Kebiasaan Itu, Sampai Bila?



Ramadhan semakin ke penghujung.

Sedih? Gembira? Nanti cerita.

Malam semalam, ada diadakan majlis khatam al-Quran di masjid tempat saya pergi terawih. Dua malam sebelumnya pula, masjid yang saya pergi terawih juga mengadakan majlis khatam al-Quran. Ramainya budak-budak dan remaja lelaki dan perempuan yang baru baligh.

Eh, bagaimana saya tahu?

Entahlah, agak-agak saja.

Kerana saya melihat dari sudut seperti yang saya biasa lihat. Setiap tahun, suara budak-budak kecil lah yang akan memenuhi ruangan masjid untuk majlis khatam. Saya berfikir, kemana perginya suara-suara yang lebih tua? Sepertinya menghilang, tapi entah ke mana.

Lagi, bilangan jemaah ke masjid pula? Oh, seperti yang biasa berlaku juga. Dahulu, masjid dan surau dibanjiri lautan jemaah. Ada yang berdiri elok, bahkan ada juga yang duduknya di atas kerusi. Tinggal lagi Ramadhan dalam empat lima hari, rumah Allah itu mulai surut bilangan tetamunya.

Yang sembahyang duduk, setia sehingga akhir.

Yang berdiri elok pula yang tinggalkan masjid lebih awal.

Setiap masjid ada bilangan rakaat terawihnya yang tersendiri. Ada yang lapan, ada dua puluh rakaat. Lagi tiga rakaat, solat sunat witir. Awal Ramadhan, masjid yang buat lapan dan dua puluh rakaat semuanya penuh dengan jemaah sehingga akhir. Kalau boleh, tidak cukup barisan saf untuk surau yang kecil.

Ada pula, terawih hanya lapan rakaat. Selebihnya disambung dengan tadarus al-quran. Tiba waktu untuk solat witir, dia bingkas bangun mengerjakan. Hebat, semuanya tidak ingin melepaskan peluang kemanisan ibadah.

Akhir Ramadhan, Seperti biasa juga.

Masjid dan surau semakin lengang dari lautan jemaah.

Adapun yang hadir, hanya sedikit jika dibandingkan dengan awal Ramadhan dahulu. Kalau boleh, sejadah yang tidak digunakan itu dilipat dan disimpan tepi sahaja. Dua saf sudah memadai. Saf-saf yang kosong, kini menjadi tempat permainan anak-anak kecil.

Berlari sana-sini, berkejar-kejaran.

Sedangkan, yang dituntut untuk memperbanyakkan ibadah adalah pada malam-malam akhir Ramadhan. Kerana pada sepuluh malam terakhir itu, salah satunya diletakkan malam mulia Lailatul Qadar. Oh, mengapa kita seolah-olah tidak punya fikiran?

Lagi, jarang-jarang kedengaran suara-suara halus yang bertadarus. Adapun suara yang membasahkan lidah dengan al-Quran, hanyalah kebanyakannya suara budak-budak dan sebilangan remaja yang akan mengikuti majlis khatam kelak.

Tidak lupa juga, suara guru yang mengajar mereka seorang demi seorang, dan juga suara jiwa-jiwa yang duduk di sudut-sudut masjid, di tepi-tepi parit dan halaman surau yang bergurau senda, bercerita itu ini.

Suara-suara tadarus yang seakan lebah dahulu itu, menyepi.

Menyepi menjadi bunyi tiupan angin.

Biasa. Sudah hampir ke penghujung Ramadhan, itulah yang akan berlaku. Tandanya, lagi beberapa hari, Syawal pula datang menjengah. Banyak rumah yang saya lihat, sudah dipasang lampu-lampu raya, berubah-ubah warnanya. Kagum.

Namun kekaguman saya pada malam itu, tidak dapat dibandingkan lagi dengan kekaguman saya pada malam-malam awal ramadhan. Buka sahaja siaran televisyen, sana-sini sudah dimainkan lagu raya. Ramadhan yang baru tiba dua tiga hari, sudah disambut dengan lagu lebaran.

Siap ada iklan raya lagi. Oh, awalnya.

Sungguh, saya kagum dengan apa yang dilihat.

Sekarang, saya perasan berfikir.

Sampai bila kebiasaan ini akan tetap sama?


