Sudoku

Sekadar sebuah imbas balik.

Aku mengenali sudoku (seingat aku) adalah pada tiga tahun yang lepas, iaitu sekitar hujung tahun 2008. Entah bagaimana di tempat lain, tetapi kalau di sekolah aku dulu, permainan sudoku ini adalah permainan yang aku kira sama ada baru dikenali, baru diketahui atau baru mula dimainkan. Yang penting, sudoku mula terkenal sekitar hujung tahun tersebut.

Hari demi hari, seperti sudah menjadi kegilaan, setiap kali pergi prep pagi, prep petang, mahupun prep malam, buku sudoku sentiasa terpampang di depan mata, dibawa sekali dengan buku-buku rujukan matematik, kimia dan sebagainya.

Lain pula ceritanya di asrama.

Kebiasaannya hidup di asrama, budak-budak asrama paling kurang di bawah bantal mereka mesti ada komik gila-gila, gempak dan yang sewaktu dengannya, yang aku pasti digunakan untuk menghilangkan rasa bosan ataupun ubat untuk tidur. Tetapi tidak pada ketika itu. Kebanyakan kawan-kawan setingkatan mahupun senior dan junior, sebelah bantal mereka pasti ada buku sudoku.

Aku hairan, penangan sudoku memang luar biasa.

Ditakdirkan, aku mula berjinak dengan sudoku tahun berikutnya.

Mula-mula main, taklah syok sangat. Tetapi, bila sudah banyak menimba ilmu dari kawan-kawan, sudah kutip sedalam-dalamnya tips dan kaedah, aku dapat merasakan seronoknya sudoku. Mula dengan tahap paling mudah, aku beransur ke tahap yang lebih sukar dan lebih sukar.

Senang ceritanya, aku semakin advance. Paling lama masa yang aku ambil untuk sempurnakan teka-teki sudoku tahap sukar adalah dalam sepuluh minit lebih (mungkin masa ini tak layak jika dibandingkan dengan masa para professional sudoku di luar sana). Masa paling pantas dalam rekod aku, adalah empat minit lebih.

Tahap konsentrasi jangan dicakap.

Kekhusyukan yang sangat luar biasa ketika bermain, sehinggakan kawan-kawan yang datang masuk bilik panggil kita untuk makan berjemaah di dewan makan, solat jemaah di surau hatta riadah berjemaah pun tak dilayan. Masing-masing sudah diserap masuk ke dalam dunia tanpa sedar sudoku.

Begitulah kisah aku dengan bukan makhluk bernama sudoku.

Semuanya kisah lama.

Atas aturan Allah, tahun ini dah masuk lebih kurang setahun lebih aku tidak menyentuh buku sudoku. Berbanding dahulu, aku dah berkarat dan tumpul bab sudoku ni. Tapi aku percaya, kalau terus diasah, tetap tajam bersinar balik.

Hari ini, dihadapan mata aku terpampang sekali lagi buku sudoku setelah sekian lama tidak terlihat. Sekali pandang, aku gembira. Teringat kisah-kisah lama rekod cemerlang aku dengan catatan masa yang tidaklah begitu hebat berbanding orang hebat seperti kalian. Cukup sekadar rekod terbaik peribadi sahaja.

Dua kali pandang, sedih sangat.

Teringat bagaimana aku dilekakan dengan permainan dunia yang menyebabkan aku menolak ajakan kawan-kawan untuk bertamu di rumah Allah. Memang teruk bahananya, bila sudah ketagih tidak bertempat. Yang seronok didahulukan, yang wajib dikemudiankan. Sedangkan al-Quran telah memberi amaran keras kepada sesiapa yang berpaling dari mengingati Allah.

Firman Allah :

"Barangsiapa yang berpaling dari mengingati Allah, Kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan). Maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya,"

(Surah az-Zukhruf ayat 36)

Aku membayangkan sekiranya tahap konsentrasi aku dalam solat adalah sepertimana tahap konsentrasi aku ketika bermain sudoku dahulu. Kalau aku boleh masuk ke dunia tanpa sedar dengan bukan makhluk bernama sudoku, mengapa begitu sukar untuk aku masuk ke dunia tanpa sedar dengan Allah dalam solat?

Teringat kisah Saidina Ali yang pernah diceritakan suatu ketika.

Suatu hari, Saidina Ali telah tertusuk anak panah pada anggota badan beliau. Oleh kerana terlampau sakit jika dicabut ketika itu, maka Saidina Ali menunaikan solat, dan dalam keadaan beliau yang sangat khusyuk ketika itu, para sahabat mencabut anak panah tersebut sehingga beliau tidak merasakan apa-apa.

