Nilai Sebuah Pengorbanan



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Nabi Ismail pasrah dengan keadaan. Pasrah dengan takdir. Dirinya kini dihadapan ketajaman mata pisau yang tergenggam erat di tangan ayahnya, Nabi Ibrahim.

Disitu kita nampak dua keadaan.

Dari sudut yang pertama, adalah satu kepasrahan yang sungguh luar biasa. Manakala di sudut yang satu lagi, menampakkan satu pengorbanan yang agung dan suci.

Semuanya, adalah kerana satu.

Kepatuhan terhadap perintah Sang Pencipta.

Si ayah, dengan penuh kerelaan bakal menyembelih anaknya yang telah pun bersedia menurut perintah dari mimpinya. Si ayah, bakal mencipta sejarah dalam kamus sesiapa sahaja yang bergelar muslim. Sejarah pengorbanan yang agung.

Dia sudah bersedia.

Perintah-Nya, adalah sesuatu yang mesti dipenuhi.

Namun, itu bukanlah bererti Ibrahim tidak menyayangi anaknya, Ismail. Putera tersebut, adalah segala-galanya ketika mana usia baginda telah terlalu tua untuk memperoleh zuriat.

Sebaliknya, ketabahan dan pengorbanan tulus ikhlas dan redha Ibrahim itu adalah cuma merupakan sebuah ujian. Baginda diuji dengan dugaan semacam itu, namun terus dan tetap patuh kepada-Nya. Akhirnya, tempat Ismail diganti oleh Allah dengan seekor kambing biri-biri.

Peristiwa tersebut, sekaligus merupakan titik tolak kepada ibadah korban dalam Islam, yang kita faham sebagai proses menyelami makna kepatuhan suci Nabi Ibrahim terhadap perintah Allah.

Kambing biri-biri tersebut hanya dijadikan sebagai pengganti dan simbol, setelah kesetiaan dan cinta kasih Ibrahim terhadap Tuhannya teruji.

Itu menunjukkan, nilai pengorbanan Nabi Ibrahim.

Bagaimana pula nilai pengorbanan kita?

Semoga kita juga mampu patuh seperti baginda.

InsyaAllah.

Sama-sama kita usaha.

Salam Aidil Adha dari saya.

Iktibar Sejarah, Bersatulah



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Saya pernah mengikuti pelbagai program. Semenjak dari tingkatan satu sehinggalah sekarang, saya sangat sukakan program seperti motivasi, kepimpinan dan seumpamanya.

Semua itu, membina saya sebenarnya.

Dalam kesemua program yang saya sertai, selain saya memperoleh ilmu dan pengalaman, saya dapat melihat, betapa usaha untuk membangunkan ummah oleh ahli-ahli jawatankuasa disamping fasilitator-fasilitator itu, sangat kuat dan nampak, bahawa mereka ini bersatu untuk itu.

Dari sudut yang lain, saya teringat akan berita-berita berkenaan saudara kita di Palestin, yang sehingga hari ini, masih lagi dihujani peluru. Mereka di sana, bersatu mempertahankan kebenaran walaupun dalam bilangan yang sedikit.

Kemudian, saya melihat pula keadaan kita.

Ada antara kita yang ambil berat soal ini, dan terasa pedas dengan segala berita yang didengari. Namun tidak kurang juga yang pandang remeh soal ini, sehingga ada yang tidak tahu-menahu.

Namun bila ditanya, semuanya memberikan harapan yang sama.

"Saya harap, Islam ini akan kembali kuat seperti dahulu"

Sekilas ketika, saya teringat pula kisah-kisah para sahabat dahulu, yang sungguh-sungguh bersatu dalam perjuangan menentang kebatilan.

Semuanya bersatu, bersatu dan bersatu.

Terima kasih saya ucapkan, kerana mengadakan program seumpama itu, dan sekarang saya berasa sangat-sangat ingin menggerakkan kita yang sedang tidur itu. Biar kita bukan sekadar cakap sahaja, tetapi juga turut bergerak untuk mencapai sepertimana yang diharapkan.

Janganlah harapan itu, kosong tanpa usaha.

Perkara tersebut, menyebabkan saya percaya bahawa untuk kita menyedarkan kita yang sedang leka saat ini, pentingnya untuk kita meneladani dan merenung kembali sejarah lalu.

Sejarah Itu Mengajar Kita

Sejarah seakan guru paling akrab. Melainkan ia telah dipesongkan.

Tanpa sejarah, kita tidak akan mengenal Nabi kita. Apatah lagi ibu dan ayah Nabi kita. Tanpa sejarah, kita juga tidak mengenal para sahabat yang selalu mendampingi Nabi kita. Seterusnya, kita tidak akan tahu bagaimana Nabi Adam lahir sebagai manusia dan akibatnya, kita tidak akan tahu dari apa asalnya kita yang sebenar.

Apatah lagi untuk memperkatakan tentang kebangkitan semula demi mengulangi zaman kejayaan dan kegemilangan yang pernah diukir. Kegemilangan para Khalifah, pemimpin-pemimpin selepasnya dan sebagainya.

Semua itu tidak akan dapat diulangi sekiranya punca dan sebab kejatuhan, tidak kita ambil iktibar, pengajaran dan mengkaji kelemahannya.

