Ceremin Dirik



Ceremin.

Nakpa menda ceremin tuk, rasanya semua udah tauk.

Makey baju nok raged, ada gaya, ada kelip-kelip sikit, dan macam-macam lagik lah. Udah ya, mula la kita tuk tek, masang make up sikit (bukan ditujukan buat mpuan ajak, laki pun lebih kurang juak, ada makey make up juak, buat yang nisik tauk tek eh).

Apa lagik, ncapey la kita tuk tek minyak wangi, lalu disembor sik cukup duak tiga kali, ditambah-tambah sampey berkali-kali. Udah ya, nangga la ceremin tek. Dah nangga sekali, masok bilit. Padu tek pipi belah kanan belom letak podar (powder) lagik. Tegal ya tek, nangga ceremin lagik. Proses berulang sampeylah rasa semperna dah.

Lalu ngereco surang dirik.

Kacak/cantik juak aku hari tuk eh (Perasan mena).

Ha, nakpa menda ya?

Ya lah salah sigek sebab ceremin dicipta.

Standard lah, fungsi nok pertama tuk semua kita molah. Sebabnya kita tuk ada tanggungjawab. Islam ya indah, dan Allah pun sukakan keindahan. Jadi kita pun njaga perwatakan kita tuk sak nampak indah, sekaligus sak urang lain nangga betapa islam tuk adalah agama yang indah.

Tapi, apa yang nisik standardnya, kita lupak yang kita tuk pun berfungsi kedak ceremin juak. Kenak kamek madah giya? Sebabnya, saat lahirnya kita atas dunia tuk sebagai seurang islam, jadi tanggungjawab kita untuk jaga islam ya kedirik.

Kamek ngambik sigek contoh senang.

Hati ngan Akhlak.

Duak igek menda tuk, merupakan ceremin peribadi kita dirikmpun. Mun rupa gaya hati ngan akhlak kita rusak tek eh, kotor pa indah, jadi ya lah peribadi kita. Bukan takat ya jak, peribadi nok kita tunjokkan tek, paduhal ceremin juak kepada peribadi keluarga ngan agama kita.

Sebab ya lah tek, bila ada jak anak-anak molah kes nok ncemarkan nama keluarga tuk eh, kita selalu nengar urang madah sepa mak bapak nya kah? Nang sik mandey nak njaga anak lah urang tuk eh. Dan macam-macam lagik.

Padahal tek, bapak ahli mesjid (contoh).

Bila bapak udah giya, anak-anak mesti jadi antara salah sigek prioriti paling tinggi sidak nak? Nama pun pemimpin ummah masa depan. Jadi, wahai anak-anak, kenak kamboh ilak sikmaok dengar cakap urang nok melahirkan dan mendidik kita?

Lagik sigek, peribadi kita tuk, ncerminkan islam ya dirikmpun. Jadi, mun udah perange kedak urang nok sik tentu arah, giney pandangan urang lain dengan agama islam? Konfem urang madah islam tuk kedak tuk kedak ya (negatif). Dalam erti kata dakwah, kita dah memfitnahkan islam, sebab kita nyampeykan menda nok sik bait tentang islam.

Jadi, wahai dirik, hiasilah peribadi kita.

Jaga benar-benar keindahan islam.

Sabda Rasulullah :


"Mukmin yang paling sempurna imanya ialah yang paling baik akhlaknya. Dan yang paling baik di antara kamu ialah mereka yang paling baik terhadap isterinya."

(Hadis Riwayat Ahmad)

Lagik sigek nok sik standardnya.

Kita tuk suka ilak nak mburokkan ceremin urang lain (faham sik?) Sik cukup ceremin kedirik belom cukup terjaga, pande indah nak njaga ceremin urang. Sekali nanggar bukan nak njaga, malah makin dicemar nya ceremin urang ya. Maka terkantoi lah urang ya tek.

Maksud kamek di sia, kita tuk suka nak mbukak aib urang lain. Tuk sik tauk lah, rasanya dah jadi rutin masyarakat kita hari tuk. Kumpol-kumpol sigek tempat, lalu sik ada menda nak dikelakar tek eh, lalu lah nak ngereco sal urang lain. Masa makan, giya. Masa belajar, giya juak.

Entah bila masa kita nisik molah.

Rasa-rasa dalam kawasan mesjid suro ada sik ow?

Ingatlah pesan Allah buat kita :


"Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang,"

(Surah al-Hujurat ayat 12)

Jadi, yalah tek.

Kita tuk sanggup ka nak makan dagin-dagin sedara kedirik? Hoo, mun soalan ya diajukan rah kamek, belom jawab kamek lari dulok. Bayangkanlah jak, makan dagin urang dah mati? Sedara kedirik lagik. Mun sanggup juak makan, sik tauklah nafsu makan tahap keberapa ya.

Jadi, lari jaoh-jaoh dari ngumpat k?

Kita tuk kenak selalu ingat.

Allah merik ilham kat urang untuk molah ceremin tuk bukan atas sebarang sebab. Bukan takat nak nanggar pantolan rupa kita rah ceremin jak. Tapi juak Nya nak ngajar kita betapa kita tuk adalah ceremin kepada keluarga kita, kepada kawan-kawan kita dan juak kepada agama kita.

Sik salah mun kita maok perasan cantik, perasan kacak depan ceremin. Lumrah bah nak? Tapi apa yang lebih penting sebelom kita berperasan giya tek, kita ceremin dirik kita dulok. Apakah kita tuk layak jadi ceremin yang bait kepada keluarga kita, kepada kawan-kawan kita dan kepada agama kita kedirik?

Mun rasa-rasa belom, cereminlah puas-puas dirik kita nun.

Belom ada ceremin? Pegi beli dulok.

Selamat menjadi ceremin yang bait.


Disebalik Hijrah



Firman Allah :

“Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dianiaya, pasti kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. dan sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui. (Iaitu) orang-orang yang sabar dan hanya kepada Tuhan saja mereka bertawakkal,”

(Surah an-Nahl ayat 41-42)

Pertama sekali, segala puji bagi Allah.

Tuhan yang Maha Agung dan yang memberikan hidayah. Sesungguhnya tiada apa yang mampu untuk menyesatkan manusia andai telah diberikan petunjuk oleh Allah. Dan tiada apa pun yang mampu menunjukkan manusia kepada jalan yang benar, melainkan hanya Dia. Selawat juga salam buat penghulu sekalian alam yang dirindui, Rasulullah s.a.w. serta keluarga dan sahabat yang setia.

Alhamdulillah.

Kita bertemu lagi dalam lembaran tahun baru 1432 hijrah.

Aku tahu, asalkan tiba tahun baru hijrah pasti semua sedang sibuk untuk mencatat azam dan memperbetulkan niat masing-masing. Isi pentingnya, kita semua mahukan supaya hari ini adalah lebih baik daripada semalam. Jadi, harapan aku juga bahawa tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya. Apa azam korang?

Tanya azam aku? Adalah.

Yang penting, bila dibicarakan perihal hijrah, apakah kita semua faham makna disebalik hijrah itu? Aku sendiri pun masih belum lagi faham sefaham-fahamnya. Sekadar tahu sedikit-sedikit sahaja. Apa-apapun, aku kira hijrah ini andai kita tidak memahaminya maka kita akan rugi. Jadi berusahalah untuk memahami erti disebalik hijrah ya?

Hari ini 15 Januari 2010.

Bersamaan 8 Muharam 1432 Hijrah.

Justeru sebaiknya dalam suasana hijrah yang masih segar ini, kita perhatikan dan renungilah bagaimana peristiwa hijrah Rasulullah dan para sahabat yang seringkali disampaikan ke telinga kita. Sungguh, tiada apa yang merugikan malah menyisipkan manfaat pula kepada kita andai kita mengetahuinya.

Dalam al-Quran ada dicatatkan :


“Demi sesungguhnya, kisah nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) ia bukanlah cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman,”

(Surah Yusuf ayat 111)

Kira-kira 1432 tahun sudah berlalu.

Dan kisah hijrah agung ini masih segar dalam lakaran sejarah.

Namun bukanlah peristiwa hijrah itu, Allah aturkan sejak azali untuk kita sekadar renung dan ingati pada setiap kali hadirnya tahun baru hijrah, lalu kemudian dilupakan. Mesejnya lebih dari sekadar itu.

Untuk berhijrah, kita perlukan kesedaran. Untuk berhijrah, kita perlukan teman-teman, supaya apabila ada ombak, kita tidak terus hanyut, malah diselamatkan. Untuk berhijrah, kita perlukan keberanian. Dimana redha Allah adalah prioriti tertinggi sebelum redha manusia.

Untuk berhijrah, kita perlukan perancangan.

Supaya kita sampai ke matlamat yang ingin dicapai pada hijrah itu. Dan supaya kelak, biar hijrah kita hijrah yang istiqamah walaupun berjalan dengan langkah perlahan. Bukannya hijrah yang dimulakan dengan langkah seribu, namun diakhirnya kelelahan, lalu berhenti dan kembali kepada kejahilan. Hijrahnya tidak kemana-mana.

Dan banyak lagi.

Yang semuanya ada terkandung di dalam peristiwa itu.

Bukannya sekadar perjalanan yang memakan tenaga dan memenatkan di tengah padang pasir yang kering dan panas terik. Bukannya sekadar sebuah pengembaraan dari sebuah kota dinamakan Makkah ke kota lain bernama Madinah. Dan bukannya hijrah itu mediumnya hanya unta mahupun kuda.

Kita lihat perjalanan hijrah zaman Nubuwwah dulu.

Andai hijrah yang dilalui oleh Rasulullah dan para sahabat suatu ketika dahulu adalah untuk menegakkan ketuanan islam di atas muka bumi seperti yang diperintahkan, bagaimana pula kita? Apakah kita merasakan bahawa kita mampu untuk menegakkan islam di bumi ini, dengan bekalan taqwa yang memang sedikit dalam diri berbanding dengan Rasulullah dan sahabat? Aku pasti jawapannya tidak.

Justeru tuntutan hijrah pada zaman sekarang adalah untuk kita menegakkan ketuanan islam di dalam diri kita sendiri. Kemudian kita tegakkan pula dalam kalangan saudara-mara kita. Dan kemudian di tengah-tengah masyarakat, bangsa, negara dan seterusnya sehinggalah di tengah dunia.

Sabda Rasulullah :

"Ketahuilah, sesungguhnya dalam tubuh itu ada segumpal daging, apabila baik daging itu maka baik pula seluruh tubuh dan bila rosak maka rosak pula seluruh tubuh, ketahuilah segumpal daging itu adalah qalbu,"

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Justeru, dengan tertegaknya islam di hati kita, maka kita dapat menegakkannya pula di tengah-tengah masyarakat, negara dan seterusnya barulah kita dapat mencapai matlamat hijrah yang sebenar seperti suatu ketika dahulu, iaitu untuk menegakkan islam di tengah-tengah dunia.

Hakikatnya, setiap masa adalah masa untuk hijrah.

Cuma tinggal, apakah kita menyedarinya?

Sekarang aku sudah sedar.

Jadi aku sampaikan kepada korang semua.

Salam Ma'al Hijrah semua.


Kebiasaan Itu, Sampai Bila?



Ramadhan semakin ke penghujung.

Sedih? Gembira? Nanti cerita.

Malam semalam, ada diadakan majlis khatam al-Quran di masjid tempat saya pergi terawih. Dua malam sebelumnya pula, masjid yang saya pergi terawih juga mengadakan majlis khatam al-Quran. Ramainya budak-budak dan remaja lelaki dan perempuan yang baru baligh.

