Kita Ini Siapa?



Pagi itu, seperti biasa kami di sekolah.

Kelas pada waktu pertama dan kedua adalah Geografi.

Ah, insan yang saya tunggu-tunggu. Sejujurnya, saya sangat menghormati guru saya yang seorang ini. Saya menghormati dan mengaguminya, dek kerana pendekatan mengajarnya yang saya kira sangat jarang sekali untuk dilihat pada peribadi guru-guru lain yang mengajar saya.

Beliau, setiap kali ketika mengajar di kelas dan setiap kali hampir habis waktu, pasti akan memberi, walau hanya sekelumit peringatan. Peringatan beliau, bukan sahaja untuk kejayaan di dunia kami, malah juga untuk kehidupan pada dunia selepas mati kami kelak.

Seronok? Apa nak dikata?

Maklumlah, saya ini jarang-jarang kali mengisi jiwa dengan kalimah-kalimah yang sejahtera, atau dengan pendek katanya, jarang-jarang mentarbiyah diri. Jadi, seronok? Oh, bukan setakat seronok, malah rasa sangat bersyukur, sangat terkesan! Tidak dapat dijelaskan perasaan seperti itu. Tenang, sejahtera.

Tambahan pula, beliau sering menyisipkan ilmu-ilmu yang diajarkan pada saya oleh agama saya. Jika berbicara perihal peredaran dan putaran bumi juga berkaitan alam, beliau akan menyentuh sedikit berkenaan fenomena kejadian alam, yang asalnya bermula dari sekadar titik yang kecil, lalu kemudian melalui proses semacam bom, malah lebih dahsyat, yang kita kenal sebagai Big Bang.

Beliau menyelitkan juga tentang sesuatu, yang mengikut kepercayaan agama saya, bahawa alam semesta ini diciptakan oleh Allah dalam enam masa. Banyak lagi. Dan pastinya, ikut silibuslah.

Ya, kata-katanya adalah kata yang bersumberkan al-Quran.

Dan setiap bait tuturnya, membuatkan saya senang dan tertarik.

Beliau sedang berdakwah, sedang menyampaikan sesuatu kepada rakan-rakan sekelas saya yang bukan seakidah dengan saya. Dan kepada saya, beliau sedang menuturkan ayat-ayat semacam tazkirah, kuliah.

Sungguh, saya berasa terisi dengan kata-katanya.

Yang paling membuatkan saya tertarik, adalah pada dia menyusun katanya. Lantaran sedar bahawa mata-mata dan telinga-telinga yang ada dihadapannya adalah majoriti jiwa-jiwa yang punya variasi pegangan dan kepercayaan yang berbeza, maka lidahnya perlu disusun rapi, penuh hemah dan lemah-lembut.

Dan mungkin kerana kata-kata beliau yang penuh hemah itu, saya perasan, bahawa rakan saya yang pada awalnya sering tunduk dan mendengus bila sahaja lelaki itu bersuara, kini sudah mula pandai untuk mengajukan soalan demi soalan. Saya diam, dan berasa kagum sendirian sahaja, melihat gelagat mereka dan reaksi beliau.

Peribadinya menawan hati saya.

Dan kerana Allah, saya cintakan guru saya itu.

Mengenangkan itu, membuatkan saya berfikir. Beliau, telah menyumbangkan sesuatu kepada agamanya. Seperti setiap saat, beliau mengajak kepada makruf, amanah yang telah diletakkan di atas bahu setiap muslim sedari kecil, dengan matapelajaran Geografi sebagai wasilah.

Beliau kaitkan setiap satunya dengan al-Quran, dengan Islam.

Saya pula? Oh ...

Tiba-tiba teringat.


Wahai manusia, Kami telah ciptakan kamu lelaki dan wanita, dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak agar kamu kenal-mengenal antara satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia daripada kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Mengenal.

(Surah al-Hujurat ayat 13)

Kadang-kadang, ada baiknya rasa tergerak untuk membandingkan diri sendiri dengan orang yang tampak lebih berjiwa agama daripada kita. Tiba-tiba rasa bersemangat, rasa 'izzah malah rasa berjiwa! Ketiga-tiganya hadir tidak diundang, sekaligus.

Itu baru seorang guru biasa, belum lagi jika hendak dibandingkan dengan para ustaz, para ustazah. Apa lagi jika dibandingkan dengan segolongan ulama. Apatah lagi dengan para salaf as-Soleh, wali-wali dan para khalifah yang dahulu-dahulu itu. Siapa lagi? Muhammad ibnu Abdullah? Subhanallah, lebih-lebih lagi terasa jauh, kecil.

Mereka adalah insan yang seluruh hidup mereka digunakan untuk mengabdikan diri pada Allah. Setiap langkah mereka, setiap apa kerja yang mereka lakukan, setiap tutur kata dan bicara mereka, semuanya adalah kerana Allah.

Kita dan mereka hakikatnya adalah sama, hamba.

Justeru, ingatlah diri kita selalu dengan firman Allah :


Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.

(Surah al-An'am ayat 162)

Hidup kita adalah untuk Allah.

Dan hanya taqwa yang membezakan kita.

Bangkitlah, bangkitlah beramal!


0 Komen:

Post a Comment