Bonus Ramadhan



Salam Ramadhan.

Ilustrasi komik, ihsan daripada Datin Haziqah Hamzah.

Masuk hari ni, dah empat hari kita berpuasa. Jadi nak tanyalah kepada pembaca budiman sekalian, bagaimana puasa kita setakat ini? Apa khabar iman, apa khabar ibadah, apa khabar amalan-amalan yang perlu kita jauhi dan apa khabar amal-amal yang perlu kita perbanyakkan? Aku doakan, semoga sejahtera semuanya.

Semalam, usai solat tarawih empat rakaat, tok imam di masjid ar-Rayyan (masyarakat bandaraya Miri sahaja yang tahu) bangun dan memperdengarkan sedikit mutiara hadis berkenaan fadhilat puasa di bulan Ramadhan.

Sabda Rasulullah :

"Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak ; Doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa, imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman : "Aku bersumpah demi kemuliaan-Ku, sesungguhnya Aku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti,"

(Hadis riwayat Abu Hurairah)

Mulianya Ramadhan, tidak seperti bulan-bulan yang lain.

Aku pasti kalau kita dalami kitab-kitab sahih yang membicarakan tentang fadhilat-fadhilat bulan Ramadhan, hatta pencarian di laman sesawang Google yang tak pasti sahih lagi sekalipun, maka kita akan dapati begitu banyak fadhilat dan keistimewaan yang Allah sediakan buat kita yang berpuasa.

Dari sekecil-kecil amalan, sehinggalah kepada amalan-amalan yang sunat dan wajib, Allah akan gandakan pahala kebaikannya kepada para perilakunya. Jangan katakan ibadah, hatta bau mulut orang yang berpuasa pun di sisi Allah, lebih wangi daripada haruman kasturi.

Banyak.

Tanda cintanya Allah pada kita.

Bila difikirkan, tidak ada bulan lain yang Allah kurniakan kelebihan seumpama ini melainkan bulan Ramadhan. Ianya adalah bonus besar, yang hanya dikurniakan dalam bulan Ramadhan. Maka sangat rugilah bagi kita-kita yang tidak menghidupkan Ramadhan kita.

Sekadar sedikit perkongsian pada panas mentari hari jumaat (di Miri), hidupkanlah Ramadhan kita dengan pengisian-pengisian yang bermanfaat. Janganlah biarkan ada sedikitpun lompang masa yang kita tinggalkan daripada beribadah kerana Allah. Sungguh, kalau Allah nampakkan pahala yang dilipatgandakan itu sebagai wang dihadapan kita setiap kali usai solat, zikir dan sebagainya, pasti kita bingkas bangun beribadah.

Namun, Allah jadikan pahala itu satu benda yang tidak dizahirkan, maka sekarang bergantung sepenuhnya kepada sejauh mana yakin dan percayanya kita kepada Allah. Jom, mari hidupkan Ramadhan yang diberi percuma kepada kita.

Semoga Allah terima segala amal kita.

Dan redha-Nya mengiringi kita.

Ameen.

Sudoku

Sekadar sebuah imbas balik.

Aku mengenali sudoku (seingat aku) adalah pada tiga tahun yang lepas, iaitu sekitar hujung tahun 2008. Entah bagaimana di tempat lain, tetapi kalau di sekolah aku dulu, permainan sudoku ini adalah permainan yang aku kira sama ada baru dikenali, baru diketahui atau baru mula dimainkan. Yang penting, sudoku mula terkenal sekitar hujung tahun tersebut.

Hari demi hari, seperti sudah menjadi kegilaan, setiap kali pergi prep pagi, prep petang, mahupun prep malam, buku sudoku sentiasa terpampang di depan mata, dibawa sekali dengan buku-buku rujukan matematik, kimia dan sebagainya.

Lain pula ceritanya di asrama.

Kebiasaannya hidup di asrama, budak-budak asrama paling kurang di bawah bantal mereka mesti ada komik gila-gila, gempak dan yang sewaktu dengannya, yang aku pasti digunakan untuk menghilangkan rasa bosan ataupun ubat untuk tidur. Tetapi tidak pada ketika itu. Kebanyakan kawan-kawan setingkatan mahupun senior dan junior, sebelah bantal mereka pasti ada buku sudoku.

Aku hairan, penangan sudoku memang luar biasa.

Ditakdirkan, aku mula berjinak dengan sudoku tahun berikutnya.

Mula-mula main, taklah syok sangat. Tetapi, bila sudah banyak menimba ilmu dari kawan-kawan, sudah kutip sedalam-dalamnya tips dan kaedah, aku dapat merasakan seronoknya sudoku. Mula dengan tahap paling mudah, aku beransur ke tahap yang lebih sukar dan lebih sukar.

Senang ceritanya, aku semakin advance. Paling lama masa yang aku ambil untuk sempurnakan teka-teki sudoku tahap sukar adalah dalam sepuluh minit lebih (mungkin masa ini tak layak jika dibandingkan dengan masa para professional sudoku di luar sana). Masa paling pantas dalam rekod aku, adalah empat minit lebih.

Tahap konsentrasi jangan dicakap.

Kekhusyukan yang sangat luar biasa ketika bermain, sehinggakan kawan-kawan yang datang masuk bilik panggil kita untuk makan berjemaah di dewan makan, solat jemaah di surau hatta riadah berjemaah pun tak dilayan. Masing-masing sudah diserap masuk ke dalam dunia tanpa sedar sudoku.

Begitulah kisah aku dengan bukan makhluk bernama sudoku.

Semuanya kisah lama.

Atas aturan Allah, tahun ini dah masuk lebih kurang setahun lebih aku tidak menyentuh buku sudoku. Berbanding dahulu, aku dah berkarat dan tumpul bab sudoku ni. Tapi aku percaya, kalau terus diasah, tetap tajam bersinar balik.

Hari ini, dihadapan mata aku terpampang sekali lagi buku sudoku setelah sekian lama tidak terlihat. Sekali pandang, aku gembira. Teringat kisah-kisah lama rekod cemerlang aku dengan catatan masa yang tidaklah begitu hebat berbanding orang hebat seperti kalian. Cukup sekadar rekod terbaik peribadi sahaja.

Dua kali pandang, sedih sangat.

Teringat bagaimana aku dilekakan dengan permainan dunia yang menyebabkan aku menolak ajakan kawan-kawan untuk bertamu di rumah Allah. Memang teruk bahananya, bila sudah ketagih tidak bertempat. Yang seronok didahulukan, yang wajib dikemudiankan. Sedangkan al-Quran telah memberi amaran keras kepada sesiapa yang berpaling dari mengingati Allah.

Firman Allah :

"Barangsiapa yang berpaling dari mengingati Allah, Kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan). Maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya,"

(Surah az-Zukhruf ayat 36)

Aku membayangkan sekiranya tahap konsentrasi aku dalam solat adalah sepertimana tahap konsentrasi aku ketika bermain sudoku dahulu. Kalau aku boleh masuk ke dunia tanpa sedar dengan bukan makhluk bernama sudoku, mengapa begitu sukar untuk aku masuk ke dunia tanpa sedar dengan Allah dalam solat?

Teringat kisah Saidina Ali yang pernah diceritakan suatu ketika.

Suatu hari, Saidina Ali telah tertusuk anak panah pada anggota badan beliau. Oleh kerana terlampau sakit jika dicabut ketika itu, maka Saidina Ali menunaikan solat, dan dalam keadaan beliau yang sangat khusyuk ketika itu, para sahabat mencabut anak panah tersebut sehingga beliau tidak merasakan apa-apa.

Begitu khusyuk beliau dalam solat.

Tanyakan pula bagaimana kita?

Dan begitulah kita manusia. Beberapa kali pun diperingatkan, namun tetap masih juga rebah dihadapan nafsu. Bila dihadapkan dengan bermacam keseronokan, permainan-permainan yang melekakan, minda kita secara automatiknya menumpukan konsentrasi yang melampau. Nyamuk yang gigit menghisap darah pun tidak terasa gatalnya.

Jika ditanya, hari ini pun aku masih lagi kalah (astagfirullah). Bila sudah dihadapkan dengan permainan komputer, tambah lagi apabila bermain secara berjemaah, mesti akan keluar perkataan sekejap, sekejap lagi, ataupun ok, lepas pusingan sepuluh, aku turun solat.

Akhirnya akibat nafsu, yang lewat tetap dilewatkan.

Atas segalanya, aku sangat berharap semoga ramadhan yang bakal bertandang kelak dapat meningkatkan tahap konsentrasi dalam setiap amalan yang dilakukan. Semoga Allah memudahkan jalan dan memberikan kita kekuatan.

Ameen.

Muhasabah :

Bagaimana dengan persediaan kita? Mudah-mudahan semuanya sejahtera dan dalam keadaan bersemangat untuk menghadapi bulan ramadhan. Sama-samalah berdoa semoga Allah tetapkan hati kita untuk sentiasa melakukan yang terbaik untuk ramadhan kali ini. Biarlah semangat hijrah dan semangat menunaikan ibadah itu terus membuak sehingga akhir ramadhan.

Dan hari-hari yang mendatang.

Ameen.

Persediaan Ramadhan

Sekarang, kita sedang dalam bulan Syaaban.

Lagi sedikit masa, kita akan masuk Ramadhan.

Kebiasaannya, kita bila sedar bahawa kehadiran bulan Ramadhan semakin menghampir, maka secara automatiknya minda sekaligus jasad kita yang bergerak mengikut minda mula memikirkan segala persediaan yang perlu untuk menyambut (atau lebih sesuainya menghadapi) bulan tersebut. Kalau betullah apa yang aku katakan, alhamdulillah.

Pertama, latihan perut.

Aku yakin ramai antara kita sekarang, sedang melatih perut.

