Hidup Hanya Sementara



Pantas sekali masa ini berlalu.

Dalam sedar atau tidak, kesempatan dan peluang masa cuti yang Allah kurniakan selama seminggu pada saya nampaknya sudah sampai ke penghujung. Esok, saya akan kembali ke sekolah.

Menyegarkan kembali minda dan fikrah.

Walaupun kebanyakan masa yang saya gunakan adalah di rumah, namun saya kira lebih baik daripada saya keluar dengan tanpa ada tujuan yang pasti.

Cuma sesekali, saya dan kawan saya berkumpul untuk menyiapkan kerja-kerja dan tugasan yang tertangguh. Juga, sempat saya menajamkan ukhwah dengan sahabat saya, yang sudah lama tidak ketemu.

Walaupun hanya sebentar, pada saya saat itu sangat bermakna.

Apa-apapun, muhasabah saya pada cuti kali ini membawa saya untuk mengingat kembali akan tiga persoalan yang kita seringkali lupa. Mungkin, ada antara kita tidak pernah terfikirkan.

Manusia, sikapnya banyak, kualitinya lain-lain.

Ada manusia yang berilmu, namun ilmu itu tidak dia amalkan. Samalah seperti sebuah kereta yang punya enjin penggerak namun tiada tayar. Tidak akan kemana-mana hanya dengan enjin, iaitu ilmunya jika tiada tayar, amalnya.

Ada pula yang hanya pandai berkata-kata, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, namun dia sendiri yang melanggar dan menafikan kata-kata dan cegahannya.

Banyak lagi, yang akan kita jumpa dan lihat di sekeliling kita. Mungkin juga, sifat-sifat itu ada pada diri kita sendiri. Kita mungkin tidak sedar, dan hanya akan sedar apabila ditegur.

Justeru, tiga soalan ini adalah penting.

Untuk kita kembali muhasabah diri kita.

Betapa hidup ini, hanyalah sementara.

Mari, kita hisab diri, sebelum dihisab disana.

Dari Mana Kita Datang?

Mari, kita hayati firman Allah dalam kalam-Nya.


"Dan sungguh, Kami telah menciptakan manusia (berasal) dari tanah,"

"Kemudian, Kami menjadikannya air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim),"

"Kemudian, air mani itu Kami jadikan sesuatu yang melekat, lalu yang melekat itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu kami Bungkus dengan daging. Kemudian, Kami menjadikannya makhluk yang (berbentuk) lain. Maha Suci Allah, Pencipta yang paling baik,"

(Surah al-Mukminun ayat 12, 13 dan 14)

Cuba kita amati.

Betapa susun atur penciptaan kita begitu rumit dan kompleks. Dari setitis air mani, dijadikan segumpal daging, kepada tulang belulang dan dibalut pula dengan daging. Lalu, kita lihat sepertimana kita hari ini.

Sekujur jasad yang lengkap.

Semua ini, sudah tentu tidak dapat dilakukan oleh sesiapa.

Tanyakan soalan ini pada diri kita.

Dan kita akan sedar, bahawa hanya Dialah yang berkuasa menjadikan kita. Maka, kehadiran kita di bumi ini seharusnya dengan rasa penuh syukur.

Ya, tanyakan pada diri kita.

Dan ingatlah Allah, Yang Maha Menciptakan.

Kenapa Kita Didatangkan?

Mengapa Allah jadikan kita.

Ini soalan yang seharusnya datang dalam benak kita setelah mengetahui dari mana datangnya kita dan siapa yang menciptakan kita. Kehadiran kita, dan kewujudan kita di dunia, pasti mempunyai sebabnya.

Tiada syak, kehadiran kita adalah untuk beribadah.

Dan ini Allah nyatakan melalui firman-Nya.

Firman-Nya dalam al-Quran :


"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku,"

(Surah az-Zariyat ayat 56)

Justeru, hidup kita adalah untuk beribadah kepada Allah.

Bukankah kita sudah melafazkan janji dalam solat lima waktu pada doa iftitah? Sesungguhnya solatku, segala ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah semata-mata untuk Allah, Tuhan sekalian alam.

