Tanggal 1 Januari 2010



Seketika pada malam 31 Disember 2009.

Ketika ini, semua sedang sibuk menyambut tahun baru.

"Tut, tut," Telefon Bimbit saya berbunyi. Mesej diterima.

Saya ketika itu, baru ingin terlelap.

Mesej itu diterima seingat saya adalah lebih kurang pada pukul 11 lebih malam. Kebiasaannya, waktu begitu adalah waktu yang sesuai untuk seseorang melelapkan mata, melepaskan penat lelah sepanjang hari dan menunggu hadirnya mimpi indah.

"Tut, tut," Berbunyi lagi.

Ah, usaha saya untuk terlena diganggu.

Lalu saya capai telefon bimbit dan baca mesej.

"Salam, selamat menyambut tahun baru 2010. Semoga tahun ini, kita dilimpahi kebaikan daripada Allah, dan terus istiqamah pada jalan-Nya,"

"Selamat tinggal 2009, dan selamat datang 2010,"

Dan banyak lagi mesej yang saya terima pada malam tahun baru itu.

Mesej yang pertama itu, walaupun ada bernada sambutan, namun bagi saya adalah seperti peringatan buat saya. Kerana dia mesejkan kepada saya, dengan meletakkan kalimah agung, Allah padanya.

Hati ini pasti ada terkesan, walau sedikit.

Semoga dilimpahi kebaikan, dan semoga saya, orang yang menghantar mesej dan kita semua, terus istiqamah pada jalan Allah. Setiap masa dan setiap ketika.

Mesej yang kedua pula, adalah seperti lain-lain mesej dalam banyak-banyak mesej yang saya terima pada malam itu. Semuanya bernada sambutan tahun baru.

Ada mesej yang saya balas dan ada yang tidak.

Maaflah, kepada yang saya tidak balas mesej itu, kerana saya rasa tidak ada apa-apa yang perlu saya balas. Dan kepada yang saya balas itu, saya merasakan bahawa anda telah mengingatkan saya kepada Allah, justeru saya ingin mengingatkan anda juga.

Sama-sama berikan peringatan.

Jazakumullahu khairan kathira.

"Bom, bom," Wah. Kali ini besar bunyinya, dari jauh.

Bukan bunyi mesej, tetapi bunyi mercun dan bom.

Tahulah saya ketika itu, bahawa waktu telah genap masuk pukul 12 pagi, bertarikh 1 Januari 2010. Orang ramai sedang meraikan sambutan kehadiran tahun baru tersebut.

Saya bingkas bangun dari baringan.

"Dik, jom tengok wayang free secara life,"

Saya berkata kepada adik saya yang ketika itu masih belum tidur dan sedang menonton televisyen.

Saya dan adik bingkas keluar ke beranda rumah dan mula menonton wayang free secara life itu. Wayangnya tidak lain tidak bukan, adalah letupan mercun-mercun dan bom. Sungguh khusyuk kami berdua menontonnya.

Lihat sahaja suasana langit.

Walaupun tidak dapat melihat percikan api mercun, namun kami tetap dapat melihat pancarannya. Terpaksa juga kami mendongakkan kepala, semata-mata untuk melihat percikan bunga api yang dilepaskan tinggi di langit.

Meriah, memang meriah.

Warna-warni pula.

"Bom, bom," Kali ini lebih kuat, dekat bunyinya.

Saya dan adik terkejut dengan bunyi itu.

Pada bunyi yang pertama tadi, saya tidak begitu ambil kisah, kerana mercun itu diletupkan dari kawasan yang jauh dari kediaman kami. Namun kali ini, bunyinya dekat, dan saya tahu, pasti budak-budak di kawasan itu yang membakarnya.

"Sudah, bangunlah mayat-mayat di hospital ini nanti," Saya merepek.

Adik saya ketawa, mengiakan.

Kasihan saya pada pesakit dan pejuang hospital sebenarnya.

Apa-apapun, kami semua diganggu!

Huh, cukup.

Entri ini adalah tidak lebih sekadar suara geram-dalam-hati seorang manusia yang menghuni di kawasan flat kediaman hospital, ketika kehadiran tahun baru 2010 masihi.

Begitulah, setiap tanggal 1 Januari.

Ada-ada saja bisingnya.

"Inilah suasana hospital setiap kali tahun baru," Desis hati saya.

"Perlukah begini?" Saya memberontak dalam sepi.

Sudah, saya ingin sambung tidur.


Ilmiah : Mazhab II



Saya ulang kembali soalan yang ditanya kepada saya.

Dan mungkin kita juga pernah bertanya akan hal yang sama.

Mengapa islam ada banyak mazhab?

Mengapa empat Mazhab?

Kita sudah bincang sebelum ini, bahawa kehadiran mazhab yang banyak adalah tidak lebih sekadar kerana terdapat banyaknya pendapat para alim ulama, dalam membahaskan persoalan dalam menyimpulkan sesuatu hukum dalam al-Quran dan hadis.

Sesetengah ulama menerima sesuatu hadis tersebut kerana dianggapnya sahih dan boleh dijadikan dalil untuk sesuatu hukum. Manakala sesetengah yang lain pula sebaliknya. Menolak kesahihan sesuatu hadis tersebut dan tidak menerimanya sebagai dalil untuk sesuatu hukum.

Tambahan pula, kerana bertahannya mazhab-mazhab sehingga berzaman-zaman seperti empat mazhab yang dikenali sekarang, maka islam dikatakan mempunyai empat mazhab sahaja.

Namun, persoalannya adalah, mengapa?

Adakah islam itu berpecah kepada empat kelompok?

Adakah umat islam itu bermusuhan?

Minda cetek sesetengah orang mungkin mengatakan, bahawa adanya kehadiran banyak mazhab, seperti sekarang ini hanyalah empat, adalah sama dengan perpecahan. Sehingga ada yang menjauhkan diri dari bermazhab, sampai muncul golongan anti mazhab.

Gambaran cetek yang mengatakan seperti ini, adalah tidak lain tidak bukan kerana kurangnya ilmu dan informasi tentang hakikat sebenar mazhab.

Sebaliknya, banyaknya mazhab itu tidak ada kaitannya dengan perpecahan, apatah lagi permusuhan di dalam kalangan umat Islam. Banyaknya mazhab dan pendapat itu menunjukkan betapa islam itu sangat dinamik dan betapa wilayah ijtihad itu adalah luas.

Perbezaan pendapat telah berlaku semenjak dahulu lagi.

Perbezaan pendapat sudah berlaku ketika Rasulullah masih hidup. Baginda sendiri pernah berbeza pendapat dengan para sahabat dalam hasil ijtihadnya, dan pernah pendapat sahabatnya dibenarkan oleh Allah.

Kita ibaratkan mazhab itu seperti sebuah organisasi.

Sebuah organisasi yang mempunyai banyak jabatan.

Banyaknya jabatan dan bidang-bidang dalam sesebuah organisasi bermaksud organisasi tersebut mempunyai jangkauan yang sangat besar dan luas. Tentunya, jangkauan yang besar itu menunjukkan bahawa organisasi tersebut adalah organisasi yang hebat.