Bila sudah dekat bulan puasa ni, tahap kerajinan untuk puasa sunat hari isnin dan khamis mula meningkat, melatih perut supaya tidak mengalami kejutan budaya apabila bermulanya puasa wajib kelak. Latihan perut ini, sangat perlu terutamanya kepada kita-kita yang mudah mengalami gastrik apabila tidak makan dan minum dalam satu jangka masa yang panjang.

Kedua, mungkin kita sedang merapatkan diri dengan al-Quran.

Kita membuat perancangan, mengira bilangan mukasurat yang akan dibaca setiap hari dan mungkin sedang berlatih untuk melihat sejauh mana maksimumnya stamina kita membaca al-Quran pada satu-satu masa. Targetnya, supaya berhasil mengkhatam sekali atau dua kali ataupun lebih al-Quran pada bulan tersebut.

Seterusnya, mungkin kita sedang berlatih memperbanyakkan zikir kita, supaya kelak apabila ada sahaja masa yang terluang dalam bulan puasa, kita boleh isikan dengan zikrullah. Latihan solat-solat sunat, latihan menginfakkan harta ke tabung masjid, dan banyak lagi.

Namun, dalam kita melatih diri kita supaya terbiasa dengan amalan-amalan tersebut pada bulan ramadhan kelak, kadangkala kita terlepas pandang beberapa amalan yang juga perlu untuk kita biasakan diri.

Pertama, latihan mulut.

Mulut kita ini kawan-kawan, termasuk diri aku sendiri (astaghfirullah), banyak sangat buat dosa. Bila nampak kenalan kita sedang duduk sembang, entah apa topik yang sedang dibualkan, kita pun turut ikut sama. Dan ketika itu, tidak cukup kita mengikuti perkembangan bicara mereka, kita malah membuka topik baru untuk dibualkan.

Tidak cukup dengan kehangatan topik yang kita buka, kita panaskan pula suasana sembang pada ketika itu dengan menceritakan perihal orang lain, membuka aib-aib yang sepatutnya tidak dicerita dan diperkatakan.

Kita memakan daging saudara kita sendiri, kawan-kawan.

Maka pada ketika kita sedang menunggu hadirnya bulan ramadhan yang mulia, dalam bulan syaaban ini, mari kita latih mulut kita. Nanti bila dah masuk bulan ramadhan, kita asah lagi latihan kita, dan dengan izin Allah jua, tidaklah kita terlepas kata sepanjang bulan tersebut dan juga pada hari-hari yang mendatang.

InsyaAllah.

Seterusnya, latihan menutup aurat.

Baik lelaki dan perempuan, kita latih diri kita supaya sentiasa menutup aurat, dalam apa-apa keadaan sekalipun. Kemudian, kita asah lagi sikap itu sepanjang bulan ramadhan kelak, dan insyaAllah dengan izin Allah jua, dengan keberkatan dalam bulan penuh barakah itu, kita mampu kekalkan sehingga masa ajal datang menjemput.

Lagi, latihan pergaulan.

Kalau sebelum ini, kadar kerapatan kita tersangat tinggi, terutama sekali antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, apa kata kita berlatih untuk kurangkan kadar tersebut sebelum kehadiran bulan ramadhan kelak.

Bukankah kerapatan yang tinggi bagi pasangan ajnabi itu boleh menyebabkan zina hati? Dan apakah kita mahu masa ibadah kita sepanjang bulan ramadhan kelak banyaknya dipenuhi dengan zina hati? Naudzubillahi min dzalik.

Dan banyak lagi persiapan yang boleh kita lakukan sebenarnya.

Sama-samalah kita beringat.

Akhiru kalam, kita percaya bahawa setiap amalan kebaikan yang dilakukan sepanjang bulan ramadhan itu, pahalanya akan Allah gandakan dengan gandaan yang banyak, bukan? Jadi bagaimana pula halnya dengan kejahatan? Tidak mustahil bagi Allah untuk melipatgandakan juga dosa kejahatan itu, bukan?

Jadi untuk ramadhan kali ini, marilah usahakan yang terbaik. Perbanyakkanlah amalan kebaikan dengan mengharapkan keredhaan Allah, dan jauhkanlah perkara yang lagha. Sesungguhnya Allah mengira setiap sesuatu yang kita lakukan, hatta yang zahir mahupun tersembunyi.

Semoga Allah terima amal ibadah kita.

Ameen.

61 : 2 - 3

Bismillah.

Bila mentadabbur surah as-Saff, rasa seperti ditembak dengan jarum yang sangat tajam. suatu ketika, kita menasihati sahabat kita supaya sentiasa bersangka baik dengan Allah dalam apa-apa perkara, baik susah atau senang, baik kita diuji dengan masalah mahupun nikmat.

Allah berfirman :

"Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?"

"Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan,"

(Surah as-Saff ayat 2 dan 3)

Minggu yang lepas, baru diuji dengan ujian yang sedikit.

Sesuatu yang sangat-sangat diinginkan, namun atas aturan Allah jua, yang sangat-sangat diinginkan tidak berdaya diperoleh. Senang sahaja untuk kita memberitahu supaya bersabar dan bersangka baiklah dengan apa-apa yang telah Allah aturkan, kerana sesungguhnya itulah yang terbaik untuk kita.

Namun, apabila terkena dengan batang hidung sendiri, ya Allah, sungguh aku malu. Sesungguhnya belum cukup kuat, malah sangat-sangat lemah sangka baik aku pada-Mu. Sungguh aku malu, kerana aku melanggar perintahmu, untuk mengerjakan apa yang telah diperkatakan.

Syukur ada sahabat disisi yang tolong ingat dan menyedarkan.

Syukur alhamdulillah.

"Ya Allah, dosaku menggunung, ampunkanlah ya Allah, baik yang disengajakan mahupun tidak. Jauhkanlah aku dari bersangka buruk kepada-Mu dan hamba-hamba-Mu. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui akan segala sesuatu, dan Engkau juga yang mengetahui akan apa yang terbaik buatku,"

Ameen ya Rabb.

Yang Sukar Dilihat

Alhamdulillahi Rabbil Alamin.

Hujung minggu yang lepas, baru sahaja selesai dengan sebuah program tarbiyyah, iaitu iLuvIslam Goes To Borneo 2. Semuanya atas izin Allah, segala perancangan berjalan dengan lancar dan berakhir dengan nikmat.

Syukur setinggi-tinggi syukur, Allah berikan peluang kepada aku untuk bersama-sama di dalam satu barisan tenaga yang mengendalikan program. Bersama di dalam satu kumpulan yang terdiri dalam kalangan protaz dan protazah yang hebat, aku terasa seperti terpalit dengan kata-kata, berlumba-lumbalah kamu dalam perkara kebaikan. Dan sungguh, betapa luasnya ilmu Allah, aku dapat merasakan bahawa aku lebih banyak belajar daripada mengajar sepanjang program.

Syukur alhamdulillah.

Atas segalanya, semoga segala tenaga yang dicurahkan dan ilmu-ilmu yang dikongsikan dinilai oleh Allah sebagai ibadah yang ikhlas dan benar. Dan untuk sama-sama mengoreksi diri, Rasulullah pernah bersabda di dalam sebuah hadis, perihal dustanya amalan ahli ibadah bila dihadapkan dihadapan Allah di hari akhirat kelak.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda :

Sesungguhnya, di antara manusia yang mula-mula dibicarakan dan dihukum pada hari kiamat adalah, pertama, orang yang gugur syahid. Dia dibawa menghadap, maka Allah menyatakan kepadanya satu-persatu nikmat-Nya, lalu dia pun mengakui menerimanya. Allah bertanya kepadanya, "Maka apa yang engkau telah lakukan pada nikmat-nikmat itu?"

Dia menjawab, "Aku berperang kerana mematuhi perintah-Mu, sehingga aku gugur syahid,"

Allah berfirman, "Engkau berdusta. Akan tetapi, engkau berperang supaya orang mengatakan engkau berani, dan telahpun dikatakan sedemikian," Kemudian dia dihukum lalu diseret dengan tertiarap sehingga dihumbankan ke dalam neraka.

Kedua, orang yang belajar ilmu dan mengajarkannya serta membaca al-Quran . Dia dibawa menghadap, maka Allah menyatakan kepadanya nikmat-nikmat-Nya satu persatu, lalu dia mengakui menerimanya. Allah bertanya, "Maka apa yang telah engkau lakukan pada nikmat-nikmat itu?"

Dia menjawab, "Aku belajar ilmu dan mengajarkannya serta membaca al-Quran kerana mengharap keredhaan-Mu,"

Allah berfirman, "Engkau berdusta. Akan tetapi engkau mempelajari ilmu supaya orang mengatakan engkau alim, dan engkau membaca al-Quran supaya orang mengatakan engkau seorang qari, dan telahpun dikatakan sedemikian," Kemudian dia dihukum lalu diseret dengan tertiarap sehingga dihumbankan ke dalam neraka.

Ketiga, orang yang telah dimewahkan oleh Allah hidupnya serta diberi-Nya sebahagian dari segala jenis harta benda kekayaan. Dia dibawa menghadap, maka Allah menyatakan kepadanya nikmat-nikmat-Nya satu-persatu, lalu dia mengakui menerimanya. Allah bertanya, "Maka apa yang engkau telah lakukan pada nikmat-nikmat itu?"

Dia menjawab, "Aku tidak tinggalkan satu pun jalan yang Engkau suka dibelanjakan kekayaan padanya melainkan aku belanjakan padanya, kerana mengharapkan rahmat-Mu,"

Allah berfirman, "Engkau berdusta. Akan tetapi engkau belanjakan harta kekayaanmu supaya orang mengatakan engkau seorang dermawan, dan telahpun dikatakan sedemikian," Kemudian dia dihukum lalu diseret dengan tertiarap sehingga akhirnya dihumbankan ke dalam neraka.