Eh, bagaimana saya tahu?

Entahlah, agak-agak saja.

Kerana saya melihat dari sudut seperti yang saya biasa lihat. Setiap tahun, suara budak-budak kecil lah yang akan memenuhi ruangan masjid untuk majlis khatam. Saya berfikir, kemana perginya suara-suara yang lebih tua? Sepertinya menghilang, tapi entah ke mana.

Lagi, bilangan jemaah ke masjid pula? Oh, seperti yang biasa berlaku juga. Dahulu, masjid dan surau dibanjiri lautan jemaah. Ada yang berdiri elok, bahkan ada juga yang duduknya di atas kerusi. Tinggal lagi Ramadhan dalam empat lima hari, rumah Allah itu mulai surut bilangan tetamunya.

Yang sembahyang duduk, setia sehingga akhir.

Yang berdiri elok pula yang tinggalkan masjid lebih awal.

Setiap masjid ada bilangan rakaat terawihnya yang tersendiri. Ada yang lapan, ada dua puluh rakaat. Lagi tiga rakaat, solat sunat witir. Awal Ramadhan, masjid yang buat lapan dan dua puluh rakaat semuanya penuh dengan jemaah sehingga akhir. Kalau boleh, tidak cukup barisan saf untuk surau yang kecil.

Ada pula, terawih hanya lapan rakaat. Selebihnya disambung dengan tadarus al-quran. Tiba waktu untuk solat witir, dia bingkas bangun mengerjakan. Hebat, semuanya tidak ingin melepaskan peluang kemanisan ibadah.

Akhir Ramadhan, Seperti biasa juga.

Masjid dan surau semakin lengang dari lautan jemaah.

Adapun yang hadir, hanya sedikit jika dibandingkan dengan awal Ramadhan dahulu. Kalau boleh, sejadah yang tidak digunakan itu dilipat dan disimpan tepi sahaja. Dua saf sudah memadai. Saf-saf yang kosong, kini menjadi tempat permainan anak-anak kecil.

Berlari sana-sini, berkejar-kejaran.

Sedangkan, yang dituntut untuk memperbanyakkan ibadah adalah pada malam-malam akhir Ramadhan. Kerana pada sepuluh malam terakhir itu, salah satunya diletakkan malam mulia Lailatul Qadar. Oh, mengapa kita seolah-olah tidak punya fikiran?

Lagi, jarang-jarang kedengaran suara-suara halus yang bertadarus. Adapun suara yang membasahkan lidah dengan al-Quran, hanyalah kebanyakannya suara budak-budak dan sebilangan remaja yang akan mengikuti majlis khatam kelak.

Tidak lupa juga, suara guru yang mengajar mereka seorang demi seorang, dan juga suara jiwa-jiwa yang duduk di sudut-sudut masjid, di tepi-tepi parit dan halaman surau yang bergurau senda, bercerita itu ini.

Suara-suara tadarus yang seakan lebah dahulu itu, menyepi.

Menyepi menjadi bunyi tiupan angin.

Biasa. Sudah hampir ke penghujung Ramadhan, itulah yang akan berlaku. Tandanya, lagi beberapa hari, Syawal pula datang menjengah. Banyak rumah yang saya lihat, sudah dipasang lampu-lampu raya, berubah-ubah warnanya. Kagum.

Namun kekaguman saya pada malam itu, tidak dapat dibandingkan lagi dengan kekaguman saya pada malam-malam awal ramadhan. Buka sahaja siaran televisyen, sana-sini sudah dimainkan lagu raya. Ramadhan yang baru tiba dua tiga hari, sudah disambut dengan lagu lebaran.

Siap ada iklan raya lagi. Oh, awalnya.

Sungguh, saya kagum dengan apa yang dilihat.

Sekarang, saya perasan berfikir.

Sampai bila kebiasaan ini akan tetap sama?


Ya Allah, bantulah aku dalam mentaatimu, perelokkanlah amal ibadahku. Berilah kekuatan kepada hambamu ini untuk rajin menunaikan ibadah dan buangkanlah rasa malas dalam mentaatimu. Lembutkanlah hati ini, untuk sentiasa mengingati-Mu.

Jika tidak kerana hidayah ilmu dan hidayah amal yang Engkau berikan tidak mungkin aku mampu untuk melakukan ketaatan kepada-Mu. Ya Allah, bantulah hamba-Mu dan janganlah Engkau palingkan pandangan dan perhatian-Mu kepada hamba-Mu ini walaupun hanya dalam sekelip mata. Amin.

Saya akan tetap berharap.

Agar Ramadhan yang akan kita lalui akan datang.

Semuanya berbeza, lebih baik dari yang biasa.

Sesungguhnya, tiada bulan yang lebih istimewa dari Ramadhan. Tiada bulan yang mampu menawarkan ganjaran kebaikan sebesar dan sebanyak bulan Ramadhan. Tiada bulan yang Allah bukakan pintu syurga seluas-luasnya dan ditutup pintu neraka serapat-rapatnya melainkan Ramadhan. Tiada bulan, yang Allah gandakan pahala ibadah kita selain dari bulan Ramadhan.

Hanya Ramadhan.

Sebulan dalam setahun.

Ubahlah kebiasaan itu untuk Ramadhan akan datang, insyaAllah.

Barakumullahu fikum.


Andainya Ini Ramadhan Terakhir



Alhamdulillah, kita masih lagi menghirup udara Ramadhan.

Dalam saki-baki Ramadhan yang tinggal ini, bermacam rasa yang bermain di jiwa. Entahlah, adakah mampu untuk bertemu lagi atau tidak dengan Ramadhan yang seterusnya, atau tidak. Namun, itu semua kuasa Allah, dan kita mengharapkan moga-moga Allah tetap limpahkan kasih-Nya untuk mempertemukan kita sekali lagi dengan bulan barakah ini.

Ramadhan hanya sebulan.

Namun, dalam sebulan itu adalah sebulan yang penuh makna.

Secara ilmiahnya, yang membezakan Ramadhan adalah ia merupakan bulan yang dalamnya sangat istimewa berbanding bulan yang lain. Sebab itulah rasa sayang, rindu sangat sejak hari-hari akhir Ramadhan ini. Bulan yang banyak kelebihannya.

Bulan yang padanya diturunkan al-Quran, bulan yang melipatgandakan ganjaran pahala kepada pelaku-pelaku ibadah, dan banyak lagi. Bulan yang dibukakan pintu syurga seluas-luasnya dan ditutup rapat pintu neraka.

Syaitan, Iblis? Oh, semuanya diikat, dikurung.

Lalu tiada apa yang dapat menarik kita untuk tidak beramal ibadah.

Hanya nafsu, itu sahaja yang perlu kita kawal.


(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.

Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau yang mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.

(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu beroleh kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.

(Surah al-Baqarah ayat 185)

Pada saya, apa yang membuatkan Ramadhan itu istimewa?

Ramadhan istimewa dengan istimewanya pengisian amal kita dalamnya.

Bukannya dengan juadah yang lebih enak daripada tahun lepas, bukannya dengan berbuka puasa di tempat yang megah, bukannya kerana berkesempatan berbuka dengan teman rapat, teman istimewa dan sebagainya. Tetapi, tentang apa yang telah kita isikan untuk menghidupkan Ramadhan kita.

Apakah pengisian ibadah Ramadhan kita bergaya?

Atau sebaliknya, sama sahaja seperti yang kita persembahkan pada hari-hari yang lain, tiada beza, kuantiti bahkan kualiti. Sama bererti Ramadhan kita kurang istimewanya. Namun, walau sedikit perbezaan, atau penambahbaikan yang kita lakukan berbanding biasa, sudah cukup menjadikannya istimewa.

Tambah pula jika pada malam Lailatul Qadar yang tidak diketahui bila itu, kita berkesempatan untuk duduk bersimpuh mengadap Allah, memohon keampunan, limpahan kebaikan dan ganjaran syurga dan dijauhkan dari api neraka.

Doa saya, semoga Ramadhan kita semuanya istimewa.

Ada antara kita yang hatinya sentiasa merindui Ramadhan. Perpisahan dengannya menjadikan sanubari menjadi sedih, meronta-ronta tidak ingin berpisah. Kerana bulan mulia kurniaan Allah itu, bukan sahaja menjanjikan kebaikan kepada jasad, malahan juga buat spiritual.

Namun, betapa banyak pun kebaikan yang dilimpahkan dalam Ramadhan, kita masih juga berasa letih, payah untuk mendisiplinkan diri. Bermula dari menahan nafsu makan dan minum, menjauhkan perkara yang boleh mensia-siakan pahala puasa bahkan untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti ibadah.

Semuanya sukar untuk kita disiplinkan.

Memang, tiada seorang pun yang berani mengatakan bahawa puasa adalah senang. Kerana puasa Ramadhan itu bukan sahaja bermaksud menahan nafsu dari terbit fajar hingga terbenamnya matahari, bahkan lebih banyak. Ada lagi perkara-perkara lain yang perlu kita lakukan, dan persembahkan dengan baik.

Membaca al-Quran, menjaga lidah, pandangan dan lain-lain lagi.

Banyak. Dan kita sedar semua itu.

Kita mulakan Ramadhan dengan baik, bersemangat. Solat terawih, tadarus dan sebagainya kita tunaikan. Namun di akhirnya, Ramadhan seolah-olah hanya 20 hari. Baki lagi sepuluh hari, kita sudah perasan sibuk dengan persediaan menyambut Syawal, lalu diabaikan perkara-perkara ibadah yang dituntut. Sedangkan, 10 malam yang terakhir adalah hari yang digalakkan untuk kita meningkatkan amal, memburu malam Lailatul Qadar.

Terbalik? Oh, memang.

Itulah yang menjadikan Ramadhan kita tidak bergaya.

Lalu seusai Ramadhan, kita berazam.

"Tahun akan datang, aku akan lakukan lebih baik,"

Kiranya Allah berikan kepada kita kesempatan, insyaAllah kita akan bertemu lagi dengannya tahun akan datang. Namun, bagaimana jika kita tiada kesempatan itu untuk melakukan yang lebih baik dari Ramadhan tahun ini. Kesihatan kita hari ini, apakah akan tetap dijamin pada keesokannya? Jika kita sedar, bahawa ini adalah Ramadhan kita yang terakhir, tidak inginkah kita melakukan yang terbaik, sementara boleh?

Persembahkanlah yang terbaik, persembahkanlah yang paling istimewa untuk edisi Ramadhan kita kali ini. Kerana kematian itu, kita semua tahu, bakal menjemput kita pada bila-bila detik masa sahaja. Semoga Ramadhan kali ini adalah yang terbaik bagi kita semua, insyaAllah.

Beberapa hari lagi, Ramadhan akan pergi.

Tetamu itu bakal meninggalkan kita selama beberapa bulan.

Andaikan, bahawa ini adalah Ramadhan terakhir kita.

Sudahkah kita usaha melakukan yang terbaik?

Sabda Rasulullah :


Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.

(Riwayat Bukhari)

Moga Allah terima puasa dan ibadah kita.

Keluarlah dari Ramadhan dengan bergaya.

Amin.

Ramadhan : Bulan Yang Terbaik



11 Ogos 2010.

Ramadhan datang lagi.

Dengan limpahan kebaikan yang terlindung di dalamnya.

Hanya jiwa-jiwa yang memburu dan mencari sahaja yang akan Allah temukan dengan limpahan kebaikan tersebut. Justeru, kepada muslimin muslimah yang menyambut tiba Ramadhan, mari kita memburu, dan mencari kebaikan itu.

