Masih Ingatkah Kita?



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Didedikasikan terutama buat diri saya, dan kalian semua, yang mudah hanyut dalam dunia yang penuh mehnah dan noda. Ayuh, mari bersama saya menyingkap dan menyelami tirai sirah seorang insan mulia.

Dari luar pintu terdengar bunyi ketukan dan suara salam.

"Bolehkah saya masuk?" tanya yang empunya badan.

"Maafkanlah, ayahku sedang sakit." jawab Fatimah yang segera memalingkan badan dan menutup pintu.

Kemudian, ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan terus bertanya pada Fatimah :

"Siapakah itu wahai anakku?"

"Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru pertama kali aku melihatnya." Lembut tuturnya.

Lalu, Rasulullah menatap wajah puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian anaknya itu ingin dikenang.

"Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan kehidupan di dunia, dialah malaikat maut," ujar Rasulullah.

Tangan menutup mulut. Tidak dapat menahan tangis.

Dia melangkah masuk ke dalam rumah batu lumpur. Badan terasa sangat longlai. Benar dunia masih berputar, tetapi ia tidak akan sama. Sama sekali tidak serupa. Sang isteri keluar dari dapur, memegang telinga belanga, melihat keseluruhan wajah sang suami, mengharap supaya mendengar berita yang baik. Anak lelaki yang baru berusia 3 tahun, sebelah tangan memegang roti keras, lantas muncul di sebelah isteri.

Dia renung isteri, dan juga anak lelaki itu seraya mengusap kepalanya sambil mengugu perlahan. Tiada suara kedengaran. Hanya geletar bibir, dia menangis teresak. Perempuan tersebut menjatuhkan belanga, menekup mulut kerana tidak percaya dengan berita.

Perempuan itu berlari. Tidak berhenti. Kencang berlari sambil menggigit cadur. Seisi dunia menjadi yatim piatu. Saat ini, begitu fikirnya. Lelehan air mata telah menutup pandangan, tetapi kaki tetap menujah pantas. Segala yang dihadapan menjadi kabur.

Di jalan-jalan, kelihatan ramai yang menangis, rasa hati tergoncang akibat berita yang baru didengar telinga.

Perempuan itu tiba di sebuah rumahkecil. Manusia sudah ramai menyesaki laman hadapan dan jalan-jalan penuh dengan debu.

"Baginda tidak wafat! Baginda tidak wafat!"

Orang ramai gempar, jatuh rebah. Mengelak amuk sahabat yang sedang dalam kejutan tersebut.

"Jangan katakannya! Baginda tidak mungkin wafat!"

Seorang sahabat lain merapati, perlahan-lahan memegang bahu sahabatnya yang sedang bergegar duka. Lembut, tetapi kedengaran pada telinga suara membaca ayat 144 surah Ali Imran :

"Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul. Sungguh sebelumnya telah berlalu beberapa orang Rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh, kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka tidak akan mendatangkan mudharat kepada Allah sekalipun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur,"

Sahabat segera berhenti berteriak, mendadak berwajah tenang. Bagai mendung disergah cahaya, air mata pun segera susut merosot, merenung sahabatnya semula. Dan tahu, menjadi jelas pada perempuan yang menyaksikan semua itu, air muka suaminya telah menuturkan segalanya.

Dia menahan tangis. Hanya mampu bersuara, yang suara itu bergemaan keseluruh urat nadi dan seakan menghentikan seluruh jantungnya :

"Rasulullah sudah tiada,"

Saidina Ali yang paling rapat dengan baginda, telah ditugaskan untuk memandi dan mengkafankan jenazah yang mulia. Sebelum baginda dikebumikan, kedengaran getar suara pemuda tersebut. Pemuda yang sewaktu masih remajanya pernah bersuara halus memberitahu sanggup mendukung tauhid yang suci seraya ditertawakan pembesar kafir :

"Wahai Rasulullah, ana mencintai tuan lebih dari cinta ana kepada kedua-dua ibu bapa ana. Kewafatan tuan mengakhiri kenabian, wahyu dan para Rasul Tuhan, sedang kematian para nabi lain tidak mengakibatkan sedemikian. Kewafatan tuan begitu menyedihkan sehingga segala kesedihan lainnya dilupakan. Kesedihan berpisah dengan tuan menjadi kesedihan umum. Semua orang merasakannya. Sekiranya tuan tidak mengarahkan kami supaya bersabar dan jangan meratapi dan berkabung dengan suara keras, kami akan terus menangis dan meratap tanpa henti. Walaupun semua ratapan itu tak dapat dibandingkan dengan kerugian yang teramat kerana berpisah dengan tuan. Tetapi, maut adalah peristiwa yang tidak dapat dielakkan, dan seorang pun yang tidak dapat menghentikan kehadirannya."

"Peliharalah solah, dan peliharalah yang lemah diantaramu."

Itu pesan terakhir Baginda.

"Ummati, ummati, ummati." diungkap sebelum nafasnya berakhir.

Ingatkah kita?

2 Komen:

Sir Rid.one said...

Kukuhkan semangat kita untuk berdakwah, jangan biarkan satu benteng kebatilan menggugat perjuangan kita. biar terkesima sang pendusta dan biar si bongkak itu terasa. Marilah kita kembali ke jalan yang benar............
salam ukhwah dan rindu yang teramat sangat kepada enta............ana contact enta tak dpt2....ana merintih di kala sepi................sekian

AnaAzizul said...

alhamdulillah. kata2 pmbakar buat ana. em mk tmbh
sket. moga hidayah dtg buat sang pendusta dan
petunjuk yg bnar buat si bongkak .. marilah

salam ukhwah juak. n salam rindu jwk. em lpk mk
gtauk enta. try contact ana gna nmber lamak..

ma'as salamah ..

Post a Comment