(Hadis Riwayat Muslim)

Maka soalnya di sini tiada lain, adalah niat.

Selalu terfikir, dalam kita banyak beraktiviti dan berprogram, seringkali kita (terutamanya diriku sendiri) lupa akan perkara asas dan utama ini, iaitu niat, yang merupakan tunjang dan timbangan penentu kepada sahihnya sesebuah amal.

Sungguh, itulah perkara yang sangat sulit untuk kita luruskan, kerana hati ini sangat mudah untuk terbolak-balik. Bagaimana pula untuk mengetahui ikhlas? Wallahu'alam. Namun, sukarnya untuk kita melihat sebuah keikhlasan itu, sehingga diibaratkan seperti seekor semut hitam, di atas batu yang hitam, pada malam yang gelap gelita. Sukar, namun kita sedar, betapa perlunya kelurusan niat dan keihlasan dalam beramal.

Akhiru kalam, sekadar berpesan-pesan, marilah bersama kita sentiasa memanjatkan doa pengharapan kepada Allah, agar diterima amalan kita sebagai ibadah yang ikhlas dan benar. Mari berlumba-lumba kepada kebaikan, dan sentiasalah menanam rasa takut akan tidak diterima amal perbuatan yang kita kerjakan.

Luruskanlah niat.

Dan, selamat beramal!

Mutiara Isra' Mikraj

Bismillah.

Firman Allah :

"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari al-Masjidil Haram ke al-Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui,"

(Surah al-Isra' ayat pertama)

Maka hadirlah saat memperingati peristiwa bersejarah ini.

Dari seorang guru, usrah-usrah, hatta masjid-masjid dan surau-surau, semuanya ketika ini sedang sibuk memperingatkan sekalian umat, tentang mutiara ibrah dari peristiwa isra' mikraj, yakni perjalanan luar biasa dan pertemuan agung seorang kekasih dengan Kekasihnya.

Aku agak, ramai kita sudah sedia maklum akan ibrah dan mutiara yang bernilai terkandung dalam peristiwa isra' mikraj. Tiada satu pun perkara yang mustahil bagi Allah, yang sesungguhnya Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Kun fayakun, maka dia memperjalankan Rasulullah.

Kemudian Rasulullah dipertontonkan sepanjang perjalanan bertemu Allah dengan peristiwa dan keadaan yang sangat dahsyat ditimpakan kepada umat manusia yang ingkar akan arahan-Nya, tidak lain iaitu seksaan yang diterima di dalam neraka jahannam.

Cinta Bura' seekor binatang syurga terhadap Rasulullah.

Perempuan berbongkok tiga menahan Rasulullah.

Begitu juga baginda diganggu oleh jin ifrit.

Dan banyak lagi.

Namun sahabat sekalian, aku teringin membawa kita semua untuk sama-sama menyoroti ibrah yang satu ini : Cinta Bura' terhadap Rasulullah. Dan cuba kita banding diri kita sendiri akan sejauh mana cinta kita pada Rasulullah, dan berapa kerap pula hati kita dalam kehidupan sehari-hari ini, ingat akan baginda.

Maka Jibril pun pergi ke syurga.

Jibril melihat di dalam syurga terdapat sekumpulan haiwan yang kecil sedikit dari kuda dan besar sedikit dari keldai, bersama-sama di dalam satu kawanan. Namun, di antara ramai-ramai itu, seekor mengasingkan diri dan duduk berseorangan.

"Mengapa engkau berseorangan wahai Bura'?" Tanya Jibril.

"Aku sangat rindu dengan Muhammad," Jawab Bura'.

Maka Bura' yang tersangat merindui Rasulullah, yang sepanjang hayatnya tidak pernah melihat kujur tubuh baginda dan sekadar mendengar sahaja nama baginda yang sentiasa disebut-sebut di langit sana, diberi keistimewaan untuk bertemu Muhammad di dunia, dipilih sebagai kenderaan untuk membawa baginda bertemu Allah.

Ringkaskan cerita, sampai di dunia, Bura' menanti kehadiran Muhammad. Dan ketika Rasulullah ingin menaiki tunggangan itu, Bura' tidak membenarkan. Sehingga diberitahu bahawa Muhammadlah yang ingin menunggangi Bura', barulah haiwan syurga itu membenarkan.

Itu kisah cintanya Bura' dengan Muhammad.

Dan bagaimana pula kita?

Yang mengaku terang-terangan sebagai umat baginda Rasulullah ini, sejauh mana cinta dan kasih kita pada Rasulullah. Jadi, ni cerita sekadar ingin menyampaikan kepada kalian sahabat, untuk sama-sama kita tingkatkan rasa kasih kita pada baginda. Bagaimana? Tidak lain, iaitu dengan memperbanyakkan amalan sunnah yang baginda ajarkan.

Dan janganlah pula rasa cinta kita pada baginda berlaku secara bermusim. Mula-mula pada peristiwa sempena maal hijrah, kemudian isra' mikraj, kita ingat pada baginda, dan amalan sunnah pun turut bertimbun. Kemudian apabila cerita sudah senyap dibawa masa, yang sunnahnya pula sepatah haram tak nampak.

Apakah begitu tanda cinta kita sebagai umat baginda?

Akhiru kalam.

Selamat menghayati isra' mikraj selamanya di dalam hati kita.

Dan selamat menyemai benih cinta pada Rasulullah.

"Ummati, ummati, ummati,"

Dekad Kedua Kehidupan

Bismillah.

Assalamualaikum semua.

Pertama dan selama-lamanya, syukur pada Allah. Masuk hari ini, aku sudahpun termaktub dalam perlembagaan tanah melayu sebagai seorang remaja berumur 20 tahun, dan satu hari. Beberapa hari sebelumnya, bila duduk usrah dan mula bab ta'aruf, aku ambil masa cukup lama hanya untuk memberitahu umur sahaja. 19 tahun, 11 bulan dan 20+ hari.

Namun pejam celik, semalam, tepatlah dua dekad siri episod kehidupan aku.

Pada kesempatan ini, nak ucap terima kasih banyak-banyak kepada yang menyampaikan doa selamat, yang diketahui mahupun tersembunyi. Apa yang aku harapkan, semoga Allah berikan imbalan keselamatan dan kesejahteraan yang sama ke atas kalian, dunia dan akhirat. Ameen ya Rabbal alamin.

Atas segalanya, aku sangat berharap, semoga redha Allah mengiringi umur aku sepanjang dua dekad yang sudah lepas, dan hari-hari yang bakal mendatang. Semoga dikira setiap langkah dan perbuatan yang lalu sebagai ibadah yang ikhlas dan ada nilai disisi-Nya. Ameen.

Maka, selamat hari lahir wahai peminjam jasad.

Selamat meningkatkan amal.

Selamat mengoreksi iman, Islam, ihsan dan juga keikhlasan dalam beramal. Pandulah hamba-Mu ya Allah, pada jalan yang lurus. Kekuatan dari-Mu aku harapkan pada setiap nadi dan jasad untuk terus berjuang. Dan tiadalah yang lebih aku harapkan, melainkan redha-Mu sepanjang langkahanku.

Radhitu billahi Rabba.

Wa bil Islami dina.

Wa bi Muhammadin Nabiyya warasula.

Alhamdulillah.

Ingatlah Dia Sepanjang Waktu

Sedikit tulisan, untuk pedoman.

Mutiara ibrah yang aku kutip pada PMGS yang lepas.

"Sebelum memulakan perkongsian, ustaz meminta kita semua untuk menyanyikan sebuah lagu yang boleh membangkitkan semangat beliau untuk berceramah. Diminta semua untuk menyanyi dengan semangat," Ujar saudara pengerusi majlis.

Maka semua peserta dan para fasilitator bergabung suara menyanyi bersama-sama sebuah lagu tema untuk program tersebut, iaitu sebuah lagu nyanyian Faizal Tahir yang bertajuk Gemuruh. Kami semua menyanyi dengan penuh gemuruh di jiwa.

Nyanyian dan suara kami memang kuat, padu.

Menyahut cabaran meniup semangat kepada penceramah.

Akhirnya, pengerusi mengucapkan terima kasih kepada semua atas semangat yang ditunjukkan ketika menyanyi tadi. Ustaz penceramah hanya tersenyum. Lalu kemudian mikrofon diserahkan kepada penceramah untuk memulakan sesi ceramahnya.

Bermula dengan ucapan salam, ustaz kemudiannya mengucapkan setinggi-tinggi rasa syukur atas nikmat pertemuan ini, dan kemudiannya melafazkan selawat keatas rasulullah, keluarga dan sahabat baginda.

Kemudian, beliau mula menyoal.

"Siapa antara kamu di sini, yang ketika menyanyikan lagu gemuruh dengan penuh bersemangat tadi, dia ingat akan Allah?" Soal ustaz kepada setiap kami yang mendengar.

"Sila angkat tangan," Kami disuruh membuat pengakuan.

Lantas, para peserta dan fasilitator saling pandang-memandang antara satu sama lain, ada riak senyum, takut dan menyesal. Lalu, lantaran terasa begitu berat untuk mengangkat tangan, hampir semua kami yang mendengar menundukkan kepala masing-masing, sebagai jawapan balas untuk menafikan soalan ustaz.

Kesimpulannya, kita mudah leka.

Mudah sangat-sangat.

Sebut sahaja tentang hiburan, diajak berhibur, berseronok dan sebagainya, sudah cukup untuk melekakan kita dari mengingati Allah. Jadi tanya diri kita, apakah perlakuan kita sehari-hari serupa bikin dengan janji yang telah kita lafazkan dalam iftitah?

Wallahu'alam.

Muhasabah bersama :

Di mana Allah dihati kita?