Lupakanlah sebentar kepenatan dunia yang hanya sementara.

Untuk kita peroleh kebaikan, dan ganjaran syurga yang kekal.

Moga Allah permudahkan jalan kita semua.

Dulu ketika Ramadhan sebelum datangnya Ramadhan yang ini, saya pasti, kita semua mengharap agar dipertemukan lagi pada Ramadhan yang akan datang. Dan ketika ini, sama ada kita sedang menghidupkan Ramadhan kita atau tidak, kita hakikatnya sedang berada dalam Ramadhan yang pernah kita harapkan selepas Ramadhan yang dahulu itu.

Ramadhan yang kita sambut tahun ini, adalah hasil penantian, atau mungkin bagi sesetengah kita, adalah hasil ketidaksedaran setelah menempuh perjalanan selama lebih kurang sebelas bulan. Sungguh lama masa penantian itu, dan lama juga ketidaksedaran kita, ya? Oh ...

Pejam celik, kita berada sekali lagi dalam bulan barakah ini.

Masa, perjalananmu memang cepat.

Kalau dahulu, saya ingat, siaran Jejak Rasul kali yang pertama saya tonton, adalah Jejak Rasul yang ketiga. Masuk Ramadhan kali ini sahaja, Jejak Rasul yang saya tonton sejak dahulu itu sudah masuk kepada edisi yang berbelas-belas. Oh, betapa Besarnya Allah yang memutarkan masa.

Selami khutbah Rasulullah pada ketibaan Ramadhan.

Dari Salman al-Farisi, Rasulullah bersabda :


Wahai manusia! Sudah datang kepada kalian bulan agung, bulan penuh berkat, bulan dalamnya ada malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Allah mewajibkan kepada kamu ibadat puasa dan menghidupkan malam harinya sebagai amalan tambahan (sunat). Sesiapa yang pada Ramadhan mendekatkan diri dengan amalan sunat, maka ganjarannya seperti orang melakukan amalan wajib pada bulan lain.

Dan sesiapa yang melakukan satu amalan wajib pada bulan ini, maka balasannya seperti orang yang melakukan 70 amalan wajib pada bulan lain. Bulan Ramadhan adalah bulan sabar dan pahala kesabarannya adalah syurga.

Bulan di mana wujudnya semangat tolong menolong dan bulan bertambahnya rezeki orang yang beriman. Sesiapa yang memberi makan berbuka puasa, maka diampuni dosanya, dibebaskan daripada api neraka dan mendapat pahala seperti pahala orang berpuasa tanpa dikurangkan sedikit pun.

Sahabat berkata : Ya Rasulullah, kami semua bukanlah orang yang ada sesuatu untuk menjamu orang yang berpuasa.

Sabda Baginda : Allah akan memberikan pahala itu kepada sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa untuk berbuka puasa sama ada dengan sebiji kurma atau segelas air sejuk atau dengan sedikit susu yang bercampur air.

Ramadan juga ialah bulan yang awalnya dipenuhi dengan rahmat, pertengahannya dipenuhi dengan keampunan dan akhirnya dipenuhi dengan pahala yang menjadi penebus daripada api neraka.

Sesiapa yang meringankan beban kerja orang gajinya dalam Ramadan akan diampunkan Allah dosanya dan dibebaskan daripada neraka.

Hendaklah kamu memperbanyakkan mengerjakan empat perkara dalam bulan Ramadan iaitu dua perkara dilakukan untuk mendapat keredaan Tuhan kamu dan dua perkara lagi kamu sangat perlukan.

Dua perkara yang dilakukan untuk mendapat keredaan Tuhan kamu itu ialah pertama, mengucapkan lailahillallah (tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah) dan kedua, mengucapkan istighfar (memohon ampun) kepada Allah.

Dua perkara lagi yang sangat kamu perlukan itu ialah pertama, perbanyakkan memohon kepada Allah supaya dimasukkan kamu ke dalam syurga dan kedua, kamu berlindung daripada-Nya azab api neraka.

Selain itu, sesiapa yang memberi minum seseorang yang berpuasa (ketika berbuka puasa), Allah akan memberi minum kepadanya dari kolam aku (Kolam al-Kauthar) dengan sekali minum saja yang menjadikan dia tidak akan berasa dahaga selama-lamanya hingga dia masuk ke dalam syurga.

(Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah)

Ramadhan.

Sungguh, adalah bulan yang terbaik.

Ganjaran pahala yang Allah kurniakan dalam Ramadhan sudah cukup untuk menggembirakan hati-hati yang sentiasa mendambakan pahala sebesar itu. Pahala amalan sunat akan digandakan menjadi pahala amalan wajib. Pahala amalan wajib pula akan digandakan menjadi pahala 70 kebaikan pahala amalan wajib pada bulan yang lain.

Bulan yang pada awalnya dipenuhi dengan rahmat, pada pertengahannya pula dipenuhi dengan keampunan dari Allah, dan akhirnya akan dibebaskan daripada panasnya api neraka.

Justeru, apakah kita tidak ingin peluang ini?

Peluang, yang hanya disediakan sebulan dalam setahun.

Marilah, sama-sama kita.

Persembahkan yang terbaik untuk Ramadhan!

Salam Ramadhan buat semua.

Kita Ini Siapa?



Pagi itu, seperti biasa kami di sekolah.

Kelas pada waktu pertama dan kedua adalah Geografi.

Ah, insan yang saya tunggu-tunggu. Sejujurnya, saya sangat menghormati guru saya yang seorang ini. Saya menghormati dan mengaguminya, dek kerana pendekatan mengajarnya yang saya kira sangat jarang sekali untuk dilihat pada peribadi guru-guru lain yang mengajar saya.

Beliau, setiap kali ketika mengajar di kelas dan setiap kali hampir habis waktu, pasti akan memberi, walau hanya sekelumit peringatan. Peringatan beliau, bukan sahaja untuk kejayaan di dunia kami, malah juga untuk kehidupan pada dunia selepas mati kami kelak.

Seronok? Apa nak dikata?

Maklumlah, saya ini jarang-jarang kali mengisi jiwa dengan kalimah-kalimah yang sejahtera, atau dengan pendek katanya, jarang-jarang mentarbiyah diri. Jadi, seronok? Oh, bukan setakat seronok, malah rasa sangat bersyukur, sangat terkesan! Tidak dapat dijelaskan perasaan seperti itu. Tenang, sejahtera.

Tambahan pula, beliau sering menyisipkan ilmu-ilmu yang diajarkan pada saya oleh agama saya. Jika berbicara perihal peredaran dan putaran bumi juga berkaitan alam, beliau akan menyentuh sedikit berkenaan fenomena kejadian alam, yang asalnya bermula dari sekadar titik yang kecil, lalu kemudian melalui proses semacam bom, malah lebih dahsyat, yang kita kenal sebagai Big Bang.

Beliau menyelitkan juga tentang sesuatu, yang mengikut kepercayaan agama saya, bahawa alam semesta ini diciptakan oleh Allah dalam enam masa. Banyak lagi. Dan pastinya, ikut silibuslah.

Ya, kata-katanya adalah kata yang bersumberkan al-Quran.

Dan setiap bait tuturnya, membuatkan saya senang dan tertarik.

Beliau sedang berdakwah, sedang menyampaikan sesuatu kepada rakan-rakan sekelas saya yang bukan seakidah dengan saya. Dan kepada saya, beliau sedang menuturkan ayat-ayat semacam tazkirah, kuliah.

Sungguh, saya berasa terisi dengan kata-katanya.

Yang paling membuatkan saya tertarik, adalah pada dia menyusun katanya. Lantaran sedar bahawa mata-mata dan telinga-telinga yang ada dihadapannya adalah majoriti jiwa-jiwa yang punya variasi pegangan dan kepercayaan yang berbeza, maka lidahnya perlu disusun rapi, penuh hemah dan lemah-lembut.

Dan mungkin kerana kata-kata beliau yang penuh hemah itu, saya perasan, bahawa rakan saya yang pada awalnya sering tunduk dan mendengus bila sahaja lelaki itu bersuara, kini sudah mula pandai untuk mengajukan soalan demi soalan. Saya diam, dan berasa kagum sendirian sahaja, melihat gelagat mereka dan reaksi beliau.

Peribadinya menawan hati saya.

Dan kerana Allah, saya cintakan guru saya itu.

Mengenangkan itu, membuatkan saya berfikir. Beliau, telah menyumbangkan sesuatu kepada agamanya. Seperti setiap saat, beliau mengajak kepada makruf, amanah yang telah diletakkan di atas bahu setiap muslim sedari kecil, dengan matapelajaran Geografi sebagai wasilah.

Beliau kaitkan setiap satunya dengan al-Quran, dengan Islam.

Saya pula? Oh ...

Tiba-tiba teringat.


Wahai manusia, Kami telah ciptakan kamu lelaki dan wanita, dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak agar kamu kenal-mengenal antara satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia daripada kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Mengenal.

(Surah al-Hujurat ayat 13)

Kadang-kadang, ada baiknya rasa tergerak untuk membandingkan diri sendiri dengan orang yang tampak lebih berjiwa agama daripada kita. Tiba-tiba rasa bersemangat, rasa 'izzah malah rasa berjiwa! Ketiga-tiganya hadir tidak diundang, sekaligus.

Itu baru seorang guru biasa, belum lagi jika hendak dibandingkan dengan para ustaz, para ustazah. Apa lagi jika dibandingkan dengan segolongan ulama. Apatah lagi dengan para salaf as-Soleh, wali-wali dan para khalifah yang dahulu-dahulu itu. Siapa lagi? Muhammad ibnu Abdullah? Subhanallah, lebih-lebih lagi terasa jauh, kecil.

Mereka adalah insan yang seluruh hidup mereka digunakan untuk mengabdikan diri pada Allah. Setiap langkah mereka, setiap apa kerja yang mereka lakukan, setiap tutur kata dan bicara mereka, semuanya adalah kerana Allah.

Kita dan mereka hakikatnya adalah sama, hamba.

Justeru, ingatlah diri kita selalu dengan firman Allah :


Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.

(Surah al-An'am ayat 162)

Hidup kita adalah untuk Allah.

Dan hanya taqwa yang membezakan kita.

Bangkitlah, bangkitlah beramal!


Back To Quran




Alhamdulillah.

Tergerak juga jari ini untuk menulis.

Saya nampaknya, berjaya mengenepikan jadual untuk menulis sesuatu di kebun ini dalam kadar seminggu sekali. Nampaknya spirit ini seperti semakin pudar, bukanlah kerana kesibukan tetapi lantaran kemalasan. Nampaknya, saya membenarkan kata-kata Rasulullah perihal nikmat yang banyak disia-siakan oleh manusia, iaitu kelapangan.

Teringat pada firman Allah :


"Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati dalam kebenaran dan saling menasihati dalam kesabaran"

(Surah al-Asr Ayat 1 hingga 3)

Tamat muqaddimah.

Terdengar berita berkenaan serangan ke atas kapal misi kemanusiaan di Gaza memberikan saya ilham dan kekuatan untuk menukilkan sesuatu. Sekurang-kurangnya, saya mengajak pembaca budiman sekalian untuk kita bergerak melihat punca dan melakukan perubahan pada diri kita untuk melihat perubahan dunia akan datang.

Kita sangat terkilan, dan terasa kurang selesa dengan isu berkenaan serangan yang dikenakan ke atas kapal Flotila yang menghantar bantuan kemanusiaan di Ghaza baru-baru ini.

