda. Ayuh, mari bersama saya menyingkap dan menyelami tirai sirah seorang insan mulia.

Dari luar pintu terdengar bunyi ketukan dan suara salam.

"Bolehkah saya masuk?" tanya yang empunya badan.

"Maafkanlah, ayahku sedang sakit." jawab Fatimah yang segera memalingkan badan dan menutup pintu.

Kemudian, ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan terus bertanya pada Fatimah :

"Siapakah itu wahai anakku?"

"Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru pertama kali aku melihatnya." Lembut tuturnya.

Lalu, Rasulullah menatap wajah puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian anaknya itu ingin dikenang.

"Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan kehidupan di dunia, dialah malaikat maut," ujar Rasulullah.

Tangan menutup mulut. Tidak dapat menahan tangis.

Dia melangkah masuk ke dalam rumah batu lumpur. Badan terasa sangat longlai. Benar dunia masih berputar, tetapi ia tidak akan sama. Sama sekali tidak serupa. Sang isteri keluar dari dapur, memegang telinga belanga, melihat keseluruhan wajah sang suami, mengharap supaya mendengar berita yang baik. Anak lelaki yang baru berusia 3 tahun, sebelah tangan memegang roti keras, lantas muncul di sebelah isteri.

Dia renung isteri, dan juga anak lelaki itu seraya mengusap kepalanya sambil mengugu perlahan. Tiada suara kedengaran. Hanya geletar bibir, dia menangis teresak. Perempuan tersebut menjatuhkan belanga, menekup mulut kerana tidak percaya dengan berita.

Perempuan itu berlari. Tidak berhenti. Kencang berlari sambil menggigit cadur. Seisi dunia menjadi yatim piatu. Saat ini, begitu fikirnya. Lelehan air mata telah menutup pandangan, tetapi kaki tetap menujah pantas. Segala yang dihadapan menjadi kabur.

Di jalan-jalan, kelihatan ramai yang menangis, rasa hati tergoncang akibat berita yang baru didengar telinga.

Perempuan itu tiba di sebuah rumahkecil. Manusia sudah ramai menyesaki laman hadapan dan jalan-jalan penuh dengan debu.

"Baginda tidak wafat! Baginda tidak wafat!"

Orang ramai gempar, jatuh rebah. Mengelak amuk sahabat yang sedang dalam kejutan tersebut.

"Jangan katakannya! Baginda tidak mungkin wafat!"

Seorang sahabat lain merapati, perlahan-lahan memegang bahu sahabatnya yang sedang bergegar duka. Lembut, tetapi kedengaran pada telinga suara membaca ayat 144 surah Ali Imran :

"Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul. Sungguh sebelumnya telah berlalu beberapa orang Rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh, kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka tidak akan mendatangkan mudharat kepada Allah sekalipun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur,"

Sahabat segera berhenti berteriak, mendadak berwajah tenang. Bagai mendung disergah cahaya, air mata pun segera susut merosot, merenung sahabatnya semula. Dan tahu, menjadi jelas pada perempuan yang menyaksikan semua itu, air muka suaminya telah menuturkan segalanya.

Dia menahan tangis. Hanya mampu bersuara, yang suara itu bergemaan keseluruh urat nadi dan seakan menghentikan seluruh jantungnya :

"Rasulullah sudah tiada,"

Saidina Ali yang paling rapat dengan baginda, telah ditugaskan untuk memandi dan mengkafankan jenazah yang mulia. Sebelum baginda dikebumikan, kedengaran getar suara pemuda tersebut. Pemuda yang sewaktu masih remajanya pernah bersuara halus memberitahu sanggup mendukung tauhid yang suci seraya ditertawakan pembesar kafir :

"Wahai Rasulullah, ana mencintai tuan lebih dari cinta ana kepada kedua-dua ibu bapa ana. Kewafatan tuan mengakhiri kenabian, wahyu dan para Rasul Tuhan, sedang kematian para nabi lain tidak mengakibatkan sedemikian. Kewafatan tuan begitu menyedihkan sehingga segala kesedihan lainnya dilupakan. Kesedihan berpisah dengan tuan menjadi kesedihan umum. Semua orang merasakannya. Sekiranya tuan tidak mengarahkan kami supaya bersabar dan jangan meratapi dan berkabung dengan suara keras, kami akan terus menangis dan meratap tanpa henti. Walaupun semua ratapan itu tak dapat dibandingkan dengan kerugian yang teramat kerana berpisah dengan tuan. Tetapi, maut adalah peristiwa yang tidak dapat dielakkan, dan seorang pun yang tidak dapat menghentikan kehadirannya."