Dalam kita terlalu sibuk memikirkan seberapa banyak tugasan belajar, kerja dan program yang bertimbun dan perlu kita siap dan segerakan, di mana pula kesibukan kita untuk mengingati Allah, tanggungjawab wajib dan sunat yang perlu kita siap dan segerakan, soal redhanya Allah dengan setiap tingkah kita, hatta kematian yang bakal dijemput?

Tanpa sedar, begitu mudahnya kita melupakan Allah.

Sedangkan, setiap saat Allah ingat akan kita.

Allahumma ahyina bil iman.

Wa amitna bil iman.

Sekitar PMGS 2011

Alhamdulillah.

Pada 22 hingga 24 april yang lepas, program Perkampungan Menara Gading Sarawak 2011 (PMGS 2011) bahagian Miri berjaya dilaksanakan. Tiada lafaz yang lebih layak dilafazkan melainkan setinggi-tinggi puji dan syukur kehadrat Allah, kerana dengan izin dan rahmat-Nya jugalah perjalanan program ini berjalan dengan lancar.

Bermedankan Kolej Tun Datu Tuanku Haji bujang, surau al-Hidayah yang kini sepi dan suram daripada apa-apa aktiviti lantaran kehadiran sebuah surau baru yang lebih gah, seolah-olah seperti kembali terang dan dihidupkan semula dengan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan seperti latihan dalam kumpulan dan sebagainya.

Seramai empat puluh dua orang peserta telah mendaftarkan diri untuk program ini. Aku tertarik untuk berkongsi bersama kalian tentang nisbah peserta ikhwan berbanding peserta akhawat pada program ini, iaitu 1 : 5. Seolah telah disusun, bilangannya memang tepat, iaitu tujuh ikhwan dan tiga puluh lima akhawat.

Syukur, Allah turunkan sesuatu seperti itu, supaya kami sentiasa muhasabah.

Dibawah adalah sedikit gambar sekitar program.













Akhir kata, jutaan terima kasih dan juga tahniah kepada para penganjur, sahabat dan sahabiah fasilitator dan ahli jawatankuasa, para penceramah jemputan dan sesiapa sahaja yang terlibat menjayakan program ini samada secara langsung mahupun tidak.

Sesungguhnya, tiada apa yang kita harapkan melalui program ini, melainkan redha Allah semata-mata. Semoga kami, dan adik-adik yang disisipkan dengan tarbiah sepanjang berkampung di sana, sentiasa dalam peliharaan Allah apabila melangkahkan kaki ke menara gading kelak, dan sentiasa berjalan di landasan yang benar sehingga dicabutkan roh dari jasad.

Sekian, sama-sama untuk kita ingatkan :

"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara ; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk,"

(Surah Ali Imran ayat 103)

"Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih?"

"(iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui,"

"Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai ; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam jannah 'Adn. Itulah keberuntungan yang besar,"

(Surah as-Saff ayat 10, 11 dan 12)

Wallahu'alam.

Selamat Bertanding Secara Sihat

Alhamdulillah.

Urusan program Perkampungan Menara Gading 2011 boleh aku katakan siap dalam enam puluh peratus. Sekarang, sebagai yang bertanggungjawab mengurus soal promosi dan pendaftaran peserta, aku hanya perlu menunggu feedback dari pihak sekolah akan senarai nama peserta yang akan turut serta. Mudah-mudahan, segalanya Allah permudahkan urusan sepanjang sebelum, semasa dan selepas program kelak.

Lama betul aku tak tulis sesuatu kat sini ya?

Taknak mukaddimah panjang. Jom, aku kongsi sebuah kisah benar.

Pada suatu maghrib-isyak yang hening, aku sedang layan perlawanan bola sepak antara dua pasukan entah-aku-tak-berapa-nak-ingat. Sedang nafsu aku penuh perasaan pada melayan perlawanan tersebut, ayah aku mengajak keluar.

"Ke siney abah?" Aku soal.

"Kawan abah ngajak ke majlis makan malam. Area epot sia," Ayahku balas.

"Sikmok lah abah, mok rilek rumah jak," Aku menolak.

"Hm, yalah kitakurang, sikda kerja lain nak dipolah. Nangga tv jak kerja," Kata ayah aku, ada nada sinis disitu. Telinga aku pun sedikit nyilu.

Lalu, entah kenapa, hati aku terasa lembut untuk ikut serta. Terus terang aku katakan, bahawa aku bukanlah jenis yang kuat keluar untuk tujuan majlis-majlis sebegini. Tambahan pula, ayah aku mengatakan bahawa majlis itu dihadiri oleh orang-orang besar. Biasanya kalau diajak, kaki aku mudah mengeras, menolak untuk pergi. Namun, sebaliknya berlaku pada hari tersebut.

Dalam lebih kurang lima belas minit, kami pun sampai di tempat parkir.

Keluar sahaja dari kereta, aku mula perasan hairan.

Mengapa majlis yang dihadiri oleh orang-orang besar menurut ayahku tadi ini, diadakan di kawasan yang jauh dari pandangan umum, dan perjalanan kaki tiga ratus meter ke tempat majlis, penuh dikelilingi oleh lalang-lalang?

Sampai di tempat majlis, aku melihat ramai orang sedang makan minum. Yang duduk di sebelah hadapan, aku agak pasti orang besar yang ayahku katakan tadi. Di sudut yang lain, aku lihat ramai pekerja yang sedang sibuk mengurus makanan dan minuman untuk disajikan kepada para hadirin. Dan yang paling jelas, ada seorang deejay yang mengepalai mikrofon sebelum diserah kepada orang yang seterusnya. Hebat lenggok katanya.

Lalu kami yang datang lambat pun makan.

Sesudah makan minum, kami duduk di satu sudut sambil bersembang.

Tidak lama kemudian, deejay yang mengepalai mikrofon tadi memulakan lenggok bicara. Dengan ucapan selamat datang, selamat menjamu selera dan sebagainya, dia kemudian mempersilakan seorang orang besar untuk menyampaikan ucapan.

Aku pun pasang telinga untuk khusyuk mendengar.

Lalu apabila mendengar ucapan salam pertama dan isi ucapannya kepada para hadirin, aku seperti sudah mengagak. Ternyata, bahawa aku sekarang sedang berada di dalam satu majlis makan malam dan barbeque untuk sebuah jemaah, atau senang aku katakan sebagai parti, antara pemimpin (orang-orang besar yang hadir) dan juga ahli penyokong dan pengikutnya.

Sesudah orang besar ini berucap, tiba giliran orang besar yang seterusnya. Yang tadi lelaki, kali ini pula seorang wanita, merupakan salah seorang pemimpin wanita jemaah mereka, namun di kawasan yang berbeza. Ucapan demi ucapan diteruskan, sehingga mikrofon kembali kepada deejay.

Oh, aku perasan lupa barangkali.

Bahawa sekarang negeri tanah kelahiranku sedang dalam musim pilihanraya.

Dan aku, yang awalnya menganggap majlis malam itu hanyalah majlis makan malam biasa, secara tidak langsung turut disembur dengan kata pembakar semangat, juga cemuhan demi cemuhan kepada kumpulan jemaah yang lain, supaya kami yang hadir malam itu mengundi mereka.

Kuat semacam sorakan dari para hadirin.

Aku tenang, namun dalam hati, aku ketawa serta geram.

Ketawa kerana aku tak cukup umur lagi untuk mengundi.

Yang geramnya, mengapa perlu mencemuh dan memburukkan jemaah lain untuk meraih undian? Itu yang tidak kena semacam. Ha, dan yang aku tiba-tiba naik geram bab memburukkan jemaah lain tu aku tak tahu. Aku tak berdaftar lagi, jadi aku tidak berpihak kepada sesiapa. Cumanya, aku tak suka dengan sikap memburuk-burukkan itu.

"Abah, ju balit? panas telinga mek dah," Aku bertanya.

"Ok, jum. Iboh lupak aek mineral ya," Ayah mengiyakan, pantas.

Akhirnya, tamatlah kisah majlis aku malam itu.

Maaf, dialog dalam bahasa Sarawak.

Sekian, ucapan aku untuk parti yang bertanding, selamat bertanding secara sihat. Dan kepada para pengundi yang berdaftar, selamat mengundi pada tarikh yang akan datang. Mengundilah, kerana tangan anda yang mengundi, akan menentukan masa depan anda sendiri. Aku tak boleh lagi, kerana aku masih jagung yang mentah.

Wallahua'lam.

Fikir Dengan Logik

"Salam, apa maksud taakulan?" Mesej memasuki ruang inboxku.

Lalu aku yang tahu serba sedikit bahasa arab pun terus berfikir dengan logik. Akal fikiran aku mengatakan taakulan itu ada kaitan dengan akal (atau fikiran). Namun aku sangsi, lalu aku buka kamus dewan bahasa dan aku temui perkataan taakulan dengan maksud membuat pertimbangan atau penilaian dengan akal atau logik.

Baiknya aku sehingga sanggup menolong mencari maksud ayat tersebut, sedangkan dalam hemat pemikiran aku, orang tersebut tentu ada kamus beliau yang tersendiri di rumah atau tempat kerja atau asrama.

Aku fikir lagi, beliau ini terdesak barangkali.

Maka aku membalas mesej tersebut dengan maksud serupa seperti di atas, namun tentunya tidak sepanjang lebar itu apabila berkomunikasi dengan telefon bimbit. Seperti kalian juga, aku menggunakan bahasa singkat. Dan bahasa singkat yang digunakan pula aku sudah sedaya upaya susun (tidak terlalu singkat) untuk membuatkan beliau senang tangkap.

Tamat cerita.

Beliau faham maksud taakulan, dan aku gembira menolong.