Justeru, semua tindakan kita, setiap langkahan kita, perbuatan kita, segala niat yang kita hadirkan dalam melakukan segala kerja, hubungan yang kita jalinkan, dan segalanya, semuanya adalah kerana Allah.

Tiada alasan yang dapat kita berikan untuk meninggalkan segala amanah dan tanggungjawab yang Dia berikan buat kita.

Hidup kita, adalah untuk mengabdikan diri pada-Nya.

Tanyakan pada diri kita soalan ini.

Dan ingatlah untuk menunaikan amanah-Nya.

Ke Mana Kesudahan Kita?

Akhirnya, kita tanya pula ke mana kesudahan kita.

Janji Allah dalam kalam-Nya :

"Dan sesungguhnya kepada Tuhanmulah kesudahannya (segala sesuatu),"

(Surah an-Najm ayat 42)

Saya ingat lagi bahawa guru saya pernah berkata, bahawa asalnya kita dari tanah, maka akhirnya nanti kita juga akan kembali kepada tanah. Ya, asalnya kita dari Allah maka nanti kita juga akan kembali kepada Allah.

Kita akan dihidupkan semula di padang mahsyar kelak, dengan membawa amalan masing-masing yang telah dilakukan ketika di dunia. Dan dengan amalan, dan keredhaan Allah ke atas kita, kita akan selamat di sana.

Ya, akhirnya kita perlu bertanya.

Bagaimana kesudahan kita kelak, dan bagaimana pengakhiran hidup kita di sana nanti. Ini semua adalah bergantung pada hubungan dan penunaian amanah, hak kita pada Allah.

Al-Quran ada menerangkan.

Bahawa antara lain ciri-ciri penghuni syurga adalah manusia yang ketika hidupnya dia beriman, khusyuk dalam solatnya, menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang tiada berguna, menunaikan zakat, menjaga kemaluan dari maksiat, memelihara amanah, menepati janjinya dan menjaga solatnya.

Dan saya kira, sebaliknya adalah ciri-ciri penghuni neraka.

Justeru, kita perlu lalui disiplin yang kuat.

Untuk kita mencontohi ciri-ciri yang telah digariskan dalam kalamullah itu, sebagai panduan untuk kita meraih kasih sayang, redha Allah dan syurganya.

Kita tanyakan pula soalan ini pada diri kita.

Renungkan sedalamnya.

Dan bergeraklah, kejarlah redha dan kasih-Nya.

Penutup : Ingatkan Diri Kita

Dari mana kita datang?

Kenapa kita didatangkan?

Kemana kesudahan kita?

Ya, ketiga-tiga soalan ini, sentiasalah tanyakan pada diri kita.

Supaya nanti, kita akan selalu beringat akan hakikat kewujudan kita di dunia. Tanyakan, kerana kita perlu mengingatkan dan menghisab diri kita. Saidina Umar bukankah pernah berkata?

Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab oleh Allah.

InsyaAllah, pertanyaan inilah yang pada saya akan menjadi pembakar semangat buat kita untuk menjadi insan, malah hamba yang terbaik sebagaimana yang digariskan oleh Allah. Sungguh, bukankah Allah ingin kita menjadi hamba-Nya yang terbaik?

Ya, kita hari ini tampak seperti lupa pada fitrah.

Oleh itu, kita perlu selalu mengingatkan diri kita, merasakan bahawa kita ini adalah milik-Nya dan segala-gala yang ada di dunia ini adalah pinjaman.

Lantas kita akan bergerak dengan langkah yang berhati-hati, langkah yang didasari rasa penuh kehambaan dan penuh rasa tanggungjawab sebagai seorang khalifah di bumi. Menyampaikan kebaikan, dan membina acuan Islam pada jiwa yang lain pula.

Justeru, ingatkan diri kita dengan pertanyaan ini.

Semoga kita sentiasa beringat, dan merenung diri.

Akan Dia yang menciptakan kita.

Dan kita, yang hanyalah hamba-Nya.