"Peliharalah solah, dan peliharalah yang lemah diantaramu."

Itu pesan terakhir Baginda.

"Ummati, ummati, ummati." diungkap sebelum nafasnya berakhir.

Ingatkah kita?

PMR 2009 : Ma'at Taufiq Wa'an Najah



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Salam ukhwah buat para pembaca. Salam imtihan buat adik-adik pembaca yang kini di tingkatan tiga. Semoga saya, malah kita semua sentiasa bernafsu kuat untuk beribadah. Juga, semoga kita sentiasa ikhlas dalam mengerjakannya.

Hari ini, dan mungkin akan berlanjutan sehingga minggu satu lagi, madrasah saya diserang sindrom yang biasa juga dialami oleh madrasah-madrasah yang lain di luar sana bila sahaja tibanya musim imtihan.

Sindrom senyap namanya.

Namun, madrasah saya nampaknya diserang sekaligus dua sindrom, ditambah dengan sindrom 'rajin ke surau'.

Senyap serangannya. Tiba-tiba pula.

Bayangkan kawasan yang hari-harinya sentiasa terdengar kebisingan suara-suara, tiba-tiba berubah menjadi senyap. Langkahan tapak kaki bisa kedengaran juga sekelumit suara yang seakan-akan berbisik.

Yang berbuat bising adalah bunyi kenderaan-kenderaan sekitar.

Senyap, tenang sekali. Dalam sedar, ujian Penilaian Menengah Rendah baru sahaja bermula tanggal hari ini, 7 Oktober 2009 bersamaan 17 Syawal 1430 Hijrah. Kelas adik-adik tingkatan tiga kini adalah dewan besar.

Budaya cemar mula terhakis, timbul budaya baru yang bersih. Di segenap sudut, nampak jelas budaya membaca.

Lumrah dan Ibadah

Kebisingan adalah lumrah. Jadi, saya tidak kisah. Selepas minggu ini, sehingga minggu-minggu yang akan datang, saya pasti sindrom bising akan kembali. Namun bagaimana pula dengan 'rajin ke surau'? Saya percaya, dan harapnya kalian juga begitu, memakmurkan surau disamping meng'imarahkan masjid adalah ibadah yang sangat-sangat dituntut.

Untuk itu, saya sangat bersyukur kerana keadaan di madrasah saya ketika ini sedang mengamalkan budaya itu. Segelintir yang saya nampak, Alhamdulillah. Kaki bergerak melangkah ke surau.

Selebihnya? Mudah-mudahan, kerana saya tidak nampak. Namun, persoalan yang bermain di benak saya sekarang adalah, sampai bila? Mungkin tamat minggu seterusnya? atau sebaliknya. Allahu'alam.

Dalam diam, saya mengharap dalam penuh pengharapan.

Dengan harapan agar mudah-mudahan bukan sahaja adik-adik yang sedang berjuang di dewan peperiksaan, malah saya dan juga kalian semua yang tertera pada kad pengenalannya yang beragama ISLAM, teruskan dan terus merajinkan diri dengan budaya itu.

Jangan hanya seminggu, tetapi berminggu-minggu dan bukan dalam musim-musim tertentu, tetapi berterusan sehingga akhir yang kita tidak pasti. Percayalah, soal ibadah bukan soal seminggu dua, tetapi soal sehingga tamatnya riwayat kita.

Musim Bertuhan

Sila lihat juga entri ini : Musim bertuhan. Andai kita adalah insan semacam itu, nampak bahawa rasa berTuhan kita adalah jenis bermusim, mempunyai jangka waktu yang tertentu. Tuhan hanya diingat dan diperlukan pada saat-saat yang sangat-sangat perlu. Sedangkan, kita perlukan Allah setiap saat. Kita perlukan Allah, bukan Allah yang perlukan kita.