Cerita pasal mesej pesanan ringkas atau SMS (Short Message Service) ini, aku ingat lagi ketika aku masih seorang budak kecil. Sehingga sekarang, aku masih tidak tahu, entah betul atau tidak khabar yang aku dengar tentang ucapan salam melalui mesej pesanan ringkas itu. Rasanya, kalian pun tahu kan?

Yang awal-awal sekali aku dengar adalah perkataan 'akum' yang dikhabarkan bermaksud gelaran bagi orang yahudi kepada orang-orang bukan yahudi yang dikhabarkan bermaksud binatang dalam bahasa ibrani. Siap bagi ayat penuh 'akum' lagi, lebih kurang 'avde kokhavim u mazzalot' yang juga dikhabarkan bermaksud hamba-hamba binatang dan orang-orang sesat. Ada lagi, perkataan 'samekom' yang dikhabarkan bermaksud (tak elok aku tulis di sini).

Maka, aku yang menggunakan perkataan 'akum' untuk bermesej ketika itu terpinga-pinga (rasa bersalah pun ada seperti menyebut seseorang sebagai binatang) memikirkan apa yang perlu digunakan. Kalau nak tekan penuh assalamu'alaikum, leceh pulak. Maka, aku datang dengan idea untuk terus tidak memulakan mesej dengan salam, sebaliknya terus kepada nama seseorang itu.

"Wan, apa khabar Hong Kong?" Sebagai contoh.

"Akhi, free tak? Jom pergi Sembang-Sembang Kafe?" Pun contoh.

Itu awal-awal dahulu.

Kemudian, aku diperkenalkan dengan penggunaan perkataan 'salam' sebagai ucapan salam kita kepada penerima mesej. Lalu selama beberapa tahun kemudiannya, aku terus menggunakan perkataan salam sebagai permulaan mesej pesanan ringkas kepada keluarga, saudara dan teman-teman yang satu akidah dengan aku.

Perkataan yang ringkas dan aku pun faham. Apabila orang menghantar mesej dengan perkataan 'salam', maka aku tahu yang niat mereka adalah secara tidak langsung mengucapkan assalamu'alaikum kepada aku. Dan apabila aku membalas dengan perkataan 'wasalam' kembali kepada mereka, maka mereka pun faham bahawa niat aku adalah secara tidak langsung mengucapkan wa'alaikumussalam kepada mereka.

Aku rasa ini logik, dan memang masuk akal. Aku percaya, walaupun umat Islam hari ini punya masalah sendiri dengan akhlak, aurat, pergaulan dan sebagainya, namun sampai bab menyampaikan salam, tidak mungkin kita berniat menyampaikan ucapan salam yang buruk kepada orang lain. Betul bukan? (angguk-angguk)

Tambahan pula, nama pun Short Message Service.

Kita tulis seringkas yang kita mahu, yang penting maksud kita baik.

Sehinggalah pada suatu ketika, aku terima mesej dalam mukabuku, juga perihal ucapan salam dalam mesej pesanan ringkas. Apa lagi, aku mula excited. Timbul lagi isu ini setelah sekian abad diam terkubur.

Kali ini lagi seronok. Entah siapa penulis asal mesej tersebut (yang sekarang ini sudah banyak disebarkan), beliau menegah atau melarang penggunaan perkataan 'salam', sebaliknya menggunakan perkataan as-Salam. Siap bagi dalil dari al-Quran lagi yang tentunya bermaksud ingin menguatkan hujah penegahan dan perlarangan penggunaan perkataan 'salam' tadi.

Oh, ramai dah bincang soal salam ni, jadi aku malas nak ulas.

Rajin-rajin, boleh baca di sini (recommended)

Nota Kaki :

Aku lebih cenderung untuk menggunakan ucapan penuh assalamu'alaikum apabila bersua muka dan menggunakan 'salam' apabila bermesej (ringkas lagi dari as-Salam dan orang faham yang maksud kita sama untuk kedua-duanya).

Aku kira ada baiknya kita sumbangkan buah fikiran pada benda yang sesetengah orang anggap remeh ni, yang hakikatnya boleh selesai hanya dengan logik akal dan fikiran. Kerana melalui penelitian benda-benda remeh inilah kita secara tidak langsung membina penelitian kepada benda-benda besar (contohnya, membina negara Islam). Cumanya, biarlah berpada. Sebelum nak sebar sesuatu artikel tu, silalah telitikan dahulu ya? Terima kasih.

Tabik springg kepada seorang sahabatku, yang ada membuat satu kertas kerja untuk membincangkan dengan lebih mendalam tentang soal salam ini, dan untuk memahamkan masyarakat di tempat beliau (siap meminta aku untuk berbincang dengan rakan-rakan non-muslim yang faham bahasa ibrani lagi untuk mendapat kesahihan).

Semoga tulisan ini membantu serba sedikit.

Sekian.

Wallahu'alam.

Nikmat Dan Musibah

Ah, kehilangan momentum menulis seminggu dua ini menyebabkan aku sedikit kaku untuk menekan butang create new post dan papan kekunci. Aku agak, seperti biasa aku akan mulakan proses penghapus-kakuan ini dengan read and paste (bukan copy and paste) beberapa petikan kisah dan cerita hasil dari beberapa sumber bacaan.

Terimalah, antara nikmat dan musibah.

Seorang pemuda menjaga kambing-kambing peliharaannya dengan menunggang seekor kuda. Kemana-mana dia pergi untuk memastikan keadaan kambing peliharaannya dalam keadaan yang baik, dia akan bergerak dengan kudanya. Suatu hari, kuda kesayangannya hilang dari kandang. Puas pemuda itu mencari namun tidak dijumpa.

"Ayah, kuda kesayangan saya hilang," Adunya kepada si ayah.

"Tidak mengapa, pasti ada hikmahnya," Jawab ayahnya tenang.

"Apalah hikmahnya," Bisik hati pemuda.

Selang beberapa hari, tanpa disangka-sangka kuda kesayangannya itu pulang tanpa ada cacat cela sedikitpun. Sihat, dan bukan itu sahaja, banyak kuda-kuda liar yang lain bersama-sama kuda tersebut pulang ke tempat asalnya.

"Ayah, kita sungguh bernasib baik. Sekarang kita sudah ada beberapa ekor kuda. Kuda kita bertambah," Pemuda tersebut bersuara gembira.

Si ayah tenang seperti biasa.

"Belum tentu kita bernasib baik anakku. Apa yang pasti, semua ini insyaAllah pasti ada hikmahnya," Kata ayahnya tenang.

Si pemuda terus tertanya-tanya.

Setiap hari pemuda tersebut asyik dengan kuda-kuda barunya. Kesemuanya sedang diusahakan untuk dijinakkan. Ketika sedang melatih salah seekor daripada kudanya, pemuda tersebut terjatuh lalu terpatah kakinya.

"Malang sungguh nasib saya ayah. Apalah gunanya kuda yang banyak dengan keadaan kaki saya yang patah seperti sekarang," Rungut pemuda tersebut.

Ayah tetap seperti biasa.

"Tidak mengapa anakku. Janganlah bersedih. Apa yang menimpa dirimu insyaAllah pasti ada hikmah," Jawabnya.

"Apa hikmahnya ayah? Sekarang saya tidak boleh berjalan lagi. Kuda-kuda kita akan terbiar tanpa penjagaan dan tidak diberi makan," Balas anaknya.

Beberapa hari kemudian, kampung mereka diserang oleh sekumpulan penjahat. Selain merompak harta benda penduduk, mereka turut menangkap semua lelaki muda untuk dilatih sebagai ahli kumpulan mereka. Semua lelaki muda di kampung tersebut ditangkap, kecuali seorang.

Pemuda tadi, dia tidak ditangkap kerana tiada upaya berjalan.

"Ayah, sekarang saya sedar, apa yang tersirat di sebalik kata-kata ayah. Semua yang berlaku memang ada hikmahnya," Bisik pemuda tersebut.

Ibrah dari kisah ini, adalah perihal peri penting husnuzon (bersangka baik) dalam kehidupan kita. Lumrahnya, andai musibah datang menimpa kita, kita mula bersangka buruk, dan sebaliknya. Sedangkan, dalam al-Quran ada tercatat :

Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

(Surah al-Baqarah ayat 216)

Jadi, bersangka baiklah selalu.

Nota kaki :

Alhamdulillah, cuti teramat panjang yang dikhabarkan sehingga bulan sembilan kelak dapat aku isi dan manfaatkan untuk mengajar budak-budak kecil (taknak sebut anak-anak, sebab aku dengan mereka pun bertaraf abang).

Diterima sebagai guru KAFA (Kelas Asas Fardhu Ain) di Sekolah Kebangsaan Pujut Corner mungkin peluang untuk aku belajar bagaimana untuk memberi. Bukan hanya kepada budak-budak, tetapi juga kepada sekolah dan masyarakat.

Result sudah keluar. Tidaklah cemerlang dan tidaklah tidak. Cuma sederhana. Apa-apapun, perjalanan (sungguh) masih panjang, dan mudah-mudahan setiap langkahan ini senantiasa diiringi dengan redha dan maghfirah-Nya. Ameen.

Upcoming event, Introduction To Usrah (Kolej).

Sekian.

Wallahu'alam.

Merinduimu Rasulullah

Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam.

Setiap kali apabila kita membuka lembaran sejarah, menyoroti setiap langkahan kehidupan baginda, kita sedia faham akan segala dugaan yang baginda tempuhi untuk meyebarkan kalimah tauhid, menyebarkan Islam di seluruh alam.

Betapa dugaan berupa tentangan, baik dari mulut yang memaki hamun, batu-batuan yang dilontar, malahan juga tawaran berupa pangkat dan wanita, semuanya dibiarkan berlalu bagaikan angin. Kesabaran dan gantung harap kepada Allah menjadi benteng kuat baginda. Semua tawaran dinafikan dan diketepikan, semata-mata untuk menyampaikan kalimah Allah di bumi.