Justeru, kita seharusnya bersyukur kerana islam mempunyai banyak mazhab, seperti sekarang hanya empat sahaja. Mazhab menunjukkan betapa islam itu sungguh dinamik, dan kehadiran mazhab-mazhab ini, adalah sebagai peluang dan wacana untuk kita.

Wacana untuk lebih memahami al-Quran dan hadis.

Dan lebih memahami Islam itu sendiri.

Justeru, bermazhab itu bukan bermaksud Islam itu berpecah.

Apatah lagi bermusuhan.

Islam, is unseparated.

Pentingnya Bermazhab

Kali ini, kita istilahkan bahawa seseorang yang bermazhab itu adalah seperti seseorang yang sedang memakai komputer. Dalam kita menggunakan komputer, tidak mungkin seseorang dapat menggunakannya tanpa sistem operasi, contohnya Windows. Sistem operasi yang banyak dalam dunia komputer adalah penting bagi setiap pengguna. Kerana tanpa sistem operasi, manusia hanya berbicara dengan mesin.

Boleh sahaja seseorang pengguna itu tidak menggunakan sistem yang telah disediakan seperti tadi. Namun, dia tentu perlu membuat sendiri sistem operasi itu untuk dia menggunakan komputer, dan tentunya, sistem itu tidak sehebat sistem yang sedia ada.

Seseorang yang mahir sekalipun belum tentu mahu bersusah payah menciptakannya. Lebih baik menggunakan sahaja sistem yang sudah ada di pasaran. Masing-masingnya punya kelebihan dan kekurangan. Apa yang pasti, lebih elok lagi andai kita memanfaaatkan sahaja sistem yang sedia ada. Kerana pasti di belakang setiap sistem operasi yang digunakan itu, berkumpul para genius dan ilmuan-ilmuan komputer yang berkerja keras untuk menyempurnakan sistem operasinya.

Maka, begitu juga dengan bermazhab.

Rasulullah telah meninggalkan kita dua panduan untuk kita tidak sesat selama-lamanya, Iaitu al-Quran dan Sunnah baginda. Untuk kita memahami maksud kedua-dua panduan yang ditinggalkan itu, pastilah susah. Andai tidak faham panduan tersebut, bagaimana pula untuk kita faham Islam?

Justeru, disanalah titik penting, betapa pentingnya mazhab. 

Para ulama yang alim, telah berkerja keras untuk menafsirkan maksud dan menyimpulkan hukum-hukum dalam kedua-dua panduan tersebut, untuk kita mudah memahaminya. Apabila kita sudah memahami panduan tersebut, maka kita akan faham pula ajaran islam yang sebenarnya.

Seperti sistem komputer tadi, kita boleh sahaja menolak untuk bermazhab. Namun, untuk kita memahami agama, kita perlulah memahami kandungan dalam al-Quran dan hadis, dua panduan yang ditinggalkan kepada kita. Sekiranya nama seseorang itu adalah Khair, maka dia bermazhab Khairi. Andai seseorang bernama Hafiz, maka dia bermazhab Hafizi. 

Kerana menolak mazhab, maka untuk dia memahami agama, dia perlukan kefahaman dia sendiri dalam menyimpulkan hukum. Sekaligus, dia seperti telah mencipta mazhab sendiri. Tentunya, mazhab yang dia baru cipta itu, tidak sehebat mazhab yang sudah sedia ada, yang bertahan pula berzaman-zaman. Sedangkan seorang yang tingkat keilmuannya sudah mendalam seperti Imam al-Ghazali sekalipun berpegang kepada mazhab yang sudah ada, iaitu mazhab Syafie. Beliau tetap bermazhab walaupun terbukti kepakarannya dalam menyimpulkan hukum sendiri.

Penutup : Gunakanlah Peluang

Kita di Malaysia, bermazhab Syafie.

Di Pakistan lain, dan di Iran lain pula mazhabnya.

Namun, tujuan semuanya adalah sama, iaitu untuk kita lebih memahami ajaran Islam yang sebenar. Perbezaan pendapat antara mazhab ini sekaligus menunjukkan, bahawa Islam adalah agama yang dinamik. Justeru, gunakanlah peluang atas segala usaha keras ilmuan-ilmuan dahulu, yang telah menafsirkan satu demi satu ayat-ayat al-Quran dan hadis, dalam memahami maksud dan menyimpulkan segala hukum di dalamnya.

Tafsiran dan usaha ijtihad mereka dahulu, telah memudahkan kita untuk perlahan-lahan memahami agama Islam dan membantu menyelesaikan masalah-masalah berkaitan hukum yang timbul pada masa ini. 

Marilah, kita berusaha menggapai makrifah.

Ilmiah : Mazhab I



Baiklah.

Kita sambung bicara ilmiah tentang mazhab.

Sebelum saya memulakan, saya ingin mengatakan bahawa, bukanlah saya ini seorang yang arif dan faham benar akan soal-soal seperti ini. Saya hanya tahu serba sedikit sahaja. Justeru, saya perlu menulis dengan berpandukan sedikit rujukan melalui internet dan juga bahan-bahan bacaan.

Untuk memudahkan kita faham, saya kira lebih baik bicara mazhab yang pertama ini tentang pengenalan kepada mazhab, dan mazhab itu memudahkan. Kita maklum, bahawa persoalan tentang ini sangat panjang huraiannya.

Dan tegurlah saya, andai ada salah silap.


Semoga Allah mudahkan kita untuk faham.

Pengenalan : Mazhab

Mazhab adalah satu kaedah ilmiah dalam mengambil kesimpulan hukum daripada al-Quran dan hadis Rasulullah. Mazhab yang dimaksudkan di sini adalah mazhab fiqh.

Mungkin ramai antara kita yang berpendapat, bahawa dalam islam hanya ada empat mazhab sahaja. Saya juga berpendapat sebegitu pada awalnya. Namun, setelah dirujuk, rupanya saya silap.

Mazhab, masih ada banyak lagi yang lainnya. Ianya lebih dari dari empat, malah jumlahnya mungkin sehingga berpuluh-puluh. Namun, yang terkenal sehingga hari ini hanyalah empat mazhab seperti sekarang sahaja.

Mazhab Syafi'e, Hanafi, Hambali dan mazhab Maliki.

Empat mazhab ini dikenali, adalah kerana kesemuanya merupakan mazhab yang telah terbukti sepanjang zaman dan masih tetap bertahan. Usia mazhab-mazhab tersebut mungkin sudah melebihi ribuan tahun.

Keempat-empatnya, adalah dari sekian banyak mazhab yang berkembang pada masa kejayaan dan perkembangan ilmu fiqah dahulukala, dan bertahan pula sehingga hari ini. Mazhab ini wujud, untuk memberi penjelasan kepada umat islam akan isu-isu yang tidak dapat difikirkan oleh minda cetek manusia.

Mazhab, membawa kita untuk kembali kepada al-Quran dan sunnah.

