Tentang Ikhlas



Kita selalu berkata.

Bahawa kita ingin ikhlas dalam segalanya.

Nampak mudah untuk kita bicarakan.

Namun hakikatnya, sukar untuk ditunaikan.

Manusia, ramainya tertipu dalam beramal.

Amal dilakukan kerana mengharapkan pujian orang, sedangkan segala kata-kata pujian yang keluar daripada mulut seseorang itu tidak akan memberi sebarang manfaat pun kepada kita pada hari akhirat kelak.

Malah, mengharapkan pujian daripada manusia hanya akan menyebabkan diri kita terseksa kerana terpaksa hidup dalam keadaan yang sombong dan bermuka-muka. Sungguh, rugi benar orang yang tidak ikhlas.

Terseksa juga dia di dunia.

Terseksa lagi dia nanti di akhirat.

Justeru, bagaimana untuk kita amalkan ikhlas dalam kehidupan kita ini? Adakah cukup sekadar mengatakan bahawa kita ini sudah ikhlas? Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kejayaan kita dalam mencapai keikhlasan itu, bukanlah sekadar melalui kata-kata.

Tetapi, nampak terjemahannya melalui perlakuan.

Jadi, bagaimana?

Ingin tahu?

Ya, saya juga ingin tahu.

Mari, saya bawakan satu kisah.

Silakan.

Ambillah pengajaran darinya.

Kisah Bermula

"Mari aku ajarkan engkau tentang ikhlas," Kata seorang guru.

"Nanti saya ambilkan buku dan pena untuk menulis," Balas muridnya.

"Tidak perlu, bawa sahaja karung guni itu," Gurunya berkata.

"Karung guni?" Tanya murid. Nadanya terkejut.

Seperti tidak percaya sahaja.

"Mari kita ke pasar," Guru tersebut mengajak muridnya.

Dalam perjalanan ke pasar, guru tersebut membawa muridnya berjalan melalui jalan yang berbatu-batu, lalu segera menyuruh muridnya itu mengutip batu-batu yang besar di sepanjang jalan itu dan memasukkannya ke dalam guni.

"Kutip batu-batu yang besar dan masukkan ke dalam guni yang kau bawa itu," Kata guru itu memberi arahan.

Tanpa banyak soal, anak muridnya memasukkan batu-batu besar yang mereka temui sepanjang jalan. Muridnya hanya memasukkan sedikit sahaja batu ke dalam guni tersebut.

"Cukup?" Tanya muridnya.

"Belum. Isi sampai penuh karung guni itu," Kata guru.

"Lebih banyak lebih baik,” Sambungnya.

Sampai sahaja mereka di pasar, mereka berdua langsung tidak membeli apa-apa barang. Gurunya hanya berlegar-legar dan terus berjalan, melihat-lihat sebentar dan kemudiannya mula beredar ke luar. Muridnya hanya mengekori dari belakang, sambil membawa guni penuh dengan batu itu.

"Tok, kita tidak beli apa-apa kah?" Tanya muridnya.

"Tidak perlu, bukankah karung guni engkau sudah penuh?" Jawabnya.

"Ya, ya…" Murid itu hanya mengiakan sahaja kata-kata gurunya sambil memikul guni yang berat itu kelelahan.

Seketika kemudian.

"Banyak beli barang," Tiba-tiba mereka ditegur oleh seseorang apabila melihat anak murid itu memikul guni yang penuh dengan muatan.

Sedangkan hakikatnya, hanyalah batu-bata.

"Wah, tentu mereka berdua ini orang kaya. Banyak sungguh barang yang mereka beli," Bisik orang yang lalu-lalang di situ apabila melihat guru dan anak murid tersebut.

"Agaknya, mereka hendak buat kenduri dengan barang-barang yang banyak itu," kata sesetengah yang lain pula.

Akhirnya, mereka sampai kembali di rumah gurunya. Sampai sahaja di tempat tinggal mereka, murid tadi meletakkan guni yang berisi penuh dengan batu-batu tadi. Penatnya memang tidak dinafikan.

"Huh, letih sungguh," Keluh muridnya.

"Apa yang kita hendak buat dengan batu-batu ini Tok?" Dia bertanya.

"Tak buat apa-apa." Jawab gurunya ringkas.