Begitu khusyuk beliau dalam solat.

Tanyakan pula bagaimana kita?

Dan begitulah kita manusia. Beberapa kali pun diperingatkan, namun tetap masih juga rebah dihadapan nafsu. Bila dihadapkan dengan bermacam keseronokan, permainan-permainan yang melekakan, minda kita secara automatiknya menumpukan konsentrasi yang melampau. Nyamuk yang gigit menghisap darah pun tidak terasa gatalnya.

Jika ditanya, hari ini pun aku masih lagi kalah (astagfirullah). Bila sudah dihadapkan dengan permainan komputer, tambah lagi apabila bermain secara berjemaah, mesti akan keluar perkataan sekejap, sekejap lagi, ataupun ok, lepas pusingan sepuluh, aku turun solat.

Akhirnya akibat nafsu, yang lewat tetap dilewatkan.

Atas segalanya, aku sangat berharap semoga ramadhan yang bakal bertandang kelak dapat meningkatkan tahap konsentrasi dalam setiap amalan yang dilakukan. Semoga Allah memudahkan jalan dan memberikan kita kekuatan.

Ameen.

Muhasabah :

Bagaimana dengan persediaan kita? Mudah-mudahan semuanya sejahtera dan dalam keadaan bersemangat untuk menghadapi bulan ramadhan. Sama-samalah berdoa semoga Allah tetapkan hati kita untuk sentiasa melakukan yang terbaik untuk ramadhan kali ini. Biarlah semangat hijrah dan semangat menunaikan ibadah itu terus membuak sehingga akhir ramadhan.

Dan hari-hari yang mendatang.

Ameen.

Persediaan Ramadhan

Sekarang, kita sedang dalam bulan Syaaban.

Lagi sedikit masa, kita akan masuk Ramadhan.

Kebiasaannya, kita bila sedar bahawa kehadiran bulan Ramadhan semakin menghampir, maka secara automatiknya minda sekaligus jasad kita yang bergerak mengikut minda mula memikirkan segala persediaan yang perlu untuk menyambut (atau lebih sesuainya menghadapi) bulan tersebut. Kalau betullah apa yang aku katakan, alhamdulillah.

Pertama, latihan perut.

Aku yakin ramai antara kita sekarang, sedang melatih perut.

Bila sudah dekat bulan puasa ni, tahap kerajinan untuk puasa sunat hari isnin dan khamis mula meningkat, melatih perut supaya tidak mengalami kejutan budaya apabila bermulanya puasa wajib kelak. Latihan perut ini, sangat perlu terutamanya kepada kita-kita yang mudah mengalami gastrik apabila tidak makan dan minum dalam satu jangka masa yang panjang.

Kedua, mungkin kita sedang merapatkan diri dengan al-Quran.

Kita membuat perancangan, mengira bilangan mukasurat yang akan dibaca setiap hari dan mungkin sedang berlatih untuk melihat sejauh mana maksimumnya stamina kita membaca al-Quran pada satu-satu masa. Targetnya, supaya berhasil mengkhatam sekali atau dua kali ataupun lebih al-Quran pada bulan tersebut.

Seterusnya, mungkin kita sedang berlatih memperbanyakkan zikir kita, supaya kelak apabila ada sahaja masa yang terluang dalam bulan puasa, kita boleh isikan dengan zikrullah. Latihan solat-solat sunat, latihan menginfakkan harta ke tabung masjid, dan banyak lagi.

Namun, dalam kita melatih diri kita supaya terbiasa dengan amalan-amalan tersebut pada bulan ramadhan kelak, kadangkala kita terlepas pandang beberapa amalan yang juga perlu untuk kita biasakan diri.

Pertama, latihan mulut.

Mulut kita ini kawan-kawan, termasuk diri aku sendiri (astaghfirullah), banyak sangat buat dosa. Bila nampak kenalan kita sedang duduk sembang, entah apa topik yang sedang dibualkan, kita pun turut ikut sama. Dan ketika itu, tidak cukup kita mengikuti perkembangan bicara mereka, kita malah membuka topik baru untuk dibualkan.

Tidak cukup dengan kehangatan topik yang kita buka, kita panaskan pula suasana sembang pada ketika itu dengan menceritakan perihal orang lain, membuka aib-aib yang sepatutnya tidak dicerita dan diperkatakan.

Kita memakan daging saudara kita sendiri, kawan-kawan.