Memahami dengan lebih mendalam akan agama kita.

Mazhab Memudahkan

Kita baca al-Quran.

Kita juga turut bacakan hadis Rasulullah.

Al-Quran yang kita baca itu, terkandung di dalamnya lebih daripada enam ribu ayat, dan hadis Rasulullah pula, bukanlah sedikit, malah sehingga mencapai ratusan ribu hadis.

Mungkin semua orang mampu membaca al-Quran dan hadis. Namun, berapa ramaikah antara kita yang dapat menyimpulkan hukum-hukum yang terkandung di dalamnya? Mungkin sangat sedikit bilangannya.

Bahasa al-Quran, bukanlah seperti bahasa melayu yang kita gunakan. Kitab al-Quran itu diturunkan oleh Allah dengan kesusasteraan yang Maha halus dan mempunyai kelazatan apabila dibaca oleh kita semua.

Tentunya, untuk memahami maksud al-Quran adalah sukar.

Apatah lagi untuk menyimpulkan hukum-hukum di dalamnya.

Maka, imam-imam yang mendirikan mazhab itulah yang berperanan untuk memudahkan masalah sukar untuk faham ayat al-Quran, kepada mudah. Satu demi satu ayat al-Quran dibaca, ditelaah, diteliti, dikaji, dibandingkan dengan ayat lainnya, kemudian menyimpulkan hukum yang terkandung di dalamnya.

Hadis yang banyak itu pula, juga sukar untuk dimengertikan. Sebelum sesuatu hukum itu disimpulkan, pelbagai proses harus dilalui. Antaranya ialah proses meletakkan taraf hadith, samada furu’, dhaif atau maudhu’ bagi mendapatkan darjat kesahihannya.

Hasil dari penelusuran ayat al-Quran mahupun jutaan butir hadis itu, mereka menulis pula dalam bahasa yang mudah difahami oleh semua. Dengan berpandukan kaedah-kaedah tertentu yang sudah ditetapkan sebelumnya secara ilmiah.

Ramai ulama dalam bidang masing-masing, dengan ribuan bahan, telah berusaha untuk melakukan jihad tersebut sepanjang zaman.

Sehingga itu, mereka menghasilkan kesimpulan dan perincian hukum yang sangat spesifik dan mampu menjawab semua isu yang rumit yang diutarakan sepanjang zaman. Hasil usaha imam-imam mazhab ini, telah memberikan jasa besar sepanjang kehidupan umat Islam sehingga abad ini.

Justeru, dengan mazhab, kita mudah faham.

Penutup

Jadi, kita sudah tahu pengertian mazhab.

Kita juga tahu bahawa mazhab itu memudahkan.

Justeru, untuk entri seterusnya, saya akan membawakan persoalan-persoalan yang lain pula berkenaan mazhab. Semoga, dengan fahamnya kita perihal mazhab, akan mendekatkan lagi diri kita kepada Allah.

Teruskan bersama saya.

Dan tegurlah, andai saya salah.

InsyaAllah.


Ilmiah : Mazhab



Suatu malam yang hening, saya ditanya melalui sms.

"Akhi, mengapa Islam ada empat mazhab?"

"Teman serumah ana yang bukan muslim tanyakan soalan," Dia sambung.

Minda saya mula aktif. Fikiran saya, yang sudah menerawang jauh lantaran mengantuk ketika itu mula bermain-main. Tersedar dari hampir terlena dan mimpi.

Saya terus membalas.


"Anti rupanya, ingatkan siapa tadi. Mahukan jawapan sekarang jugakah? Lagipun dah lewat malam. Lagipun, panjang jawapannya dan kalau pendek pun, panjang huraiannya,"

"Baik, jawapan yang panjang lah," Sahabat saya mencelah.

Saya, bukanlah seorang yang pakar dan begitu faham berkenaan membicarakan perkara-perkara cabang sebegini. Apatah lagi untuk memberikan jawapan yang seratus peratus tepat kepada sesiapa yang bertanya kepada saya.

Pada mulanya, saya berat hati.

Memandangkan ketika itu, sudah agak lewat, mata saya terasa begitu mengantuk, dan jawapan yang perlu diberi pula, andai pendek pun, huraiannya pasti akan panjang terutama sekali buat penanya soalan yang bukan dalam kalangan kita.

Namun, saya gagahkan juga.

Tambahan pula, dengan bekalan ilmu yang saya peroleh dari ustaz saya ketika saya masih dibangku sekolah tahun lepas 2008, saya terus mengaktifkan otak untuk berfikir. Mengingat kembali jawapan yang saya perolehi melalui beliau.

Ya. Dengan sedikit ilmu cetek yang saya ada.

Justeru, saya mula memberi jawapan, membalas sms beliau.

"Baiklah, kehadiran empat mazhab itu adalah disebabkan oleh terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan empat imam besar mazhab tersebut,"

"Sesetengah imam menerima sesuatu hadis tersebut kerana dianggapnya sahih dan boleh dijadikan dalil untuk sesuatu hukum. Manakala sesetengah yang lain pula sebaliknya. Menolak kesahihan sesuatu hadis tersebut dan tidak menerimanya sebagai dalil untuk sesuatu hukum,"

"Tambahan lagi, mereka mempunyai hujah masing-masing,"

Begitu bunyi jawapan saya.

Pendek.

Namun, terasa panjang jika dilakukan dengan sms.

"Jazakallahu khair akhi," Begitu sudahnya.

Saya sedar, bahawa jawapan saya itu sebenarnya tidak cukup untuk memuaskan hati seseorang yang ingin tahu berkenaannya, lebih-lebih lagi penanya soalan adalah seorang yang bukan muslim. Lalu, saya membalas mesej tersebut.

"InsyaAllah, nanti ana akan ulas lebih panjang dalam blog. Sekadar mesej, memang sukar untuk memberitahu dan memahami. Singgah-singgah lah kalau ingin tahu,"

Lalu saya berikan alamat blog saya yang ini.

Maka, entri kali ini sedikit ilmiah.

Kita bicarakan soal mazhab.

Pada entri akan datang.

InsyaAllah.

(^___^)


Teknologi Luar Biasa



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Lihat sekeliling kita.

Penuh dengan segala macam teknologi.

Kita lihat bahawa kehidupan kita ini penuh diisi dengan banyak teknologi. Dari sekecil-kecil dan seringkas-ringkas teknologi sehinggalah sebesar-besar ciptaan oleh manusia.

Jam dinding, telefon tangan, radio, televisyen, komputer, internet, dan banyak lagi ciptaan yang kita lihat dan kita gunakan hari ini, semuanya teknologi. Semuanya memberi kemudahan, meringankankan kita sebenarnya.

Macam-macam lagi, dunia kini serba-serbi dipacu teknologi.

Sekiranya kita hayati, diri kita sendiri juga merupakan sebuah teknologi. Malah antara teknologi yang paling rumit pernah diciptakan dan tidak mungkin dapat ditiru oleh kita, hatta ilmuan dan cendekiawan terkenal sekalipun.

