Hanya Dia Yang Tahu

11:31 PM

(0) Comments



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sudah lama tidak menulis. Hilang momentum agaknya. Apa-apapun, saya percaya bahawa iman itu ada naik ada turunnya. Namun, untuk saya tunggu kekuatan itu, agaknya sampai bila ya? Teringat akan satu kata :

Kekuatan itu, kalau nak tunggu, bila-bila pun tak datang. Kekuatan itu, bukanlah untuk kita tunggu, tetapi mesti kita bina.

Justeru, sekarang saya bina kekuatan itu.

Petang tadi, saya yang sudah lama tidak berada di atas garisan (on line), membuka Friendster saya dan kemaskini apa-apa yang patut. Lalu saya membuka laman kumpulan (group) yang saya cipta, Akademi Fisabilillah namanya.

Sudah lama saya tidak berbincang di sana. Namun setelah melihat kepada satu tajuk perbincangan yang ditulis, terasa ringan tangan saya untuk membalas topik perbincangan itu.

... 2012

Apa kena dengan nombor ini? Saya juga tidak pasti. Cuma, yang saya tahu, kini semakin tersebar luas di alam maya, akan satu puak yang percaya bahawa satu kejadian besar akan berlaku pada tarikh 21 Disember 2012. Sekaligus menjadikan tarikh tersebut sebagai tarikh tamat atau terakhir bagi mereka.

Mereka juga percaya bahawa pada ketika itu, planet-planet dan seluruh hidupan akan melalui satu transformasi spiritual dan fizikal, dan tahun 2012 tersebut, akan menjadi tanda bermulanya era baru. Disebaliknya pula, ada yang percaya bahawa tarikh tersebut adalah permulaan bagi armagedon atau hari akhirat.

Kini, segala cerita ini sudah dan sedang tersebar luas di alam maya, dicetak di dalam buku-buku, ditulis di dalam website dan termasuk dalam ruangan-ruangan forum dan diskusi yang ada. Namun, lebih menyedihkan, minda anak muda juga mula diracuni dan ditakut-takutkan dengan perkara-perkara yang sama.

Mungkin ramai antara kita yang dah tahu akan perkara ini. Di negara barat, tarikh 21 Disember 2012 dikatakan 'The End Of The Day'. Saya kira, mereka menganggap tarikh itu sebagai tarikh keramat bagi mereka.

Kembalilah Dan Sedarlah

Kita baca, kita dengar, kita sedar dan kita mulai percaya.

Di sinilah kesilapan kita, sebagai manusia yang mudah alpa, dan lupa dengan kata-kata Allah dalam firman-Nya :

Mereka menanyakan kepadamu tentang kiamat : "Bilakah terjadinya?" Katakanlah : "Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku ; tidak seorangpun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat (huru-haranya bagi makhluk) yang di langit dan di bumi. Kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba". Mereka bertanya kepadamu seakan-akan kamu benar-benar mengetahuinya. Katakanlah : "sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat itu adalah di sisi Allah. tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui," (surah al-A'raf ayat 187)

Saya sedar, dan saya harap kalian juga begitu. Kita percaya dengan janji-janji-Nya. Namun, dalam hati kita yang sudah sedar, bagaimana dengan jasad kita? mampukah hati sedar kita menggerakkan jasad kita untuk bersama-sama menunjukkan bahawa kita sudah benar-benar sedar?

Saya percaya, bahawa kita sedia maklum akan tanda-tanda kecil kiamat sudah berlaku. Harap-harapnya, dengan tanda-tanda kecil yang sudah berlaku, kita tidak lupa, dan leka dengan kehadiran tanda-tanda besar pula. Begitulah seterusnya, semoga kita tidak lupa dengan janji Allah akan kehadiran yaum al-qiyamah kelak.