Sejarah Dalam Al-Quran

Al-Quran itu, diturunkan dengan sebab. Sebagai pedoman dan juga pengajaran buat kita sekaliannya. Apatah lagi isi-isi yang terkandung dalamnya. Kisah-kisah dan sebagainya, pasti terkandung dalamnya sejuta rahsia.

Hanya yang mahu berfikir dan mendalami akan mengetahuinya.

Kisah kaum Tsamud dan kaum 'Ad yang diceritakan dalam al-Quran, memberitahu kita supaya tidak lagi mengundang azab akibat maksiat yang dilakukan seperti mereka.

Kita tahu kesudahannya, dimana mereka dibinasakan oleh Allah dengan angin taufan yang kencang, sehingga akhirnya negeri itu tinggal kosong dan tandus.

Kisah ini, mengajak kita untuk mengamalkan Islam yang sebenarnya.

Begitu juga dengan kisah tujuh pemuda dalam al-Quran, yang digelar ashabul kahfi, bermati-matian mempertahankan akidah mereka daripada raja yang zalim. Perjuangan mempertahan akidah yang benar itu mereka tahan, sehingga Allah meletakkan kisah mereka dalam kalam-Nya.

Nampak, nilai mempertahankan kebenaran itu, kuat.

Dan banyak lagi kisah sebenarnya, kita boleh cari dalam al-Quran.

Semua kisah ini kita dengar, kita percaya dan kita faham akannya. Melainkan kita ini tidak langsung pernah membaca dan memahami isi al-Quran. Namun, mengapa manusia, yang sepatutnya semakin berusia dan pandai berfikir, masih ada yang melakukan kerja-kerja seumpamanya.

Kita tanya, dan muhasabah diri kita.

Kisah-kisah ini, di mana kita letak dalam kehidupan kita?

Adakah kita, yang sebelum ini mempelajari dan mengetahui sejarah, menghayatinya dengan ikhlas sehingga nampak terjemahannya di dalam hidup kita. Ataupun kita jadikan sekadar hiburan dan dongengan. Sebuah cerita yang kononnya rekaan dan tidak wujud.

Kita tanya dan tanya lagi diri kita.

Dan memang benar, sejarah itu sepatutnya mengajar kita. Akan tetapi, hanyalah kepada kita yang benar-benar mempelajari dan mengambil iktibar melaluinya.

Sejarah Akan Berulang

Agaknya, mampukah sejarah berulang?

Ya, saya percaya bahawa sejarah memang mampu berulang. Sejarah kegemilangan dan kebangkitan Islam dahulu, saya percaya dan harapnya anda juga percaya, bahawa ia mampu berulang. Namun, ada syaratnya.

Kita kena menghayati sejarah dan mencari jalan supaya kesilapan dan kegagalan masa lalu tidak diulangi. Kita tidak mampu untuk kembali ke masa lalu, tetapi kita mampu untuk mengulangi kejayaan lalu malah lebih baik lagi.

Kita juga tidak mampu untuk kembali ke masa yang lampau untuk memperbaiki semua keadaan, tetapi kita mampu untuk mengambil langkah berhati-hati supaya kesilapan lalu tidak diulangi lagi.

Bersatu. Itulah nadi utama.

Penutup : Bersatulah

Kita semua, pasti sayangkan saudara kita.

Lebih-lebih lagi saudara kita yang sedang berjihad di sana.

Ada antara kita, yang begitu terkesan apabila mendengar dan mendapat tahu bahawa saudara-saudara kita di Palestin dan negara-negara Arab yang lain dibedil dan dihujani peluru. Lantas hati kita berkobar-kobar untuk memberi bantuan, walau sekadar doa.

Namun, sesetengahnya pula, hatinya kosong. Tidak tahu apa yang harus dibuat dan tiada keinginan untuk menghulurkan tangan, walau untuk berdoa akan kesejahteraan mereka. Golongan ini, perlu dibangun dan digerakkan.

Dalam soal ini, kita kena bersatu, untuk membangunkan golongan seperti ini dahulu. Kemudian kita berkumpul pula, untuk membangunkan hati-hati yang lain pula. Biar hati-hati yang mati itu, kita hidupkan semula.

Seterusnya, melalui sejarah yang kita pelajari dan ambil pengajaran itu, kita menjadi semakin bijaksana dan lebih berhati-hati dalam mengatur kehidupan.

Dan melalui pengajaran dari sejarah yang lalu itu, kita usahakan pula untuk membangunkan ummah yang sedang leka ini.

Ayuh, mari sama-sama kita.

Ambillah iktibar, bersatulah!


Mari Beringat Sebentar



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Tiga tahun yang lepas, iaitu tahun 2006, saya masih lagi seorang budak menengah rendah. Tahun seterusnya, saya mula menginjak setapak, kepada sebagai seorang budak menengah atas. Dulu saya digelar adik dan tahun seterusnya pula, saya digelar dengan panggilan abang.

Begitulah seterusnya.

Saya sekarang, lebih dewasa dari dahulu. Benarlah masa itu tidak mengenal sesiapa. Akan terus pergi dan berlalu begitu saja, meninggalkan segalanya dibelakang, sebagai kenangan.

Bila terkenangkan umur saya yang semakin meningkat, hati saya mula merasa sepi dan sayu. Perasaan sunyi dan kehibaan yang sangat tiba-tiba hadir tanpa diundang.