Kerana itulah, jika kita pernah mendengar, bahawa ada sekelompok manusia yang ingin mebuat klon manusia, mereka ini tidak pernah berjaya. Mereka cuba dan cuba, akhirnya pasti ada kecacatan di sana sini.

Seharusnya mereka tahu dan sedar, bahawa manusia tidak mungkin dapat mencipta manusia. Hanya Allah yang mampu melakukan sedemikian rupa, kerana Dia Maha Menciptakan.

Teknologi Yang Ada Pada Kita

Lihat sahaja pada diri kita sendiri, bahawa terdapat teknologi-teknologi yang Allah cipta dan pinjamkan kepada kita secara percuma. Teknologi yang lebih rumit daripada teknologi ciptaan manusia.

Teknologi pada diri kita, adalah teknologi luar biasa.

Kita ada akal fikiran, teknologi yang membezakan antara kita dengan binatang. Juga mampu memberi kita kemampuan untuk membezakan antara baik dan buruk, halal haram, yang benar dan yang batil dan sebagainya.

Teknologi ini juga, membolehkan kita berfikir akan kebesaran Pencipta kita.

Seterusnya, kita dikurniakan sepasang mata.

Mata yang sihat. Dapat melihat dengan tajam dan jelas.

Dengannya, kita dapat melihat keindahan dan keagungan ciptaan Allah di muka bumi, melihat wajah-wajah dunia, mengenal saudara-saudara dan sahabat kita. Dengannya, kita melihat betapa hidup ini sungguh indah.

Penuh dengan warna, tidak gelap dan gelita.

Kita dianugerahkan juga sepasang kaki.

Untuk kita gunakan ketika bangun pagi untuk ke bilik air, ke dapur, sekolah, pejabat dan sebagainya untuk kita melaksanakan tanggungjawab yang tidak pernah surut.

Sepasang kaki yang pernah merasa, betapa pedihnya untuk bangun kembali pada saat dan ketika kita jatuh. Merasai pahit manis kehidupan dengan tiada rasa mahu mengalah dan penat lelah.

Kaki yang sentiasa terus berjalan dan berjalan.

Dengannya, kita semua memijak bumi Allah ini.

Dan sepasang kaki ini jugalah yang mendiri dan merebahkan kita di hadapan Yang Maha Esa tatkala menunaikan hak-Nya lima waktu sehari semalam.

Hidung, telinga, jari-jemari dan banyak lagi teknologi pinjaman daripada Allah kepada kita yang kita nikmati.

Sungguh, teknologi yang memang luar biasa.

Teknologi Ini, Gunakanlah Sebaiknya

Sesetengah daripada kita, ada semua itu.

Namun, mugkin sesetengah yang lain, tidak ada.

Justeru, saya ingin mengajak kita semua yang ada cukup dan lengkap segala-galanya, yang tidak cacat dan serba kekurangan ini, supaya gunakanlah teknologi yang telah Allah kurniakan pada kita itu dengan baik.

Teknologi akal fikiran yang ada pada kita, pandulah ia kepada sentiasa ingat dan berfikir akan kebesaran Allah. Gunakanlah akal yang ada pada kita untuk berfikir akan langkah-langkah yang harus kita gunakan, untuk meningkatkan lagi martabat agama kita.

Mata kita, gunakanlah untuk melihat kebesaran dan keindahan ciptaan Allah. Tidak melihat perkara-perkara maksiat dan perkara yang haram bagi kita untuk melihatnya. Mata kita, usahakanlah untuknya menitiskan airmata lantaran takut akan Allah.

Kaki dan tangan kita, pandulah ke jalan yang lurus dan benar.

Berjalanlah, dan mohonlah pada Allah supaya kita berjalan di landasan kebenaran. Bantulah saudara-saudara kita dan lakukanlah amal kebajikan sebelum segalanya ditarik balik oleh Peminjamnya.

Segala-galanya.

Gunakanlah, dan pandulah dengan baik.

Semata-mata kerana Allah.

Penutup : Bersyukurlah

Bersyukurlah.

Bersyukurlah kepada Allah kerana telah menciptakan kita dengan sempurna tanpa cacat-cela. Kerana mungkin ramai lagi yang tidak berpeluang merasa nikmat teknologi kurniaan Allah ini dalam kehidupan mereka.

Mereka merintih dan mendamba, namun tidak diberi.

Kita tidak meminta, namun diberi secara percuma.

Maka, bersyukurlah.

Selama-lamanya, saya akan dan sungguh bersyukur dengan segala nikmat teknologi yang ada pada saya. Kerana mungkin apa yang ada pada saya, tidak ada pada orang lain. Saya harap, anda juga begitu.

Mari, hayati dan syukuri teknologi yang ada pada kita.

Pandulah, dan gunakanlah dengan baik.

Semata-mata ke jalan Allah.

Kisah : Empat Isteri



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Adakah kali ini, bicara perihal sunnah?

Saya akan kata, tidak.

Jauh sekali untuk saya menulis tentang poligami. Kerana ilmu saya agak kurang untuk itu. Apa yang saya tahu, adalah sekadar berlaku adil mengenainya. Mungkin suatu hari nanti, insyaAllah.

Hari ini, saya ingin berkongsi satu cerita teladan, yang saya baca dalam majalah. Jadi, saya kira entri kali ini, merehatkan minda saya serba sedikit. Tidak perlu berfikir panjang, hanya perlu menulis semula sahaja.

Semoga kita ambil pengajaran darinya.

Gambar di atas, adalah sekadar hiasan.

Terimalah, kisah empat isteri.

Dikisahkan, ada seorang pedagang kaya yang mempunyai empat orang isteri. Dia mencintai isteri yang keempat dan memberikan harta dan kesenangan yang banyak kepadanya. Hal ini kerana, isteri keempat adalah yang tercantik di antara kesemua isterinya.

Maka, yang terbaik semuanya untuk isteri keempat itu.

Pedagang itu juga mencintai isterinya yang ketiga.

Dia sangat bangga dengan isterinya ini, dan sering berusaha untuk memperkenalkan isteri ketiganya ini kepada semua temannya. Namun dia juga selalu bimbang kalau-kalau isterinya ini akan lari dengan lelaki yang lain.

Begitu juga dengan isterinya yang kedua.

Dia juga sangat menyukainya. Dia adalah seorang isteri yang sabar dan penuh pengertian. Bila-bila masa pun apabila pedagang ini mendapat masalah, dia selalu meminta pandangan isterinya ini. Dialah tempat bergantung dan selalu menolong suaminya keika kesulitan

Sama halnya dengan isterinya yang pertama.

Dia adalah pasangan yang sangat setia.

Dia sering membawa kebaikan bagi kehidupan keluarga ini. Dia merawat dan mengatur semua kekayaan dan usaha si suami. Namun, walaupun isteri pertama ini banyak menumpahkan rasa kasih dan sayang, pedagang ini begitu tidak pedulikannya.