Ya Allah, bantulah aku dalam mentaatimu, perelokkanlah amal ibadahku. Berilah kekuatan kepada hambamu ini untuk rajin menunaikan ibadah dan buangkanlah rasa malas dalam mentaatimu. Lembutkanlah hati ini, untuk sentiasa mengingati-Mu.

Jika tidak kerana hidayah ilmu dan hidayah amal yang Engkau berikan tidak mungkin aku mampu untuk melakukan ketaatan kepada-Mu. Ya Allah, bantulah hamba-Mu dan janganlah Engkau palingkan pandangan dan perhatian-Mu kepada hamba-Mu ini walaupun hanya dalam sekelip mata. Amin.

Saya akan tetap berharap.

Agar Ramadhan yang akan kita lalui akan datang.

Semuanya berbeza, lebih baik dari yang biasa.

Sesungguhnya, tiada bulan yang lebih istimewa dari Ramadhan. Tiada bulan yang mampu menawarkan ganjaran kebaikan sebesar dan sebanyak bulan Ramadhan. Tiada bulan yang Allah bukakan pintu syurga seluas-luasnya dan ditutup pintu neraka serapat-rapatnya melainkan Ramadhan. Tiada bulan, yang Allah gandakan pahala ibadah kita selain dari bulan Ramadhan.

Hanya Ramadhan.

Sebulan dalam setahun.

Ubahlah kebiasaan itu untuk Ramadhan akan datang, insyaAllah.

Barakumullahu fikum.


Andainya Ini Ramadhan Terakhir



Alhamdulillah, kita masih lagi menghirup udara Ramadhan.

Dalam saki-baki Ramadhan yang tinggal ini, bermacam rasa yang bermain di jiwa. Entahlah, adakah mampu untuk bertemu lagi atau tidak dengan Ramadhan yang seterusnya, atau tidak. Namun, itu semua kuasa Allah, dan kita mengharapkan moga-moga Allah tetap limpahkan kasih-Nya untuk mempertemukan kita sekali lagi dengan bulan barakah ini.

Ramadhan hanya sebulan.

Namun, dalam sebulan itu adalah sebulan yang penuh makna.

Secara ilmiahnya, yang membezakan Ramadhan adalah ia merupakan bulan yang dalamnya sangat istimewa berbanding bulan yang lain. Sebab itulah rasa sayang, rindu sangat sejak hari-hari akhir Ramadhan ini. Bulan yang banyak kelebihannya.

Bulan yang padanya diturunkan al-Quran, bulan yang melipatgandakan ganjaran pahala kepada pelaku-pelaku ibadah, dan banyak lagi. Bulan yang dibukakan pintu syurga seluas-luasnya dan ditutup rapat pintu neraka.

Syaitan, Iblis? Oh, semuanya diikat, dikurung.

Lalu tiada apa yang dapat menarik kita untuk tidak beramal ibadah.

Hanya nafsu, itu sahaja yang perlu kita kawal.


(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.

Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau yang mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.

(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu beroleh kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.

(Surah al-Baqarah ayat 185)

Pada saya, apa yang membuatkan Ramadhan itu istimewa?

Ramadhan istimewa dengan istimewanya pengisian amal kita dalamnya.

Bukannya dengan juadah yang lebih enak daripada tahun lepas, bukannya dengan berbuka puasa di tempat yang megah, bukannya kerana berkesempatan berbuka dengan teman rapat, teman istimewa dan sebagainya. Tetapi, tentang apa yang telah kita isikan untuk menghidupkan Ramadhan kita.

Apakah pengisian ibadah Ramadhan kita bergaya?

Atau sebaliknya, sama sahaja seperti yang kita persembahkan pada hari-hari yang lain, tiada beza, kuantiti bahkan kualiti. Sama bererti Ramadhan kita kurang istimewanya. Namun, walau sedikit perbezaan, atau penambahbaikan yang kita lakukan berbanding biasa, sudah cukup menjadikannya istimewa.

Tambah pula jika pada malam Lailatul Qadar yang tidak diketahui bila itu, kita berkesempatan untuk duduk bersimpuh mengadap Allah, memohon keampunan, limpahan kebaikan dan ganjaran syurga dan dijauhkan dari api neraka.

Doa saya, semoga Ramadhan kita semuanya istimewa.

Ada antara kita yang hatinya sentiasa merindui Ramadhan. Perpisahan dengannya menjadikan sanubari menjadi sedih, meronta-ronta tidak ingin berpisah. Kerana bulan mulia kurniaan Allah itu, bukan sahaja menjanjikan kebaikan kepada jasad, malahan juga buat spiritual.