Saya tidak pasti sama ada anda pernah mengalami perasaan yang halus seperti itu. Namun, itulah yang sedang saya hadapi sekarang. Mungkin itulah saya. Seorang yang suka mengimbau dan mengingat kembali kenangan dan peristiwa pahit manis ketika saya yang masih lagi sebagai sebiji buah yang mentah, belum begitu masak.

Jadi, mari beringat sebentar.

Saya dan kita semua, dibentuk dengan pengalaman.

Dan itulah yang menjadikan kita hari ini.

Pengalaman itu, mengajar kita akan segala erti sebenarnya. Kalau kita dahulu berkawan dengan seorang penjual wangian, kita juga turut akan ditempiaskan dengan wangian itu. Sekaligus, kita mula dibentuk dengan sikap dan akhlak yang wangi.

Tidak kurang juga liku-liku masalah yang kita hadapi. Kita mula mencari jalan demi jalan untuk menyelesaikan masalah itu, dan akhirnya kita beroleh kemenangan.

Tempias wangian dan segala masalah itu, sebenarnya telah memasakkan kita. Kita terus diajar dan belajar menjadikan kita masak tanpa sedar. Kelakuan dan pemikiran kita yang menjadi bukti segalanya.

Hidup kita, semakin hari semakin berubah.

Kita sekarang berbanding masyarakat lampau, jauh bezanya. Ternyata kehidupan mereka yang lalu lebih mementingkan hubungan dengan Allah sekaligus hubungan sesama manusia. Bahkan sekarang, kawan rapat pun boleh menjadi lawan. Ukhwah, tidak ubah hanya sekadar perkataan.

Muhasabah Diri

Mengingati sejarah, menjadikan saya terfikir seketika, tentang bagaimana kesudahan kita kelak. Baik atau buruk. Matlamat kita adalah ke kampung syurga kerana itulah kampung halaman kita yang sebenarnya, yang pernah dihuni oleh Adam dan Hawa sebelum diturunkan ke dunia yang penuh dengan ujian dan kepayahan.

Kita akui, bahawa kita tidak sempurna. Kita bukan maksum.

Dosa-dosa kecil itu, memang sukar untuk dielakkan. Namun sekurang-kurangnya, sisipkanlah walau sedikit rasa takut akan azab Allah, kerana itu akan membuatkan kita lebih berhati-hati dalam kehidupan kita, pada masa-masa akan datang.

Berfikirlah, mari beringat sebentar.

Kerana dengan dosa kecil yang dibiarkan, ianya mungkin akan menjadi satu kebiasaan dan tidak mustahil jika dikumpul dan terus dikumpul, menjadi bukit dosa yang besar akibat kelaziman kita melakukannya.

Menyesali Dosa Lepas

Seorang ulama, Syeikh Ibnu Athaillah as-Sakandari menyebut :

"Satu maksiat atau dosa yang menyebabkan kamu merasa kerdil, rendah diri, hina dan hancur hati kerana penyesalan dan taubat itu adalah lebih baik dari melakukan taat yang menjadikan kamu merasa agung, hebat dan bangga sehingga ke tahap ujub."

Perasaan bersalah, hina, rendah diri, kerdil, luluh hati mengenangkan dosa-dosa silam yang dilakukan sehingga menimbulkan perasaan bertaubat itu sebenarnya adalah lebih baik daripada seorang alim yang merasa dirinya hebat dengan ilmu yang diperolehinya.

Seorang faqih yang sombong dan merasakan dirinya bersih dengan amal ketaatan kepada Allah dan memandang rendah orang lain, dengan seorang pelacur yang menyesali dan menangisi dosa lampaunya lalu bertaubat dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Manakah yang lebih dikasihi dan manakah yang dibenci Allah?

Itulah yang dimaksudkan oleh ulama itu.

Kemudian, beliau menyambung pula :

"Berkemungkinan telah ditakdirkan bagi kamu supaya melakukan dosa atau maksiat sebagai sebab untuk kamu sampai kepada keredhaan Allah (sehinggalah perasaan berdosa, bersalah dan hina tadi akan menyebabkan kamu berubah menjadi soleh)."

Kata-kata beliau ini, dalam maksudnya.

Sayangnya Allah kepada kita.

“Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh ; maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebaikan. Dan Allah maha Pengampun lagi maha Penyayang ." (Surah al-Furqan ayat 70)

Menyesali keburukan itu, lebih baik dari melakukan kebaikan.

Beringat akan benda ni, baik juga ya?

Jadi, mari sama-sama beringat.


SPM 2009 : Salam Mujahadah



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Entri kali ini, didedikasikan istimewa buat semua mujahid dan mujahidah yang kini sedang berjuang menempuh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Kita, sebagai manusia semuanya inginkan sesuatu yang membanggakan. Dan untuk kita menggapai semua itu, kita perlukan kekuatan untuk berusaha.

Seorang nelayan, kerjanya adalah untuk menangkap ikan di laut. Andai kata nelayan tersebut inginkan sesuatu lebih dari sekadar ikan, contohnya mutiara di dasar laut. Untuk dia dapatkan mutiara itu, dia perlukan usaha yang lebih dari sekadar memegang dan menarik pancing dan jala.

Dia perlu menyelam ke dasar.

Setiap pasangan, pasti inginkan kebahagiaan. Dan untuk mereka meraih kebahagiaan itu, mereka perlu tempuhi segala penderitaan. Kerana saat mereka dapat menempuh penderitaan, itulah waktu yang paling membahagiakan.