Berbicara tentang Rasulullah.

Cukup banyak sudut dalam diri baginda yang dapat kita jadikan sebagai contoh ikutan dan teladan. Baik sebagai seorang anak, seorang sahabat kepada temannya, seorang ayah kepada anak-anaknya, seorang saudara kepada saudara lainnya, malahan juga sebagai seorang pemimpin dan ketua kepada rakyatnya.

Kerana jerih payah baginda dan sahabat menyampaikan Islam dengan berbekalkan ketaqwaan kepada Allah, kita hari ini berjalan di atas muka bumi dengan agama kebenaran, kita menerima cahaya Islam, dan kita bergerak sebagai seorang Islam.

Mengenangkan cinta dan sayang baginda kepada umatnya di saat baginda sedang bermati-matian bertarung dengan sakaratul maut, sempat lagi baginda bertanyakan kepada Jibrail perihal umatnya di akhirat kelak. Dan apabila seorang sahabat mendekatkan telinganya dengan mulut Rasulullah, terdengar baginda mengungkapkan kata ummati sebanyak tiga kali. Sehingga begitu dalam sekali cinta baginda terhadap kita.

Namun, seringkali kita leka dan lalai.

Segala pengorbanan yang baginda berikan, malah nyawa baginda sendiri yang dijadikan taruhan semata-mata untuk menegakkan Islam, seringkali tidak kita kenang dan hargai. Seringkali kita terlupa untuk menyampaikan hanya selawat dan doa kita kepada baginda. Sepertinya kita ini, apakah kita layak untuk menjadi umat baginda?

Sungguh, ucapan yang ringan dan tidak memerlukan pengorbanan yang perit seperti yang dialami oleh baginda dalam berdakwah itu pun mudah kita lupa dan lalai untuk mengucapkannya.

Ya, begitu besar pengorbanan Rasulullah.

Betapa mudah pula kita untuk melupakan baginda.

Maka selayaknya bagi jiwa-jiwa yang mengaku dirinya sebagai umat Muhammad, sama-samalah kita melaksanakan hijrah kita untuk lebih mencintai Rasulullah. Perbanyakkanlah selawat kita kepada baginda, dan perbanyakkanlah juga amalan-amalan sunnah yang baginda anjurkan. Sesungguhnya, segala kebaikan itu hadirnya daripada Allah jua.

Dan selayaknya juga bagi kita yang ingin memperbaharui rasa cinta dan keimanan kita kepada Allah dan Rasulullah khususnya, dan juga kepada kita yang ingin berubah ke arah yang lebih baik, maka jangan kita lambat-lambatkan hijrah kita.

Semoga sambutan Maulud Nabi pada kali ini benar-benar memberikan manfaat kepada kita semua khususnya dalam meningkatkan kefahaman kita terhadap agama Islam yang syumul sekaligus menanamkan rasa cinta kita kepada Allah dan Rasul-Nya.

Mari sama-sama berselawat :

"Ya Allah, Limpahkanlah selawat ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau limpahkan selawat ke atas Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Berkatilah ke atas Muhammad dan keluarga muhammad, sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung,"

Sekian.

Salam Maulidurrasul dari saya.

Wallahu'alam.

Hari Kasih Sayang?

Alhamdulillah.

Aku cukup bersyukur apabila orang kedua kuat dalam negara kita melontarkan pandangan (mungkin lebih baik disebut kenyataan) berkaitan sambutan hari valentine menurut pandangan Islam dalam saluran media buletin utama malam semalam (12 Februari 2011).

Kerana kadang-kadang (atau kebiasaannya?), kita lebih mudah menerima apa yang orang berpangkat tinggi katakan berbanding apa yang sudah lama sering diingatkan oleh para ustaz dan ustazah ketika kita di bangku sekolah dulu, berkaitan sambutan hari tersebut menurut Islam.

Baik, hari ini aku tidak berani mengulas panjang.

Maka, aku tulis sedikit sebagai peringatan.

Peringatan Pertama

Sebagai seorang yang berpegang pada kalimah tauhid, kita diseru malah diperingatkan, untuk saling kasih-mengasihi antara satu dengan yang lain. Tidak cukup dengan itu, kita diajar untuk sentiasa menanamkan benih-benih kasih dan sayang dalam diri masing-masing, yang mana pertama sekali adalah kepada Allah, kemudian kepada Rasulullah, keluarga dan kaum kerabat baginda, golongan alim, kepada ibu bapa, keluarga, saudara seakidah, sanak saudara, malah kawan-kawan.

Lihatlah betapa Islam sangat menitik beratkan soal kasih sayang sesama manusia, sehingga ada sebuah hadis Rasulullah yang menyangkut-pautkan soal kasih sayang dengan perkara pokok yang penting dalam kehidupan kita, iaitu keimanan.

Sabda Rasulullah :

“Tidak seorangpun di antara kamu yang beriman, sehingga kamu mengasihi orang lain, sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri,”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Justeru, Islam sama sekali tidak menghalang malah menyeru umatnya untuk berkasih sayang. Apatah lagi apabila mengasihi orang lain sebagaimana kita mengasihi diri kita sendiri itu adalah merupakan antara kunci untuk menggapai keimanan seperti yang telah diriwayatkan.

Pokoknya, niat dan batasan itu perlu kita jaga dan disiplinkan.

Diulangi, niat dan batasan perlu kita disiplinkan.

Peringatan Kedua

Islam sangat prihatin dan memerintahkan agar umatnya mempunyai satu identiti yang tersendiri, yang mana cukup berbeza dengan identiti umat yang lain. Oleh kerana itu, kita dapat lihat bukan sahaja dari segi penghayatan akidah, penghayatan ibadah, malah juga dari segi muamalah, akhlak dan sebagainya, kita memang berbeza berbanding mereka. Dalam erti kata lain, umat Islam tidak boleh mencampuradukkan akidah dan peribadatan agamanya dengan akidah dan peribadatan agama lain.

Firman Allah :

“Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Bagi kamu agamamu, bagi aku agamaku,"

(Surah al-Kafirun)

Begitu juga dengan penampilan peribadi umat Islam, yang tidak boleh sama dengan umat lain dalam hal-hal yang bersifat individu contohnya berpakaian dari segi penutupan aurat, makanan dan minuman dari segi halal haram, akhlak, pergaulan dari segi kebebasan dan sebagainya.

Kita tidak dapat meniru, apatah lagi untuk menyerupai.

Kerana apabila kita menirunya, seolah-olah kita telah mengenepikan hukum Islam.

Penutup

Jadi, kita sama-sama beringatlah ya?

Kepada kalian umat Islam yang sedang mabuk dan tenggelam dalam arus cinta dan kasih sayang, dan sedang menanti kehadiran tarikh keramat dan hari istimewa tanggal 14 Februari itu, aku berpesan supaya kita sama-sama mengingatkan diri kita dengan ayat-ayat Allah. Kerana bagi aku, sambutan itu hanya mendekatkan kita dengan bibit-bibit dan bintik-bintik kecil penzinaan.

Apa kata, kita sama-sama kita tanamkan rasa cinta dan sayang kita pada Rasulullah? Aku kira, menyibukkan diri untuk menghias sepanduk dan berlatih untuk perarakan maulud nabi yang akan tiba kelak lebih seronok berbanding sambutan yang satu tadi.

Nota kaki :

Aku tidak berani mengatakan ianya haram untuk disambut.

Cuma aku berani katakan, yang ianya dilarang untuk disambut oleh umat Islam.

Hal ini kerana, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ada mengeluarkan satu kenyataan media (klik sini), yang mana merujuk kepada Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia ke-71 (22 - 24 November 2005) memutuskan bahawa amalan merayakan hari tersebut tidak pernah dianjurkan dalam Islam.

Tambahan lagi, roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang dalam Islam.

Sekian, peringatan untuk hari kasih sayang.

Ingat, bagi kita, agama kita.

Wallahu'alam.

Ibrah Dari Sang Ketam

Baiklah, apa yang istimewanya dengan ketam.

Ketam, hakikatnya tidak lebih dari sekadar makhluk kerdil dari jutaan makhluk ciptaan Tuhan Yang Maha Menciptakan segala sesuatu. Sama seperti kita juga, ketam dihidupkan untuk memakmurkan bumi, yang juga ciptaan-Nya.

Kita, manusia, yang diperintahkan untuk sentiasa mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah, samalah juga seperti sang ketam, yang pada hakikat yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar kita, senantiasa bertasbih dan mengagungkan Allah, setiap masa dan ketika.

Pada sesetengah orang, ketam ini ada erti yang tersendiri dalam kamus kehidupan mereka. Bagi seorang nelayan, ketam adalah sumber makanan untuknya terus hidup. Manakala pada seseorang yang mempunyai alahan terhadap makanan laut, contohnya ketam, maka ketam adalah bencana besar yang akan menyebabkan seluruh tubuhnya terasa gatal dan pedih jika dimakan.

Banyak lagi, dan silalah kalian senaraikannya.

Cumanya, aku tertarik dengan erti ketam dalam kehidupan seorang pencinta ilmu sastera. Tanpa adanya ketam, maka tiadalah kita pada hari, saat dan ketika ini, mendengar pepatah atau istilah yang biasa kita dengar, iaitu umpama ketam mengajar anaknya berjalan lurus.

Aku begitu pasti, ramai antara kita yang sudah sedia maklum dengan maksud pepatah yang tertera di atas. Ada yang belum faham? Silalah kalian buka buku atau kamus peribahasa. Ada perincian maksud pepatah ini di dalamnya.

Bagi pencinta sastera, pada ketam itu terdapat ibrah yang bermakna.