Ingatlah, hidup hanya sementara.


Jadilah Seperti Kopi



Hidup, pastinya tidak lepas daripada ujian.

Kalau hari ini kita tidak ditimpa musibah, mungkin esok kita akan menerimanya. Andai bukan esok, mungkin pula lusa, minggu hadapan dan seterusnya.

Pokoknya, setiap jiwa pasti akan diturunkan musibah.

Saya kira, tipulah sekiranya ada seseorang yang mengaku hidup dia di bumi Allah ini, lengang daripada ujian dan masalah. Masalah dalam persahabatan, masalah kewangan, hancur dalam hubungan percintaan hatta kematian insan yang tersayang.

Semuanya, adalah ujian Allah buat kita.

Yang sebenarnya, ada rahsia dan hikmah yang tersembunyi.

Sama ada Allah ingin menguji keimanan kita ataupun meningkatkan iman kita. Dan juga kerana, kadang-kadang sesuatu ujian yang hadir itulah yang membuka mata hati kita.

Mendidik kita, supaya jangan berputus asa dalam perjalanan kehidupan yang sesungguhnya seperti bahtera di lautan. Kehidupan yang seperti satu jalan, yang penuh dengan duri yang tajam dan penuh onak dan dugaan.

Ramai orang, menilai bahawa dia sudah berjaya melepasi segala masalah yang menimpanya, apabila segala ujian itu terbang pergi dan selesai. Namun pada saya, seseorang itu berjaya andai dia berjaya memperoleh sesuatu bernilai pada ujian tersebut.

Dengan menyandarkan semuanya pada Allah.

Lantas dia menjadi lebih kuat, gagah untuk ujian mendatang.

Justeru, dalam mengharungi detik kesulitan dan kepayahan kerana kehadiran ujian dan masalah, saya kira kita perlu melihat pada kopi, belajar dari kopi dan menjadi seperti kopi.

Ya, saya ingin kita jadi seperti kopi.

Antara Lobak, Telur dan Kopi

Seorang anak mengeluh kepada ayahnya mengenai perjalanan kehidupannya, dan menanyakan bahawa mengapa hidup ini terasa begitu sukar dan sungguh menyakitkan baginya.

Anak tersebut mengeluh.

Tidak tahu bagaimana menghadapinya.

Seolah-olah dia seperti sudah menyerah kalah dengan segala masalah dan ujian yang datang berterus-terusan dalam hidupnya. Setiap kali selesai satu masalah, timbul pula masalah dan ujian yang baru.

Lebih sukar, lebih berat.

Ayahnya, yang merupakan seorang tukang masak membawa anaknya ke dapur. Lalu dia mengisi tiga buah periuk dengan air dan menaruhnya di atas nyalaan api.

Setelah ketiga-tiga periuk yang diisi air tersebut mendidih, si ayah terus meletakkan lobak merah ke dalam periuk yang pertama, telur di periuk kedua dan serbuk kopi ke dalam periuk yang ketiga.

Si ayah membiarkannya mendidih tanpa berkata-kata.

Si anak pula, dia tertanya-tanya dan menunggu dengan tidak sabar sambil fikirannya berpusing-pusing memikirkan apalah yang sedang dikerjakan oleh ayahnya.

Setelah 20 minit, ayahnya mematikan api lantas menyisihkan lobak dan menaruhnya di mangkuk yang pertama. Telur diangkat dan diletakkan di mangkuk yang kedua pula, dan begitu juga pada serbuk kopi, dituangnya ke dalam mangkuk yang lainnya.

Si ayah bertanya kepada anaknya.

"Apa yang engkau lihat, nak?" Tanyanya.

"Lobak, telur dan kopi, ayah," Jawab si anak, ringkas.

Ayahnya terus mengajak anaknya mendekati mangkuk-mangkuk yang telah diisi dengan ketiga-tiga barang tadi.

Perkara pertama yang dilakukannya adalah menyuruh si anak merasakan lobak. Lantas, dia menyatakan bahawa lobak tersebut sangat enak dan terasa lembut.