Begitulah juga dengan kejayaan.

Kejayaan itu memerlukan pengorbanan, dan ketahuilah bahawa setiap kepahitan itu, terkandung di dalamnya seribu kemanisan.

Itu, kata-kata semangat buat kalian.












Semoga sentiasa tenang dalam mengharungi segala ujian dan cabaran, dan semoga segalanya baik dari segenap segi. Akhirnya, berusahalah selagi mana yang terdaya dan berserahlah kepada Allah untuk hasil yang sempurna.

Itu, doa saya buat kalian.

Salam mujahadah.

Ma'at taufiq wan najah!

Pada Kita, Pada Mereka



Pada kita, derita itu adalah
pada gagalnya peperiksaan
Laparnya perut pada makanan

Putusnya cinta pada kekasih pujaan
Jauhnya ibu ayah dari dakapan
Juga habisnya duit dalam bekalan

Pada mereka, derita itu adalah
Apabila rumah kediaman digesel trak
Harta benda serba serbi dirompak

Maruah keluarga dipijak-pijak
Anak bini dicincang oleh manusia tak berotak
Tanah air Islam diinjak-injak

Irama kita
adalah suara Siti yang merdu
atau muzik rock yang bingit melegakan
atau suara nasyid yang mendayu-dayu

Irama mereka
Bulddozer yang menghiasi setiap pagi
Ketulan batu yang dicampak ke muka yahudi
Bom yang tak pernah sunyi berbunyi

Sungguh sukar kita berada di tempat mereka
Kita masih tak sanggup menerima
ujian semacam mereka

Berpisahnya kita dari keluarga,
cuma sementara
Berpisahnya mereka dengan ayah, ibu, adik-beradik
adalah buat selama-lamanya

Tangisnya kita di dunia adalah
kerana gagalnya kita dalam ujian
Putusnya cinta atau geramnya pada manusia

Tangisnya mereka di dunia
kerana tidak dapat membunuh musuh Allah
Kerana gagalnya mereka menemui kesyahidan

Rindu kita hanya
bauan pada keluarga tercinta
Pada kekayaan melimpah-ruah

Pada umur yang panjang
Agar keluarga kita
lebih makmur membahagiakan

Rindu mereka
pada wangian syurga tertinggi
Pada syahid tanpa henti

Pada perjumpaan teragung
Dengan Ilahi tercinta

Kerana Sebuah Kerusi



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Kerana sebuah kerusi, manusia sanggup berbunuhan. Kerana sebuah kerusi, manusia sanggup memfitnah. Kerana sebuah kerusi, ramai yang kecundang. Kerana sebuah kerusi, yang haram menjadi halal.

Kerana sebuah kerusi, prinsip perjuangan sanggup digadai. Kerana sebuah kerusi, manusia hilang pertimbangan. Kerana sebuah kerusi, pelbagai usaha dibuat untuk mencemarkan maruah lawan.

Kerana sebuah kerusi, kawan menjadi lawan.

Kerana sebuah kerusi, manusia sanggup melakukan apa sahaja, asalkan menang dan dapat duduk di atas kerusi tersebut.

Namun, bukanlah kerusi untuk duduk itu yang dicari. Tetapi, kedudukan yang menjadi idaman.

Kerusi hanyalah sebagai lambang kekuasaan. Lambang kemewahan dan pintu untuk mengejar kebendaan.

Sejarah itu membuktikan. Bila kerusi jadi rebutan, akan ada darah yang tumpah ke bumi. Peperangan demi peperangan berlaku dan berlanjutan. Pembunuhan berlaku di mana-mana, hanya kerana merebutkan kerusi.

Sebenarnya, bukan kerusi yang dicari orang. Kerusi boleh didapati di mana-mana. Cari saja kedai perabot berdekatan, dan anda pasti menjumpainya.

Tetapi yang dicari sebenarnya adalah kuasa, yang bersifat sementara. Kerusi itu, hanyalah lambang kepada kekuasaan.

Hebatnya kuasa sebuah kerusi.

Walaupun panas, kerusi itu tetap terus diminati, biarpun yang mendudukinya hanya sebentar sahaja. Ajal itu tetap di tangan Tuhan.

Kerusi itu hakikatnya panas, kerusi itu tanggungjawab, kerusi itu amanah, kerusi itu ketelusan, kerusi itu pengaruh, kerusi adalah segala-galanya. Bertahun-tahun manusia merebutnya, zaman berzaman dari dahulu hingga sekarang, kerusi masih diminati.

Semakin mahal sebuah kerusi, semakin ramailah peminatnya. Semakin ramai juga yang menginginkannya. Mahal bererti kerusi itu sangat penting. Bererti kedudukan sangat penting. Bererti keputusan yang bakal dibuat dari atas kerusi itu sangat mustahak dan perlu dipatuhi.

Orang yang sedang duduk di kerusi itu pula, selalu tidak tenteram. Banyak yang difikirkan. Antaranya, dia bakal dijatuhkan oleh lawan dengan pelbagai cara bergantung kepada kepentingan kerusi tersebut.

Itu lumrah.

Lawan, sinonimnya adalah musuh. Dan tugas seorang musuh adalah untuk menjatuhkan lawannya. Namun, satu yang tidak dapat diterima adalah, kawan-kawan seperjuangan yang bersama-sama membeli kerusi itu dahulu, akhirnya menjadi lawan dalam diam.