Dan salah satunya adalah pada pepatah itu sendiri, iaitu umpama ketam mengajar anaknya berjalan lurus. Sejak berzaman mengkaji dan meneliti, maka lahirlah perumpamaan itu lalu dimuatkan ke dalam buku. Dalam diam, mereka ingin kita faham akan ibrah yang ingin disampaikan.

Apa pengajaran itu?

"Ali, kenapa sampai macam tu sekali kau herdik budak tu? Sekalipun kau nak tegur, tegurlah dengan cara yang betul. Cara kau tegur tadi tu salah," Tegur Abu, dengan nada berbaur sedikit kecewa dan marah.

"Eh, jangan sibuk tepi kain orang boleh tak? Macam lah kau tu betul sangat. Diri sendiri pun tak betul lagi, ada hati nak betulkan aku? Pergilah, takde masa aku nak layan kau," Ali membalas tidak endah.

Mulut Abu terkatup rapat. Serba salah, dia diam seribu bahasa.

Baik. Lupakan dialog dan lihat pada pepatah. Melihat pada pepatah berkenaan ketam di atas, ibrah yang perlu kita renungi adalah, kita manusia, walupun berjalan lurus dan tidak senget seperti ketam, namun kita tetap merupakan makhluk yang senget dan bengkok. Dalam ertikata lain, kita adalah manusia yang banyak malah sentiasa melakukan kesilapan.

Ibrah pertama.

Kita tidak sempurna, dan tidak akan pernah sempurna.

Ada sahaja kekhilafan yang akan berlaku pada kita, sama ada secara sengaja mahupun tidak. Kita ambil contoh lidah. Lidah yang hanya satu ini sahaja sudah banyak melakukan kesilapan. Dalam kita berusaha menjaga tutur kata, namun masih juga tetap bicara kita itu menyinggung hati orang lain tanpa kita sedar. Belum lagi ditambah contoh lain, yang menunjukkan banyak ketidaksempurnaan kita.

Seterusnya, menyedari betapa kita ini adalah manusia yang selama-lamanya senget, kita lantas menjadikan ketidaksempurnaan itu sebagai alasan dan dalih untuk kita tidak menegur dan berusaha membetulkan kesilapan orang lain. Itulah sebagaimana yang ditunjukkan oleh olahan dialog di atas.

Tersedar akan ketidaksempurnaan dirinya, si Abu terdiam oleh kata-kata Ali.

Kita terlampau percaya, bahawa usaha untuk menegur dan membetulkan kesalahan orang lain adalah hanya setelah kita ini benar-benar sempurna. Kita tunggu sehingga kita tidak lagi melakukan apa-apa salah dan silap, sengaja mahupun tidak. Selagi ada kesilapan yang kita lakukan, kita takut dan malu untuk menegur orang lain, kerana kita tahu, orang akan menembak kita kembali dengan kekurangan kita.

Oleh kerana terlampau berpegang pada kepercayaan itu, kita juga nampaknya terlampau lupa, bahawa betapa baik pun kita di atas muka bumi ini, adalah jauh sekali untuk kita menyamai tingkah laku malaikat. Dan kita juga terlupa, betapa mata, tangan, kaki dan lidah yang mampu kita kawal ini juga adakalanya tidak dapat ditahan dari melakukan sesuatu yang tidak patut.

Ya, kita terlupa itu semua.

Kita terlupa yang kita tidak akan mampu mencapai tahap maksum!

Selami sabda Rasulullah :

Daripada hazrat Anas R.A beliau meriwayatkan bahawa kami berkata : “Wahai Rasulullah, adakah betul bahawa kami tidak patut menyeru manusia kepada amalan-amalan yang baik sehingga kami beramal dengan semua kebaikan, dan kami tak patut mencegah mereka daripada kemungkaran sehingga kami sendiri menjauhi kesemuanya?" Maka baginda berkata : “Bukan begitu, serulah kepada amalan-amalan yang baik walaupun kamu belum beramal dengan semuanya dan cegahlah kemungkaran walaupun kamu belum menjauhi kesemuanya,”

(Riwayat Tabrani)

Maka, ibrah kedua.

Meskipun kita ini adalah manusia yang senget dan bengkok, janganlah berhenti untuk menegur kesalahan dan kesilapan yang kita lihat dan nampak. Senang kata, cegahlah kemungkaran yang kita nampak dan teruslah menyeru kepada kebaikan.

Ketahuilah, syaitan sesungguhnya gembira dengan sikap kita yang senget ini, yang tidak menyampaikan kebaikan dan mencegah kemungkaran kerana ketidaksempurnaan diri kita. Kerana pada akhirnya kelak, pasti tiada siapa yang akan menjalankan tugas menyampaikan kebaikan dan mencegah kemungkaran, lantaran banyaknya lompang yang tidak sempurna dalam diri masing-masing.

Maka ubah persepsi kita.

Alangkah baik kalau kita jadikan cemuhan itu sebagai motivasi?

Dari satu sisi yang lain, tindakan untuk terus berusaha memperbaiki diri sendiri adalah sangat penting dan perlu diutamakan. Biarlah orang lebih percaya dan terkesan dengan kata-kata teguran dan nasihat kita. Iaitu apabila kita melakukan apa yang kita suruh mereka lakukan, dan kita jauhkan apa yang kita larang mereka daripada melakukannya.

Ingatlah teguran Allah pada surah as-Saff ayat 2 dan 3.

Mari, perbaiki diri kita, dan ajak orang lain.

Promosi : Syahadah Gadis Ateis

(21 Januari 2011)

Ini kisah semalam.

Lantaran menyedari bahawa tiada apa yang akan aku lakukan di rumah hari itu, aku lantas menyetujui ajakan kakakku untuk pergi keluar berjalan-jalan ke pasar raya. Menghilangkan rasa bosan juga sebenarnya. Setelah diketahui latar tempat yang bakal dituju, iaitu ke sebuah pasar raya yang semakin ditambah-bina dengan gah di miri, maka mentalku yang sihat ketika itu lantas mengecam sebuah kedai - Popular - yang cukup popular dengan buku-bukunya.

Penat berjalan-jalan, kami pun tiba di hadapan kedai buku itu. Maka, aku dengan langkah yang tinggi velositi dan momentum itu meluru pantas ke dalam kedai, sambil mata ligat mencari dan meneliti, apakah ada novel menarik, yang belum ada dalam senarai simpananku.

Mencari dan terus meneliti, akhirnya sebuah novel ini menarik perhatianku.

Syahadah Gadis Ateis.

Melihat dan cuma memahami tajuknya sahaja sudah membuatkan kepala aku ligat berfikir dengan segala macam persoalan. Siapakah yang beragama Ateis itu? Apakah yang berlaku sehingga dia tertarik dengan Islam? Dan tentunya, bagaimana aturan Allah menyampaikan hidayah kepadanya? Banyak.

Setelah berjaya mendapatkan naskhah itu, aku pulang dengan gembira.

Aku buka plastik yang membalutnya.

Lalu tanpa membuang masa, aku baca.

Sedikit Cacatan : Syahadah Gadis Ateis

"Di dunia, pasport dan visa ke luar negara dibuat dahulu di negara asal sebelum memasuki negara lain. Begitu juga dengan proses melayakkan diri ke dalam syurga. Dua kalimah syahadah perlu diucap dan dipegang dengan erat dan betul sepanjang hidup di dunia sebelum memasuki alam akhirat,"

"Semua orang bercakap mengenai Tuhan. Tuhan itulah, Tuhan inilah. Semua orang mahu saya menyembah Tuhan. Tetapi, saya tidak akan menyembah Tuhan yang saya tidak kenal dan nampak. Buktikan Tuhan itu ada!"

(Tagline menarik Novel Syahadah Gadis Ateis)

Aku mungkin agak ketinggalan mendapatkan novel ini. Kerana ada seorang juniorku yang mengatakan bahawa dia sudah bertemu novel ini pada tahun 2009 lagi, dan aku membelinya pada awal Januari yang lepas. Kasihan buat diri sendiri, dua tahun rupanya aku terlambat.

Bertitik-tolak daripada sebuah e-Book yang menceritakan perihal seorang gadis berfahaman Ateis, akhirnya kemudian ianya dibukukan, mungkin sekitar penghujung tahun 2009. Apa-apa pun, tahniah atas usaha saudara Imraan Haaz menyatukan idea untuk menulis dan berkongsi pengalaman dengan pembaca.

Baiklah, sedikit tentang novel.

Ringkasnya, catatan ini mengisahkan perihal seorang gadis yang berfahaman Ateis bertemu dengan seorang pemuda berfahaman Islam. Pertemuan yang secara tiba-tiba dan tidak disangkakan itu (mungkin sudah susunan takdir Allah) akhirnya menjadi pertemuan yang menyelamatkan seorang gadis untuk kembali mengenali fitrah asalnya.

Untuk pengetahun, gadis tersebut dilahirkan sebagai seorang Islam. Namun, penafiannya terhadap kewujudan Allah yang begitu tegar dan kuat, menyebabkan dia termasuk kalangan orang yang berfahaman Ateis, yang menafikan kewujudan Tuhan (betulkan kalau aku salah).

Dengan perlahan-lahan dan tenang, lelaki Islam tersebut (yang mungkin, pada aku, merupakan pengalaman diri penulis sendiri) cuba menjawab pertanyaan demi pertanyaan gadis tersebut dan menguraikan segala kekusutan di dalam hatinya.

Ada lagi yang juga menarik.

Lelaki Islam tersebut cuba menguraikan segala ketidakfahaman yang ada pada diri si gadis, bukan sahaja dengan hujah-hujah dan dalil daripada al-Quran, tetapi juga kitab-kitab agama lain. Lontaran katanya cukup santai dan tidak sukar untuk dihadam.