Suatu hari, si pedagang jatuh sakit dan menyedari bahawa masa untuknya hidup tinggal tidak lama lagi. Dia mula merenungi semua kehidupan indahnya, dan berkata dalam hati :

"Saat ini, aku punya empat orang isteri. Namun, apabila aku meninggal, aku akan bersendiri. Betapa sedihnya aku andai aku harus hidup sendiri,"

Lalu dia meminta semua isterinya datang.

Kemudian mulai bertanya pada isteri keempatnya.

"Kaulah yang paling kucintai, kuberikan kau pakaian dan perhiasan yang indah. Sekarang, aku akan meninggal, mahukah kau mendampingi dan menemaniku?"

Isteri keempatnya terdiam.

Jawapannya tidak!

Perempuan itu pergi begitu sahaja, meninggalkan jawapan yang sangat menyakitkan hati seakan-akan ada pisau yang terhunus dan menghiris-hiris hati sang pedagang.

Lalu dia bertanya kepada isteri ketiganya.

"Aku pun mencintaimu sepenuh hati, dan saat ini, hidupku akan berakhir. Mahukah kau ikut denganku, dan menemaniku sehingga keakhir hayat?"

"Hidup begitu indah di sini. Aku akan menikah lagi jika kau mati,"

Pedagang terasa begitu terpukul dengan jawapan itu.

Seterusnya, dia bertanya kepada isteri kedua.

"Aku selalu berdamping denganmu setiap kali mendapat masalah, dan kau selalu mahu membantuku. Kini, aku sangat perlukan pertolonganmu. Kalau aku mati, mahukah kau ikut dan mendampingiku?"

Si isteri kedua menjawab perlahan.

“Maafkan aku, aku tidak mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh menghantarmu ke liang kubur sahaja. Nanti, akan kubina makam yang indah buatmu.”

Jawapan itu seperti kilat yang menyambar. Kini, si pedagang kini berasa putus asa, dan kecewa dengan jawapan ketiga-tiga isteri mudanya itu. Tiba-tiba, dia terdengar satu suara.

"Aku akan tinggal bersama denganmu. Aku akan ikut ke manapun kau pergi. Aku tidak akan meninggalkanmu, dan aku akan setia bersamamu,”

Si pedagang lalu menoleh ke arah suara itu dan mendapati, bahawa yang berkata-kata itu adalah isteri pertamanya. Isteri nampak begitu kurus. Susuk tubuhnya nampak seperti orang yang sedang kelaparan.

Dengan penuh kesal, pedagang berkata.

"Kalaulah aku mampu melayanmu lebih baik pada saat aku mampu, tidak akan kubiarkan kau seperti ini, wahai isteriku,”

Begitulah kisah ini.

Menganalogikan kepada kita, bahawa kita ada empat isteri.

Isteri Keempat

Adalah tubuh kita.

Seberapa banyak waktu dan belanja yang kita keluarkan untuk tubuh kita supaya tampak indah, cantik dan gagah, semuanya akan hilang. Ia akan pergi segera apabila kita meninggal. Tidak ada keindahan dan kegagahan yang tinggal saat kita menghadap Allah kelak.

Isteri Ketiga

Adalah status sosial dan kekayaan.

Saat kita meninggal, semuanya akan pergi kepada yang lain. Mereka akan berpindah dan melupakan kita yang pernah memilikinya.

Isteri Kedua

Adalah kerabat dan teman-teman.

Walau berapa dekat hubungan kita dengan mereka, mereka tak akan mampu bersama kita selamanya. Hanya sampai kuburlah mereka akan menemani kita, disamping doa-doa yang mereka hulurkan.

Isteri Pertama

Adalah jiwa dan amal kita.

Mungkin kita sering mengabaikan dan melupakannya demi kekayaan dan kesenangan peribadi. Namun sebenarnya, hanya jiwa dan amal kita sajalah yang mampu untuk terus setia dan mendampingi kita kemana sahaja kita melangkah dan membawa diri.

Amalan kita, mampu menolong kita diakhirat kelak. Dengan disiplin dan keikhlasan, jagalah isteri pertama kita sepenuh jiwa dan raga.

Semoga Allah redha dengan kita.

Arkitek Kehidupan



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Apa khabar kalian?

Semoga khair selalu.

Hari ini, teringin menulis entri berkaitan arkitek.

Seingat saya, itulah cita-cita saya yang pertama sekali saya tulis dalam borang peribadi untuk kegunaan sekolah rendah saya dahulu. Sehingga kini, saya masih simpan cita-cita itu, namun sekarang saya cuba perlahan-lahan melupakannya.

Dahulu, saya berupaya.

Namun sekarang, saya kembali teringatkannya.

Kenapa?

Ya, saya masih lagi menyimpan azam sebagai seorang arkitek. Dahulu, saya ingin melupakannya, namun sekarang, saya sangat-sangat ingin ingat akan perkara ini. Justeru, di sinilah bermula kisah entri saya kali ini.

Tulisan untuk saya sentiasa muhasabah diri saya.

Seperti tulisan-tulisan yang lain juga.

Berdirinya Seorang Arkitek

Suatu hari, kita berjalan-jalan di bandar atau bandaraya. Lalu kita melihat di sekeliling kita, banyak bangunan dengan pelbagai bentuk binaan , seni dan corak. Pastinya, yang kita lihat adalah kebanyakannya bangunan-bangunan yang megah dan teguh berdiri.

Disebalik semua itu, siapakah yang telah bersusah payah mereka bentuk awal bangunan tersebut, lalu dengan campuran batu-bata, zink dan simen, bangunan itu terbentuk sehinggalah dikenali seperti hari ini?

Pastinya, disebalik semua itu, berdirinya seorang arkitek.

Arkitek itu berjaya mereka bentuk bangunan, dengan bantuan buruh-buruh untuk seterusnya membina bangunan tersebut. Dengan hasil yang diperoleh, dia lantas digelar sebagai seorang arkitek yang berjaya.

Baiklah.

Saya umpamakan bahawa kita ini adalah sebuah bangunan. Dan disebalik binaan sepertimana kita hari ini, berdirinya arkitek. Dan saya akan katakan, bahawa disebalik bentuk binaan kita hari ini, ada dua arkitek yang berjasa.

Iaitu ibu bapa kita, dan kita sendiri.

(Allah lah Yang Maha Kuasa atas segala-galanya).

Ibu Bapa : Arkitek kita

Percayakah anda?

Bahawa ibu bapa adalah arkitek dalam hidup kita?

Percayalah.

Ingat sahaja asuhan kita yang pertama, yang mana tidak lain dan tidak bukan adalah laungan azan dan iqamat dari seorang ayah.

Itu, adalah asuhan yang sangat mulia.

Kita, yang baru sahaja lahir dan belum lagi mengenal dunia, diasuh untuk mengesakan Allah. Seterusnya, diasuh pula untuk percaya bahawa Rasulullah itu adalah pesuruh Allah.

Hakikatnya, kita tidak dengar, dan tidak faham.

Namun, itulah ilmu yang pertama sekali disampaikan kepada kita.