Baru-baru ini, saya ada menonton satu iklan, tentang sebuah cerita dari barat yang bertajuk 2012. Mungkin akan keluar pawagam tidak lama lagi. Apa yang saya lihat, cerita itu ingin menyampaikan bahawa satu kejadian besar akan berlaku pada tahun tersebut, gambaran pada tahun mendatang.

selesai sahaja iklan, saya mula teringat akan maklumat-maklumat berkenaan puak-puak yang percaya dengan ketibaan kiamat pada tahun tersebut. Lebih teruk lagi, ada tarikh yang lebih spesifik pula. Allahu'alam.

Bagaimana Dengan Kita?

Bagi saya, untuk saya percaya tarikh itu benar, jauh sekali. Namun, untuk saya percaya bahawa saat itu akan tiba, saya pasti tidak dapat menyangkal. Kerana, dalam rukun iman kita yang enam, senarai kelima tertulis akan kewajiban kita untuk percaya dengan hari akhirat. Maka, saya percaya, cuma tidak diketahui bila.

Hampir setiap hari, sedap telinga kita mendengar cerita-cerita dan gosip-gosip semasa. Tentang itu dan tentang ini. Namun, untuk soal yang satu ini, agaknya kita lupa untuk berbicara, ingat dan berfikir tentangnya.

Soal bumi kita selalu cerita, tetapi soal langit kita lupa. Jadi, saya sangat bersyukur kerana ada yang membangkitkan soal ini dalam kumpulan Friendster saya. Lalu saya, yang juga selalu lupa, terasa ingin untuk kongsikan perkara yang sama dengan anda. Sekaligus membuatkan saya sedar, bahawa saya, sudah terlalu jauh dari mengingati 'hari' yang bakal tiba kelak.

Penutup : Untuk Semua

Hidup kita, hanyalah sementara kerana kehidupan di akhiratlah yang akan kekal. Namun, ada manusia yang tidak sedar bahawa hidup mereka di dunia hanya sementara, lalu mengejar kehidupan dunia seolah-olah mereka akan hidup selamanya.

Keadaannya dahsyat, tidak mampu kita bayangkan bagaimana. Cukuplah sekadar tahu melalui firman-Nya :

" ia berlaku semasa bumi bergoncang dengan bersungguh-sungguh goncangan. Dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya. Lalu menjadilah ia debu-debu ang bertebaran " (surah al-Waqi'ah ayat 4-6)

Begitulah Allah membuka sedikit hijab rahsianya, kepada kita mengenai hari perjanjian yang sudah pasti menjadi peringatan kepada mereka yang berfikir dan benar-benar mengharap keredhaan daripada-Nya.

Hari itu, hanya Dia yang tahu.



Teruskan bacaan ...

Azizul Hafidz

Masih Ingatkah Kita?

11:49 PM

(2) Comments



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Didedikasikan terutama buat diri saya, dan kalian semua, yang mudah hanyut dalam dunia yang penuh mehnah dan noda. Ayuh, mari bersama saya menyingkap dan menyelami tirai sirah seorang insan mulia.

Dari luar pintu terdengar bunyi ketukan dan suara salam.

"Bolehkah saya masuk?" tanya yang empunya badan.

"Maafkanlah, ayahku sedang sakit." jawab Fatimah yang segera memalingkan badan dan menutup pintu.

Kemudian, ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan terus bertanya pada Fatimah :

"Siapakah itu wahai anakku?"

"Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru pertama kali aku melihatnya." Lembut tuturnya.

Lalu, Rasulullah menatap wajah puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian anaknya itu ingin dikenang.

"Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan kehidupan di dunia, dialah malaikat maut," ujar Rasulullah.

Tangan menutup mulut. Tidak dapat menahan tangis.

Dia melangkah masuk ke dalam rumah batu lumpur. Badan terasa sangat longlai. Benar dunia masih berputar, tetapi ia tidak akan sama. Sama sekali tidak serupa. Sang isteri keluar dari dapur, memegang telinga belanga, melihat keseluruhan wajah sang suami, mengharap supaya mendengar berita yang baik. Anak lelaki yang baru berusia 3 tahun, sebelah tangan memegang roti keras, lantas muncul di sebelah isteri.