"Kalau begitu, letih sahajalah saya," Balas anak murid.

"Memang letih, tetapi engkau sudah belajar tentang ikhlas,” Sambungnya.

"Bagaimana?" tanya anak murid itu.

Sedikit hairan dengan kata gurunya.

"Engkau telah belajar, apa akibatnya jika tidak ikhlas dalam beramal," Guru itu merungkaikan satu demi satu kepada muridnya.

"Dengan memikul batu-batu ini?" Tanyanya lagi.

“Ya, batu-batu itu adalah umpama amalan yang dilakukan dengan riak. Tidak ikhlas. Orang memujinya seperti orang di pasar tadi memuji banyaknya barang yang kamu beli. Namun, engkau sendiri tahu bahawa itu bukan barang makanan atau keperluan, tetapi hanyalah sekadar batu-batuan,” Ulas gurunya.

"Amal yang tidak ikhlas umpama batu ini?" Murid itu inginkan kepastian.

"Ya, hanya beratnya sahaja yang terpaksa engkau tanggung. Engkau dipuji orang, tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah. Yang engkau dapat, hanya penat," Sambung gurunya.

Murid itu akhirnya faham.

Akan apa yang dimaksudkan oleh murabbi itu.

Dia teruskan langkah dengan azam.

Semoga ikhlas yang hakiki, dia perolehi.

Penutup : Ikhlaslah

Begitulah cerita tersebut.

Cerita yang memberitahu kita akan keadaan orang yang tidak ikhlas dalam sesuatu amalan, hanyalah seperti mengangkat guni yang penuh dengan batu-batuan sahaja. Orang lain memuji kita, sedangkan kita tahu bahawa kita bukanlah seperti apa yang mereka tafsirkan.

Selama ini, kita mengerjakan amalan-amalan yang baik.

Yang kita dapat, hanyalah penat.

Tiada nilai disisi Allah.

Dalam hal ini, saya teringat akan sebuah cerita berkenaan seorang alim yang hidupnya selama berpuluh tahun mengerjakan amalan soleh kepada Allah. Namun, apabila dihadapkan di hadapan Allah, segala amalannya selama berpuluh tahun itu Allah lontarkan kembali ke wajahnya.

Semuanya, tidak diterima.

Justeru, apa maksud semua itu?

Ya, semuanya adalah kerana tiadanya keikhlasan dalam beramal.

Jadi, apa lagi?

Mari kita pasangkan niat.

Kita beramallah dengan ikhlas.

Beribadahlah dengan ikhlas.

Semoga Allah terima keikhlasan kita.

Kepada semua, katakanlah amin.

Amin.


Hinakah Cinta?



Terus menjejak ukhwah di alam maya.

Dan menyampaikan risalah kebaikan.

Baca tajuk di atas?

Ya, soal kali ini, saya ingin bicarakan perihal cinta. Tulisan ini adalah soal cinta yang ketiga yang saya tulis semenjak terciptanya teratak yang serba kekurangan ini. Biarlah, kalau hajat hati sudah ingin menulis, lebih baik jangan ditangguhkan, sebelum idea itu hilang semuanya.

Kita berjalan, diberi nikmat melihat dan minda untuk mentafsir.

Kita ini, apabila mula berjalan, kita akan mula melihat pelbagai benda di sekeliling kita. Seterusnya kita akan mula menafsir satu-persatu tentang apa yang kita lihat. Justeru, tulisan saya kali ini, adalah tafsiran saya berkenaan cinta.

Cinta yang hina.

Cinta yang tidak dipandang agama.

Sama sekali berlainan dengan cinta yang mulia.

Cinta

Sebelum berganjak ke langkahan seterusnya, saya kira saya ingin memberi buah pandangan saya akan perkataan cinta.

Pada saya, cinta itu seakan-akan satu ciptaan yang mempunyai kuasa yang sakti. Kuasa itu bukanlah ditunjukkan secara zahir, namun kesannya dapat kita lihat apabila cinta mengeluarkan kuasanya dalam bentuk batin. Tidak nampak oleh mata-mata.

Maka, pada saya cinta itu kuasa yang hebat.

Apatah lagi Pencipta kepada cinta itu sendiri.

Lagilah Maha Hebat.