Ditambah pula dengan propaganda-propaganda angin yang dilemparkan di media-media, seolah-olah kaum Yahudi itulah yang berada di atas landasan kebenaran, dan yang sepatutnya dipercayai. Seolah-olah mereka itulah sasaran keganasan, dan kitalah penyasarnya.

Celaan demi celaan terus dilontarkan kepada kaum Yahudi atas kejadian ini. Benar, itulah yang kita saksi dan sering dengarkan. Namun, celaan tanpa tindakan untuk mengubah dan berubah adalah sangat tidak relevan, kerana pada al-Quran sudah tertulis berkenaan sikap Yahudi itu sendiri, yang tidak akan redha dengan kita sehingga kita mengikut mereka.

Benar, kita marah.

Benar, kita sedih dan geram.

Namun, apakah celaan itu reaksi yang sepatutnya kita tunjukkan untuk menunjukan penentangan kita berkaitan isu ini? Kita fikirkan semula dan muhasabah diri kita kembali. Saya ingin kongsikan petikan daripada blog Ustaz Hasrizal.


Al-Nadwi membayangkan bagaimana seorang pemimpin hebat yang telah mati, dikenang oleh pengikutnya dengan membina sebuah patung yang besar dan amat menyerupai rupa pemimpin itu semasa hayatnya. Tetapi pada suatu hari, seekor burung datang bertenggek di atas hidung "pemimpin" tersebut dan melepaskan najisnya.

Patung yang besar dan gagah itu tidak mampu berbuat apa-apa terhadap burung yang kecil itu, walaupun di kaki patung itu terpahat nama seorang pemimpin yang semasa hidupnya digeruni kawan dan lawan.

Mengapakah keadaan itu boleh berlaku? Mengapakah pemimpin yang hebat itu terhina hanya oleh perilaku seekor burung yang kecil? Al-Nadawi mengulas analogi ini dengan mengemukakan konsep ilusi versus realiti.

Patung itu walaupun besar, gagah dan hebat, malah mewakili peribadi seorang pemimpin yang agung semasa hidupnya, adalah hanya "seorang patung". Ia hanya sebuah gambaran. Sebuah ilusi. Manakala burung tersebut, walaupun kecil dari segi saiznya, ia adalah burung yang hidup. Burung itu walaupun kecil, namun ia adalah realiti.

Sunnatullah telah menetapkan bahawa realiti sentiasa mengalahkan ilusi.

Beginilah perihalnya kita ketika berhadapan dengan musuh.

Jika kita membuka lembaran al-Quran dan mengkaji tentang Yahudi, maka kita akan dapati bahawa keterangan al-Quran tentang karakter Yahudi amat selaras. Kelakuan penakut mereka yang hanya membolehkan mereka menyerang di sebalik tembok, sifat takabbur, dendam kesumat terhadap orang-orang yang beriman, semuanya menepati realiti. Maka orang-orang Yahudi hari ini adalah orang Yahudi sejati. Pertembungan kita dengan Yahudi adalah pertembungan kita dengan sebuah realiti.

Jika kita membaca al-Quran dan meneliti ayat-ayat tentang Nasrani, kita akan dapati bahawa orang-orang Kristian hari ini amat menepati watak mereka seperti yang digambarkan oleh al-Quran. Maka orang-orang Kristian hari ini adalah orang Nasrani sejati. Mereka adalah realiti. Pertembungan kita terhadap mereka adalah pertembungan kita dengan sebuah realiti.

Namun, jika kita amati keterangan al-Quran tentang ciri-ciri orang Islam dan Mukmin, apakah hasil pengamatan kita itu?

Al-Quran menjelaskan bahawa orang-orang Mukmin itu bersaudara. Al-Quran juga menjelaskan bahawa orang Mukmin itu saling menjadi pembantu kepada Mukmin yang lain.

Orang Mukmin bersatu padu berpegang dengan tali Allah, mereka tidak berpecah belah ketika mendirikan agama, mereka pengasih sesama mereka dan keras terhadap Kuffar dan pelbagai lagi senarai ciri Mukmin yang diterangkan oleh al-Quran.

Namun, perhatikanlah realiti umat Islam hari ini. Berapakah jarak di antara diri idaman mereka seperti yang digambarkan al-Quran, dengan diri sebenar mereka di dalam realiti kehidupan?

Muslim ilusi berdepan dengan Nasrani realiti.

Muslim ilusi berdepan dengan Yahudi realiti.

Realiti sentiasa mengalahkan ilusi.

Ramainya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita sedikit, dan jumlah itu semakin sedikit apabila saudara-saudara kita berbondong-bondong murtad meninggalkan kita.

Kayanya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita miskin. Kita miskin jiwa, miskin daya juang dan kemiskinan itu semakin miskin apabila saudara-saudara kita tidak mampu mengawal jual beli harta mereka sendiri yang selama ini mengkayakan musuh.

Cerdiknya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita bodoh. Kita masih dibelenggu oleh persoalan-persoalan yang bodoh dan tidak langsung menghasilkan sebarang hasil. Kebodohan kita menjadi semakin bodoh apabila kita tenggelam dalam tajuk-tajuk debat sesama kita yang langsung tidak menggambarkan yang kita sedang berada di medan perang.

Bersatunya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita berpecah. Hati-hati kita terlalu mudah untuk diungkaikan ikatannya. Penyakit hati kita sangat menjijikkan. Berpecah belah hanya kerana secawan kopi. Pecah belah rumahtangga, pecah belah jiran tetangga, pecah belah masyarakat sedesa, pecah belah antara negara, perpecahan kita dari hujung daun hingga ke akar umbi.

Ya, jika al-Quran yang menjadi pengukurnya, maka Yahudi di Palestin itu adalah realiti. Nasrani di Rumah Putih itu adalah realiti. Namun umat Islam yang mengelilingi Rumah Hitam di Masjidil Haram itu hanyalah ilusi. Dan ilusi akan terus dikalahkan oleh realiti.

Selagi kita tidak berusaha untuk membentuk diri menjadi Mukmin sejati, selagi itulah kita tidak akan diizinkan oleh Allah untuk melihat pembebasan Palestin dan Masjidil Aqsa.

(Sumber : saifulislam.com)

Penutup : Ubah Diri Kita

Masanya untuk kita lakukan perubahan.

Masanya untuk kita menguatkan kesatuan.

Masanya untuk kita yang sudah lupa berpandukan pada kalam Allah, untuk segera kembali pada panduan utama itu. Memahami huruf demi huruf firman yang Allah sebutkan, dan membentuk diri kita sebagai muslim yang benar-benar beracuankan Islam, kerana itulah satu-satunya jawapan yang tinggal pada kita yang inginkan penyelesaian.

Kembali, kembali kepada al-Quran.

Back to al-Quran.

Justeru kita perlu berubah, kepada realiti seperti yang digambarkan oleh Allah di dalam kalam-Nya. Janganlah kekuatan, ilmu dan kesatuan kita itu sekadar ilusi, tetapi usahalah untuk jadikan semua itu sebagai satu hakikat.

Isu Palestin, dan kejadian yang berlaku di Gaza adalah panggilan Allah buat kita yang sudah lupa, supaya sentiasa mengambil berat soal saudara kita disana. Panggilan Allah, supaya kita kembali kepada Islam.

Ingatkanlah diri kita dengan seruan Allah :


Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.

(Surah ar-Ra'du Ayat 11)

Allahu'alam.

Pada Ketawa Itu



"Hahahahaha ... " Berdekah dia ketawa.

"Kahkahkah ... " Sahut ketawa seorang lagi.

Lalu ketawa dia itu, disambut dengan riang oleh rakan-rakannya yang lain pula. Menyebabkan terbina satu rantaian ketawa yang panjang dan semakin panjang sehinggalah satu tahap ia akan berhenti. Sehingga semuanya penat tertawa.

"Dah, cukup. Boleh pecah perut aku ketawa," Katanya.

"Ya, ya. Cukup, aku juga tidak tahan," Kata kawannya yang lagi satu.

Muka mereka berubah merah padam.

Mata mereka juga kelihatan merah, dengan bebola mata yang penuh diselaputi linangan air, menampakkan rasa puas mereka setelah ketawa. Yang tadinya bersedih, lalu selepas ketawa dia menjadi gembira. Yang sedia gembira pula, menjadi semakin gembira sehingga lagak ketawanya menampakkan dia seperti orang yang kurang waras, seperti lupa akan dunia.

Ah, itu dia kekuatan yang ada pada ketawa.

Seperti penawar pada segala duka.

Dan tambahan perisa kepada yang sedang bergembira.

Betulkah begitu?

Entahlah. Pada saya, mungkin juga ada benarnya.

Kerana saya juga pernah merasainya.

Baiklah, artikel yang ingin saya tulis ini, saya dapat ilham daripada sebuah artikel yang diberikan oleh guru kami yang mengajarkan mata pelajaran Pengajian Am. Asalnya, artikel yang diberikan itu digunakan untuk proses pembelajaran, namun saya kira ilmu yang saya dapat pada artikel itu tidak berguna andai tidak saya kongsikan bersama kalian pembaca.

Justeru, apa pendapat anda terhadap ketawa?

Marilah, ingin saya kongsikan.

Pada Ketawa Itu

Saya tanyakan pada anda satu soalan.

Siapakah yang tidak pernah ketawa sepanjang hayat kehidupannya? Berikan pada saya siapa orangnya. Ha, saya pasti ramai yang akan menjawab bahawa Nabi Muhammad lah satu-satunya insan yang tidak pernah ketawa dalam hidupnya.

Yalah, bukankah kita pernah mendengar kisah-kisah yang selalu diceritakan kepada kita oleh ustaz dan ustazah dalam pelajaran Pendidikan Islam, bahawa Rasulullah ini sifatnya lebih suka menangis berbanding ketawa? Apakah kita tahu?

Ya, baginda lebih banyak menangis berbanding ketawa.

Baginda seringkali menangis, kerana memikirkan masalah-masalah ummah dan juga perihal status baginda dan ummah baginda, iaitu kita di hari akhirat kelak. Justeru, baginda bukanlah jenis yang suka pada ketawa.

Namun, saya menyangkal jawapan ini.

Saya mengatakan bahawa baginda Rasulullah juga dalam hidupnya pernah ketawa, cuma ketawa baginda adalah senyum, bukannya berdekah-dekah. Sekuat-kuat ketawa baginda hanyalah sehingga senyum menampakkan gigi sahaja. Berbeza bukan, istilah dan perilaku ketawa kita berbanding baginda?

Sungguh, akhlak itu sangat indah dan mulia.

Justeru, itulah dia ketawa.

Yang hakikatnya dalam kehidupan, semua dapat merasai.

Ketawanya seseorang itu, tidak kisahlah dalam bentuk apa sekalipun, sama ada terbahak-bahak, berdekah-dekah mahupun secara sinis, sudah cukup memberitahu kita bahawa mereka sedang suka dan gembira. Ketawa, adalah lumrah.

Itu semua kita selalu fikirkan.

Namun, selalukah dan pernahkah kita fikirkan bahawa ketawa adalah merupakan nikmat yang sangat besar yang Allah kurniakan kepada hamba-hambanya? Ha, soal ini selalu kita abaikan dan kita anggap biasa-biasa sahaja.

Cuba kita lihat pada kejadian Allah yang satu ini, iaitu kita, manusia. Seawal usia tiga bulan, seorang bayi sudah pandai berketawa, walaupun tanpa diajar. Malah, dia lebih awal pandai ketawa berbanding pandai berkata-kata. Aneh, dan menakjubkan bukan?