Justeru, buat saya dan juga kalian yang membaca, kita bukannya hamba yang tidak pandai berfikir, lainlah kiranya jika ada antara kita (manusia) yang tidak punya akal, bahawa janganlah kita melampaui batas. Firman Allah :

"dan apabila manusia ditimpa bahaya, dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri. Tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat) , seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada kami untuk (menghilangkan) bahaya yang menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan," (Surah Yunus Ayat 12)

Ma'at Taufiq Wa'an Najah Fil Imtihan!

Kepada adik-adik, ingat ini ...




Usaha, doa, tawakal, redha.

Justeru, saya ingin mengucap salam mujahadah dan salam imtihan kepada kalian semua dalam menempuhnya. Moga kejayaan kalian hari kelak, yang benar-benar ikhlas dalam menuntutnya, menjamin kejayaan Islam pada masa hadapan. Ma'at taufiq wan najah!



No Part Time Muslim


Promosi : Novel Syabab Musafir Kasih



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Salam syawal dari saya. Semoga saya, juga kalian semua yang tidak putus-putus menjenguk teratak satu persepsi, hasan dari segenap segi. Semoga tidak putus-putus kita membasahkan lidah kita dengan zikir tanda syukur atas nikmat kurnia-Nya.

Kebelakangan ini sangat sibuk+penat. Entah kenapa, banyak aktiviti yang diadakan di sekolah saya. Namun saya kira, lebih baik daripada hanya duduk bersantai di rumah, tidak berbuat apa-apa.

Untuk itu, sebelum memulakan bicara, maaf kepada pembaca yang menanti sekian lama tulisan dari saya.

Promo Pertama

Hari ini, saya telah melakar satu sejarah. Selaku blogger amatur, gembira rasanya tatkala menambahkan kategori entri dalam kebun ini. Kategori promosi.

Ya, inilah entri berbentuk promosi pertama yang saya coretkan. Saya kira, apalah erti kebaikan andai tidak saya kongsikan sekali bersama pembaca.

Sudahkah anda membaca novel 'Syabab : Musafir Kasih'? Sebuah novel islami yang ditulis oleh kak Fati (Fatimah Syarha Mohd. Noordin). Jika anda seorang peminat karya-karya islami, dan belum membaca, saya sarankan anda untuk segera membacanya. S

elaku seorang yang juga merupakan syabab (pemuda), bagi saya novel ini sesuai juga untuk lain-lain syabab di luar sana.

Dalam lambakan buku-buku di sekitar Popular, Parkson, saya yang sangat pantang melihat koleksi novel baru yang dijual, terjumpa novel ini. Syukur atas pertemuan saya dengannya.

Sedikit Kata-Kata Dari Novel


SYABAB
Lahirmu bagaikan tak berharga
Kau anak desa, yatim tak berbapa
Kesusahan hidup mendesakmu berdikari
Dalam keliru kau mencari identiti diri
Ketulusan jiran mengajarmu kehidupan
Cabaran berterusan berbuah kematangan

Wahai SYABAB
Ketekunanmu mengoborkan cita-cita
Semangatmu bak api marak menyala
Kau pemuda harapan
Sinar menentimu di hadapan
Bebaskanlah pemuda
Dari belenggu kejahilan
Kau mampu berlari kencang
Mencipta gelombang
Ayuh, SYABAB!


Teringat Kisah Lalu

Satu lagi yang istimewanya buku ini kepada saya adalah, ia mengingatkan saya dengan sebuah lagu. Lagu yang diajarkan kepada saya dalam program Nadwah Kepimpinan dulu-dulu. Lagu bertajuk Syababul Islam.

Sayangnya, lirik tidak saya temui. InsyaAllah andai ditemu jodoh akan saya editkan ke dalam entri ini untuk kongsian dan tatapan bersama.


Akhir sekali, sebagai seorang yang juga merupakan syabab, saya mengajak kalian, para pengunjung kebun ini, agar bacalah! Dengan nama Tuhan kita yang menciptakan kita dan seluruh alam.

Semoga peroleh manfaat. InsyaAllah.




Ayuh! Kau pemuda
Gagah bertenaga
Kreatif berwibawa
Bangkitlah membela!

No Part Time Muslim