Yang Sukar Dilihat

Alhamdulillahi Rabbil Alamin.

Hujung minggu yang lepas, baru sahaja selesai dengan sebuah program tarbiyyah, iaitu iLuvIslam Goes To Borneo 2. Semuanya atas izin Allah, segala perancangan berjalan dengan lancar dan berakhir dengan nikmat.

Syukur setinggi-tinggi syukur, Allah berikan peluang kepada aku untuk bersama-sama di dalam satu barisan tenaga yang mengendalikan program. Bersama di dalam satu kumpulan yang terdiri dalam kalangan protaz dan protazah yang hebat, aku terasa seperti terpalit dengan kata-kata, berlumba-lumbalah kamu dalam perkara kebaikan. Dan sungguh, betapa luasnya ilmu Allah, aku dapat merasakan bahawa aku lebih banyak belajar daripada mengajar sepanjang program.

Syukur alhamdulillah.

Atas segalanya, semoga segala tenaga yang dicurahkan dan ilmu-ilmu yang dikongsikan dinilai oleh Allah sebagai ibadah yang ikhlas dan benar. Dan untuk sama-sama mengoreksi diri, Rasulullah pernah bersabda di dalam sebuah hadis, perihal dustanya amalan ahli ibadah bila dihadapkan dihadapan Allah di hari akhirat kelak.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda :

Sesungguhnya, di antara manusia yang mula-mula dibicarakan dan dihukum pada hari kiamat adalah, pertama, orang yang gugur syahid. Dia dibawa menghadap, maka Allah menyatakan kepadanya satu-persatu nikmat-Nya, lalu dia pun mengakui menerimanya. Allah bertanya kepadanya, "Maka apa yang engkau telah lakukan pada nikmat-nikmat itu?"

Dia menjawab, "Aku berperang kerana mematuhi perintah-Mu, sehingga aku gugur syahid,"

Allah berfirman, "Engkau berdusta. Akan tetapi, engkau berperang supaya orang mengatakan engkau berani, dan telahpun dikatakan sedemikian," Kemudian dia dihukum lalu diseret dengan tertiarap sehingga dihumbankan ke dalam neraka.

Kedua, orang yang belajar ilmu dan mengajarkannya serta membaca al-Quran . Dia dibawa menghadap, maka Allah menyatakan kepadanya nikmat-nikmat-Nya satu persatu, lalu dia mengakui menerimanya. Allah bertanya, "Maka apa yang telah engkau lakukan pada nikmat-nikmat itu?"

Dia menjawab, "Aku belajar ilmu dan mengajarkannya serta membaca al-Quran kerana mengharap keredhaan-Mu,"

Allah berfirman, "Engkau berdusta. Akan tetapi engkau mempelajari ilmu supaya orang mengatakan engkau alim, dan engkau membaca al-Quran supaya orang mengatakan engkau seorang qari, dan telahpun dikatakan sedemikian," Kemudian dia dihukum lalu diseret dengan tertiarap sehingga dihumbankan ke dalam neraka.

Ketiga, orang yang telah dimewahkan oleh Allah hidupnya serta diberi-Nya sebahagian dari segala jenis harta benda kekayaan. Dia dibawa menghadap, maka Allah menyatakan kepadanya nikmat-nikmat-Nya satu-persatu, lalu dia mengakui menerimanya. Allah bertanya, "Maka apa yang engkau telah lakukan pada nikmat-nikmat itu?"

Dia menjawab, "Aku tidak tinggalkan satu pun jalan yang Engkau suka dibelanjakan kekayaan padanya melainkan aku belanjakan padanya, kerana mengharapkan rahmat-Mu,"

Allah berfirman, "Engkau berdusta. Akan tetapi engkau belanjakan harta kekayaanmu supaya orang mengatakan engkau seorang dermawan, dan telahpun dikatakan sedemikian," Kemudian dia dihukum lalu diseret dengan tertiarap sehingga akhirnya dihumbankan ke dalam neraka.

(Hadis Riwayat Muslim)

Maka soalnya di sini tiada lain, adalah niat.

Selalu terfikir, dalam kita banyak beraktiviti dan berprogram, seringkali kita (terutamanya diriku sendiri) lupa akan perkara asas dan utama ini, iaitu niat, yang merupakan tunjang dan timbangan penentu kepada sahihnya sesebuah amal.

Sungguh, itulah perkara yang sangat sulit untuk kita luruskan, kerana hati ini sangat mudah untuk terbolak-balik. Bagaimana pula untuk mengetahui ikhlas? Wallahu'alam. Namun, sukarnya untuk kita melihat sebuah keikhlasan itu, sehingga diibaratkan seperti seekor semut hitam, di atas batu yang hitam, pada malam yang gelap gelita. Sukar, namun kita sedar, betapa perlunya kelurusan niat dan keihlasan dalam beramal.

Akhiru kalam, sekadar berpesan-pesan, marilah bersama kita sentiasa memanjatkan doa pengharapan kepada Allah, agar diterima amalan kita sebagai ibadah yang ikhlas dan benar. Mari berlumba-lumba kepada kebaikan, dan sentiasalah menanam rasa takut akan tidak diterima amal perbuatan yang kita kerjakan.

Luruskanlah niat.

Dan, selamat beramal!

0 Komen:

Post a Comment