Namun, betapa banyak pun kebaikan yang dilimpahkan dalam Ramadhan, kita masih juga berasa letih, payah untuk mendisiplinkan diri. Bermula dari menahan nafsu makan dan minum, menjauhkan perkara yang boleh mensia-siakan pahala puasa bahkan untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti ibadah.

Semuanya sukar untuk kita disiplinkan.

Memang, tiada seorang pun yang berani mengatakan bahawa puasa adalah senang. Kerana puasa Ramadhan itu bukan sahaja bermaksud menahan nafsu dari terbit fajar hingga terbenamnya matahari, bahkan lebih banyak. Ada lagi perkara-perkara lain yang perlu kita lakukan, dan persembahkan dengan baik.

Membaca al-Quran, menjaga lidah, pandangan dan lain-lain lagi.

Banyak. Dan kita sedar semua itu.

Kita mulakan Ramadhan dengan baik, bersemangat. Solat terawih, tadarus dan sebagainya kita tunaikan. Namun di akhirnya, Ramadhan seolah-olah hanya 20 hari. Baki lagi sepuluh hari, kita sudah perasan sibuk dengan persediaan menyambut Syawal, lalu diabaikan perkara-perkara ibadah yang dituntut. Sedangkan, 10 malam yang terakhir adalah hari yang digalakkan untuk kita meningkatkan amal, memburu malam Lailatul Qadar.

Terbalik? Oh, memang.

Itulah yang menjadikan Ramadhan kita tidak bergaya.

Lalu seusai Ramadhan, kita berazam.

"Tahun akan datang, aku akan lakukan lebih baik,"

Kiranya Allah berikan kepada kita kesempatan, insyaAllah kita akan bertemu lagi dengannya tahun akan datang. Namun, bagaimana jika kita tiada kesempatan itu untuk melakukan yang lebih baik dari Ramadhan tahun ini. Kesihatan kita hari ini, apakah akan tetap dijamin pada keesokannya? Jika kita sedar, bahawa ini adalah Ramadhan kita yang terakhir, tidak inginkah kita melakukan yang terbaik, sementara boleh?

Persembahkanlah yang terbaik, persembahkanlah yang paling istimewa untuk edisi Ramadhan kita kali ini. Kerana kematian itu, kita semua tahu, bakal menjemput kita pada bila-bila detik masa sahaja. Semoga Ramadhan kali ini adalah yang terbaik bagi kita semua, insyaAllah.

Beberapa hari lagi, Ramadhan akan pergi.

Tetamu itu bakal meninggalkan kita selama beberapa bulan.

Andaikan, bahawa ini adalah Ramadhan terakhir kita.

Sudahkah kita usaha melakukan yang terbaik?

Sabda Rasulullah :


Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.

(Riwayat Bukhari)

Moga Allah terima puasa dan ibadah kita.

Keluarlah dari Ramadhan dengan bergaya.

Amin.

Ramadhan : Bulan Yang Terbaik



11 Ogos 2010.

Ramadhan datang lagi.

Dengan limpahan kebaikan yang terlindung di dalamnya.

Hanya jiwa-jiwa yang memburu dan mencari sahaja yang akan Allah temukan dengan limpahan kebaikan tersebut. Justeru, kepada muslimin muslimah yang menyambut tiba Ramadhan, mari kita memburu, dan mencari kebaikan itu.

Lupakanlah sebentar kepenatan dunia yang hanya sementara.

Untuk kita peroleh kebaikan, dan ganjaran syurga yang kekal.

Moga Allah permudahkan jalan kita semua.

Dulu ketika Ramadhan sebelum datangnya Ramadhan yang ini, saya pasti, kita semua mengharap agar dipertemukan lagi pada Ramadhan yang akan datang. Dan ketika ini, sama ada kita sedang menghidupkan Ramadhan kita atau tidak, kita hakikatnya sedang berada dalam Ramadhan yang pernah kita harapkan selepas Ramadhan yang dahulu itu.

Ramadhan yang kita sambut tahun ini, adalah hasil penantian, atau mungkin bagi sesetengah kita, adalah hasil ketidaksedaran setelah menempuh perjalanan selama lebih kurang sebelas bulan. Sungguh lama masa penantian itu, dan lama juga ketidaksedaran kita, ya? Oh ...