Pagi dan petang tidak disia-siakan. Nafkah dicari untuk memudah dan melicinkan segala kerja-kerja untuk membina dan mencantikkan struktur dalaman dan luaran kita. Makanan dicari supaya kita sentiasa kenyang dan mampu meneruskan hidup.

Ilmu demi ilmu dia ajarkan supaya kita nanti, apabila sudah menginjak dewasa, berguna kepada keluarga, saudara mara dan orang lain.

Seperti seorang arkitek yang membina prasarana dan kemudahan demi kemudahan dalam sesebuah bangunan, pasti akan memberikan kemudahan kepada kita semua.

Ayah kita, memang arkitek yang hebat.

Begitu juga dengan ibu kita.

Tugas seorang ibu bukanlah hanya untuk mengandung dan melahirkan, tetapi juga dilengkapkan dengan mengasuh kita yang telah menjejak ke dunia. Dengan segala asuhan yang kita terima, kita menjadi sepertimana kita hari ini.

Seperti kita dahulu, anak yang baru lahir pasti menangis.

Namun, tangisan itu dihentikan apabila diberikan susu.

Susu ibu, bukanlah sekadar makanan jasad yang mengenyangkan dan menambah berat badan, tetapi juga merupakan makanan jiwa yang memberi rasa dikasihi.

Apabila kita berada di pangkuannya, kita akan berasa selamat dan dilindungi. Kerana dia, memagari kita sehabis daya. Nampak, dia membina satu sistem pertahanan yang cukup kukuh untuk keselamatan kita.

Melalui asuhannya juga, dia membangunkan sifat kemanusiaan pada diri kita. Ketika kecil, kita nakal. Maka, dia ajar kita tentang adab dan akhlak, untuk meninggikan lagi martabat kita disisi masyarakat.

Seperti seorang arkitek, dia membina ciri-ciri tambahan pada sebuah bangunan itu, untuk meningkatkan lagi kemantapan struktur bangunan dan popularitinya dalam kalangan rakyat.

Ibu kita, memang arkitek yang hebat.

Kita : Arkitek Kita Sendiri

Percaya tidak?

Percayalah.

Bahawa kita sendiri adalah merupakan arkitek pada diri kita sendiri.

Ketika di bangku sekolah, kita menimba ilmu. Fardhu ain dan kifayah. Sejauh mana ilmu yang disampaikan kepada kita itu mampu kita fahami dan kita amalkan, adalah bergantung kepada sejauh mana kecekapan pembinaan sifat ikhlas dan usaha kita.

Sekiranya binaan itu kukuh, beruntunglah.

Sekiranya tidak, rugilah kita.

Begitu juga dengan pembinaan hati dan akhlak. Sifat-sifat yang baik dan kukuh itu, tidak akan mampu kita bina tanpa pembinaan disiplin rohani dan jasmani yang ketat. Sifat dan sikap yang kita bina dari segi perbualan, perbuatan, pemakaian, kepatuhan dan tanggungjawab itu nanti, akan kita kendalikan sendiri.

Hasilnya, akan kita nampak pada diri kita hari ini.

Justeru, kita ini, adakah kita arkitek yang hebat?

Penutup : Rancanglah

Untuk kita menjadi seorang yang berdisiplin tinggi, mempunyai akhlak yang disenangi oleh orang lain, mencapai kejayaan dalam hidup, mencapai segala cita-cita dan azam kita, mempunyai jawatan yang tinggi di syarikat, dan macam-macam lagi sehinggalah harapan untuk kita menjadi seorang hamba yang dikasihi dan diredhai oleh Allah, kitalah yang bertanggungjawab untuk semua itu.

Tindakan kita untuknya, akan menjadikan kita hari ini.

Justeru, saya ulangi.

Bahawa ibu bapa kita, adalah arkitek untuk kita.

Mereka, adalah antara penyumbang terbesar yang telah banyak berkorban untuk menjadikan bentuk binaan dalaman kita pada hari ini.

Maka, bersyukurlah kepada Allah kerana kita dikurniakan ibu bapa yang yang telah banyak berkorban segala-galanya. Kita balaslah jasa-jasa mereka atas segala khidmat arkitek yang telah mereka berikan secara percuma.

Mereka, memang arkitek yang hebat dan berjasa!

Saya sayang mereka.

Alhamdulillah.

Dan kita, adalah arkitek untuk diri kita sendiri.

Maka, rancanglah kehidupan kita. Kita rancang, rancang dan berusaha sekaligus menjadikan Allah sebagai puncak penentu buat segala perancangan kita tadi. Kerana kita hanya berupaya merancang dan Allah yang berkuasa menentukan.

Umpama kita melukis pelan untuk membina sebuah bangunan yang tinggi dan megah, kita lakukan dengan sepenuh hati dan terperinci. Begitulah juga kita harus lakukan pada diri kita. Kita lukis bagaimana untuk menjadikan kita yang kita inginkan.

Marilah, kita lukis, dan kita corakkan sendiri.

Semoga, kita juga menjadi arkitek yang berjaya.

InsyaAllah!

Mari Berhijrah



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Hari ini 25 Disember.

Sepatutnya saya menulis perihal Krismas.

Saya juga ingin menulis perkara-perkara yang berkaitan dengannya dari kacamata dan persepsi saya sebagai seorang muslim. Tetapi biarlah saya tinggalkan hasrat itu kerana saya ada membaca tulisan Ustaz Hasrizal berkenaan itu.

Maka, saya ingin berkongsi dengan anda, akan apa yang saya baca di teratak beliau di saifulislam.com. Sama-sama kita ambil pengajaran.

InsyaAllah.

Justeru, ganti kepada entri kali ini, saya tampilkan perihal hijrah.

Walaupun sudah lepas sambutan tahun baru hijrah, namun saya kira maksud dan peristiwa berkaitan hijrah itu tidak sepatutnya kita ingat dan fahami ketika awal tahun muharam sahaja dan melupakannya selepas itu.

Lagipun, sekarang masih dalam bulan muharam.

Masih di tahap yang sesuai.

Rasanya, kalian sudahpun tahu maksud hijrah dan peristiwa berkaitan, bukan? Justeru, entri kali ini, saya ingin menyuarakan satu ajakan kepada kita semua, untuk berhijrah, berhijrah dan terus berhijrah.

Berhijrahlah, berjalan dan berkorbanlah!

Ayuh berjalan, pasti kita akan dapatkan ganti apa yang kita tinggalkan dan sediakanlah bekalan, kerana kenikmatan hidup ini, akan diperoleh dan dirasai dalam kelelahan.

Air yang beku, mampu berubah menjadi busuk. Justeru, andai air itu bergerak, pasti jernih warnanya, baik rupanya dan pasti sejuk mata-mata yang memandangnya.

Haiwan tidak dapat makanan andai tidak keluar dari sarang.

Anak panah tidak akan mengenai sasaran andai tidak dilepaskan.

Rasulullah telah bersabda melalui hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari dari Ibnu Umar, yang bermaksud :

“Jadilah kalian di dunia ini sebagaimana orang yang terasing atau bagai engkau dalam perjalanan musafir,”

Ayuh, mari bersiap-siaplah.