Itu kita sebut, musuh dalam selimut.

Membantu kumpulan yang dahulu adalah musuhnya dengan pelbagai cara, hanya untuk menjatuhkan seseorang yang dahulu adalah kawannya, yang kini sedang duduk di kerusi itu.

Adakah itu juga lumrah?

Ya. Itulah lumrah, sebagai manusia.

Akibatnya, dia kehilangan kerusi yang dibelinya dahulu.

Kehilangan kerusi, bermakna kehilangan kuasa.

Kehilangan kuasa, bermaksud cakap sudah tidak lagi dihirau, dan arahan, tidak lagi dipatuhi. Dirinya? Bakal dipinggirkan.

Besar betul peranan sebuah kerusi, ya?

Kesan sebuah kerusi itu juga, tidak kurang besarnya.

Cukup dengan sebuah kerusi, rasanya satu dunia mampu digugat.

Kini, semuanya mahukan kerusi itu. Persoalannya, adakah yang mahu memegang kerusi itu sekadar untuk menuntut kepentingan peribadi, ataupun benar-benar ikhlas kerana agamanya. Atau untuk dianggap hebat, berkuasa, sehingga semua yang dikatakan oleh yang lemah, dipertikai dan diputarbelitkan.

Cuma, masih adakah manusia yang mahu bersila di lantai tidak mahu duduk di kerusi kerana dia tahu kerusi itu panas dan dia tidak layak mendudukinya. Siapakah manusia itu? Adakah masih wujud di zaman ini?

Masih adakah insan-insan seperti Imam Shafie, Imam Maliki, Imam Hanbali atau Imam Hanafi yang wujud? Adakah lagi seseorang seperti al-Ghazali yang menolak bila ditawarkan kerusi yang penting, hanya kerana memikirkan soal jawabnya di akhirat kelak dan bebanan yang tidak mampu dipikul?

Akhirnya

Kita semua mempunyai sekurang-kurangnya satu kerusi, dan kerusi itulah lambang kedudukan kita.

Seorang kerani, ada kerusinya yang tersendiri

Ada kepentingannya yang tersendiri.

Seorang hakim, juga ada kerusinya tersendiri

Dia boleh menjatuh hukuman.

Yang sedang duduk di kerusi masing-masing sekarang ini, saya hormati kalian. Kerana kalian adalah pemimpin saya, keluarga saya dan kawan-kawan saya.

Kepada pemimpin saya, izinkan saya berkata-kata tentang satu kerusi, yang kita selalu lupa bila kita duduk di kerusi yang tinggi.

Kerusi kita sebagai hamba-Nya.

Dan tanggungjawab kita, menunaikan amanah-Nya dengan sebaiknya.

Allahu'alam.

Promosi : Kombat 1511H



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Mendengung, menjunam, menyengat. Lebah sempat mengodekkan ekor, merenung sebelum terbang. Tuan presiden rebah, kejang, terus koma.

Kombat 1511H. Ini zaman depan, tahun 2087 Masihi, yang menuntut perang cara teknologi.

Bio-bots lipas dan belalang, melitup langit dalam awanan aneh. Mengepak, menyerak gelombang. Satelit kucar kacir, komputer huru-hara, radar kacau-bilau.

Cyborg, cypher, sarcos, Ababil, Mikraj, hidrogen sianida, mikrob pemakan logam, laser, segala macam lagi yang dipacu teknologi, teknologi, teknologi.

Syarifah Nusaybah, dia hartawan global, strategis licik yang jasadnya sentiasa diburu peluru, yang tahu kejayaan harus dibina dengan teknologi, bahkan bersungguh-sungguh percaya, kejayaan yang puncak adalah dengan futuwwah.

Etika yang mencuci jiwa, memperteguh roh : Bahawa manusia adalah semata-mata hamba Tuhan. Semata-mata.

Itu sedikit pengenalan berkenaan novel.

Saya seperti bukan berada di alam realiti, tetapi di dunia fantasi. Fikiran saya, hati saya terbawa-bawa melayang di luar kotak pemikiran yang biasa. Saya, sekali lagi terasa seperti mimpi setelah selesai membaca novel yang ditulis Abang Faisal (Faisal Tehrani).

Kombat 1511 Hijrah.

Buku yang menceritakan selok-belok perang jihad masa hadapan, dengan menggunakan teknologi. Segalanya teknologi. Ada juga perkataan yang tidak saya fahami, terutamanya istilah-istilah tertentu.

Namun saya pasti, penulis sebelum menggerakkan pena untuk berkarya, pasti sudah membuat sebanyak mungkin maklumat berkenaan apa yang hendak ditulis. Tambahan pula, diletakkan sudut glosari, mudah untuk difahami.

Kini, koleksi novel saya bertambah.

Dengan kehadiran Kombat 1511H ini, sedikit sebanyak membakar diri saya untuk terus berjuang di jalan Allah. Berjuang, biarpun bukan dalam bentuk penulisan, tetapi saya bagai disentuh belaian semangat perjuangan itu.

Itu objektif utama.

Saya membaca, memahami, semuanya kerana Allah.

Dan alhamdulillah, saya diberi kesedaran dan semangat itu. Semoga saya mampu untuk terus mengekalkan semangat ini, dan tidak leka daripada menunaikan tanggungjawab saya sebagai hamba-Nya.