Cinta ini, mampu mempengaruhi semua golongan, tidak kira tua mahupun muda, yang berisi, yang kurus, lelaki, perempuan dan pendek kata, semua sekali. Tidak ada yang terkecuali termasuklah orang yang mempunyai minda kelas pertama sekalipun.

Cinta mampu mempengaruhi dan mengubah personaliti seseorang menjadi perwatakan yang lain daripada sebelumnya, tanpa disedari. Perubahan ini boleh jadi kepada dua keadaan, iaitu kepada kebaikan ataupun sebaliknya.

Justeru, saya percaya.

Bahawa hinalah cinta itu, apabila kita salah dalam meletakkan matlamat akhir cinta kita itu, dan mulialah cinta itu, apabila kita sandarkan pada niat dan landasan yang betul.

Cinta Yang Hina

Betulkah ada cinta yang hina?

Awalnya, saya juga tidak pasti. Namun, frasa ini saya gunakan sekadar memberitahu bahawa ada cinta yang menyebabkan kita lupa akan Pencipta kita, lalu menyebabkan kita terjerumus ke dalam lembah maksiat. Itu, cinta yang kita namakan cinta yang hina.

Cinta berdasarkan nafsu semata-mata.

Bukankah kita diajar akan ungkapan, saya sayang kamu kerana Allah? Maka yang sebenarnya, kecintaan kita kepada seseorang itu sepatutnya akan lebih menguatkan cinta kita kepada Allah. Cinta, yang landasannya bukan kerana nafsu.

Tetapi kerana redha Allah.

Semata-mata.

Justeru, ketidakpastian saya berubah menjadi pasti.

Benarlah ada cinta yang hina di dunia ini.

Kita lihat satu persatu huruf yang melengkapkan cinta ini.

Cinta jenis ini, mendorong kita untuk berhajat dan menyukai seseorang itu hanya kepada pasangan yang ‘Cantik’ sahaja. Kecantikan ini bukanlah pada eloknya pekerti, tingkah laku, bahasa dan indahnya nilai diri yang ada pada seseorang, namun adalah pada cantiknya paras wajah dan bentuk badan mereka.

Namun hakikatnya, bukan itu sahaja faktor pendorongnya. Konsepnya yang sebenar adalah lebih luas dari itu. Seperti yang seringkali kita tonton dalam cerita drama, ia juga dikaitkan dengan kecenderungan kepada sesuatu yang lebih bersifat keduniaan, seperti darjat, pangkat, status kewangan dan sebagainya.

Seterusnya, pasangan yang bercinta ini akan selalu kelihatan ‘Intim’. Masing-masing kalau boleh tak mahu tinggal berjauhan. Ke mana-mana sahaja pasti akan berdua. Jika berjauhan, mereka akan menggunakan apa saja cara komunikasi untuk saling mengingati dan mendekatkan mereka.

Cinta ini juga adalah sarat dengan ‘Nafsu’. Apabila tiba suatu masa, masing-masing akan berada dalam situasi yang sungguh menguji iman. Andai iman itu tidak mampu bersuara untuk menegah, cinta ini membawa kepada maksiat.

Akhirnya, cinta ini menoda iman.

Seterusnya, cinta ini penuh dengan ‘Tipu’ daya. Sama halnya dengan lelaki dan perempuan. Apabila cinta ini mula berjangkit, jiwa-jiwa ini akan terpaksa menipu asalkan dapat memenuhi kehendak dan keperluan peribadi.

Semua ditipu, bahkan pasangan sendiri sekalipun.

Akhirnya, kita akan selalu dengar ungkapan ini.

Habis madu, sepah dibuang sahaja.

Akhir sekali, akibat cinta ini adalah mandi tak basah dan tidur tak lena. Kadang-kadang, makan pun tidak kenyang. Jadi, cinta jenis ini membuatkan kita menjadi 'Angau'. Kita semua boleh khayal akibat penangan cinta hina.

Bila tidak disapa teman yang istimewa itu, hati ini mula menjadi resah, perasaan pula terus jadi gelabah kerana takut akan ditinggalkan dan banyak lagi rasa hati yang akan timbul tanpa diundang. Hati tidak aman, tidak tenteram.

Cinta ini, akan mematikan jiwa.

Membunuh sifat-sifat yang baik dalam diri kita.

Saya pernah mendengar, bahawa cinta itu buta.