Maka pada ketika kita sedang menunggu hadirnya bulan ramadhan yang mulia, dalam bulan syaaban ini, mari kita latih mulut kita. Nanti bila dah masuk bulan ramadhan, kita asah lagi latihan kita, dan dengan izin Allah jua, tidaklah kita terlepas kata sepanjang bulan tersebut dan juga pada hari-hari yang mendatang.

InsyaAllah.

Seterusnya, latihan menutup aurat.

Baik lelaki dan perempuan, kita latih diri kita supaya sentiasa menutup aurat, dalam apa-apa keadaan sekalipun. Kemudian, kita asah lagi sikap itu sepanjang bulan ramadhan kelak, dan insyaAllah dengan izin Allah jua, dengan keberkatan dalam bulan penuh barakah itu, kita mampu kekalkan sehingga masa ajal datang menjemput.

Lagi, latihan pergaulan.

Kalau sebelum ini, kadar kerapatan kita tersangat tinggi, terutama sekali antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, apa kata kita berlatih untuk kurangkan kadar tersebut sebelum kehadiran bulan ramadhan kelak.

Bukankah kerapatan yang tinggi bagi pasangan ajnabi itu boleh menyebabkan zina hati? Dan apakah kita mahu masa ibadah kita sepanjang bulan ramadhan kelak banyaknya dipenuhi dengan zina hati? Naudzubillahi min dzalik.

Dan banyak lagi persiapan yang boleh kita lakukan sebenarnya.

Sama-samalah kita beringat.

Akhiru kalam, kita percaya bahawa setiap amalan kebaikan yang dilakukan sepanjang bulan ramadhan itu, pahalanya akan Allah gandakan dengan gandaan yang banyak, bukan? Jadi bagaimana pula halnya dengan kejahatan? Tidak mustahil bagi Allah untuk melipatgandakan juga dosa kejahatan itu, bukan?

Jadi untuk ramadhan kali ini, marilah usahakan yang terbaik. Perbanyakkanlah amalan kebaikan dengan mengharapkan keredhaan Allah, dan jauhkanlah perkara yang lagha. Sesungguhnya Allah mengira setiap sesuatu yang kita lakukan, hatta yang zahir mahupun tersembunyi.

Semoga Allah terima amal ibadah kita.

Ameen.

61 : 2 - 3

Bismillah.

Bila mentadabbur surah as-Saff, rasa seperti ditembak dengan jarum yang sangat tajam. suatu ketika, kita menasihati sahabat kita supaya sentiasa bersangka baik dengan Allah dalam apa-apa perkara, baik susah atau senang, baik kita diuji dengan masalah mahupun nikmat.

Allah berfirman :

"Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?"

"Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan,"

(Surah as-Saff ayat 2 dan 3)

Minggu yang lepas, baru diuji dengan ujian yang sedikit.

Sesuatu yang sangat-sangat diinginkan, namun atas aturan Allah jua, yang sangat-sangat diinginkan tidak berdaya diperoleh. Senang sahaja untuk kita memberitahu supaya bersabar dan bersangka baiklah dengan apa-apa yang telah Allah aturkan, kerana sesungguhnya itulah yang terbaik untuk kita.

Namun, apabila terkena dengan batang hidung sendiri, ya Allah, sungguh aku malu. Sesungguhnya belum cukup kuat, malah sangat-sangat lemah sangka baik aku pada-Mu. Sungguh aku malu, kerana aku melanggar perintahmu, untuk mengerjakan apa yang telah diperkatakan.

Syukur ada sahabat disisi yang tolong ingat dan menyedarkan.

Syukur alhamdulillah.

"Ya Allah, dosaku menggunung, ampunkanlah ya Allah, baik yang disengajakan mahupun tidak. Jauhkanlah aku dari bersangka buruk kepada-Mu dan hamba-hamba-Mu. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui akan segala sesuatu, dan Engkau juga yang mengetahui akan apa yang terbaik buatku,"

Ameen ya Rabb.

Yang Sukar Dilihat

Alhamdulillahi Rabbil Alamin.

Hujung minggu yang lepas, baru sahaja selesai dengan sebuah program tarbiyyah, iaitu iLuvIslam Goes To Borneo 2. Semuanya atas izin Allah, segala perancangan berjalan dengan lancar dan berakhir dengan nikmat.

Syukur setinggi-tinggi syukur, Allah berikan peluang kepada aku untuk bersama-sama di dalam satu barisan tenaga yang mengendalikan program. Bersama di dalam satu kumpulan yang terdiri dalam kalangan protaz dan protazah yang hebat, aku terasa seperti terpalit dengan kata-kata, berlumba-lumbalah kamu dalam perkara kebaikan. Dan sungguh, betapa luasnya ilmu Allah, aku dapat merasakan bahawa aku lebih banyak belajar daripada mengajar sepanjang program.