Seterusnya, kita lihat pula pada insan-insan yang Allah jadikan dia sedikit istimewa daripada kita. Mereka-mereka yang cacat pendengaran, cacat penglihatan dan sebagainya, mereka juga masih lagi mampu ketawa.

Ada keanehan pada ketawa itu, yang semua dapat merasainya.

Dan itulah kurniaan Allah kepada kita.

Apa Pandangan Islam Tentang Ketawa?

Cendekiawan Islam ada mengatakan.

Bahawa senyum itu adalah satu sedekah.

Namun, gelak ketawa yang berlebihan adalah sangat-sangat dilarang dalam Islam. Ibnu Mas'ud pernah meriwayatkan daripada Auf bin Abdullah, menyatakan bahawa Rasulullah biasanya tidak ketawa melainkan senyum simpul dan tidak suka meleret, iaitu tidak menoleh kecuali dengan semua wajahnya.

Dan meninggalkannya pula, akan mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah.

Hal ini ada dinyatakan pada sabda baginda :


"Sesiapa yang meninggalkan gurau senda akan diberikan wibawa dan keindahan. Sesiapa yang meninggalkan ketawa, dialah yang berwibawa dan hebat. Dan sesiapa yang tidak menginginkan kekayaan orang, maka dia dicintai,"

Lihat, siapa yang tinggalkan ketawa, dia hebat.

Siapa yang tinggalkan gurau senda pula, dia berwibawa.

Teladan yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah sekaligus memberikan kepada kita satu mesej yang penting, dimana amalan senyum itu adalah sunat. Sebaliknya, ketawa terbahak-bahak yang berlebihan itu adalah makruh malah boleh mengeraskan hati.

Justeru, kepada kita yang mengaku bahawa Islam itu adalah satu cara hidup yang sempurna, cubalah untuk melihat kepada petunjuk yang telah digariskan dalam ketawa itu. Bukanlah untuk mengatakan bahawa kita tidak boleh ketawa.

Tetapi ada batas-batas padanya yang mesti kita jaga.

Ada pepatah yang mengatakan, bahawa banyak ketawa ketika di dunia itu akan menyebabkan kita banyak menangis di akhirat kelak. Maka di sini, sangatlah molek jika kita amalkan akhlak baik baginda Rasulullah, yang banyak menangis berbanding ketawa.

Justeru, mari kita usaha.

Sesungguhnya Allah bersama kita.

Penutup : Ingat Allah, Lihat Pada Rasulullah

Susah bukan, untuk hentikan tabiat ketawa?

Ya, tidak saya nafikan itu.

Saya dahulu, boleh dikatakan agak sukar untuk ketawa. Namun sejak akhir-akhir ini, saya perasan akan satu perubahan pada diri saya, yang semakin mudah untuk ketawa, ketawa dan asyik ketawa. Ya, perubahan ini adalah negatif.

Dan saya juga pasti, di luar sana juga banyak yang masih belum sedar. Justeru, kita perlu kembali muhasabah diri, memperbetulkan gelak tawa kita yang selama ini, sudah terkandas jauh dari garis-garis batasan yang sepatutnya. Sikap ini, perlu kita sisihkan.

Caranya, lihat sahaja pada idola kita, Rasulullah.

Baginda juga bergurau dengan keluarga baginda.

Namun, sepanjang hayat baginda tidak pernah pula ketawa berdekah-dekah. Sebaliknya, hanya tersenyum. Kemudian, baginda juga bergurau dengan para sahabat. Namun, gurauan baginda bukanlah bersumberkan pembohongan dan penipuan. Setiap kata-kata yang keluar dari mulut baginda, adalah benar.

Ya, akhlak ini perlu kita contohi, kita amalkan.

Dan akhirnya, jika kita susah sangat untuk berhenti ketawa, saya kira satu cara ini pasti dapat membuatkan kita berhenti ketawa. Caranya, ingat Allah. Kita ingatkan diri kita pada hakikat tanggungjawab kita di sini.

Sedangkan Rasulullah yang sudah dijamin untuk memasuki syurga pula banyak menangis daripada ketawa, apatah lagi kita yang hanya orang biasa, yang sepatutnya lebih-lebih lagi perlu banyak menangis dari ketawa.

Ingatkan diri kita selalu.

Apakah kita ingin ketawa di dunia, atau ketawa di akhirat?

Atau apakah kita ingin menangis di dunia, atau di akhirat kelak?

Bila ketawa, ingatkan diri kita akan hakikat ini.

Lagipun, jarang kita jumpa orang yang bergurau cara Rasulullah.

Apa kata, kita yang mulakan?

Allahu'alam.

Tunaikanlah, Jangan Berdalih



"Akhi, boleh ana tanya sikit?" Tanya seseorang.

"InsyaAllah, boleh saja. Silakan," Saya balas.

"Apa pendapat anta, apabila anta melihat seseorang perempuan yang memakai tudung, tetapi masih lagi menampakkan aurat? Contohnya, dia pakai tudung, dia tutup seluruh badannya tetapi bahagian lehernya terdedah, tidak ditutup," Soalnya lagi.

"Lebih baik tak perlu pakai tudung," Tiba-tiba disampuk.

Suaranya berbunyi tegas, seperti itu yang sepatutnya.

Belum pun saya menjawab soalan yang ditanya, peluang saya untuk bersuara telah dicuri dengan pantas oleh seseorang, selaku kawan saya. Jawapan yang dikeluarkan olehnya, membuatkan hati saya sedikit tidak nyaman.

Ditambah pula dengan bunyinya yang tegas.

Lantas, perhatian saya terus beralih kepada empunya suara tadi, sambil kembali menyoal akan alasan untuknya berkata sedemikian.

"Apasal anta cakap macam tu?" Saya soal.

"Err ... " Terdiam.

Tiada apa yang keluar dari mulutnya.

Saya sebenarnya faham apa yang ingin dia utarakan, cuma dia tidak berani bersuara. Mungkin kerana suara saya juga pada ketika itu sedikit tegas, kerana ingin membalas ketegasannya sebentar tadi.

Andaian saya jika dia berani menjawab :

"Alah, pakai tudung tetapi menampakkan batang leher, bukankah itu nampak pelik? Lagipun, sama sahaja dengan orang yang tidak memakai tudung, sama juga dapat dosa kerana lelaki dapat melihatnya," Itu andaian saya.

Biarlah dia terdiam, yang penting saya sudah menjelaskan kepadanya.

Jika ditanya, apa pendapat saya?

Maka saya akan menjawab, bahawa saya sangat menghormati wanita-wanita yang menutup auratnya secara keseluruhan. Dan saya lebih menghormati wanita yang menutup kepalanya walaupun tidak sempurna, berbanding wanita yang langsung tidak menutup kepalanya.

Kenapa?

Kerana saya percaya, bahawa mereka mengetahui kewajiban menutup aurat, dan mereka berusaha untuk menurut suruhan Allah dalam al-Quran. Cuma tinggal, mereka belum menutup aurat bahagian kepala itu dengan sempurna sahaja.

Justeru, di situlah tanggungjawab kita untuk menegur mereka.

Tidak Menyarungkan Tudung?

"Buat apa pakai tudung, kalau hati tidak betul," Kata si A.

"Alah, aku tak pakai tudung tapi akhlak, maruah aku jaga," Kata si B.

"Aku yang tak pakai tudung ni lagi baik dari yang pakai tudung. Tengok, ada seorang tu pakai tudung, tapi perangai? Mengumpat dia, mencaci dia, semuanya dia. Baik tak payah pakai tudung," Kata si C pula.

Kata-kata seperti itu, adalah tidak lain kerap menjadi alasan dan dalih kepada sebahagian wanita untuk tidak menyarungkan tudung. Kadang-kadang, ada juga yang beralasan sedemikian untuk menyatakan bahawa mereka masih lagi belum bersedia, atau sebagai alasan untuk menangguh sementara pamakaiannya.

Ketahuilah, kepada sesiapa yang pernah mengeluarkan kata-kata seperti itu, itu sudah menunjukkan satu musibah terhadap diri kamu.

Sekiranya kamu berkata begitu kerana kejahilan, satu musibah terhadap diri kamu. Dan jika kamu berkata kerana sebagai helah semata-mata, sedangkan kamu tahu besarnya dosa meninggalkannya, maka pada kamu ada satu musibah yang sangat besar.

Kerana kata pepatah arab :

Jika engkau tidak tahu, ia satu musibah.

Jika engkau tahu, maka musibahnya lebih besar.

Maka, apakah ada alasan untuk tidak menutupnya?

Lontaran Alasan Dan Dalih

Cuba tanyakan kepada para wanita yang tidak bertudung.

Mengapa mereka tidak menutup aurat mereka.

Lumrahnya, apabila kita bertanyakan kepada sesetengah golongan wanita yang tidak bertudung ini akan sebab mereka untuk tidak melaksanakan ketetapan yang diwajibkan itu, pasti akan ada bermacam alasan yang akan mereka utarakan.

Dan bermacam dalih yang mereka lontarkan.

Antara lain, adalah seperti yang boleh dibaca dalam artikel ini.

Mereka beralasan, bahawa penutupan aurat itu akan dilaksanakan pada ketika hati mereka sudah benar-benar lurus dan betul. Dengan kata lain, mereka tidak akan menutup aurat selagi niat mereka belum ikhlas sepenuhnya kepada Allah. Dan apabila iman sudah sempurna dan bersedia, barulah bergerak untuk melaksanakannya.

Bergerak bila bersedia, kerana bimbang tidak ikhlas.

Alasan ini, secara zahirnya boleh diterima.

Kerana benar, apabila sesuatu ibadah itu dilakukan dengan tidak ikhlas dan terpaksa, maka amalan itu adalah sia-sia sahaja. Bukankah Rasulullah pernah bersabda, bahawa setiap amalan itu bergantung kepada niat seseorang itu?

Sekiranya hijrah seseorang itu adalah niatnya semata-mata kerana Allah dan rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan rasul-Nya. Namun sekiranya hijrah seseorang itu adalah kerana terpaksa, maka tidak lain hijrahnya itu hanya akan mengundang penat sahaja.

Justeru, ini alasan yang mereka gunakan untuk menolak tuntutan itu.

Namun, apakah semudah itu untuk mereka melontarkan alasan sebegitu? Mungkin, mereka belum mendalami apa yang telah Allah sebutkan dalam al-Quran :


"Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan khumur (jilbab) ke dadanya,"

(Surah an-Nur ayat 31)

Andai seseorang itu faham akan kewajiban tuntutan menutup aurat, saya pasti mereka tidak akan keluarkan pelbagai alasan, malah akan diam dan tertunduk sahaja sekiranya ditanya. Yang melontarkan bermacam dalih itu, saya yakin bahawa mereka adalah golongan yang belum faham dan belum mengetahui.

Justeru, golongan seperti ini kita perlu fahamkan mereka.

Kita perlu memberi mereka tahu.

Bahawa penutupan aurat itu, adalah satu tuntutan yang Allah wajibkan ke atas setiap jiwa yang beriman yang sudah mencapai umur balighnya. Tuntutan Allah, yang sudah terang-terangan disebutkan melalui kalam-Nya yang agung.

Ibrah Pada Peraturan Jalan

Sungguh, aturan dan perancangan Allah pada perjalanan dan pergerakan seluruh makhluknya di dunia ini adalah sangat sempurna dan tiada cacat cela. Dan setiap apa yang berlaku pada setiap perbuatan manusia itu, ada padanya hikmah yang tersembunyi.