Saya spesifikkan lagi.

Cinta hina itu barulah buta.

Penutup : Cinta Yang Mana?

Itu tafsiran saya untuk cinta ini.

Bagaimana pula dengan cinta yang mulia, ya?

Sengaja saya tulis hanya untuk cinta yang hina sahaja. Kerana untuk cinta yang mulia nanti, biarlah saya dan kita semua berusaha mencari, menyelidiki dan memahaminya. Setiap huruf yang melengkapkan cinta itu, kita ubah kepada yang lebih baik, lebih mulia.

Saya ingin bawakan anda semua bersama-sama saya untuk berfikir akan soal cinta yang satu ini. Untuk kita melihat perbezaan apabila kita menyandarkan sesuatu atas landasan yang betul dan apabila sesuatu itu, kita letakkan atas landasan yang salah.

Maka, apabila kita semua telah menjumpai jawapannya, saya mengajak kita semua seterusnya pula untuk memilih, cinta yang mana? Adakah kita inginkan cinta yang hina, atau sebaliknya cinta yang mulia.

Apa-apapun, saya pasti akan sesuatu.

Semuanya, pasti memilih cinta mulia.

Saya pernah bertanyakan hal yang sama.

"Apa pendapat ana dalam hal ini?"

Pendapat saya?

Nampaknya, terpaksa saya keluar berjalan sekali lagi. Berjalan, melihat dan mentafsir sekali untuk meninjau tafsiran saya akan cinta yang mulia pula. Agaknya, bagaimana ya? Saya pasti tafsirannya pasti sangat berbeza dengan cinta tadi.

Mesti lebih indah.

Dan lebih bermakna pastinya.

Seperti gambar di atas.

Ataupun, anda sudah ada tafsiran sendiri.

Sudah ada?

Bagus, fikir-fikirkanlah.

Dan kalau sudi, berkongsilah.


Jika engkau mencintai bunga, sedarlah engkau bunga itu akan layu. Jika engkau cintakan manusia, sedarlah satu hari dia akan pergi. Jika engkau mencintai harta, harta itu nanti engkau akan tinggalkan. Jika engkau cintakan Ilahi, hanya Dia yang akan kekal abadi.

Saya jalan dahulu.

Mahkamah Kehidupan



Sudah sekian lama tidak menggerakkan pena.

Sudah sekian lama juga minda ini berhenti berfikir.

Akan tanggungjawab, akan dakwah dan tarbiyah.

Hati ini juga sudah lama tidak dihidupkan dan dibawa berfikir akan pengisian yang harus ditampilkan ke dalam kebun ini. Syukurlah, Allah memberikan kekuatan dan kesempatan. Justeru, saya akan mula menuai baja baru kepada kebun yang sudah lama terbiar ini.

Saya akan tuai sesuatu pada entri kali ini.

Berkenaan mahkamah kehidupan.

Saya dan kita semua.

Kita sering diperingatkan, bahawa kita perlu berani kerana benar dan takut kerana salah. Benar itu menjadi sumber keberanian, dan salah itu pula adalah punca ketakutan. Kita perlu hidup dalam keberanian, akibat melakukan kebenaran. Namun, janganlah dibiarkan hidup dalam ketakutan, akibat terus-menerus melakukan kesalahan.

Melakukan kesalahan itu akan menimbulkan rasa bersalah. Rasa bersalah itu pula, sangatlah menyeksa diri sendiri selagi tidak ditebus dengan akuan maaf dan ungkapan taubat. Bersalah dengan manusia sahaja pun sudah cukup meresahkan, apatah lagi jika bersalah kepada Allah.

Kerana itulah, kita sentiasa dinasihatkan supaya sentiasa menjaga hubungan yang baik dengan Allah dan menjaga hubungan yang baik bukan sahaja sesama manusia, tetapi juga kepada alam. Apabila kita melakukan kebaikan dan menyenangkan hati jiwa-jiwa di sekeliling kita, insyaAllah kita akan dapat pulangan saham yang baik juga.

Ya, buku amalan akan segera dicatat malaikat.

Dan ganjaran daripada Allah menanti di langit sana.

Sebaliknya, apabila kita melakukan keburukan, meninggalkan amanah yang diberikan kepada kita, melakukan kejahatan kepada manusia dan juga kejahatan kepada dunia ini, kita haruslah sentiasa berwaspada.