Syukur alhamdulillah.

Atas segalanya, semoga segala tenaga yang dicurahkan dan ilmu-ilmu yang dikongsikan dinilai oleh Allah sebagai ibadah yang ikhlas dan benar. Dan untuk sama-sama mengoreksi diri, Rasulullah pernah bersabda di dalam sebuah hadis, perihal dustanya amalan ahli ibadah bila dihadapkan dihadapan Allah di hari akhirat kelak.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda :

Sesungguhnya, di antara manusia yang mula-mula dibicarakan dan dihukum pada hari kiamat adalah, pertama, orang yang gugur syahid. Dia dibawa menghadap, maka Allah menyatakan kepadanya satu-persatu nikmat-Nya, lalu dia pun mengakui menerimanya. Allah bertanya kepadanya, "Maka apa yang engkau telah lakukan pada nikmat-nikmat itu?"

Dia menjawab, "Aku berperang kerana mematuhi perintah-Mu, sehingga aku gugur syahid,"

Allah berfirman, "Engkau berdusta. Akan tetapi, engkau berperang supaya orang mengatakan engkau berani, dan telahpun dikatakan sedemikian," Kemudian dia dihukum lalu diseret dengan tertiarap sehingga dihumbankan ke dalam neraka.

Kedua, orang yang belajar ilmu dan mengajarkannya serta membaca al-Quran . Dia dibawa menghadap, maka Allah menyatakan kepadanya nikmat-nikmat-Nya satu persatu, lalu dia mengakui menerimanya. Allah bertanya, "Maka apa yang telah engkau lakukan pada nikmat-nikmat itu?"

Dia menjawab, "Aku belajar ilmu dan mengajarkannya serta membaca al-Quran kerana mengharap keredhaan-Mu,"

Allah berfirman, "Engkau berdusta. Akan tetapi engkau mempelajari ilmu supaya orang mengatakan engkau alim, dan engkau membaca al-Quran supaya orang mengatakan engkau seorang qari, dan telahpun dikatakan sedemikian," Kemudian dia dihukum lalu diseret dengan tertiarap sehingga dihumbankan ke dalam neraka.

Ketiga, orang yang telah dimewahkan oleh Allah hidupnya serta diberi-Nya sebahagian dari segala jenis harta benda kekayaan. Dia dibawa menghadap, maka Allah menyatakan kepadanya nikmat-nikmat-Nya satu-persatu, lalu dia mengakui menerimanya. Allah bertanya, "Maka apa yang engkau telah lakukan pada nikmat-nikmat itu?"

Dia menjawab, "Aku tidak tinggalkan satu pun jalan yang Engkau suka dibelanjakan kekayaan padanya melainkan aku belanjakan padanya, kerana mengharapkan rahmat-Mu,"

Allah berfirman, "Engkau berdusta. Akan tetapi engkau belanjakan harta kekayaanmu supaya orang mengatakan engkau seorang dermawan, dan telahpun dikatakan sedemikian," Kemudian dia dihukum lalu diseret dengan tertiarap sehingga akhirnya dihumbankan ke dalam neraka.

(Hadis Riwayat Muslim)

Maka soalnya di sini tiada lain, adalah niat.

Selalu terfikir, dalam kita banyak beraktiviti dan berprogram, seringkali kita (terutamanya diriku sendiri) lupa akan perkara asas dan utama ini, iaitu niat, yang merupakan tunjang dan timbangan penentu kepada sahihnya sesebuah amal.

Sungguh, itulah perkara yang sangat sulit untuk kita luruskan, kerana hati ini sangat mudah untuk terbolak-balik. Bagaimana pula untuk mengetahui ikhlas? Wallahu'alam. Namun, sukarnya untuk kita melihat sebuah keikhlasan itu, sehingga diibaratkan seperti seekor semut hitam, di atas batu yang hitam, pada malam yang gelap gelita. Sukar, namun kita sedar, betapa perlunya kelurusan niat dan keihlasan dalam beramal.

Akhiru kalam, sekadar berpesan-pesan, marilah bersama kita sentiasa memanjatkan doa pengharapan kepada Allah, agar diterima amalan kita sebagai ibadah yang ikhlas dan benar. Mari berlumba-lumba kepada kebaikan, dan sentiasalah menanam rasa takut akan tidak diterima amal perbuatan yang kita kerjakan.

Luruskanlah niat.

Dan, selamat beramal!