Buku ini, saya cadangkan kepada peminat-peminat novel islami di luar sana.

Silakan, carilah di kedai-kedai buku yang ada menjual novel-novel islami. Dengan harga berjumlah RM 24 dan bilangan mukasurat sebanyak 423 helaian, saya pasti, kalian akan berpuas hati.

Novel ini, berjaya saya tawan. Mudah-mudahan Allah beri saya kekuatan untuk terus berusaha mempelajari dan memahami isi al-Quran pula.

Amin.

InsyaAllah.

Bacalah dengan hati.


Kita Yang Sebenarnya



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Bila ditanya tentang ikhlas, saya teringatkan diri saya. Adakah selama ini, amalan yang saya lakukan ikhlas? Saya juga tidak tahu, bagaimana untuk tahu yang saya ini benar-benar ikhlas. Solat saya, bacaan al-Quran saya, sedekah saya, ucapan salam saya dan sebagainya, ikhlaskah selama ini?

Atau hanya sekadar untuk mendapat pujian daripada orang lain.

Jadi, saya berfikir.

Adakah begitu kita yang sebenarnya? Kerana apabila saya bertanya hal yang sama kepada kenalan saya, jawapan yang diberikan juga sama. Andai benar, begitulah kita di depan manusia. Selalu mencari kemuliaan dan kedudukan di depan mata mereka.

Saya tidak ingin begitu. Jadi, saya ingin menulis sesuatu untuk mengingatkan dan sekaligus mengajak diri saya dan kalian semua, agar kita lakukan sesuatu itu, biarlah kerana-Nya.

Mungkin tidak kita sedari, kemuliaan yang kita kejar-kejar, mengharapkan pujian dan penghargaan daripada manusia ini, belum tentu lagi meletakkan kita dalam senarai orang yang dimuliakan dan mendapat penghargaan daripada Allah.

Itulah kita, manusia.

Selalu lupa akan kekerdilan dirinya di hadapan Allah, Tuhan yang menciptakannya, yang mengawalnya dari sebesar-besar jasad sehinggalah sekecil-kecil zarah di sekelilingnya. Juga, Dialah yang menghisab amalnya dan menghitung sahamnya di akhirat kelak.

Kita seorang yang berkedudukan tinggi, kita berpangkat besar, kita memiliki harta kekayaan, kita punya kediaman yang besar dan mewah, punya perempuan yang cantik dan sebagainya.

Tanpa sedar, perkara itulah yang akan membuatkan kita lupa akan tanggungjawab kita sebagai hamba-Nya.

Sikap kita, yang mudah leka dan lalai dengan apa yang dimiliki menjadikan kita semakin tamak untuk mengejar tanah yang hanya sekangkang kera di depan mata berbanding tanah yang seluas langit dan bumi yang Allah janjikan.

Mencari nama, ingin terkenal dan dikenali di depan manusia, berlumba untuk memperbanyakkan harta, dan sibuk mengejar dunia.

Perintah Allah kita lupakan, larangan-Nya kita abaikan. Mulalah diri kita sedikit-sedikit dan perlahan-lahan dijangkiti oleh penyakit yang satu ini.

Penyakit al-Wahn.

Penyakit yang Rasulullah sebutkan di dalam hadisnya sebagai penyakit yang cintakan dunia, dan takutkan mati.

Kita perlu sedar

Bahawa setiap yang hidup akan ada masa matinya. Tiada siapa yang akan terlepas daripada panggilan utusan Allah, iaitu malaikat maut. Bila tiba saat kita, kita akan pergi juga.

Pergi ke mana?

Kita akan singgah di satu tempat persinggahan sebelum menuju ke destinasi seterusnya yang kekal abadi. Namun, penyelidikan dan pembangunan yang akan dirasai kali ini akan jadi begitu istimewa. Tetapi, hanya untuk orang yang mati dalam ketaatan dan kebaikan sahaja. Sebaliknya, akan menjadi azab bagi yang mati dalam maksiat dan mungkar.

Marilah buat persiapan untuk panggilan yang kita tidak tahu bila masanya itu. Kemungkinannya mudah sahaja.

Bila-bila masa.

Siapa Yang Tahu

Agaknya, siapa yang tahu?

Soalan ini, tiada siapa yang tahu jawapannya.

Melainkan orang yang menganggap dirinya seorang ahli nujum yang ilmunya mampu mencapai hijab ilmu yang ghaib, yang tidak dapat diketahui sekalian manusia. Semuanya tercatat dalam takdir Allah.

Jawapannya, hanya Dia yang tahu.

Tiada siapa yang akan selamat apabila balik bertemu dengan Allah, melainkan orang yang datang kepada Allah dengan ada padanya seketul hati, hati yang sejahtera. Hati yang hidup dengan makrifat Allah dan diredhai hidupnya di dunia.

Kehidupan yang sejahtera di akhirat sana, bukanlah dibeli dengan pahala, tetapi dengan kasih-sayang dan redha-Nya. Cukup dengan hanya dengan sebiji bola mata, rasa-rasanya setandingkah amalan yang kita lakukan selama ini dengan nikmat mata yang Allah berikan?

Kita yang selama ini mencari mulia di sisi manusia dengan kemurkaan Allah, tunggulah penghinaan ke atas diri kita pada hari itu. Tetapi, orang yang mencari mulia di sisi Allah biarpun dengan marahnya manusia, maka hari itu dia akan dimuliakan Allah.