Kerana amalan buruk juga akan dicatat.

Balasan Allah pula habuannya.

Takut-takut nanti, bumi akan menjerit kepada kita dalam nada yang bengis dan marah, mengatakan kepada kita bahawa tunggulah keburukan yang akan ditimpakan ke atas kamu setelah keburukan demi keburukan yang telah engkau lakukan di atas perutku.

Namun, manusia ini sukar untuk sedar.

Sedar dari melakukan kesalahan.

Sehinggalah dia dihadapkan ke mahkamah.

Kemudian, barulah dia sedar.

Justeru, kita sukar untuk sedar kerana kita tidak sedar akan ada kehadiran mahkamah dalam kehidupan kita. Mahkamah itu adalah mahkamah dunia, mahkamah akhirat dan mahkamah hati. Ketiga-tiganya adalah mahkamah dalam kehidupan kita.

Mahkamah Dunia

Di dunia ini, kita ada mahkamah.

Di negara kita sahaja, sudah ada banyak.

Belum lagi dicampur dengan mahkamah-mahkamah lain di luar sana. Dari mahkamah yang paling rendah, yang menempatkan pesalah-pesalah yang melakukan kesalahan yang kecil sehinggalah mahkamah yang paling tinggi, yang mana menempatkan pesalah yang melakukan kesalahan yang besar.

Kita ada mahkamah atasan, mahkamah bawahan, mahkamah persekutuan, mahkamah rayuan, mahkamah tinggi, mahkamah majistret dan sebagainya.

Semuanya memainkan peranan masing-masing.

Namun, mahkamah ini kurang istimewanya, kerana saksi, pendakwa dan hakim yang menentukan hukuman juga adalah manusia, sama seperti kita. Manusia pula, fitrahnya mudah leka dan terpedaya. Justeru, begitulah juga dengan mahkamah dunia ini.

Dengan kebijaksanaan dan kelicikan oleh insan-insan tertentu, mahkamah dunia ini dengan mudah dapat diperdayakan. Kita ada mendengar, bahawa telah sering kali yang bersalah itu terlepas, dan sebaliknya yang benar pula terhukum.

Nampaknya, sudah ada tanda-tanda dunia ingin terbalik.

Benarlah kata hukama, bahawa tiada keadilan yang mutlak di dunia.

Jerung selalu bolos, bilis juga menjadi mangsa.

Justeru, buat kita yang belum pernah masuk ke dalam mahkamah dunia ini, berdoalah semoga kita tidak akan masuk ke dalamnya, kerana yang betul boleh jadi bersalah dan yang bersalah pula, dengan mudah terlepas bebas.

Ya, mahkamah dunia mudah diperdaya.

Namun, andai takdir telah menentukan, kita kena ingat.

Supaya beranilah kerana benar, dan takutlah kerana salah.

Mahkamah Akhirat

Seterusnya, mahkamah di akhirat.

Mahkamah ini adalah mahkamah paling istimewa.

Hadirnya adalah apabila kebangkitan manusia selepas mati.

Padang mahsyar adalah tempatnya.

Hakimnya, adalah hakim Yang Maha Adil. Tiada yang lebih adil daripada Dia. Maka, segala yang salah tidak akan mampu bersembunyi. Segala kelicikan kata-kata tidak akan berguna sama sekali.

Di sini, keadilan adalah mutlak.

Di sana nanti, segala yang benar akan terserlah dan bercahaya, dan yang salah pula pasti tertunduk kalah. Wajah yang salah pula ada bermacam-macam jenis, bergantung kepada jenis kesalahannya di dunia dahulu.

Sungguh dahsyat kerana segalanya akan ketara walau bagaimana pandai sekalipun seseorang itu bermain bicara. Kita tidak akan mampu berkata-kata kerana mulut kita bagaikan terkunci. Tidak perlu didatangkan saksi atau pun barang bukti kerana apa yang ada pada diri kita sendiri akan hidup dan bersuara untuk menjadi saksi.

Kulit dan tangan kita akan menjadi saksi kepada apa-apa yang telah kita sentuh, halal atau sebaliknya. Kaki kita pula, akan menjadi saksi kepada perjalanan kita, kemana kita melangkah. Adakah kepada kebaikan atau kepada kemaksiatan.