Dia renung isteri, dan juga anak lelaki itu seraya mengusap kepalanya sambil mengugu perlahan. Tiada suara kedengaran. Hanya geletar bibir, dia menangis teresak. Perempuan tersebut menjatuhkan belanga, menekup mulut kerana tidak percaya dengan berita.

Perempuan itu berlari. Tidak berhenti. Kencang berlari sambil menggigit cadur. Seisi dunia menjadi yatim piatu. Saat ini, begitu fikirnya. Lelehan air mata telah menutup pandangan, tetapi kaki tetap menujah pantas. Segala yang dihadapan menjadi kabur.

Di jalan-jalan, kelihatan ramai yang menangis, rasa hati tergoncang akibat berita yang baru didengar telinga.

Perempuan itu tiba di sebuah rumahkecil. Manusia sudah ramai menyesaki laman hadapan dan jalan-jalan penuh dengan debu.

"Baginda tidak wafat! Baginda tidak wafat!"

Orang ramai gempar, jatuh rebah. Mengelak amuk sahabat yang sedang dalam kejutan tersebut.

"Jangan katakannya! Baginda tidak mungkin wafat!"

Seorang sahabat lain merapati, perlahan-lahan memegang bahu sahabatnya yang sedang bergegar duka. Lembut, tetapi kedengaran pada telinga suara membaca ayat 144 surah Ali Imran :

"Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul. Sungguh sebelumnya telah berlalu beberapa orang Rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh, kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka tidak akan mendatangkan mudharat kepada Allah sekalipun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur,"

Sahabat segera berhenti berteriak, mendadak berwajah tenang. Bagai mendung disergah cahaya, air mata pun segera susut merosot, merenung sahabatnya semula. Dan tahu, menjadi jelas pada perempuan yang menyaksikan semua itu, air muka suaminya telah menuturkan segalanya.

Dia menahan tangis. Hanya mampu bersuara, yang suara itu bergemaan keseluruh urat nadi dan seakan menghentikan seluruh jantungnya :

"Rasulullah sudah tiada,"

Saidina Ali yang paling rapat dengan baginda, telah ditugaskan untuk memandi dan mengkafankan jenazah yang mulia. Sebelum baginda dikebumikan, kedengaran getar suara pemuda tersebut. Pemuda yang sewaktu masih remajanya pernah bersuara halus memberitahu sanggup mendukung tauhid yang suci seraya ditertawakan pembesar kafir :

"Wahai Rasulullah, ana mencintai tuan lebih dari cinta ana kepada kedua-dua ibu bapa ana. Kewafatan tuan mengakhiri kenabian, wahyu dan para Rasul Tuhan, sedang kematian para nabi lain tidak mengakibatkan sedemikian. Kewafatan tuan begitu menyedihkan sehingga segala kesedihan lainnya dilupakan. Kesedihan berpisah dengan tuan menjadi kesedihan umum. Semua orang merasakannya. Sekiranya tuan tidak mengarahkan kami supaya bersabar dan jangan meratapi dan berkabung dengan suara keras, kami akan terus menangis dan meratap tanpa henti. Walaupun semua ratapan itu tak dapat dibandingkan dengan kerugian yang teramat kerana berpisah dengan tuan. Tetapi, maut adalah peristiwa yang tidak dapat dielakkan, dan seorang pun yang tidak dapat menghentikan kehadirannya."

"Peliharalah solah, dan peliharalah yang lemah diantaramu."

Itu pesan terakhir Baginda.

"Ummati, ummati, ummati." diungkap sebelum nafasnya berakhir.

Ingatkah kita?


Teruskan bacaan ...

Azizul Hafidz

PMR 2009 : Ma'at Taufiq Wa'an Najah

7:44 PM

(2) Comments



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Salam ukhwah buat para pembaca. Salam imtihan buat adik-adik pembaca yang kini di tingkatan tiga. Semoga saya, malah kita semua sentiasa bernafsu kuat untuk beribadah. Juga, semoga kita sentiasa ikhlas dalam mengerjakannya.