Cuma tinggal, manusia ingin atau tidak mencari hikmah itu.

Justeru, dalam memahami persoalan pada artikel yang ditulis ini, saya suka mengajak kalian pembaca untuk merenungi dan mengambil iktibar dari susunan perancangan Allah pada peraturan jalan raya yang dicipta oleh manusia itu sendiri.

Sekaligus, mematahkan alasan dan dalih yang dicipta untuk tidak menunaikan kewajiban menutup aurat, yang mana dalam konteks ini, lebih ditekankan kepada pemakaian tudung oleh para wanita yang sudah baligh.

Pertama, kita melihat kepada penunggang motosikal.

Yang tertulis pada peraturan, wajib memakai topi keledar.

Undang-undang ini, sekiranya kita perhatikan pada penggunaan perkataan wajib itu sendiri, para penunggang mahu atau tidak, wajib untuk patuh pada peraturan tersebut, menolak kira soal selesa mahupun tidak. Sama ada untuk memakai secara ikhlas, patuh kepada peraturan mahupun secara terpaksa.

Sekiranya penunggang ini ditangkap dan ditahan kerana tidak menggunakan topi keledar ketika menunggang, apakah dengan mudah alasannya yang belum bersedia menggunakan topi keledar itu diterima?

Tentunya tidak.

Dan begitulah juga halnya pada penutupan aurat oleh wanita-wanita.

Tuntutan ini, adalah merupakan satu ketetapan yang telah diwajibkan oleh Allah secara terang ditulis pada kalam-Nya, ke atas setiap mukallaf tanpa mengira tahap imannya yang bersedia atau tidak. Tanpa mengira keikhlasan hati dan ketulusannya.

Setiap yang bergelar muslim dan muslimah, wajib untuk menunaikannya sama ada suka atau tidak, rela mahupun terpaksa. Hati mereka bersih dan bersedia atau tidak, itu sepatutnya tidak boleh dijadikan alasan untuk meninggalkan kewajiban penutupan aurat, yang sudah terang lagi bersuluh.

Pendek kata, terpaksa pun wajib kita tunaikan.

Apatah lagi jika dilakukan dengan ikhlas, pasti Allah lebih suka.

Seterusnya, kita lihat lagi pada penunggang motosikal, yang kononnya adalah seorang yang cermat di jalan raya. Menunggang motosikal pada tahap kelajuan yang telah ditetapkan, dan tidak melanggar lampu isyarat.

Peraturan itu dia genggam, dan patuh seeratnya.

Melihat kepada lagak pemandu ini, seperti tidak mungkin dia akan mengalami kemalangan dan kecederaan di jalan raya. Namun, apakah alasan sedemikian boleh diterima untuk mengecualikannya daripada menggunakan topi keledar? Sudah tentu tidak.

Walaupun dia seorang yang cermat di jalanan, dia tidak boleh menjamin bahawa pemandu lain juga adalah sepertinya. Berapa ramai pengguna jalan raya yang terkorban bukan kerana kesilapan yang dilakukannya, tetapi atas kesilapan yang dilakukan oleh pemandu yang lain. Ramai bukan?

Begitulah juga hakikatnya pada tuntutan menutup aurat.

Seseorang itu boleh mendakwa, bahawa imannya cukup kuat dan dia mampu menjaga dirinya untuk tidak melakukan perkara-perkara maksiat. Ya, kita mungkin boleh percaya pada kata seseorang itu.

Namun, bolehkah dia menjamin bahawa lelaki-lelaki di hadapan dan belakang yang melihat auratnya juga mempunyai iman yang tinggi setinggi imannya dan mampu menjaga diri mereka untuk tidak bergerak melakukan perkara maksiat?

Apakah mereka pasti bahawa aurat mereka yang dipertontonkan secara percuma itu tidak memberi kesan dan tidak membangkitkan nafsu lelaki-lelaki yang berada di sekeliling mereka?

Apakah mereka mampu mengawal semua itu?

Apakah mereka pernah fikirkan?

Ah, menarik untuk kita sama-sama renungi.

Penutup : Tunaikan kewajiban Itu

Sekali lagi, perlu kita tanamkan di hati.

Bahawa kewajiban menutup aurat ini, adalah salah satu perkara asas dalam agama Islam. Dan soal ini adalah termasuk dalam kategori perkara yang sudah dijelaskan di dalam Islam secara terang-terangan dan pasti.

Maka sepatutnya, tiada alasan mahupun dalih untuk kita menolak kewajiban itu. Walaupun rasa terpaksa, kita wajib juga melaksanakannya. Sekurang-kurangnya, kita sudah melaksanakan tuntutan wajib dalam agama.

Dan perlahan-lahan, kita cuba berbiasa dengannya.

Mengingatkan ini, saya terkenangkan seorang sahabat. Saya sering berbincang dengannya akan masalah saya terhadap hidupnya yang boleh juga dikatakan bebas. Dan sahabat saya ini, sangat-sangat saya ingin selamatkannya daripada terus dibelenggu dengan dunianya itu.

Suatu hari, dia bertanya.

"Ana boleh ikut kata-kata anta," Katanya.

"Tetapi ana tidak dapat berubah secara terus," Sambungnya.

Ah, itu saya juga pasti. Sesiapa yang sudah terbiasa dengan hidupnya yang selama ini dibentuk dengan acuan sebegitu, memang sedikit susah untuk kita kembalikan kepada acuan asal yang sebenar-benarnya.

Lagipun, itulah ujian yang ingin Allah tunjukkan kepada manusia-manusia yang ingin berubah kepada kebaikan, kembali kepada jalan yang lurus. Justeru, sabar itu adalah antara banyak kunci untuk menempuh ujian itu. Sabar, dan tawakkal kepada-Nya.

Lalu saya menjawab.

"Tidak mengapa, ana lebih suka orang yang berubah secara perlahan-lahan, tetapi istiqamah pada jalan yang dipilihnya, berbanding orang yang berubah secara terus, tetapi tidak istiqamah malah kembali kepada jalannya yang dahulu,"

Kepada sahabat saya itu, doa saya panjatkan untuknya.

Dan kepada kalian yang ingin berubah, doa saya juga untuk kamu.

Tunaikanlah kewajiban itu.

Janganlah berdalih !


Bersatulah Wahai Ummah



Kita berdebat, kita bersengketa

Ketika kita seharusnya bersatu

Banyaknya perselisihan antara kita

Hendakkan aman, kita pula yang tidak bersatu


Hadir begitu banyak alasan

Untuk kita melepaskan ikatan persaudaraan

Penyatuan ini diheret ke lorong kehinaan

Untuk kita tidak melayan satu dengan yang lain

Sikap yang seharusnya kita tinggalkan


Kita semua punya satu keyakinan

Namun masih membawa satu sama lain turun

Seperti tidak mampu kita lihat dan fikirkan

Bahawa penyatuan akan pasti memberi bantuan

Andai semua perbezaan kita tenggelamkan


Allah menghendakkan kita dalam kesatuan

Berdiri dan bersama-sama bertahan

Dengan kesatuan yang tiada tandingan

Namun kita memilih untuk mengabaikan

Menyerah pada sekalian tekanan


Persaudaraan yang kuat dahulu kini tiada

Tinggal sejarah dan bahan bicara

Setiap tempat lahir kumpulan yang berbeza

Saban hari kita semakin lemah, parah

Kerana jika bersama, kita tidak bersatu arah


Penyatuan adalah satu-satunya jawapan

Jawapan yang sangat perlu untuk dilaksanakan

Kita lebih kuat, dengan satu persaudaraan

Dan hanya kemudian kita tidak akan tumbang

Ummah kita kumpulkan, bersatu dengan keberanian


Wahai ummah marilah bersatu

Perjuangkan kebenaran itu

Wahai ummah, jangan kita takut

Sesungguhnya Allah bersama kamu

Hidup Hanya Sementara



Pantas sekali masa ini berlalu.

Dalam sedar atau tidak, kesempatan dan peluang masa cuti yang Allah kurniakan selama seminggu pada saya nampaknya sudah sampai ke penghujung. Esok, saya akan kembali ke sekolah.

Menyegarkan kembali minda dan fikrah.

Walaupun kebanyakan masa yang saya gunakan adalah di rumah, namun saya kira lebih baik daripada saya keluar dengan tanpa ada tujuan yang pasti.

Cuma sesekali, saya dan kawan saya berkumpul untuk menyiapkan kerja-kerja dan tugasan yang tertangguh. Juga, sempat saya menajamkan ukhwah dengan sahabat saya, yang sudah lama tidak ketemu.

Walaupun hanya sebentar, pada saya saat itu sangat bermakna.

Apa-apapun, muhasabah saya pada cuti kali ini membawa saya untuk mengingat kembali akan tiga persoalan yang kita seringkali lupa. Mungkin, ada antara kita tidak pernah terfikirkan.

Manusia, sikapnya banyak, kualitinya lain-lain.

Ada manusia yang berilmu, namun ilmu itu tidak dia amalkan. Samalah seperti sebuah kereta yang punya enjin penggerak namun tiada tayar. Tidak akan kemana-mana hanya dengan enjin, iaitu ilmunya jika tiada tayar, amalnya.

Ada pula yang hanya pandai berkata-kata, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, namun dia sendiri yang melanggar dan menafikan kata-kata dan cegahannya.

Banyak lagi, yang akan kita jumpa dan lihat di sekeliling kita. Mungkin juga, sifat-sifat itu ada pada diri kita sendiri. Kita mungkin tidak sedar, dan hanya akan sedar apabila ditegur.

Justeru, tiga soalan ini adalah penting.

Untuk kita kembali muhasabah diri kita.

Betapa hidup ini, hanyalah sementara.

Mari, kita hisab diri, sebelum dihisab disana.

Dari Mana Kita Datang?

Mari, kita hayati firman Allah dalam kalam-Nya.


"Dan sungguh, Kami telah menciptakan manusia (berasal) dari tanah,"

"Kemudian, Kami menjadikannya air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim),"

"Kemudian, air mani itu Kami jadikan sesuatu yang melekat, lalu yang melekat itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu kami Bungkus dengan daging. Kemudian, Kami menjadikannya makhluk yang (berbentuk) lain. Maha Suci Allah, Pencipta yang paling baik,"

(Surah al-Mukminun ayat 12, 13 dan 14)

Cuba kita amati.

Betapa susun atur penciptaan kita begitu rumit dan kompleks. Dari setitis air mani, dijadikan segumpal daging, kepada tulang belulang dan dibalut pula dengan daging. Lalu, kita lihat sepertimana kita hari ini.

Sekujur jasad yang lengkap.

Semua ini, sudah tentu tidak dapat dilakukan oleh sesiapa.

Tanyakan soalan ini pada diri kita.

Dan kita akan sedar, bahawa hanya Dialah yang berkuasa menjadikan kita. Maka, kehadiran kita di bumi ini seharusnya dengan rasa penuh syukur.

Ya, tanyakan pada diri kita.

Dan ingatlah Allah, Yang Maha Menciptakan.

Kenapa Kita Didatangkan?

Mengapa Allah jadikan kita.

Ini soalan yang seharusnya datang dalam benak kita setelah mengetahui dari mana datangnya kita dan siapa yang menciptakan kita. Kehadiran kita, dan kewujudan kita di dunia, pasti mempunyai sebabnya.

Tiada syak, kehadiran kita adalah untuk beribadah.

Dan ini Allah nyatakan melalui firman-Nya.