Segala anggota akan bercakap.

Semua bahagian tubuh badan kita yang kita jaga dan belai selama ini akan menjadi saksi atas segala yang telah kita kerjakan di dunia dahulu. Disana nanti, akan tertegaklah keadilan yang hakiki. Tiada yang mampu menipu.

Mahkamah Kehidupan

Mahkamah dunia, mahkamah akhirat.

Dua itu, adalah mahkamah yang hadir dalam kehidupan kita. Mahkamah yang pertama sudah hadir, dan tunggu masa sahaja akan kehadiran mahkamah yang kedua pula, yang mana keadaan di dalamnya adalah sesuatu yang tidak dapat digambarkan dengan akal fikiran.

Bagi golongan bijak pandai yang sentiasa ingat akan kehadiran mahkamah yang kedua ini dengan sentiasa ingat akan mati, maka bergembiralah kalian, kerana sesungguhnya kalian berjaya menjumpai hakikat kebenaran tujuan hidup di dunia ini.

Ya, hidup kita adalah segalanya kerana Allah.

Kerana Allah, semata-mata.

Itu janji kita dalam iftitah.

Dan dengan sentiasa mengingati mati, kita akan sentiasa ingat akan Allah. Segala rindu dan cinta kita, akan kita curahkan kepada-Nya dan kita akan sentiasa berhati-hati dalam segala tindak-tanduk kita sepanjang perjalanan ini.

Dan insaflah, saya tujukan kepada diri saya sendiri dan kalian-kalian yang masih lagi alpa dan leka dengan kenikmatan hidup dunia yang sementara ini. Semoga saya dan kita semua, sentiasa menghadirkan diri, memuhasabahkan diri di persidangan mahkamah hati kita.

Kembalilah.

Kembalilah kepada Islam yang sebenar.

Mahkamah Hati

Ini pula mahkamah hati.

Mahkamah yang sentiasa hadir bersama kehadiran kita.

Mahkamah ini agak istimewa sedikit, namun tidaklah setanding mahkamah akhirat tadi. Mahkamah ini, saksi, pendakwa dan hakimnya adalah hati kita sendiri. Hati kecil paling dalam yang sentiasa bersuara walaupun cuba dipendam dan ditahan daripada dikeluarkan oleh tuannya.

Penentangannya terhadap perlakuan dosa sentiasa bergetar dalam rahsia. Semuanya berlaku di sudut yang paling dalam. Fitrahnya akan menjerit dan itulah kuasa jeritan batin yang mampu menghantar pemiliknya ke penjara jiwa yang sangat pedih dan menyakitkan.

Ya, dosa boleh disembunyikan.

Namun, tidak dapat lari dari pengetahuan Allah.

Dan juga hati nurani sendiri.

Jasad ini, mungkin milik kita.

Namun, hati ini tetap milik Allah.

(Teringat kat lagu Sumaiyah).

Sekali kita berniat untuk hadir bersidang di mahkamah hati, maka berazamlah untuk berubah ke arah yang lebih baik, kerana kita tiada tempat untuk menyembunyikan diri ketika kita memanggil diri sendiri untuk dibicarakan.

Setiap masa, setiap ketika dan di setiap suasana.

Hati kecil kita akan tetap bersuara.

Hati ini hakikatnya tidak rela dengan kemungkaran, kerana dosa itu adalah derita yang memberi kesan pula pada jiwa. Fitrah menyukai kebaikan dan membenci kejahatan itu sesungguhnya tidak dapat dilawan. Fitrah ini adalah kurniaan Allah, yang dengannya seseorang boleh menerima pengajaran.

Jika fitrah sukakan kebaikan itu disubur, dididik dan dipimpin, maka hidup kita akan tenang dan bahagia. Sebaliknya, jika fitrah yang baik itu dibiarkan, diabaikan apatah lagi jika ditentang, maka tidak akan ada lagi kebahagiaan dan ketenangan.

Namun, walaupun mahkamah ini hadir seiring dengan kehadiran kita, tetapi kita seringkali tidak hadir seiring dengan kehadirannya. Jarang yang menyedari bahawa fungsi hati antaranya adalah sebagai mahkamah untuk bermuhasabah.