Hari ini, dan mungkin akan berlanjutan sehingga minggu satu lagi, madrasah saya diserang sindrom yang biasa juga dialami oleh madrasah-madrasah yang lain di luar sana bila sahaja tibanya musim imtihan. Sindrom senyap namanya. Namun, madrasah saya nampaknya diserang sekaligus dua sindrom, ditambah dengan sindrom 'rajin ke surau'.

Senyap serangannya. Tiba-tiba pula.

Bayangkan kawasan yang hari-harinya sentiasa terdengar kebisingan suara-suara, tiba-tiba berubah menjadi senyap. Langkahan tapak kaki bisa kedengaran juga sekelumit suara yang seakan-akan berbisik. Apa yang terjadi, yang mengambil alih untuk berbuat bising adalah bunyi kenderaan-kenderaan sekitar.

Senyap, tenang sekali. Dalam sedar, ujian Penilaian Menengah Rendah baru sahaja bermula tanggal hari ini, 7 Oktober 2009 bersamaan 17 Syawal 1430 Hijrah. Kelas adik-adik tingkatan tiga kini adalah dewan besar. Budaya cemar mula terhakis, timbul budaya baru yang bersih. Di segenap sudut, nampak jelas budaya membaca.

Lumrah dan Ibadah

Kebisingan adalah lumrah. Jadi, saya tidak kisah. Selepas minggu ini, sehingga minggu-minggu yang akan datang, saya pasti sindrom bising akan kembali. Namun bagaimana pula dengan 'rajin ke surau'? Saya percaya, dan harapnya kalian juga begitu, memakmurkan surau disamping meng'imarahkan masjid adalah ibadah yang sangat-sangat dituntut.

Untuk itu, saya sangat bersyukur kerana keadaan di madrasah saya ketika ini sedang mengamalkan budaya itu. Segelintir yang saya nampak, Alhamdulillah. Kaki bergerak melangkah ke surau. Selebihnya? Mudah-mudahan, kerana saya tidak nampak. Namun, persoalan yang bermain di benak saya sekarang adalah, sampai bila? Mungkin tamat minggu seterusnya? atau sebaliknya. Allahu'alam.

Dalam diam, saya mengharap dalam penuh pengharapan.

Dengan harapan agar mudah-mudahan bukan sahaja adik-adik yang sedang berjuang di dewan peperiksaan, malah saya dan juga kalian semua yang tertera pada kad pengenalannya yang beragama ISLAM, teruskan dan terus merajinkan diri dengan budaya itu. Jangan hanya seminggu, tetapi berminggu-minggu dan bukan dalam musim-musim tertentu, tetapi berterusan sehingga akhir yang kita tidak pasti. Percayalah, soal ibadah bukan soal seminggu dua, tetapi soal sehingga tamatnya riwayat kita.

Musim Bertuhan

Sila lihat juga entri ini : Musim bertuhan. Andai kita adalah insan semacam itu, nampak bahawa rasa berTuhan kita adalah jenis bermusim, mempunyai jangka waktu yang tertentu. Tuhan hanya diingat dan diperlukan pada saat-saat yang sangat-sangat perlu. Sedangkan, kita perlukan Allah setiap saat. Kita perlukan Allah, bukan Allah yang perlukan kita.

Justeru, buat saya dan juga kalian yang membaca, kita bukannya hamba yang tidak pandai berfikir, lainlah kiranya jika ada antara kita (manusia) yang tidak punya akal, bahawa janganlah kita melampaui batas. Firman Allah :

dan apabila manusia ditimpa bahaya, dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri. Tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat) , seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada kami untuk (menghilangkan) bahaya yang menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan ... (Surah Yunus Ayat 12)

Ma'at Taufiq Wa'an Najah Fil Imtihan!

Kepada adik-adik, ingat ini ...




Usaha, doa, tawakal, redha.

Justeru, saya ingin mengucap salam mujahadah dan salam imtihan kepada kalian semua dalam menempuhnya. Moga kejayaan kalian hari kelak, yang benar-benar ikhlas dalam menuntutnya, menjamin kejayaan Islam pada masa hadapan. Ma'at taufiq wan najah!



No Part Time Muslim



Teruskan bacaan ...

Azizul Hafidz