Kemudian, ayahnya menyuruh untuk mengambil telur dan memecahkannya. Setelah membuang cangkerang telur tersebut, si anak melihat dan mendapati sebuah telur rebus yang mengeras.

Akhirnya, si ayah meminta anaknya untuk merasa dan mencicip sedikit air kopi tersebut. Anaknya, yang hanya tersenyum seketika selepas merasakan rasa dan aroma istimewa kopi tersebut, terus bertanya kepada ayahnya.

"Apa erti semua ini, ayah?" Tanyanya.

Ayahnya menerangkan satu-persatu.

Ketiga-tiga barang tersebut telah menghadapi kesulitan yang sama, iaitu perebusan yang hakikatnya adalah panas. Namun, masing-masing menunjukkan reaksi berbeza.

Lobak, asalnya adalah keras dan sukar dipatahkan.

Setelah direbus, lobak ternyata berubah menjadi lembut, lunak.

Telur, sebelumnya adalah cecair, mudah pecah.

Akhirnya, isinya berubah menjadi pepejal, keras.

Serbuk kopi adalah yang paling unik.

Setelah serbuk kopi dimasukkan ke air, kopi menjadi sedap.

Ketiga-tiganya melalui satu kesulitan yang sama, iaitu perebusan. Hasilnya, ketiga-tiga barang yang asalnya lain sifat, berubah kepada sifat yang lain setelah melalui proses perebusan tadi. Yang keras menjadi lembut, yang lembut menjadi keras dan sebagainya.

"Kamu termasuk yang mana?" Tanya ayahnya.

"Air panas yang mendidih itu, adalah umpama kesukaran dan ujian yang engkau lalui. Ketika kesukaran dan kesulitan datang menghampirimu, bagaimana engkau menghadapiya?" Kata si ayah.

"Apakah kamu seperti lobak, telur atau kopi?" Sambungnya.

Si anak, bagaikan terketuk hatinya.

Seakan diberi satu petunjuk.

Penutup : Kita seperti apa?

Allah telah berfirman :


"Apakah manusia mengira bahawa mereka dibiarkan mengatakan : Kami telah beriman. Sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang sebelum mereka dan benar-benar Allah mengetahui orang-orang yang benar dan mengetahui pula orang-orang yang dusta,"

(Surah al-Ankabut ayat 2-3)

Antara kita, ada yang apabila menerima ujian, dia nafikan semua itu. Lalu dengan pantas dia menuduh bahawa Allah ini dengan sengaja turunkan pada dia masalah, supaya dia hidup dalam kesulitan.

Lalu dikatakan Allah itu tidak adil.

Allah itu begini, begitu dan sebagainya.

Ya, dia malah semakin tersesat jauh.

Walaupun satu ketika nanti, masalah dan kesulitan tersebut lari dan terbang dari hidupnya, sesungguhnya, dia masih belum berjaya manghadapi ujian tersebut.

Kita seharusnya sedar, bahawa ujian itu adalah dari Allah.

Sepatutnya, semakin berbisa ujian, semakin dekat kita dengan-Nya.

Kerana pada-Nya sahaja kita pohon kekuatan.

Nampak? Sungguh, Allah itu Maha Adil.

Dia tahu yang terbaik buat kita.

Justeru, kita kena belajar daripada kisah ini.

Apakah kita seperti lobak?

Asalnya kita keras, kelihatan keras dan memang keras. Namun, apabila dihadirkan kesulitan dan ujian, kita dengan pantas menyerah. Kita terus menjadi lemah, lembut dan hilang kekuatan.

Atau, apakah kita telur?

Yang awalnya memiliki hati yang lembut, jiwa yang lunak.

Setelah hadirnya masalah dan kesusahan, kita gagal dalam persahabatan dan sebagainya, kita lalu menjadi keras dan kaku. Luaran kita seperti asal, iaitu mempunyai cengkerang, namun dalaman menjadi pahit dan keras.

Ataupun, kita ini seperti kopi?

Apabila panas, rasanya adalah begitu nikmat.

