Kerana Allah Maha Tahu



Manusia, seringkali mengeluh apabila hadirnya ujian.

Jarang sekali untuk mereka mensyukuri kehadiran ujian itu.

Kita selalunya memohon agar dijauhkan daripada kesusahan, namun kenapa Allah masih juga turunkan kepada kita kesusahan itu?

Hal ini kerana, kadang-kadang, detik-detik susah atau kesukaran adalah perkara yang sangat kita perlukan dalam kehidupan. Sangat perlu, bukan untuk lebih membenci, tetapi untuk lebih mencintai-Nya.

Andai Allah sekadar mengalukan kita melangkah di bumi-Nya tanpa ada kesukaran dan kesusahan, maka kita pasti akan menjadi lemah, cacat selama-lamanya. Kita tidak akan tahu dimana kelemahan kita, kekuatan kita.

Kita mungkin tidak akan menjadi kuat, berani sepertimana kita hari ini.

Kita mungkin tidak akan mampu melangkah.

Ya, Allah tetap berikan kepada kita ujian, bergantung kepada sejauh mana tahap kemampuan kita untuk menghadapinya. Allah tetap turunkan, kerana Dia tahu bahawa hamba-Nya berhak mendapatkan yang terbaik.

Justeru, untuk kebaikan kita, Allah berikan kesukaran.

Cuma masalahnya, kita selalu berfikir bahawa Allah ini seolah-olah tidak adil kerana memberikan kesukaran kepada kita, sedangkan kita belum lagi berusaha secukupnya. Masalah kita, apa yang Allah kata baik, kita katakan itu tidak patut, kita mengeluh.

Mungkin kita lupa, bahawa apa yang berlaku, semua ada hikmahnya.

Ya, sesungguhnya Dia tahu lebih dari kita.

Sungguh, Allah Itu Maha Tahu

Suatu hari, seorang lelaki terlihat kepompong.

Kebetulan, dia melihat satu lubang tiba-tiba terbuka pada kepompong tersebut dan melihat akan seekor rama-rama ingin melepaskan diri, ingin keluar bebas. Satu kejadian yang jarang dilihat baginya.

Lelaki tersebut lalu mengambil masa untuk duduk sambil melihat kejadian yang bakal memberinya satu pengajaran yang sangat bernilai. Berjam-jam dia duduk, semata-mata untuk melihat, bagaimanakah rupanya seekor rama-rama ingin keluar dari kepompong.

Kemudian, pergerakan rama-rama tersebut seperti sudah berhenti, seolah-olah rama-rama tersebut tidak lagi punya upaya untuk memaksa dirinya keluar dari lubang kecil kepompong tersebut.

Sepertinya rama-rama yang bakal keluar itu, telah mencapai tahap kekuatannya yang terakhir dan tiada apa-apa daya lagi yang tinggal untuknya melepaskan diri.

Lagaknya seperti tidak mampu lagi untuk memaksa.

Justeru, lelaki tersebut memutuskan untuk membantu.

Lalu lelaki tersebut mengeluarkan sebilah gunting dari poket seluarnya, dan memotong sebahagian kecil lebihan kepompong yang masih tersangkut pada sang rama-rama tadi.

Seperti yang dijangka, sang rama-rama terlepas dengan mudah.

Tidak perlu apa-apa kekuatan untuk memaksanya keluar. Namun, walaupun terlepas dengan mudah, nampaknya sang rama-rama keluar dalam keadaan yang begitu lemah, dengan keadaan sayapnya yang masih kecil dan sangat longlai.

Lelaki tersebut tidak begitu kisah akan keadaan itu.

Dia lantas duduk melihat sang rama-rama yang lemah longlai. Dia menyangkakan, bahawa akan tiba satu ketika apabila makhluk kerdil itu dapat bergerak dan melebarkan sayapnya dan mampu menampung beratnya.

Lalu terbang ke udara, bebas dari kepompong.

Namun, sangkaannya jauh meleset.

Sang rama-rama sebaliknya menghabiskan masanya di tanah seolah-olah merangkak dengan keadaan badannya yang lemah dan sayap yang sungguh longlai. Ciptaan Allah itu, langsung tidak mampu untuk bergerak apatah lagi untuk terbang.

Mengapa begitu?

Lelaki tersebut mungkin tidak menyangka.

Bahawa kepompong yang menyekat sang rama-rama daripada keluar, kesusahan dan kesukaran yang dikenakan kepadanya untuk keluar daripada lubang kecil kepompong tadi, adalah cara yang Allah gunakan.

Wasilah yang Dia gunakan untuk memaksa cecair-cecair daripada tubuh rama-rama untuk sampai kepada sayapnya. Supaya sayapnya cukup kuat dan bersedia untuk mencapai dan menggapai kebebasan yang diinginkannya.

Semenjak dari dalam kepompong, sehingga berjaya keluar.

Itu sebenarnya, yang dia tidak tahu.

Namun Allah Maha Tahu.

Penutup : Bergembiralah Dengan Ujian

Setiap jiwa, pasti akan merasai ujian.

Datangnya daripada Allah, dengan ada motif dan tujuannya yang tersendiri yang hanya Allah sahaja yang tahu. Mungkin, kesukaran yang diberikan kepada kita itu, adalah sebagai wasilah untuk kita meningkatkan keimanan?

Mungkin juga, untuk menyedarkan kita yang semakin jauh dari jalan kebenaran?

Atau mungkin juga sebagai pengajaran?

Itu semua, hanya Allah yang tahu.

Apa yang pasti, kita sepatutnya perlu bergembira apabila Allah hadirkan ujian dalam hidup kita. Hal ini kerana, melalui ujian demi ujian yang Dia berikan, nampak bahawa Dia masih sayangkan kita dan tidak ingin kita tersesat jauh dari jalan-Nya.

Dia tidak mengabaikan kita, malah ingin menyedarkan kita.

Mengapa, apabila kita memohon agar diberikan kekuatan, Allah turunkan kesukaran kepada kita? Mengapa tidak Dia berikan terus kekuatan kepada kita, sedangkan Dia mampu untuk melakukannya.

Kerana, Allah jadikan kesukaran sebagai wasilah untuk kita semakin kuat. Belajar daripada kesukaran yang kita hadapi dan mengambil iktibar darinya. Bila sudah belajar, maka kita akan jadi kuat untuk menghadapi ujian seumpamanya pada masa akan datang.

Dari situ, bukankah kita sudah diberikan kekuatan?

Ya. Namun, jarang sekali untuk kita berfikir begitu.

Justeru, jika hadir kesukaran dalam hidup, bergembiralah.

Kerana Allah tahu apa yang terbaik.

Buat hamba-Nya yang beriman.


0 Komen:

Post a Comment