Arahkan tujuannya.

Pergilah kita kepada kebaikan, kepada ketaatan, kepada kebenaran, kepada islam sebenar, kepada keadilan dan kesejahteraan. Berangkatlah kita kepada kejujuran, keikhlasan dan istiqamah.

Sediakanlah bekal.

Kerana kita berjalan, bukan terbang.

Perjalanan ini panjang dan pasti bermacam ragamnya. Ragam kita, dan ragam duri-duri sepanjang perjalanan. Hidup kita diisi dengan nikmat dan kurnia yang melahirkan syukur. Juga musibah dan bencana yang menuntut kita sabar.

Justeru, hidup ini tidak lepas dari bentuk anugerah, ujian, cubaan bahkan peringatan dan azab. Maka, tidak ada bekalan yang setanding melainkan bekalan iman dan taqwa.

“Dan berbekallah, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu adalah taqwa. Dan bertaqwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal.”

Seterusnya, berhati-hatilah.

Kerana pasti ada penghalang di jalanan.

Penghalang yang akan menghabiskan bekalan kita tanpa belas kasihan. Sehingga nyaris menjadikan kita tidak lagi meneruskan perjalanan. Duri itu ada di sekeliling kita, bahkan ada pada kita.

Jangan terlena di tempat kita berteduh.

Memang, perjalanan ini adakalanya kita mesti singgah. Kerana kita perlukan sedikit masa, untuk kita duduk dan baring sejenak. Menikmati hidangan, mencari kekuatan untuk meneruskan jalan. Untuk menatap pemandangan, merehatkan mata.

Namun, awas!

Dunia mampu melekakan.

Takut-takut nanti, kita buang hasrat untuk berjalan.

Janganlah tinggalkan rombongan.

Hijrah kita ini adalah hijrah seorang musafir. Perubahan kita, pasti memerlukan peranan nasihat kawan-kawan dan juga teguran sahabat.

Jangan sesekali kita lepaskan diri dari kabilah ini. Kerana kekuatan perjalanan ini dipengaruhi juga oleh kekuatan ukhwah sesama kita.

Kita tidak boleh sendirian.

Kita perlu berjamaah.

“Bergabunglah kamu dalam khafilah jamaah, kerana sesungguhnya serigala itu akan menerkam domba yang sendirian,”

Marilah.

Kita berhijrah, berjalan, dan berkorbanlah.

Allah sentiasa bersama kita.

Salam 1431 Hijrah



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Zulhijjah 1430 hijrah sudah melabuhkan tirai.

Tiba pula giliran Muharam 1431 hijrah untuk terus mencorakkan kamus dan melangsungkan tugasnya sebagai petanda, bahawa masa itu berlalu dan terus berlalu, meninggalkan segala yang lepas sebagai kenangan.

Kesempatan demi kesempatan masih Allah anugerahkan kepada kita, agar perjalanan kehidupan kita dapat diteruskan. Kesempatan, di mana adalah peluang bagi kita untuk merealisasikan matlamat, supaya hari ini adalah lebih baik dari semalam.

Salam ma'al hijrah dari saya.

Semoga kehadiran, dan keberadaan kita di dalamnya dilimpahi kebaikan demi kebaikan daripada Allah. Semoga kita, terus melipatgandakan ibadah sebagai tanda kesyukuran kepada-Nya.

Kehadiran tahun baru ini pasti membawa seribu satu mesej dan makna buat kita. Kehadirannya, telah membuatkan kita berfikir tentang apa yang telah kita lakukan sepanjang tahun yang lepas. Segala baik buruk yang kita kerjakan, dan sebagainya.

Begitu juga saya.

Penting dan bermakna sekali kehadiran tahun baru ini buat saya, namun tidak tahu bagaimana untuk saya ungkapkan. Bukan sekadar sambutan tahun baru, namun lebih dari itu. Semoga kita mampu menghayatinya.

Penutup : Mari Berhijrah

Mari kita mengorak langkah, sama-sama berhijrah.

Semoga hijrah kita, bukanlah hijrah setahun sekali, tetapi berkali-kali. Andai kita merasakan bahawa kita sudah terlalu jauh menyimpang dari jalan Allah, kita berhijrahlah, untuk kita kembali ke jalan itu.

Hijrah Rasulullah dari Mekah ke Madinah, adalah untuk menyampaikan dakwah di sana kerana dakwah baginda tidak diterima di Mekah. Hijrah baginda, adalah permulaan tapak bagi memastikan islam terus berkembang sehinggalah ke hari ini.

Kita, adalah pendukung dakwah baginda. Justeru, untuk kita mengislahkan dunia, kita perlu mengislahkan diri kita. Pengislahan itu, tidak mampu kita capai andai tidak dengan mendalami maksud dan melakukan hijrah.

Untuk itu, mari sama-sama berhijrah.

Bagi yang lupa, kita sampaikanlah pesan.

Buat yang leka, kita sedarkanlah dengan peringatan.

Biar sentiasa diingati peristiwa hijrah itu.

Biar makmur hijrah itu.

Semoga Allah terima hijrah kita.

Syukur, Syukur



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Teknologi.

Betapa teknologi itu penting pada kita.

Entri yang saya tulis kali ini, adalah dengan bantuan teknologi. Komputer riba yang kerdil ini pula, dihidupkan denga kehadiran bateri dan bateri itu pula, diisi dengan bantuan tenaga elektrik yang sentiasa mengalir dan mengalir.

Banyak lagi.

Semuanya teknologi, teknologi dan teknologi.

Namun, bukanlah entri kali ini ingin saya tulis fasal teknologi, tetapi sekadar kata-kata syukur dan terima kasih kepada Allah, Tuhan yang telah menciptakan sekalian sumber-sumber alam untuk menghidupkan sekalian banyak teknologi di dunia.

Teknologi, yang Allah pinjamkan kepada saya. Biarlah kata-kata syukur saya kali ini, diterjemahkan dalam bentuk tulisan pula.

Semoga Allah redha dengan saya.

Dan kita semua juga.

Segala puji bagi Allah yang telah meminjamkan kami sebahagian teknologi dari sekian banyak teknologi yang Engkau miliki. Engkau telah memberikan kami kemudahan untuk urusan hidup kami.

Wahai Tuhanku, aku merasa betapa ringannya hidupku atas kemudahan yang Engkau berikan. Benar-benar terasa nikmatnya. Urusanku telah dipermudahkan dengan nikmat yang engkau kurniakan.

Urusanku, dapat diatur dengan baik.

Melalui teknologi yang Engkau kurniakan ini, dapatlah aku menggunakan kesempatan itu untuk aku mencari ilmu untuk menambahkan lagi ilmuku yang hanya setitis ini berbanding ilmu-Mu yang seluas lautan.

Tetapi.

Aku takut jika kemudahan ini menjauhkan aku dari-Mu.