Ketika sesuatu keadaan menjadi semakin buruk, dan diri kita ditimpa semakin banyak ujian dan kesulitan, maka kita akan menjadi semakin baik dan semakin hebat sehingga jiwa-jiwa yang bersama dengan kita juga berasa baik dan selesa dengan kita.

Justeru, kita ketuk hati kita.

Tanyalah ia dengan azam.

Latihlah, dan disiplinkanlah diri ini.

Agar menjadi seperti kopi.


Aku Perlu Luangkan Masaku



Aku bangun awal, disengat bayu pagi

Bergegas, melangkah terus ke hariku

Banyak yang ingin aku tempuh, aku kejari

Sehinggakan tiada masa untuk solatku


Lalu, ujian datang pada setiap jejak langkah

Semakin aku menapak, turunnya kian berbisa

"Mengapa Allah tidak membantuku?" Hati ini resah

Dia berkata, "Pada-Ku engkau lupa meminta,"


Aku ingin mengecap gembira, menatap keindahan

Namun hari kian sukar, suram menyeliputi

Aku tertanya, "Mengapa tidak Allah tunjukkan?"

Dia berkata, "Kerana engkau tidak mencari,"


Menyedari itu, aku cuba menghadap Tuhanku

Segala kunci aku gunakan, membuka hati yang lesu

Dengan lembut dan kasih, Dia tegur aku

"Hambaku, harusnya hatimu kau ketuk dahulu,"


Aku bangun hari ini, disengat embun pagi

Berfikir, sebelum melangkah ke hariku

Banyak yang ingin aku kejar, aku tempuhi

Dan aku perlu luangkan masa untuk solatku

Dunia, Biar Di Tangan



Seorang guru berpesan kepada muridnya.

Bahawa dunia ini hanyalah ibarat bayang-bayang. Jangan sesekali cuba untuk mengejar, kerana sesungguhnya kita tidak akan mampu untuk mengejarnya. Kita hanya mampu untuk mengekori, tidak mampu melepasinya.

Jika dikejar dan tidak mampu, selagi itu kita tidak akan berpuas hati.

Samalah seperti kita yang hidup menapak di bumi ini semata-mata untuk mengejar kemewahan, kemasyuran. Pasti kita tidak akan berpuas hati pada satu tahap sahaja. Kita pasti inginkan lebih, dan lebih dari sekadar itu.

Maka, kita harus letakkan dunia di belakang.

Biarlah kita yang meninggalkan bayang-bayang itu.

Kemana kita pergi, dia hanya mengikut, mengejar kita.

Saya selalu ingatkan diri saya. Supaya meletakkan dunia itu sekadar hanya ditangan, bukanlah dihati. Melebihkan akhirat, tanpa meninggalkan keperluan di dunia.

Kerana andai saya letakkan ditangan, maka saya mampu menggenggamnya. Mungkin akan terlepas, namun saya tidak perlu risau kerana saya masih berpeluang untuk mengutipnya kembali.

Saya mengingatkan, supaya tidak diletakkan di hati.

Andai saya letakkan dihati, maka saya pasti akan berasa sayang untuk melepaskannya, lantaran rindu dan cinta akannya. Justeru, apabila cinta dan rindu saya melebihi cinta dan rindu saya pada akhirat, maka saya tidak akan kemana-mana.

Kerana akhirat, adalah destinasi saya, dan kita semua.

Saya pasti, kita punya keinginan untuk bertemu dengan Allah.

Dan juga bertemu dengan rasul-Nya.

Maka, akhirat itu saya mohon agar Allah simpankan di hati saya, agar saya selalu rindu. Juga saya harap, akan memberi motivasi kepada saya untuk menyampaikan yang terbaik dalam mengerjakan setiap amanah-Nya.

Moga Allah berikan kita kekuatan itu.


"Dunia ini, adalah ibarat bangkai kambing, yang tidak diingini dan dihajati oleh setiap manusia walaupun diberikan secara percuma. Manusia yang mengejar dunia melebihi akhirat adalah ibarat anjing yang mengejar bangkai,"

"Ya Allah, Engkau simpankanlah dunia di tanganku, biar aku genggam. Engkau simpanlah, dan kekalkanlah akhirat di hatiku, biar aku rindu. Sesungguhnya, hanya Engkaulah yang mampu membolak-balikkan hati ini,"

Bantulah Ya Allah.