Firman-Nya dalam al-Quran :


"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku,"

(Surah az-Zariyat ayat 56)

Justeru, hidup kita adalah untuk beribadah kepada Allah.

Bukankah kita sudah melafazkan janji dalam solat lima waktu pada doa iftitah? Sesungguhnya solatku, segala ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah semata-mata untuk Allah, Tuhan sekalian alam.

Justeru, semua tindakan kita, setiap langkahan kita, perbuatan kita, segala niat yang kita hadirkan dalam melakukan segala kerja, hubungan yang kita jalinkan, dan segalanya, semuanya adalah kerana Allah.

Tiada alasan yang dapat kita berikan untuk meninggalkan segala amanah dan tanggungjawab yang Dia berikan buat kita.

Hidup kita, adalah untuk mengabdikan diri pada-Nya.

Tanyakan pada diri kita soalan ini.

Dan ingatlah untuk menunaikan amanah-Nya.

Ke Mana Kesudahan Kita?

Akhirnya, kita tanya pula ke mana kesudahan kita.

Janji Allah dalam kalam-Nya :

"Dan sesungguhnya kepada Tuhanmulah kesudahannya (segala sesuatu),"

(Surah an-Najm ayat 42)

Saya ingat lagi bahawa guru saya pernah berkata, bahawa asalnya kita dari tanah, maka akhirnya nanti kita juga akan kembali kepada tanah. Ya, asalnya kita dari Allah maka nanti kita juga akan kembali kepada Allah.

Kita akan dihidupkan semula di padang mahsyar kelak, dengan membawa amalan masing-masing yang telah dilakukan ketika di dunia. Dan dengan amalan, dan keredhaan Allah ke atas kita, kita akan selamat di sana.

Ya, akhirnya kita perlu bertanya.

Bagaimana kesudahan kita kelak, dan bagaimana pengakhiran hidup kita di sana nanti. Ini semua adalah bergantung pada hubungan dan penunaian amanah, hak kita pada Allah.

Al-Quran ada menerangkan.

Bahawa antara lain ciri-ciri penghuni syurga adalah manusia yang ketika hidupnya dia beriman, khusyuk dalam solatnya, menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang tiada berguna, menunaikan zakat, menjaga kemaluan dari maksiat, memelihara amanah, menepati janjinya dan menjaga solatnya.

Dan saya kira, sebaliknya adalah ciri-ciri penghuni neraka.

Justeru, kita perlu lalui disiplin yang kuat.

Untuk kita mencontohi ciri-ciri yang telah digariskan dalam kalamullah itu, sebagai panduan untuk kita meraih kasih sayang, redha Allah dan syurganya.

Kita tanyakan pula soalan ini pada diri kita.

Renungkan sedalamnya.

Dan bergeraklah, kejarlah redha dan kasih-Nya.

Penutup : Ingatkan Diri Kita

Dari mana kita datang?

Kenapa kita didatangkan?

Kemana kesudahan kita?

Ya, ketiga-tiga soalan ini, sentiasalah tanyakan pada diri kita.

Supaya nanti, kita akan selalu beringat akan hakikat kewujudan kita di dunia. Tanyakan, kerana kita perlu mengingatkan dan menghisab diri kita. Saidina Umar bukankah pernah berkata?

Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab oleh Allah.

InsyaAllah, pertanyaan inilah yang pada saya akan menjadi pembakar semangat buat kita untuk menjadi insan, malah hamba yang terbaik sebagaimana yang digariskan oleh Allah. Sungguh, bukankah Allah ingin kita menjadi hamba-Nya yang terbaik?

Ya, kita hari ini tampak seperti lupa pada fitrah.

Oleh itu, kita perlu selalu mengingatkan diri kita, merasakan bahawa kita ini adalah milik-Nya dan segala-gala yang ada di dunia ini adalah pinjaman.

Lantas kita akan bergerak dengan langkah yang berhati-hati, langkah yang didasari rasa penuh kehambaan dan penuh rasa tanggungjawab sebagai seorang khalifah di bumi. Menyampaikan kebaikan, dan membina acuan Islam pada jiwa yang lain pula.

Justeru, ingatkan diri kita dengan pertanyaan ini.

Semoga kita sentiasa beringat, dan merenung diri.

Akan Dia yang menciptakan kita.

Dan kita, yang hanyalah hamba-Nya.

Ingatlah, hidup hanya sementara.


Jadilah Seperti Kopi



Hidup, pastinya tidak lepas daripada ujian.

Kalau hari ini kita tidak ditimpa musibah, mungkin esok kita akan menerimanya. Andai bukan esok, mungkin pula lusa, minggu hadapan dan seterusnya.

Pokoknya, setiap jiwa pasti akan diturunkan musibah.

Saya kira, tipulah sekiranya ada seseorang yang mengaku hidup dia di bumi Allah ini, lengang daripada ujian dan masalah. Masalah dalam persahabatan, masalah kewangan, hancur dalam hubungan percintaan hatta kematian insan yang tersayang.

Semuanya, adalah ujian Allah buat kita.

Yang sebenarnya, ada rahsia dan hikmah yang tersembunyi.

Sama ada Allah ingin menguji keimanan kita ataupun meningkatkan iman kita. Dan juga kerana, kadang-kadang sesuatu ujian yang hadir itulah yang membuka mata hati kita.

Mendidik kita, supaya jangan berputus asa dalam perjalanan kehidupan yang sesungguhnya seperti bahtera di lautan. Kehidupan yang seperti satu jalan, yang penuh dengan duri yang tajam dan penuh onak dan dugaan.

Ramai orang, menilai bahawa dia sudah berjaya melepasi segala masalah yang menimpanya, apabila segala ujian itu terbang pergi dan selesai. Namun pada saya, seseorang itu berjaya andai dia berjaya memperoleh sesuatu bernilai pada ujian tersebut.

Dengan menyandarkan semuanya pada Allah.

Lantas dia menjadi lebih kuat, gagah untuk ujian mendatang.

Justeru, dalam mengharungi detik kesulitan dan kepayahan kerana kehadiran ujian dan masalah, saya kira kita perlu melihat pada kopi, belajar dari kopi dan menjadi seperti kopi.

Ya, saya ingin kita jadi seperti kopi.

Antara Lobak, Telur dan Kopi

Seorang anak mengeluh kepada ayahnya mengenai perjalanan kehidupannya, dan menanyakan bahawa mengapa hidup ini terasa begitu sukar dan sungguh menyakitkan baginya.

Anak tersebut mengeluh.

Tidak tahu bagaimana menghadapinya.

Seolah-olah dia seperti sudah menyerah kalah dengan segala masalah dan ujian yang datang berterus-terusan dalam hidupnya. Setiap kali selesai satu masalah, timbul pula masalah dan ujian yang baru.

Lebih sukar, lebih berat.

Ayahnya, yang merupakan seorang tukang masak membawa anaknya ke dapur. Lalu dia mengisi tiga buah periuk dengan air dan menaruhnya di atas nyalaan api.

Setelah ketiga-tiga periuk yang diisi air tersebut mendidih, si ayah terus meletakkan lobak merah ke dalam periuk yang pertama, telur di periuk kedua dan serbuk kopi ke dalam periuk yang ketiga.

Si ayah membiarkannya mendidih tanpa berkata-kata.

Si anak pula, dia tertanya-tanya dan menunggu dengan tidak sabar sambil fikirannya berpusing-pusing memikirkan apalah yang sedang dikerjakan oleh ayahnya.

Setelah 20 minit, ayahnya mematikan api lantas menyisihkan lobak dan menaruhnya di mangkuk yang pertama. Telur diangkat dan diletakkan di mangkuk yang kedua pula, dan begitu juga pada serbuk kopi, dituangnya ke dalam mangkuk yang lainnya.

Si ayah bertanya kepada anaknya.

"Apa yang engkau lihat, nak?" Tanyanya.

"Lobak, telur dan kopi, ayah," Jawab si anak, ringkas.

Ayahnya terus mengajak anaknya mendekati mangkuk-mangkuk yang telah diisi dengan ketiga-tiga barang tadi.

Perkara pertama yang dilakukannya adalah menyuruh si anak merasakan lobak. Lantas, dia menyatakan bahawa lobak tersebut sangat enak dan terasa lembut.

Kemudian, ayahnya menyuruh untuk mengambil telur dan memecahkannya. Setelah membuang cangkerang telur tersebut, si anak melihat dan mendapati sebuah telur rebus yang mengeras.

Akhirnya, si ayah meminta anaknya untuk merasa dan mencicip sedikit air kopi tersebut. Anaknya, yang hanya tersenyum seketika selepas merasakan rasa dan aroma istimewa kopi tersebut, terus bertanya kepada ayahnya.

"Apa erti semua ini, ayah?" Tanyanya.

Ayahnya menerangkan satu-persatu.

Ketiga-tiga barang tersebut telah menghadapi kesulitan yang sama, iaitu perebusan yang hakikatnya adalah panas. Namun, masing-masing menunjukkan reaksi berbeza.

Lobak, asalnya adalah keras dan sukar dipatahkan.

Setelah direbus, lobak ternyata berubah menjadi lembut, lunak.

Telur, sebelumnya adalah cecair, mudah pecah.

Akhirnya, isinya berubah menjadi pepejal, keras.

Serbuk kopi adalah yang paling unik.

Setelah serbuk kopi dimasukkan ke air, kopi menjadi sedap.

Ketiga-tiganya melalui satu kesulitan yang sama, iaitu perebusan. Hasilnya, ketiga-tiga barang yang asalnya lain sifat, berubah kepada sifat yang lain setelah melalui proses perebusan tadi. Yang keras menjadi lembut, yang lembut menjadi keras dan sebagainya.

"Kamu termasuk yang mana?" Tanya ayahnya.

"Air panas yang mendidih itu, adalah umpama kesukaran dan ujian yang engkau lalui. Ketika kesukaran dan kesulitan datang menghampirimu, bagaimana engkau menghadapiya?" Kata si ayah.

"Apakah kamu seperti lobak, telur atau kopi?" Sambungnya.

Si anak, bagaikan terketuk hatinya.

Seakan diberi satu petunjuk.

Penutup : Kita seperti apa?

Allah telah berfirman :


"Apakah manusia mengira bahawa mereka dibiarkan mengatakan : Kami telah beriman. Sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang sebelum mereka dan benar-benar Allah mengetahui orang-orang yang benar dan mengetahui pula orang-orang yang dusta,"

(Surah al-Ankabut ayat 2-3)

Antara kita, ada yang apabila menerima ujian, dia nafikan semua itu. Lalu dengan pantas dia menuduh bahawa Allah ini dengan sengaja turunkan pada dia masalah, supaya dia hidup dalam kesulitan.

Lalu dikatakan Allah itu tidak adil.

Allah itu begini, begitu dan sebagainya.

Ya, dia malah semakin tersesat jauh.

Walaupun satu ketika nanti, masalah dan kesulitan tersebut lari dan terbang dari hidupnya, sesungguhnya, dia masih belum berjaya manghadapi ujian tersebut.

Kita seharusnya sedar, bahawa ujian itu adalah dari Allah.

Sepatutnya, semakin berbisa ujian, semakin dekat kita dengan-Nya.

Kerana pada-Nya sahaja kita pohon kekuatan.

Nampak? Sungguh, Allah itu Maha Adil.

Dia tahu yang terbaik buat kita.

Justeru, kita kena belajar daripada kisah ini.

Apakah kita seperti lobak?