Carilah Mulia, Bertaqwalah

Jadi, bagaimana kita mencari mulia di sisi Allah?

Allah telah berfirman yang bermaksud :

"Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu adalah orang yang bertaqwa" (Surah al-Hujurat ayat 13)

Bagaimana pula untuk mencapai taqwa?

Silakan. Saya mengajak kita semua untuk pertama sekali mengenal diri kita. Kerana, setelah kita mengenal diri kita siapa, kita akan kenal siapa yang cipta kita.

Pencipta kita, menciptakan kita dengan meletakkan amanah di bahu kita untuk kita laksanakan. Amanah itu, adalah untuk menunaikan segala tanggungjawab kita kepada-Nya.

Seterusnya tanggungjawab itu, kita lakukan pula dengan bersungguh-sungguh, ikhlas dan semata-mata untuk mendapat redha-Nya.

InsyaAllah, akan kita capai taqwa.

Mari Mulakan Langkah

Kata Saidina Umar, hisablah diri anda sebelum anda dihisab.

Tiada guna berseronok dengan kenikmatan dunia yang sementara dan akan hilang satu hari nanti. Harta kekayaan kita akan hancur musnah, rasa sedap dan lazat akan hilang, kita pasti akan dilupakan.

Kita tahu, manusia nanti akan dihimpunkan di padang mahsyar. Dari zaman Nabi Adam a.s. hinggalah kepada kita dan mungkin selepas kita. Pada hari itu, tidak ada yang akan selamat melainkan orang-orang yang mendapat naungan Allah.

Kemurkaan Allah sangat dahsyat pada hari itu, sehinggakan para nabi turut takut untuk menghadap Allah. Manusia pada hari itu akan berjalan meminta pertolongan daripada nabi Adam a.s. sehinggalah kepada nabi Isa a.s.

Minta pertolongan untuk dimudahkan hisab ke syurga.

Tetapi, mereka pun takut menghadapi kemurkaan Allah, melainkan nabi Muhammad s.a.w. yang memberi harapan semula kepada kita. Lebih-lebih lagi, baginda sendiri yang akan berjumpa meminta syafaat untuk umatnya.

Fikir-fikir balik, berapa banyakkah dalam sehari, kita berselawat kepada junjungan kita itu? Agak-agaknya nanti, baginda akan akui kita sebagai umatnya, atau tidak?

Maka, perbanyakkanlah selawat kepada baginda.

Keadaan Di Sana

Azab pada hari itu, dahsyat.

Ada manusia yang lemas dalam peluhnya sendiri, ada yang merasakan matahari hanya sejengkal sahaja di atas kepalanya, malah ada juga yang dibangkitkan dalam keadaan buta.

Manusia ketika itu, hanya dengan diri masing-masing. Tiada siapa yang akan mengambil peduli nasib orang lain, dan masing-masing, sibuk menghitung diri masing-masing.

Maka, janganlah kita jadi orang yang terlambat.

Allah bagi gambaran pada kita, menerusi firman-Nya :

"Wahai Tuhan kami, kami telah lihat dan dengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia) untuk beramal soleh, sesungguhnya kami termasuk orang-orang yang yakin." (Surah as-Sajadah ayat 12)

Gambaran orang-orang yang membawa buah tangan yang busuk di hadapan Allah nanti. Bila dah nampak betapa nikmatnya syurga Allah dan azabnya seksa neraka, barulah menyesal.

Agak-agaknya, adakah kita termasuk dalam golongan ini? Mudah-mudahan kita perbaiki diri kita segera.

Penutup

Sediakanlah buah tangan terbaik untuk balik bertemu dan berdepan dengan Allah. Kerana Allah berjanji, dalam satu hadis qudsi. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah, Allah berfirman :

"Aku sediakan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh apa yang tak pernah dilihat oleh mata, tak pernah didengari oleh telinga, tidak pernah terlintas dalam hati dan pemikiran."

Buah tangan yang disediakan itu, berkali-kali ganda baik dari apa yang kita berikan. Saya kira, kita telah melepaskan peluang yang besar yang disediakan kepada kita andai kita tidak membuat yang terbaik kepada Allah.

Rasa-rasanya, bagaimana kita yang sebenarnya ya?


Hanya Dia Yang Tahu



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sudah lama tidak menulis. Hilang momentum agaknya. Apa-apapun, saya percaya bahawa iman itu ada naik ada turunnya. Namun, untuk saya tunggu kekuatan itu, agaknya sampai bila ya? Teringat akan satu kata :

"Kekuatan itu, kalau nak tunggu, bila-bila pun tak datang. Kekuatan itu, bukanlah untuk kita tunggu, tetapi mesti kita bina,"

Justeru, sekarang saya bina kekuatan itu.

Petang tadi, saya yang sudah lama tidak berada di atas garisan (on line), membuka Friendster saya dan kemaskini apa-apa yang patut. Lalu saya membuka laman kumpulan (group) yang saya cipta, Akademi Fisabilillah namanya.

Sudah lama saya tidak berbincang di sana. Namun setelah melihat kepada satu tajuk perbincangan yang ditulis, terasa ringan tangan saya untuk membalas topik perbincangan itu.