Dunia ini, biarlah sekadar di tanganku.


Kerana Allah Maha Tahu



Manusia, seringkali mengeluh apabila hadirnya ujian.

Jarang sekali untuk mereka mensyukuri kehadiran ujian itu.

Kita selalunya memohon agar dijauhkan daripada kesusahan, namun kenapa Allah masih juga turunkan kepada kita kesusahan itu?

Hal ini kerana, kadang-kadang, detik-detik susah atau kesukaran adalah perkara yang sangat kita perlukan dalam kehidupan. Sangat perlu, bukan untuk lebih membenci, tetapi untuk lebih mencintai-Nya.

Andai Allah sekadar mengalukan kita melangkah di bumi-Nya tanpa ada kesukaran dan kesusahan, maka kita pasti akan menjadi lemah, cacat selama-lamanya. Kita tidak akan tahu dimana kelemahan kita, kekuatan kita.

Kita mungkin tidak akan menjadi kuat, berani sepertimana kita hari ini.

Kita mungkin tidak akan mampu melangkah.

Ya, Allah tetap berikan kepada kita ujian, bergantung kepada sejauh mana tahap kemampuan kita untuk menghadapinya. Allah tetap turunkan, kerana Dia tahu bahawa hamba-Nya berhak mendapatkan yang terbaik.

Justeru, untuk kebaikan kita, Allah berikan kesukaran.

Cuma masalahnya, kita selalu berfikir bahawa Allah ini seolah-olah tidak adil kerana memberikan kesukaran kepada kita, sedangkan kita belum lagi berusaha secukupnya. Masalah kita, apa yang Allah kata baik, kita katakan itu tidak patut, kita mengeluh.

Mungkin kita lupa, bahawa apa yang berlaku, semua ada hikmahnya.

Ya, sesungguhnya Dia tahu lebih dari kita.

Sungguh, Allah Itu Maha Tahu

Suatu hari, seorang lelaki terlihat kepompong.

Kebetulan, dia melihat satu lubang tiba-tiba terbuka pada kepompong tersebut dan melihat akan seekor rama-rama ingin melepaskan diri, ingin keluar bebas. Satu kejadian yang jarang dilihat baginya.

Lelaki tersebut lalu mengambil masa untuk duduk sambil melihat kejadian yang bakal memberinya satu pengajaran yang sangat bernilai. Berjam-jam dia duduk, semata-mata untuk melihat, bagaimanakah rupanya seekor rama-rama ingin keluar dari kepompong.

Kemudian, pergerakan rama-rama tersebut seperti sudah berhenti, seolah-olah rama-rama tersebut tidak lagi punya upaya untuk memaksa dirinya keluar dari lubang kecil kepompong tersebut.

Sepertinya rama-rama yang bakal keluar itu, telah mencapai tahap kekuatannya yang terakhir dan tiada apa-apa daya lagi yang tinggal untuknya melepaskan diri.

Lagaknya seperti tidak mampu lagi untuk memaksa.

Justeru, lelaki tersebut memutuskan untuk membantu.

Lalu lelaki tersebut mengeluarkan sebilah gunting dari poket seluarnya, dan memotong sebahagian kecil lebihan kepompong yang masih tersangkut pada sang rama-rama tadi.

Seperti yang dijangka, sang rama-rama terlepas dengan mudah.

Tidak perlu apa-apa kekuatan untuk memaksanya keluar. Namun, walaupun terlepas dengan mudah, nampaknya sang rama-rama keluar dalam keadaan yang begitu lemah, dengan keadaan sayapnya yang masih kecil dan sangat longlai.

Lelaki tersebut tidak begitu kisah akan keadaan itu.

Dia lantas duduk melihat sang rama-rama yang lemah longlai. Dia menyangkakan, bahawa akan tiba satu ketika apabila makhluk kerdil itu dapat bergerak dan melebarkan sayapnya dan mampu menampung beratnya.

