Cinta Seorang Rasul



Dengan nama Allah saya mulakan.

Artikel ini ditulis seusai kepulangan saya dari sekolah setelah menyiapkan sepanduk untuk perarakan. Biarlah badan ini terasa penat, namun saya gagahkan juga untuk menulis dan menyampaikan. Supaya saya, dan kita semua sentiasa beringat.

Azan maghrib tadi menandakan hari ini genap 12 Rabiulawal.

Tarikh yang tidak asing bagi kita, umat islam.

Kita semua sering mensinonimkan hari ini sebagai hari untuk kita memperingati Rasulullah, insan mulia yang merupakan penghulu sekalian nabi, Rasul terakhir yang diutuskan oleh Allah kepada ummah zaman mutakhir.

Hari ini, kita memperingati dan membesarkan baginda, mengungkapkan rasa rindu untuk bertemu dengan baginda, atas segala pengorbanan dan curahan cinta dan kasihnya kepada kita sebagai umatnya, walaupun baginda telah meninggalkan kita 1400 tahun lampau.

Namun tanpa kita mengetahui, baginda sudah lama mengungkapkan rasa rindunya untuk bertemu dengan kita, umatnya.

Rasulullah pernah berkata kepada para sahabat.

"Aku sangat rindu untuk bertemu saudara-saudaraku," Baginda berkata.

"Bukankah kami ini juga saudaramu?" Kata Abu Bakar.

"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata sahabat yang lain pula.

Baginda menggeleng-gelengkan kepala, tersenyum.

"Kamu adalah sahabat-sahabatku," kata baginda.

"Saudaraku yang aku maksudkan ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman kepadaku sebagai pesuruh Allah dan mereka sangat mencintaiku. Malah, kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka," Jawab Rasulullah, tenang.

Ya, itu cinta seorang rasul kepada umatnya.

Maka, kita terjemahkan pula cinta seorang umat kepada Rasulnya.

Balaslah dan curahkanlah kembali rasa cinta itu. Kita basahkanlah lidah ini setiap hari dengan zikir, dan selawat kepada baginda. Kita penuhkan dan hidupkanlah hari-hari kita dengan sunnah baginda yang kian ditinggalkan.

Lakukanlah, dengan rasa penuh cinta.

Tak kenal maka tak cinta

Hari ini, kita bangun awal pagi.

Kita pasangkan pakaian yang indah dan mengenakan sedikit wangian, untuk pergi berarak sempena hari mengingati baginda. Petang dan malamnya pula, kita padatkan dengan mengikuti program-program ceramah yang diadakan di masjid dan surau.

Kita juga melakukan selawat yang luar biasa banyak dari hari-hari yang sebelumnya, dan melipatgandakan amalan sunnah yang dianjur supaya dilakukan. Kita lakukan solat sunat, berpuasa sunat dan sebagainya.

Namun, pernahkah kita fikirkan.

Apakah kita ini kenal dengan Rasulullah?

Sejauh manakah tahap kecintaan kita kepada kekasih Allah ini?

Apakah kita benar-benar cinta akan Rasulullah?

Kita lihat peribadi kita, dan peribadi baginda. Kita lihat ketaatan baginda mengerjakan amanah, dan lihat bagaimanakah pula ketaatan kita. Kita selami pengorbanan Rasulullah kepada agama, dan lihat pula apakah yang telah kita korbankan?

Ya, tidak kenal maka tidak cinta.

Andai kita belum mengenali peribadi, pengorbanan dan kisah kehidupan baginda, maka sukar untuk kita mencintai baginda. Kita lihat sahaja insan-insan yang sering mengamalkan sunnah baginda.

Mengerjakan solat-solat sunat di sudut-sudut masjid, membasahkan lidah-lidah dengan zikir dan selawat, membaca kitabullah dengan tekun dan hikmah dan lain-lainnya. Saya yakin, mereka inilah insan yang benar-benar cinta akan Rasulullah.

Justeru, marilah sama-sama kita berusaha untuk mencontohi baginda dalam segenap segi. Kita amalkan pula segala sunnah baginda dan dengan itu, insyaAllah kita sedikit demi sedikit telah berusaha untuk menyisipkan rasa cinta kepada Rasulullah.

Marilah, sama-sama kita usahakan.

Jadilah, orang yang mencintai baginda.

Cintailah Rasulullah

Terkadang, saya rasa sedih.

Terkadang, saya juga rasa malu.

Seperti saya ini, tidak layak menjadi umat baginda.

Saya berasa sedih apabila mengenangkan sejauh mana rasa cinta saya kepada rasulullah berbanding rasa cinta baginda kepada saya. Baginda sungguh rindu untuk bertemu dengan umat selepasnya, namun sedikit sekali rasa rindu saya pada baginda.

Malunya rasa saya apabila dengan mudah mengaku bahawa saya adalah antara jutaan umat baginda, sedangkan saya ini seringkali tidak mengenangkan segala pengorbanan baginda kepada agama dan juga umat pada hari ini.

Baginda bersengkang mata, mengenepikan segala penat lelah untuk mengerjakan segala suruhan Allah sehingga bengkak, walhal baginda sudah dijamin akan masuk syurga. Sedangkan saya, lemah sekali rasa saya untuk mencontohi baginda walaupun sedikit.

Namun, saya tetap masih bersyukur, kerana saya dipilih oleh Allah sebagai salah seorang antara jutaan umat Rasulullah, selaku pewaris yang akan meneruskan kesinambungan panji perjuangan baginda.

Saya bersyukur, dan sangat-sangat bersyukur.

Justeru, sempena Maulidur Rasul ini, saya ingin ingatkan diri saya dan kalian pembaca semua, marilah kita tingkatkan rasa cinta kita kepada Rasulullah. Selamilah rasa rindu kepada susuk tubuh yang mulia itu.

Azamkanlah dalam hati kita, untuk mengerjakan amalan sunnah yang dianjurkan. Contohilah peribadi baginda yang mulia, dan teruskanlah perjuangan baginda untuk menyebarkan dan menyampaikan islam, yang pada hari ini telah dicemari dan difitnah.

Semoga Rasulullah, mengakui kita sebagai umatnya di akhirat kelak.

Allahumma solli 'ala Muhammad.

Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad.

Allahumma solli wasallim 'ala sayyidina wa habibina wa syafi'ina wa zukhrina wa maulana Muhammad.

Kepada semua, katakanlah.

"Ya Rasulullah, aku cintakan engkau,"

Semoga kata-kata itu ikhlas dari hati kita.

Allahu'alam.

0 Komen:

Post a Comment