Bila baca balik, teringat pula aku dengan sebuah video yang aku tonton pada suatu ketika dahulu, iaitu dialog antara Syeikh Ahmed Deedat dengan beberapa orang paderi, dan kemudian disusuli pula dengan dialog antara anak murid beliau, Doktor Zakir Naik, juga dengan beberapa orang paderi.

Ada sedikit persamaan lebih kurang.

Rasanya, itu sahaja setakat ini.

Ingin tahu lagi, ada masa, silalah beli.

Sila klik : Syahadah Gadis Atheis

Allahu'alam

Think Again

(14 Januari 2011)

Seketika pada penghujung bulan Disember 2010 yang lepas, diajak oleh beberapa orang kenalan, aku berkesempatan untuk hadir di dalam satu ijtima', yang senang kalian fahamkan sebagai satu perjumpaan. Perkampungan yang diadakan selama lebih kurang lima hari dan empat malam itu ternyata meninggalkan kepadaku banyak mutiara yang sangat bernilai.

ijtima' diadakan di bandaraya Kuching, iaitu ibu negeri sarawak.

Aku yang tinggal di bandaraya Miri menggagahkan diri dan semangat untuk ke sana, walhal aku tidak mengetahui apa-apapun tentang program, dari segi pengisian, aktiviti dan sebagainya. Aku bersangka baik, sekaligus terus menanamkan niat untuk belajar sesuatu yang berharga di sana kelak.

Alhamdulillah, aku peroleh mutiara-mutiara bernilai sepanjang program.

Dan ternyata, mutiara yang aku dapat bukanlah sebarang mutiara.

Ianya mutiara yang tidak ternilai!

Firman Allah :

"Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih?"

"(iaitu) kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang terbaik bagimu, jika kamu mengetahui,"

"Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam jannah 'Adn. Seseungguhnya itulah keberuntungan yang besar,"

(Surah as-Saff ayat 10, 11 dan 12)

Dari salah satu aktiviti, iaitu slot forum yang disediakan, aku diperdengarkan dengan ayat Allah dari surah as-Saff ini melalui salah seorang ahli panel. Sepanjang forum, dan malah sepanjang lain-lain aktiviti juga, program tampaknya lebih banyak berkisar akan perjuangan, perjuangan dan perjuangan.

Memang benar.

Hidup ini sesungguhnya adalah merupakan satu perjuangan. Satu jihad!

Dibincang-jelaskan oleh ahli panel berkaitan petikan ayat dari surah as-Saff tadi, adanya sebuah perniagaan yang lebih menguntungkan dari segala perniagaan yang wujud di sekeliling kita, iaitulah beriman kepada Allah dan rasul-Nya, dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa kita.

Dan sungguh, itu yang terbaik bagi kita, andai kita mengetahui.

Hari ini, kita diiklankan dengan pelbagai jenis perniagaan yang dikhabarkan membawa keuntungan demi keuntungan (pastinya wang ringgit). Ada antara kita yang menikmati keuntungan itu, dan pasti ada juga yang meratapi (tidak mendapat untung, ditipu dan sebagainya).

Namun, apalah sahaja keuntungan itu jika dibandingkan dengan keuntungan yang dikhabarkan melalui surah as-Saff tadi? Diampuni segala dosa dan ditempatkan di dalam syurga. Sungguh, ianya malah lebih menguntungkan. Untung yang tiada nilainya di kedua-dua daerah.

Daerah dunia dan daerah akhirat!

Telinga dan minda ini menangkap laju, tidak ingin melepaskan walau sebutir pun mutiara yang dilepas-keluarkan dari bicara-bicara ahli panel. Bicara yang penuh dengan jiwa perjuangan. Hati tenang sahaja mendengar.

Merenungi hari-hari semalam, aku pernah mengikuti beberapa program. Mendidik, dan menyampaikan kepada adik-adik (dan juga diriku sendiri) akan ayat-ayat Allah. Dalam menyedari makna petikan surah as-Saff, ya, aku telah melakukan sebuah perniagaan yang sangat menguntungkan itu.

Tetapi.

Hari ini, sambil-sambil aku blogwalking (blog-berjalan?), aku dipertemukan dengan firman Allah yang satu ini. Rupa-rupanya, dalam memberitahu adanya sebuah perniagaan yang sangat menguntungkan, Allah ingin kita tahu, bahawa ada juga sebuah jual beli yang buruk. Sangat buruk. Apa itu?

Firman Allah :

"Dan ingatlah, ketika Allah mengambil janji dari orang-orang yang telah diberikan kitab (iaitu) : "Hendaklah kamu menerangkan isi kitab itu kepada manusia, dan jangan kamu menyembunyikannya," lalu mereka melemparkan janji itu ke belakang punggung mereka dan menukarnya dengan harga yang sedikit. Amatlah buruk tukaran yang mereka terima,"

(Surah Ali Imran ayat 187)

BOOM!

Terkesima, terkejut. Seperti bangun dari mimpi.

Kita disuruh, untuk menerangkan isi kitab itu (al-Quran) kepada manusia, dan jangan sembunyikannya. Tidaklah kita sedar, betapa mungkin selama ini kita lebih banyak menyembunyikan daripada menyampaikan? Betapa mungkin selama ini, keuntungan yang ingin Allah beri dan janjikan kepada kita, kita tukarkan dengan harga yang murah!

Sungguh, amatlah buruk tukaran yang kita terima.

Huh, need to think all over once again, twice, or maybe everytime.

Ya Allah, sesungguhnya tiadalah hamba-Mu ini mengharapkan selain belas ihsan dan kekuatan dari-Mu. Sesungguhnya hamba-Mu ini tersangatlah kerdil dan lemah dihadapan-Mu. Sesungguhnya Engkaulah yang menciptakan kekuatan, dan sesungguhnya, kekuatan yang engkau salurkan pada nadi dan urat saraf ini tidak pernah putus.

Muhasabahlah jijul!

Muhasabah!

Misi Menyimpul Ukhwah



Ah, rindunya dengan suasana ini.

Sudah sekian lama juga aku tidak menjengah ke teratak al-Hidayah di kolej tempat ku menimba ilmu dan meraih mutiara pengalaman yang berharga suatu ketika dahulu. Alhamdulillah, atas kesempatan yang Allah berikan pada awal tahun baru masihi dahulu, aku dan beberapa sahabat berpeluang mengikuti program malam keagamaan di sana.

Berkesempatan berjumpa dengan tampuk pimpinan Persatuan Pelajar Islam yang baru, kami diberikan sedikit masa (sekitar 30 minit) untuk berkongsikan pengalaman-pengalaman dan nasihat buat adik-adik, disamping berkenalan dengan wajah-wajah baru mujahid dan mujahidah al-Hidayah.

Malam itu, aktiviti yang dirancang adalah ta'aruf. Atau senang kita panggil sebagai sesi berkenalan atau ice breaking. Ta'aruf bersama warga baru al-Hidayah yang terdiri daripada pelajar cemerlang lepasan UPSR. Awalnya, kami ada merancang beberapa modul ta'aruf yang cukup menarik untuk digunakan sepanjang sesi kelak, namun atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, segala perancangan tidak terlaksana.

Allah jua yang menentukan segala perancangan hambanya.

Jadi, aku kira sesi ta'aruf malam itu agak bersahaja. Seorang demi seorang dipanggil untuk ke depan dan akan memperkenalkan diri masing-masing. Istimewanya, aneka ragam yang mencuit hati. Biasalah, semuanya masih kecil-kecil belaka.

Dalam kesempatan berkongsi pengalaman dan nasihat kepada semua adik-adik bersama sahabatku Ridhwan dan bro Syukrani, harapnya kami berhasil menyentuh hati adik-adik warga baru al-Hidayah dengan beberapa set soalan yang kami sertakan dengan hadiah. Saudara Ridhwan dengan hadiah berupa senaskhah al-Quran beserta terjemahan dan aku pula dengan sebuah buku motivasi islami, yang bertajuk 'I Love Quran, and You?".

Pemberian hadiah itu sebenarnya hanyalah sebagai wasilah.

Mesej yang cuba kami sampaikan adalah untuk mengingatkan adik-adik supaya sentiasa merapatkan diri dengan al-Quran. Supaya kelak, akan lahir golongan dan generasi teratak al-Hidayah yang cintakan al-Quran. Mengisi hati dan segala gerak-geri, membasahkan lidah dan menggetarkan jiwa masing-masing dengan ayat-ayat Allah.

Setelah tamat segala bicara, program berhenti lewat malam itu.

Dengan majlis ditutup dengan bacaan surah al-Mulk secara berjemaah.

Juga surah al-Asr dan tasbih kafarah.


Inilah aku dan sahabatku Ridhwan.

Mengambil kesempatan dengan bergambar berlatarbelakangkan ruangan dalam surau al-Hidayah. Surau yang banyak berjasa kepada kami suatu ketika dahulu. Surau yang banyak melahirkan lagenda-lagenda mujahid dan mujahidah yang hebat dalam bidang tertentu.

Dan juga surau yang menyaksikan kehadiran murabbi-murabbi yang hebat. Lantang suara mereka menyampaikan ayat-ayat Allah, tidak putus-putus usaha mereka membentuk peribadi muslim acuan nabi pada diri setiap anak didik, mentarbiyah, mendidik dan menyampaikan fikrah yang jelas.

Oh, rindunya dengan mereka.

Harapnya berkesempatan untuk bersama bertemu lagi.

Misi kami, untuk menyimpulkan ukhwah bersama barisan pimpinan Persatuan Pelajar Islam yang baru dan juga adik-adik warga al-Hidayah yang baru mula melangkah ke zaman menengah mudah-mudahan disisip dengan redha Allah. Tiada yang lebih kami harapkan pada pertemuan pada malam itu melainkan redha dan kasih sayang-Nya.

Baiklah, teruskan melangkah!