Pejam celik, kita berada sekali lagi dalam bulan barakah ini.

Masa, perjalananmu memang cepat.

Kalau dahulu, saya ingat, siaran Jejak Rasul kali yang pertama saya tonton, adalah Jejak Rasul yang ketiga. Masuk Ramadhan kali ini sahaja, Jejak Rasul yang saya tonton sejak dahulu itu sudah masuk kepada edisi yang berbelas-belas. Oh, betapa Besarnya Allah yang memutarkan masa.

Selami khutbah Rasulullah pada ketibaan Ramadhan.

Dari Salman al-Farisi, Rasulullah bersabda :


Wahai manusia! Sudah datang kepada kalian bulan agung, bulan penuh berkat, bulan dalamnya ada malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Allah mewajibkan kepada kamu ibadat puasa dan menghidupkan malam harinya sebagai amalan tambahan (sunat). Sesiapa yang pada Ramadhan mendekatkan diri dengan amalan sunat, maka ganjarannya seperti orang melakukan amalan wajib pada bulan lain.

Dan sesiapa yang melakukan satu amalan wajib pada bulan ini, maka balasannya seperti orang yang melakukan 70 amalan wajib pada bulan lain. Bulan Ramadhan adalah bulan sabar dan pahala kesabarannya adalah syurga.

Bulan di mana wujudnya semangat tolong menolong dan bulan bertambahnya rezeki orang yang beriman. Sesiapa yang memberi makan berbuka puasa, maka diampuni dosanya, dibebaskan daripada api neraka dan mendapat pahala seperti pahala orang berpuasa tanpa dikurangkan sedikit pun.

Sahabat berkata : Ya Rasulullah, kami semua bukanlah orang yang ada sesuatu untuk menjamu orang yang berpuasa.

Sabda Baginda : Allah akan memberikan pahala itu kepada sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa untuk berbuka puasa sama ada dengan sebiji kurma atau segelas air sejuk atau dengan sedikit susu yang bercampur air.

Ramadan juga ialah bulan yang awalnya dipenuhi dengan rahmat, pertengahannya dipenuhi dengan keampunan dan akhirnya dipenuhi dengan pahala yang menjadi penebus daripada api neraka.

Sesiapa yang meringankan beban kerja orang gajinya dalam Ramadan akan diampunkan Allah dosanya dan dibebaskan daripada neraka.

Hendaklah kamu memperbanyakkan mengerjakan empat perkara dalam bulan Ramadan iaitu dua perkara dilakukan untuk mendapat keredaan Tuhan kamu dan dua perkara lagi kamu sangat perlukan.

Dua perkara yang dilakukan untuk mendapat keredaan Tuhan kamu itu ialah pertama, mengucapkan lailahillallah (tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah) dan kedua, mengucapkan istighfar (memohon ampun) kepada Allah.

Dua perkara lagi yang sangat kamu perlukan itu ialah pertama, perbanyakkan memohon kepada Allah supaya dimasukkan kamu ke dalam syurga dan kedua, kamu berlindung daripada-Nya azab api neraka.

Selain itu, sesiapa yang memberi minum seseorang yang berpuasa (ketika berbuka puasa), Allah akan memberi minum kepadanya dari kolam aku (Kolam al-Kauthar) dengan sekali minum saja yang menjadikan dia tidak akan berasa dahaga selama-lamanya hingga dia masuk ke dalam syurga.

(Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah)

Ramadhan.

Sungguh, adalah bulan yang terbaik.

Ganjaran pahala yang Allah kurniakan dalam Ramadhan sudah cukup untuk menggembirakan hati-hati yang sentiasa mendambakan pahala sebesar itu. Pahala amalan sunat akan digandakan menjadi pahala amalan wajib. Pahala amalan wajib pula akan digandakan menjadi pahala 70 kebaikan pahala amalan wajib pada bulan yang lain.

Bulan yang pada awalnya dipenuhi dengan rahmat, pada pertengahannya pula dipenuhi dengan keampunan dari Allah, dan akhirnya akan dibebaskan daripada panasnya api neraka.

Justeru, apakah kita tidak ingin peluang ini?

Peluang, yang hanya disediakan sebulan dalam setahun.

Marilah, sama-sama kita.

Persembahkan yang terbaik untuk Ramadhan!

Salam Ramadhan buat semua.