Sungguh kasihan kita ini. Mahkamah hati itu sebenarnya tidak memerlukan kita, namun kitalah yang perlukannya.

Tidak percaya? Percayalah.

Lihatlah, apabila kita ditimpa sesuatu bencana.

Setelah ditimpa sesuatu musibah, kemalangan dan sebagainya, kita akan mula menggunakan manfaat hati kita yang kita tinggalkan selama ini. Hati ini, tidak akan terusik apabila dilimpahi ketenangan dan kebaikan, tetapi hanya diusik apabila ditimpa keburukan.

Hati ini mati sebentar, dan kemudian dihidupkan kembali apabila ditimpa musibah. Kita akan mula beristighfar, memuhasabahkan diri dan bersyukur kerana Allah tidak mencabut segera nyawa malah masih menyelamatkan kita.

Justeru, berhati-hatilah dalam menjaga hati, agar hati kita ini tidak mati. Kita memerlukannya pada setiap ketika, bukannya pada saat tertentu sahaja. Kita perlukan mahkamah hati untuk sentiasa bersidang membicarakan soal diri kita.

Apakah yang telah aku lakukan sepanjang hari ini? Apakah hari ini, aku lebih baik dari semalam? Apakah kesalahan yang telah aku lakukan hari ini? Apakah yang telah aku sumbangkan untuk agamaku? Apakah aku ada sumbangkan sesuatu?

Dan banyak lagi soalan kita boleh tanyakan.

Mujurlah dosa itu tidak berbau.

Jika tidak, tiada siapa yang sudi mendekati kita.

Justeru, rajin-rajinkanlah diri kita untuk bersidang di mahkamah hati. Selalulah bertanyakan khabar kepada hati kecil kita sendiri, dan janganlah berasa khuatir, kerana hati ini tidak akan berdusta selagi ia tidak mati.

Mari, sentiasalah hidupkan hati.

Penutup : Selamat Bersidang

Kita ada satu, dua, tiga mahkamah.

Dalam ketiga-tiga mahkamah ini, mahkamah akhiratlah yang paling akhir pasti kita hadiri untuk bersidang. Penentuan kesudahan hidup kita sangat bergantung kepada sesi perbicaraan di mahkamah ini nanti. Justeru, untuk kita selamat dalam persidangan di mahkamah itu nanti, rajin-rajinkanlah diri kita untuk bersidang terlebih dahulu di mahkamah hati.

Saidina Umar pernah berkata :

"Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab oleh Allah,"

Mahkamah hati, itulah tempat sesuai untuk menghisab diri.

Dalam kita bersidang dalam mahkamah ini nanti, kita perlukan sedikit pesanan, supaya kita semua benar-benar berjaya dalam persidangan itu nanti. Pertama, kita perlu menjadi saksi yang benar, mengeluarkan segala yang benar dan tidak menipu.

Tugas saksi ini, adalah untuk menjadi saksi akan segala kelakuan kita sama ada baik dan buruk. Segala kebaikan yang kita lakukan harus dikekalkan dan dipertingkatkan dari segi kualiti dan kuantitinya. Segala keburukan pula, wajib kita tinggalkan dan berusaha untuk tidak mengulang perkara tersebut kembali.

Diri kita, menjadi saksi kita sendiri.

Akhirnya, jadilah hakim yang berjaya.

Setelah kita menjadi saksi atas perlakuan kita sendiri nanti, kita pula seterusnya akan menentukan tindakan kita. Kitalah yang akan menentukan sendiri hukuman yang bakal kita kenakan terhadap diri kita, dan berilah ganjaran terhadap kebaikan yang kita lakukan.

Namun, hindarilah dari menzalimi diri sendiri.

Semoga segala tindakan yang akan kita lakukan, setiap langkah perjalanan yang akan kita harungi pada masa-masa seterusnya, dan segala kata-kata hati dan buah fikiran kita nanti adalah sepenuhnya berpandukan kepada ajaran agama.

Semoga ikhlas menjadi teman karib dan riak menjadi musuh kita.

Berusahalah.

Akhir kata, jumpalah diri sendiri di mahkamah hati.

Dan kirimkan salam saya pada hakimnya sekali.

Kerana kalian adalah saudara saya.

Semoga berjaya, dan ..

Selamat bersidang ... !