Lalu terbang ke udara, bebas dari kepompong.

Namun, sangkaannya jauh meleset.

Sang rama-rama sebaliknya menghabiskan masanya di tanah seolah-olah merangkak dengan keadaan badannya yang lemah dan sayap yang sungguh longlai. Ciptaan Allah itu, langsung tidak mampu untuk bergerak apatah lagi untuk terbang.

Mengapa begitu?

Lelaki tersebut mungkin tidak menyangka.

Bahawa kepompong yang menyekat sang rama-rama daripada keluar, kesusahan dan kesukaran yang dikenakan kepadanya untuk keluar daripada lubang kecil kepompong tadi, adalah cara yang Allah gunakan.

Wasilah yang Dia gunakan untuk memaksa cecair-cecair daripada tubuh rama-rama untuk sampai kepada sayapnya. Supaya sayapnya cukup kuat dan bersedia untuk mencapai dan menggapai kebebasan yang diinginkannya.

Semenjak dari dalam kepompong, sehingga berjaya keluar.

Itu sebenarnya, yang dia tidak tahu.

Namun Allah Maha Tahu.

Penutup : Bergembiralah Dengan Ujian

Setiap jiwa, pasti akan merasai ujian.

Datangnya daripada Allah, dengan ada motif dan tujuannya yang tersendiri yang hanya Allah sahaja yang tahu. Mungkin, kesukaran yang diberikan kepada kita itu, adalah sebagai wasilah untuk kita meningkatkan keimanan?

Mungkin juga, untuk menyedarkan kita yang semakin jauh dari jalan kebenaran?

Atau mungkin juga sebagai pengajaran?

Itu semua, hanya Allah yang tahu.

Apa yang pasti, kita sepatutnya perlu bergembira apabila Allah hadirkan ujian dalam hidup kita. Hal ini kerana, melalui ujian demi ujian yang Dia berikan, nampak bahawa Dia masih sayangkan kita dan tidak ingin kita tersesat jauh dari jalan-Nya.

Dia tidak mengabaikan kita, malah ingin menyedarkan kita.

Mengapa, apabila kita memohon agar diberikan kekuatan, Allah turunkan kesukaran kepada kita? Mengapa tidak Dia berikan terus kekuatan kepada kita, sedangkan Dia mampu untuk melakukannya.

Kerana, Allah jadikan kesukaran sebagai wasilah untuk kita semakin kuat. Belajar daripada kesukaran yang kita hadapi dan mengambil iktibar darinya. Bila sudah belajar, maka kita akan jadi kuat untuk menghadapi ujian seumpamanya pada masa akan datang.

Dari situ, bukankah kita sudah diberikan kekuatan?

Ya. Namun, jarang sekali untuk kita berfikir begitu.

Justeru, jika hadir kesukaran dalam hidup, bergembiralah.

Kerana Allah tahu apa yang terbaik.

Buat hamba-Nya yang beriman.


Rindunya Dengan Usrah



Teringat lagi ketika di teratak al-Hidayah dahulu.

Teratak yang meninggalkan seribu satu kenangan.

Setiap malam hari selasa dan khamis, sesi usrah akan diadakan bersama-sama selepas solat maghrib. Berkongsi ilmu sesama naqib dan naqibah dengan ahli-ahli usrah, akan tajuk yang akan dibincangkan pada ketika itu.

Membincangkan perihal akidah, ibadah dan akhlak, disamping pengetahuan-pengetahuan lain yang telah dipersetujui bersama seorang murabbi. Saya diajar, saya difahamkan, dan saya disuruh untuk mengamalkan.

Kadang-kadang, tajuk ditentukan.

Kadang-kadang, mengikut keputusan naqib masing-masing.

Bagusnya usrah. Mungkin sebab itu, apabila saya mendengar ada orang menyebut akan usrah atau mengajak saya mengikuti usrah, saya pasti gembira dan berusaha untuk mengikutinya.