Asalnya kita keras, kelihatan keras dan memang keras. Namun, apabila dihadirkan kesulitan dan ujian, kita dengan pantas menyerah. Kita terus menjadi lemah, lembut dan hilang kekuatan.

Atau, apakah kita telur?

Yang awalnya memiliki hati yang lembut, jiwa yang lunak.

Setelah hadirnya masalah dan kesusahan, kita gagal dalam persahabatan dan sebagainya, kita lalu menjadi keras dan kaku. Luaran kita seperti asal, iaitu mempunyai cengkerang, namun dalaman menjadi pahit dan keras.

Ataupun, kita ini seperti kopi?

Apabila panas, rasanya adalah begitu nikmat.

Ketika sesuatu keadaan menjadi semakin buruk, dan diri kita ditimpa semakin banyak ujian dan kesulitan, maka kita akan menjadi semakin baik dan semakin hebat sehingga jiwa-jiwa yang bersama dengan kita juga berasa baik dan selesa dengan kita.

Justeru, kita ketuk hati kita.

Tanyalah ia dengan azam.

Latihlah, dan disiplinkanlah diri ini.

Agar menjadi seperti kopi.


Aku Perlu Luangkan Masaku



Aku bangun awal, disengat bayu pagi

Bergegas, melangkah terus ke hariku

Banyak yang ingin aku tempuh, aku kejari

Sehinggakan tiada masa untuk solatku


Lalu, ujian datang pada setiap jejak langkah

Semakin aku menapak, turunnya kian berbisa

"Mengapa Allah tidak membantuku?" Hati ini resah

Dia berkata, "Pada-Ku engkau lupa meminta,"


Aku ingin mengecap gembira, menatap keindahan

Namun hari kian sukar, suram menyeliputi

Aku tertanya, "Mengapa tidak Allah tunjukkan?"

Dia berkata, "Kerana engkau tidak mencari,"


Menyedari itu, aku cuba menghadap Tuhanku

Segala kunci aku gunakan, membuka hati yang lesu

Dengan lembut dan kasih, Dia tegur aku

"Hambaku, harusnya hatimu kau ketuk dahulu,"


Aku bangun hari ini, disengat embun pagi

Berfikir, sebelum melangkah ke hariku

Banyak yang ingin aku kejar, aku tempuhi

Dan aku perlu luangkan masa untuk solatku

Dunia, Biar Di Tangan



Seorang guru berpesan kepada muridnya.

Bahawa dunia ini hanyalah ibarat bayang-bayang. Jangan sesekali cuba untuk mengejar, kerana sesungguhnya kita tidak akan mampu untuk mengejarnya. Kita hanya mampu untuk mengekori, tidak mampu melepasinya.

Jika dikejar dan tidak mampu, selagi itu kita tidak akan berpuas hati.

Samalah seperti kita yang hidup menapak di bumi ini semata-mata untuk mengejar kemewahan, kemasyuran. Pasti kita tidak akan berpuas hati pada satu tahap sahaja. Kita pasti inginkan lebih, dan lebih dari sekadar itu.

Maka, kita harus letakkan dunia di belakang.

Biarlah kita yang meninggalkan bayang-bayang itu.

Kemana kita pergi, dia hanya mengikut, mengejar kita.

Saya selalu ingatkan diri saya. Supaya meletakkan dunia itu sekadar hanya ditangan, bukanlah dihati. Melebihkan akhirat, tanpa meninggalkan keperluan di dunia.

Kerana andai saya letakkan ditangan, maka saya mampu menggenggamnya. Mungkin akan terlepas, namun saya tidak perlu risau kerana saya masih berpeluang untuk mengutipnya kembali.

Saya mengingatkan, supaya tidak diletakkan di hati.

Andai saya letakkan dihati, maka saya pasti akan berasa sayang untuk melepaskannya, lantaran rindu dan cinta akannya. Justeru, apabila cinta dan rindu saya melebihi cinta dan rindu saya pada akhirat, maka saya tidak akan kemana-mana.

Kerana akhirat, adalah destinasi saya, dan kita semua.

Saya pasti, kita punya keinginan untuk bertemu dengan Allah.

Dan juga bertemu dengan rasul-Nya.

Maka, akhirat itu saya mohon agar Allah simpankan di hati saya, agar saya selalu rindu. Juga saya harap, akan memberi motivasi kepada saya untuk menyampaikan yang terbaik dalam mengerjakan setiap amanah-Nya.

Moga Allah berikan kita kekuatan itu.


"Dunia ini, adalah ibarat bangkai kambing, yang tidak diingini dan dihajati oleh setiap manusia walaupun diberikan secara percuma. Manusia yang mengejar dunia melebihi akhirat adalah ibarat anjing yang mengejar bangkai,"

"Ya Allah, Engkau simpankanlah dunia di tanganku, biar aku genggam. Engkau simpanlah, dan kekalkanlah akhirat di hatiku, biar aku rindu. Sesungguhnya, hanya Engkaulah yang mampu membolak-balikkan hati ini,"

Bantulah Ya Allah.

Dunia ini, biarlah sekadar di tanganku.


Kerana Allah Maha Tahu



Manusia, seringkali mengeluh apabila hadirnya ujian.

Jarang sekali untuk mereka mensyukuri kehadiran ujian itu.

Kita selalunya memohon agar dijauhkan daripada kesusahan, namun kenapa Allah masih juga turunkan kepada kita kesusahan itu?

Hal ini kerana, kadang-kadang, detik-detik susah atau kesukaran adalah perkara yang sangat kita perlukan dalam kehidupan. Sangat perlu, bukan untuk lebih membenci, tetapi untuk lebih mencintai-Nya.

Andai Allah sekadar mengalukan kita melangkah di bumi-Nya tanpa ada kesukaran dan kesusahan, maka kita pasti akan menjadi lemah, cacat selama-lamanya. Kita tidak akan tahu dimana kelemahan kita, kekuatan kita.

Kita mungkin tidak akan menjadi kuat, berani sepertimana kita hari ini.

Kita mungkin tidak akan mampu melangkah.

Ya, Allah tetap berikan kepada kita ujian, bergantung kepada sejauh mana tahap kemampuan kita untuk menghadapinya. Allah tetap turunkan, kerana Dia tahu bahawa hamba-Nya berhak mendapatkan yang terbaik.

Justeru, untuk kebaikan kita, Allah berikan kesukaran.

Cuma masalahnya, kita selalu berfikir bahawa Allah ini seolah-olah tidak adil kerana memberikan kesukaran kepada kita, sedangkan kita belum lagi berusaha secukupnya. Masalah kita, apa yang Allah kata baik, kita katakan itu tidak patut, kita mengeluh.

Mungkin kita lupa, bahawa apa yang berlaku, semua ada hikmahnya.

Ya, sesungguhnya Dia tahu lebih dari kita.

Sungguh, Allah Itu Maha Tahu

Suatu hari, seorang lelaki terlihat kepompong.

Kebetulan, dia melihat satu lubang tiba-tiba terbuka pada kepompong tersebut dan melihat akan seekor rama-rama ingin melepaskan diri, ingin keluar bebas. Satu kejadian yang jarang dilihat baginya.

Lelaki tersebut lalu mengambil masa untuk duduk sambil melihat kejadian yang bakal memberinya satu pengajaran yang sangat bernilai. Berjam-jam dia duduk, semata-mata untuk melihat, bagaimanakah rupanya seekor rama-rama ingin keluar dari kepompong.

Kemudian, pergerakan rama-rama tersebut seperti sudah berhenti, seolah-olah rama-rama tersebut tidak lagi punya upaya untuk memaksa dirinya keluar dari lubang kecil kepompong tersebut.

Sepertinya rama-rama yang bakal keluar itu, telah mencapai tahap kekuatannya yang terakhir dan tiada apa-apa daya lagi yang tinggal untuknya melepaskan diri.

Lagaknya seperti tidak mampu lagi untuk memaksa.

Justeru, lelaki tersebut memutuskan untuk membantu.

Lalu lelaki tersebut mengeluarkan sebilah gunting dari poket seluarnya, dan memotong sebahagian kecil lebihan kepompong yang masih tersangkut pada sang rama-rama tadi.

Seperti yang dijangka, sang rama-rama terlepas dengan mudah.

Tidak perlu apa-apa kekuatan untuk memaksanya keluar. Namun, walaupun terlepas dengan mudah, nampaknya sang rama-rama keluar dalam keadaan yang begitu lemah, dengan keadaan sayapnya yang masih kecil dan sangat longlai.

Lelaki tersebut tidak begitu kisah akan keadaan itu.

Dia lantas duduk melihat sang rama-rama yang lemah longlai. Dia menyangkakan, bahawa akan tiba satu ketika apabila makhluk kerdil itu dapat bergerak dan melebarkan sayapnya dan mampu menampung beratnya.

Lalu terbang ke udara, bebas dari kepompong.

Namun, sangkaannya jauh meleset.

Sang rama-rama sebaliknya menghabiskan masanya di tanah seolah-olah merangkak dengan keadaan badannya yang lemah dan sayap yang sungguh longlai. Ciptaan Allah itu, langsung tidak mampu untuk bergerak apatah lagi untuk terbang.

Mengapa begitu?

Lelaki tersebut mungkin tidak menyangka.

Bahawa kepompong yang menyekat sang rama-rama daripada keluar, kesusahan dan kesukaran yang dikenakan kepadanya untuk keluar daripada lubang kecil kepompong tadi, adalah cara yang Allah gunakan.

Wasilah yang Dia gunakan untuk memaksa cecair-cecair daripada tubuh rama-rama untuk sampai kepada sayapnya. Supaya sayapnya cukup kuat dan bersedia untuk mencapai dan menggapai kebebasan yang diinginkannya.

Semenjak dari dalam kepompong, sehingga berjaya keluar.

Itu sebenarnya, yang dia tidak tahu.

Namun Allah Maha Tahu.

Penutup : Bergembiralah Dengan Ujian

Setiap jiwa, pasti akan merasai ujian.

Datangnya daripada Allah, dengan ada motif dan tujuannya yang tersendiri yang hanya Allah sahaja yang tahu. Mungkin, kesukaran yang diberikan kepada kita itu, adalah sebagai wasilah untuk kita meningkatkan keimanan?

Mungkin juga, untuk menyedarkan kita yang semakin jauh dari jalan kebenaran?

Atau mungkin juga sebagai pengajaran?

Itu semua, hanya Allah yang tahu.

Apa yang pasti, kita sepatutnya perlu bergembira apabila Allah hadirkan ujian dalam hidup kita. Hal ini kerana, melalui ujian demi ujian yang Dia berikan, nampak bahawa Dia masih sayangkan kita dan tidak ingin kita tersesat jauh dari jalan-Nya.

Dia tidak mengabaikan kita, malah ingin menyedarkan kita.

Mengapa, apabila kita memohon agar diberikan kekuatan, Allah turunkan kesukaran kepada kita? Mengapa tidak Dia berikan terus kekuatan kepada kita, sedangkan Dia mampu untuk melakukannya.

Kerana, Allah jadikan kesukaran sebagai wasilah untuk kita semakin kuat. Belajar daripada kesukaran yang kita hadapi dan mengambil iktibar darinya. Bila sudah belajar, maka kita akan jadi kuat untuk menghadapi ujian seumpamanya pada masa akan datang.

Dari situ, bukankah kita sudah diberikan kekuatan?

Ya. Namun, jarang sekali untuk kita berfikir begitu.

Justeru, jika hadir kesukaran dalam hidup, bergembiralah.

Kerana Allah tahu apa yang terbaik.

Buat hamba-Nya yang beriman.