Aku sungguh risau jika hatiku terhijab oleh kecanggihan dunia ini. Aku takut mata hatiku menjadi buta dan tidak nampak lagi kebesaran-Mu kerana sibuk melihat dan mengejar kecanggihan-kecanggihan itu.

Janganlah kerana kemudahan ini aku menjadi manja dan tidak tabah menanggung kesulitan dan kepayahan sepanjang perjalanan hidupku.

Ya Allah moga-moga janganlah kemudahan yang ada ini menjadikan aku mengambil mudah dengan urusanku, kerana aku pasti akan dipertanggungjawabkan di atas segala tanggungjawabku di dunia ini.

Peliharalah aku ya Allah.

Segala puji bagi-Mu.

Kesempatan Untuk Berbicara



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Manusia berkata-kata dan berbicara setiap masa.

Perbualan yang berlaku adalah merupakan satu bentuk komunikasi dan semuanya adalah terjadi secara semula jadi. Kita hanya boleh mengawal, dan memilih, sama ada mahu berkata-kata atau mendiamkan diri.

Medium komunikasi zaman ini pula tidak dapat kita bayangkan. Bermula dari telefon, naik setapak lebih maju lagi, kepada internet. Semuanya memudahkan kita untuk berbicara, berkomunikasi.

Bicara manusia itu pula ada dua.

Bicara yang bermanfaat dan bicara yang tidak.

Bicara yang bermanfaat adalah kata-kata yang ada padanya sifat yang baik, sehingga sampai pula kebaikan itu kepada orang lain. Sebaliknya, bicara yang tidak baik itu, adalah kata-kata, yang padanya ada sifat yang buruk.

Saya pernah mendengar, bahawa tutur kata seseorang itu, melambangkan sikapnya. Baik bicaranya, baiklah peribadinya. Buruk tutur katanya, begitulah juga buruk akhlaknya.

Agaknya, bagaimana bicara kita, ya?

Kita tepuk dada, muhasabah diri.

Bicara Dalam Hidup Kita

Saya pasti, bahawa kita sentiasa diperingatkan untuk berkata-kata dengan baik. Justeru, dalam kehidupan kita, kita berusaha untuk mengawal bicara, supaya tidak menyebabkan telinga-telinga yang mendengarnya terasa pedih.

Namun, tiada manusia yang sempurna.

Betapa kita tidak sedar, bahawa mungkin kebanyakan kata yang keluar dari mulut kita diisi dengan perkataan-perkataan yang tidak baik, sia-sia atau mampu melukakan hati orang lain. Kita usaha untuk menjaga, namun kita tidak sedar.

Ditambah pula dengan ghibah yang dilemparkan, sama ada secara sengaja atau tidak ketika kita duduk bersembang kosong bersama kawan-kawan kita.

Semuanya mengundang dosa.

Lalu Allah berikan kita kesempatan, untuk kita menampung kembali kata-kata yang tanpa kita sedari tadi, telah menyebabkan hati seseorang yang mendengarnya berasa sakit.

Suatu hari kita diminta untuk menyampaikan ucapan, ceramah, tazkirah atau nasihat kepada orang lain. Hari yang lain pula, kita diberi kepercayaan untuk mendengar masalah sahabat kita dan memberikan pendapat tentangnya.

Kesempatan itu, datang tiba-tiba.

Mungkin, pada sesetengah kita, kita dapat peluang begitu. Namun, sesetengah yang lain pula mungkin tidak.

Maka, bersyukurlah.

Saya juga, pernah diberi peluang untuk menyampaikan kata-kata yang baik kepada orang lain. Diundang untuk memberi kuliah, ucapan dan sebagainya. Juga apabila ada sahabat yang memerlukan perkongsian dan sebagainya, saya cuba untuk tidak menolaknya.

Kesempatan seperti itu, pada saya adalah peluang yang berharga. Peluang untuk kita mengungkapkan kata-kata yang baik, yang memberi manfaat kepada yang lain.

Peluang seperti itu, adalah datang dari Allah.

Rugi andai kita menolaknya.

Firman Allah :

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh dan berkata : Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?” (Surah al-Fushilat ayat 33)

Kesempatan Itu, Gunakanlah

Maka, andai kita pernah diminta untuk menyampaikan perkataan yang baik kepada orang lain, usahakanlah untuk tidak menolak kesempatan itu. Kata-kata baik yang kita sampaikan, mungkin boleh memadamkan dosa kita akibat kata-kata buruk yang pernah kita ungkapkan sebelum ini.

Sehingga nasihat dan perkataan baik kita terkesan di hati orang lain dan sentiasa diingati sepanjang hidup mereka. Kemudian, mereka ingatkan pula pada anak-anak mereka sehinggalah kepada keturunan yang seterusnya.

Kesempatan itu, peluang yang berharga.

Bukankah itu peluang meraih kasih sayang Allah?

Teladan Pada Nabi Musa

Mungkin kita biasa mendengar ayat ini.

"Ana takde ilmulah ... "

"Kalau bab bagi tazkirah ni, ana gagap sikit ... "

"Sepatutnya, ana diberi nasihat, bukan memberi ... "

Macam-macam lagi alasan kita suarakan.

Mari kita mengimbau sirah. Pada diri Nabi Musa, kita boleh ambil iktibar. Baginda, berbanding saudara baginda, iaitu Nabi Harun kurang lancar lidah dalam bicara. Namun, Allah memerintahkan baginda untuk berjumpa Firaun dan mengajak kepada kebenaran.

Baginda akur, dan patuh dengan perintah itu.

Lalu baginda berdoa, dan kita diajar doa ini :

"Ya Tuhanku, lapangkanlah dadaku, dan mudahkan untukku urusanku, dan lepaskanlah kekakuan lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku," (Surah Toha ayat 25-28)

Kemudian, Allah berfirman dalam ayat ke 36 :

"Allah berfirman : Sesungguhnya telah diperkenankan permintaanmu, wahai Musa,"

Doa baginda diperkenankan.

Ini adalah satu petunjuk, bahawa sekiranya kita ingin mengungkapkan perkataan yang baik, lancar dalam menyampaikan yang baik dan kebenaran kepada orang lain, maka mohonlah pertolongan daripada Allah.

InsyaAllah, akan Dia perkenankan.

Penutup : Mari Sampaikan

Kehidupan kita tidak lama.

Bila-bila masa sahaja boleh dicabut nyawa kita.

Jadi, apa kata, kita isi lompong yang kosong dalam hidup kita dengan sedikit kebaikan. sama-sama kita bicara dan sampaikan kata-kata yang baik pada keluarga, kawan-kawan, di pejabat, sekolah mahupun dengan sesiapa sahaja yang kita kenali.

Lebih elok lagi, kepada sesiapa saja.

Jika tidak diberi kesempatan, kita usaha cipta kesempatan. Kita diberi kemampuan untuk mengendalikan mulut dan lidah kita sendiri. Maka, lidah itu, kita kendali dan usahakan untuk menyampaikan perkataan yang baik.

Setiap masa, setiap ketika.

Justeru, sama-sama kita usaha.

Sampaikanlah yang baik.

Sekalipun sepotong ayat.