Kerana saya percaya, pasti akan ada sesuatu yang bernilai akan saya dapat.

Saya dapat banyak ilmu, percuma pula.

Seusai membincang dan membicarakan berkenaan tajuk, sesi usrah akan diteruskan dengan perkongsian masalah sesama ahli. Berkongsi masalah, dengan naqib dan naqibah menjadi tempat mengadu dan ahli-ahli lain sebagai tempat meluahkan.

Saya ingat lagi pada suatu ketika.

Adik usrah saya sampai menangis menceritakan masalahnya.

Kami mendengar, dan turut merasai keadaannya. Kemudian, jelas kelihatan pada wajahnya, suasana yang sungguh tenang dan lega setelah menceritakan masalah, dan setelah berbincang untuk sebuah jawapan.

Itu usrah, mampu memberi ketenangan kepada hati yang resah.

Andai tiada kuliah maghrib, pasti usrah yang menjadi penggantinya. Ketika sedang duduk melepak di anjung surau, pasti akan ada insan yang memulakan perbincangan, memulakan sesi usrah.

Daripada masa dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa ada manfaat.

Ya, ketika masa kosong, usrahlah yang mengisinya.

Kami juga dilatih dan melatih untuk menjadikan sesama ahli dan jemaah seolah-olah seperti sebuah keluarga yang besar, sekaligus menjadikan kami sesama ahli mempunyai satu binaan ikatan yang sangat kuat dan ampuh.

Sebuah ikatan, yang tunjangnya kerana Allah.

Usrah itu, bukankah maksudnya keluarga?

Justeru, usrah adalah satu budaya yang pada saya, adalah sangat perlu, untuk kita saling ingat-mengingati antara satu sama lain, supaya apabila ada antara kita yang ingin dan telah bergerak selangkah ke jalan yang rosak, terus ditahan dan ditarik oleh sahabat-sahabat lain.

Mereka tarik kembali, dengan kasih-sayang.

Sekali kita dihembus angin mazmumah yang ingin melekakan dan melalaikan, kita terus diberikan nasihat dan teguran, bahawa syaitan itu sentiasa ingin mengganggu manusia sedari kecil hinggalah kiamat.

Baru ingin terpesong dari amanah, sudah ada yang ingatkan.

Seperti sebuah keluarga, yang apabila ada anak-anak yang melakukan sedikit kesalahan, dia sudah ditegur dan diberikan nasihat supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama lagi. Di situ, peribadi dia dibentuk, untuk tidak melakukan kesalahan.

Bukankah itu menggembirakan?

Itulah usrah, ada ukhwah yang dapat menyelamat.

Saya, sudah lama meninggalkan usrah.

Namun alhamdulillah, hubungan saya dengan ahli-ahli usrah saya masih lagi mekar, masih kekal sehingga hari ini walaupun saya sudah hampir dua tahun meninggalkan sekolah.

Cuma, ada segelintir ahli usrah yang saya jarang berhubung. Namun, saya masih mendengar khabar mengenainya. Ada juga, kadang-kadang ada ketika di mana kami hanya berhubung melalui facebook atau berbual melalui Yahoo Messenger.

Namun, suasana itu bukanlah sama dengan ketika berusrah dalam satu bulatan, menatap satu-persatu wajah-wajah mereka dan merasakan kehangatan usrah itu.

Suasananya, jauh sekali tidak sama.

Dengan izin Allah, saya sangat berharap akan suatu hari nanti kami akan berkumpul kembali bersama-sama untuk berusrah, bercerita akan perkembangan masing-masing dan berkongsi ilmu antara satu sama lain.

Sungguh, saya sangat rindu akan saat-saat itu.

Perasaan ini seperti semakin hari semakin menebal.

Saya harap, semoga Allah kurniakan saya kesempatan, kurniakan pada saya peluang untuk merasai nikmat dan rahmat yang Dia curahkan pada kumpulan-kumpulan jemaah yang sentiasa berkumpul untuk mengingati-Nya.

Supaya hati-hati ini terus hidup.

Dan tidak lupa akan amanahnya.

InsyaAllah.