Andainya Ini Ramadhan Terakhir



Alhamdulillah, kita masih lagi menghirup udara Ramadhan.

Dalam saki-baki Ramadhan yang tinggal ini, bermacam rasa yang bermain di jiwa. Entahlah, adakah mampu untuk bertemu lagi atau tidak dengan Ramadhan yang seterusnya, atau tidak. Namun, itu semua kuasa Allah, dan kita mengharapkan moga-moga Allah tetap limpahkan kasih-Nya untuk mempertemukan kita sekali lagi dengan bulan barakah ini.

Ramadhan hanya sebulan.

Namun, dalam sebulan itu adalah sebulan yang penuh makna.

Secara ilmiahnya, yang membezakan Ramadhan adalah ia merupakan bulan yang dalamnya sangat istimewa berbanding bulan yang lain. Sebab itulah rasa sayang, rindu sangat sejak hari-hari akhir Ramadhan ini. Bulan yang banyak kelebihannya.

Bulan yang padanya diturunkan al-Quran, bulan yang melipatgandakan ganjaran pahala kepada pelaku-pelaku ibadah, dan banyak lagi. Bulan yang dibukakan pintu syurga seluas-luasnya dan ditutup rapat pintu neraka.

Syaitan, Iblis? Oh, semuanya diikat, dikurung.

Lalu tiada apa yang dapat menarik kita untuk tidak beramal ibadah.

Hanya nafsu, itu sahaja yang perlu kita kawal.


(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.

Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau yang mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.

(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu beroleh kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.

(Surah al-Baqarah ayat 185)

Pada saya, apa yang membuatkan Ramadhan itu istimewa?

Ramadhan istimewa dengan istimewanya pengisian amal kita dalamnya.

Bukannya dengan juadah yang lebih enak daripada tahun lepas, bukannya dengan berbuka puasa di tempat yang megah, bukannya kerana berkesempatan berbuka dengan teman rapat, teman istimewa dan sebagainya. Tetapi, tentang apa yang telah kita isikan untuk menghidupkan Ramadhan kita.

Apakah pengisian ibadah Ramadhan kita bergaya?

Atau sebaliknya, sama sahaja seperti yang kita persembahkan pada hari-hari yang lain, tiada beza, kuantiti bahkan kualiti. Sama bererti Ramadhan kita kurang istimewanya. Namun, walau sedikit perbezaan, atau penambahbaikan yang kita lakukan berbanding biasa, sudah cukup menjadikannya istimewa.

Tambah pula jika pada malam Lailatul Qadar yang tidak diketahui bila itu, kita berkesempatan untuk duduk bersimpuh mengadap Allah, memohon keampunan, limpahan kebaikan dan ganjaran syurga dan dijauhkan dari api neraka.

Doa saya, semoga Ramadhan kita semuanya istimewa.

Ada antara kita yang hatinya sentiasa merindui Ramadhan. Perpisahan dengannya menjadikan sanubari menjadi sedih, meronta-ronta tidak ingin berpisah. Kerana bulan mulia kurniaan Allah itu, bukan sahaja menjanjikan kebaikan kepada jasad, malahan juga buat spiritual.

Namun, betapa banyak pun kebaikan yang dilimpahkan dalam Ramadhan, kita masih juga berasa letih, payah untuk mendisiplinkan diri. Bermula dari menahan nafsu makan dan minum, menjauhkan perkara yang boleh mensia-siakan pahala puasa bahkan untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti ibadah.

Semuanya sukar untuk kita disiplinkan.

Memang, tiada seorang pun yang berani mengatakan bahawa puasa adalah senang. Kerana puasa Ramadhan itu bukan sahaja bermaksud menahan nafsu dari terbit fajar hingga terbenamnya matahari, bahkan lebih banyak. Ada lagi perkara-perkara lain yang perlu kita lakukan, dan persembahkan dengan baik.

Membaca al-Quran, menjaga lidah, pandangan dan lain-lain lagi.

Banyak. Dan kita sedar semua itu.

Kita mulakan Ramadhan dengan baik, bersemangat. Solat terawih, tadarus dan sebagainya kita tunaikan. Namun di akhirnya, Ramadhan seolah-olah hanya 20 hari. Baki lagi sepuluh hari, kita sudah perasan sibuk dengan persediaan menyambut Syawal, lalu diabaikan perkara-perkara ibadah yang dituntut. Sedangkan, 10 malam yang terakhir adalah hari yang digalakkan untuk kita meningkatkan amal, memburu malam Lailatul Qadar.

Terbalik? Oh, memang.

Itulah yang menjadikan Ramadhan kita tidak bergaya.

Lalu seusai Ramadhan, kita berazam.

"Tahun akan datang, aku akan lakukan lebih baik,"

Kiranya Allah berikan kepada kita kesempatan, insyaAllah kita akan bertemu lagi dengannya tahun akan datang. Namun, bagaimana jika kita tiada kesempatan itu untuk melakukan yang lebih baik dari Ramadhan tahun ini. Kesihatan kita hari ini, apakah akan tetap dijamin pada keesokannya? Jika kita sedar, bahawa ini adalah Ramadhan kita yang terakhir, tidak inginkah kita melakukan yang terbaik, sementara boleh?

Persembahkanlah yang terbaik, persembahkanlah yang paling istimewa untuk edisi Ramadhan kita kali ini. Kerana kematian itu, kita semua tahu, bakal menjemput kita pada bila-bila detik masa sahaja. Semoga Ramadhan kali ini adalah yang terbaik bagi kita semua, insyaAllah.

Beberapa hari lagi, Ramadhan akan pergi.

Tetamu itu bakal meninggalkan kita selama beberapa bulan.

Andaikan, bahawa ini adalah Ramadhan terakhir kita.

Sudahkah kita usaha melakukan yang terbaik?

Sabda Rasulullah :


Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.

(Riwayat Bukhari)

Moga Allah terima puasa dan ibadah kita.

Keluarlah dari Ramadhan dengan bergaya.

Amin.

0 Komen:

Post a Comment