... 2012

Apa kena dengan nombor ini? Saya juga tidak pasti. Cuma, yang saya tahu, kini semakin tersebar luas di alam maya, akan satu puak yang percaya bahawa satu kejadian besar akan berlaku pada tarikh 21 Disember 2012. Sekaligus menjadikan tarikh tersebut sebagai tarikh tamat atau terakhir bagi mereka.

Mereka juga percaya bahawa pada ketika itu, planet-planet dan seluruh hidupan akan melalui satu transformasi spiritual dan fizikal, dan tahun 2012 tersebut, akan menjadi tanda bermulanya era baru. Disebaliknya pula, ada yang percaya bahawa tarikh tersebut adalah permulaan bagi armagedon atau hari akhirat.

Kini, segala cerita ini sudah dan sedang tersebar luas di alam maya, dicetak di dalam buku-buku, ditulis di dalam website dan termasuk dalam ruangan-ruangan forum dan diskusi yang ada. Namun, lebih menyedihkan, minda anak muda juga mula diracuni dan ditakut-takutkan dengan perkara-perkara yang sama.

Mungkin ramai antara kita yang dah tahu akan perkara ini. Di negara barat, tarikh 21 Disember 2012 dikatakan 'The End Of The Day'. Saya kira, mereka menganggap tarikh itu sebagai tarikh keramat bagi mereka.

Kembalilah Dan Sedarlah

Kita baca, kita dengar, kita sedar dan kita mulai percaya.

Di sinilah kesilapan kita, sebagai manusia yang mudah alpa, dan lupa dengan kata-kata Allah dalam firman-Nya :

Mereka menanyakan kepadamu tentang kiamat : "Bilakah terjadinya?" Katakanlah : "Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku ; tidak seorangpun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat (huru-haranya bagi makhluk) yang di langit dan di bumi. Kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba". Mereka bertanya kepadamu seakan-akan kamu benar-benar mengetahuinya. Katakanlah : "sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat itu adalah di sisi Allah. tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui," (surah al-A'raf ayat 187)

Saya sedar, dan saya harap kalian juga begitu. Kita percaya dengan janji-janji-Nya. Namun, dalam hati kita yang sudah sedar, bagaimana dengan jasad kita? mampukah hati sedar kita menggerakkan jasad kita untuk bersama-sama menunjukkan bahawa kita sudah benar-benar sedar?

Saya percaya, bahawa kita sedia maklum akan tanda-tanda kecil kiamat sudah berlaku. Harap-harapnya, dengan tanda-tanda kecil yang sudah berlaku, kita tidak lupa, dan leka dengan kehadiran tanda-tanda besar pula. Begitulah seterusnya, semoga kita tidak lupa dengan janji Allah akan kehadiran yaum al-qiyamah kelak.

Baru-baru ini, saya ada menonton satu iklan, tentang sebuah cerita dari barat yang bertajuk 2012. Mungkin akan keluar pawagam tidak lama lagi. Apa yang saya lihat, cerita itu ingin menyampaikan bahawa satu kejadian besar akan berlaku pada tahun tersebut, gambaran pada tahun mendatang.

selesai sahaja iklan, saya mula teringat akan maklumat-maklumat berkenaan puak-puak yang percaya dengan ketibaan kiamat pada tahun tersebut. Lebih teruk lagi, ada tarikh yang lebih spesifik pula. Allahu'alam.

Bagaimana Dengan Kita?

Bagi saya, untuk saya percaya tarikh itu benar, jauh sekali. Namun, untuk saya percaya bahawa saat itu akan tiba, saya pasti tidak dapat menyangkal. Kerana, dalam rukun iman kita yang enam, senarai kelima tertulis akan kewajiban kita untuk percaya dengan hari akhirat. Maka, saya percaya, cuma tidak diketahui bila.

Hampir setiap hari, sedap telinga kita mendengar cerita-cerita dan gosip-gosip semasa. Tentang itu dan tentang ini. Namun, untuk soal yang satu ini, agaknya kita lupa untuk berbicara, ingat dan berfikir tentangnya.

Soal bumi kita selalu cerita, tetapi soal langit kita lupa. Jadi, saya sangat bersyukur kerana ada yang membangkitkan soal ini dalam kumpulan Friendster saya. Lalu saya, yang juga selalu lupa, terasa ingin untuk kongsikan perkara yang sama dengan anda. Sekaligus membuatkan saya sedar, bahawa saya, sudah terlalu jauh dari mengingati 'hari' yang bakal tiba kelak.

Penutup : Untuk Semua

Hidup kita, hanyalah sementara kerana kehidupan di akhiratlah yang akan kekal. Namun, ada manusia yang tidak sedar bahawa hidup mereka di dunia hanya sementara, lalu mengejar kehidupan dunia seolah-olah mereka akan hidup selamanya.

Keadaannya dahsyat, tidak mampu kita bayangkan bagaimana. Cukuplah sekadar tahu melalui firman-Nya :

"ia berlaku semasa bumi bergoncang dengan bersungguh-sungguh goncangan. Dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya. Lalu menjadilah ia debu-debu ang bertebaran," (surah al-Waqi'ah ayat 4-6)

Begitulah Allah membuka sedikit hijab rahsianya, kepada kita mengenai hari perjanjian yang sudah pasti menjadi peringatan kepada mereka yang berfikir dan benar-benar mengharap keredhaan daripada-Nya.

Hari itu, hanya Dia yang tahu.