Terus Melangkah

Assalamu'alaikum semua.

3 tahun.

Lebih tepat lagi, 2 tahun, 4 bulan dan 22 hari, aku tidak menulis apa-apa pada laman blog ini. Alhamdulillah tiba-tiba rasa ingin untuk membaca tulisan-tulisan lama, rasa teringin untuk kembali berkongsi. Apa khabar semuanya, mudah-mudahan selalu dalam limpahan rahmat dan kasih sayang Allah.

Sebagai permulaan, aku panaskan enjin menaip tanganku ini untuk berkongsi sedikit khabar. Alhamdulillah, bermula tahun 2012 sehingga sekarang aku masih lagi menuntut ilmu di Madrasah Al-Khairat, No. 70, Kampung Pinang Jawa, Kuching, Sarawak.

Alhamdulillah, aku sekarang adalah pelajar lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun 2013. Untuk seorang yang tidak mempunyai sama sekali asas dalam bahasa arab, berhasil mendapatkan keputusan STAM dengan pangkat Jayyid, berjuang dalam tempoh masa setahun sebelas bulan itu bagiku, pencapaian yang agak baik. 

Penghargaan utama aku tujukan buat guruku yang sanggup memberikan tunjuk ajar dan ilmu sepanjang aku menempuh jalan di sana. Satu pengalaman dan pit stop yang tidak akan dilupakan dalam diari hidupku. Juga buat Ibu dan Abahku atas doa dan restu.

Jazakumullahu khairal jaza'.

Alhamdulillah.

Hari ini, tanggal 31 Mac 2014, aku sedang dalam tempoh persiapan jasmani dan rohani, untuk melanjutkan lagi langkahan dalam mendalami ilmu. Kekadang berfikir, teman-temanku yang lain ramai yang sudah duduk di posisi selesa dalam bidang pekerjaan masing-masing, malah ada yang sudah bertunang dan berkahwin. Dan aku, masih di sini sebagai posisi tolibul ilmi. 

Hadramaut, Yaman.

Fakulti Syariah, Universiti Al-Ahgaff.

InsyaAllah, di situ sasaran seterusnya.

Akhiru kalam, aku mohon tembakan doa daripada sahabat-sahabat sekalian, agar dipermudahkan segala urusanku di sana kelak, agar tetap pada jalan istiqamah pada paksi cinta Allah dan cinta Rasul, dan dikuatkan hati dengan kesabaran atas segala ujian, dan tetap rendah diri.

Tinggal lagi 6 hari keberangkatan.

Harus teruskan langkahan.

Allahumma, yassir wala tu'assir.

Ameen.

Sollu 'alan Nabiy!