Kisah : Mari Bermaafan



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Setinggi-tinggi syukur dan pujian bagi Allah Yang Maha Menciptakan. Tiadalah alam ini, tiadalah sekalian makhluk dan tiadalah segala-galanya tanpa-Nya yang menciptakan.

Juga selawat buat penghulu Anbiya' dan keluarga serta sahabat yang menyampaikan wahyu yang diamanahkan.

Salam mujahadah buat para da'ie sekaliannya.

Tertarik ana pada sebuah kisah berkenaan seorang yang berpangkat sultan, tetapi rasa rendah dirinya seperti melampaui sikap seorang sultan. Kerana sedar, bahawa dirinya masih dan tetap seorang hamba Tuhan.

Ceritera tentang toleransi seorang Salahuddin al-Ayyubi. Tidak lapuk malah kekal namanya di tirai sejarah.

Kisah Bermula

Pada suatu hari, Salahuddin sedang duduk di dalam perkhemahan. Tiba-tiba, datang seorang perempuan kafir lalu berdiri berhadapan dengan khemahnya. Perempuan berwajah muram ini berteriak dengan suara yang sungguh memekakkan telinga sehingga suasana menjadi agak riuh.

Melihat kejadian tersebut, para perajurit segera bertindak menjauhkan perempuan tersebut dari perkhemahan. Namun, Salahuddin mencegah mereka dan memerintahkan para perajuit supaya membawa masuk perempuan tersebut.

Ketika perempuan tersebut mengadap, pimpinan umat yang berjaya merebut kembali Jerusalem dari penguasaan tentera salib ini, terus menanyakan hal yang menyebabkan perempuan itu bersedih.

Perempuan itu menjawab bahawa anaknya diculik dan suaminya dijadikan sebagai tawanan perang. Padahal, suaminyalah yang memberikan nafkah buatnya.

Sultan Salahuddin terharu.

Seketika itu juga dia memerintahkan para perajurit untuk melepaskan suami perempuan itu. Dia juga memerintahkan para perajurit supaya mencari anak yang hilang diculik.

Mendapatkan perintah tersebut, para perajurit secepat kilat melaksanakannya. Sehinggalah akhirnya mereka berhasil mendapatkan anak yang diculik itu.

Dengan segera pula, si anak diserahkan kepada ibunya. Betapa bahagianya perempuan itu mendapatkan suami dan anaknya kembali ke pangkuannya.

Perempuan tersebut sangat berterima kasih serta memuji Salahuddin. Mendengar penyataan dari perempuan itu, Salahuddin berkata :

" ... kami tidak melakukan sesuatu apapun, melainkan apa yang telah diperintahkan oleh agama kami ... "

Mendengar ungkapan Salahuddin, perempuan tersebut mula berkata :

" ... apakah agama tuan memerintahkan kasih sayang terhadap para musuh, serta membantu orang-orang yang lemah? ... "

Sang sultan menjawab :

" ... benar bonda, Islam adalah agama Allah di muka bumi ini. Agama-Nya lah yang sentiasa memberi rahmat serta menjadi penyelamat bagi seluruh umat ..."

Mendapat jawapan itu, perempuan tersebut tergugah benaknya. Lalu dia pun mengucapkan syahadah bersama suaminya.

" ... saya mencintai agama yang sentiasa bertoleransi dan mulia itu, seperti apa yang tercermin pada sifat-sifat dan akhlak tuan ... "

Pengajaran

Begitulah dakwah yang diajarkan Salahuddin.

Ia menunjukkan dua hal sekaligus.

Islam adalah agama yang santun dan mengajarkan toleransi.

Dialah pemimpin Islam yang disebut dengan nada hormat bahkan dalam kalangan pembesar tentera salib. Salahuddin menunjukkan bahawa Islam adalah rahmat bagi seluruh alam. Islam membawa perasaan nyaman kepada pemeluknya dan juga membuatkan orang lain simpati.

Siapakah Golongan Pemaaf?

Golongan ini boleh kita katakan sebagai golongan yang mulia, juga berjiwa besar. Kerana dalam pergaulan, mereka ini tidak mudah hanyut dipukul gelombang emosi ketika berdepan dengan ragam manusia. Meletakkan akal dengan agama dihadapan nafsu dengan emosi.

Memberi maaf, merupakan akhlak utama penduduk dunia dan akhirat.

Teringat kisah Nabi Yusuf.

Ketika beliau menjadi raja Mesir, boleh sahaja beliau membalas dendam ke atas adik-beradik beliau yang sangat dengki sehingga bersepakat untuk membuang beliau ke dalam sebuah telaga buruk. Hanya supaya perhatian ayah (Nabi Ya'akub) lebih tertumpu kepada mereka.

Namun sebaliknya, beliau berkata, Pada hari ini tiada cercaan terhadap kamu. Mudah-mudahan Tuhan mengampuni kamu dan Dialah yang Maha Penyayang.

Begitu juga kisah Nabi Muhammad dan Para Sahabat.

Ketika penaklukan Mekah oleh orang Kafir Quraisy, umat islam telah ditindas serta dizalimi selam 13 tahun. Sehinggakan ada antara sahabat-sahabat nabi yang terbunuh pada masa itu. Selepas hijrah, beberapa peperangan antara umat Islam dan kafir quraisy terus berlaku.

Pada saat pembukaan Mekah, Rasulullah bertanya kepada golongan kafir quraisy :

" ... apakah yang kamu rasa akan aku lakukan terhadap kamu? ... "

Mereka menjawab :

" ... kesejahteraan ... "

Muhammad berkata :

" ... ya kamu dibebaskan ... "

Kisah dipetik dari kitab Zaadul ma'ad.

Penutup : Marilah Saling Bermaafan

Firman Allah :

" ... dan hendaklah mereka memberi maaf dan melapangkan dada, tidakkah kamu ingin diampuni oleh Allah? dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang,"

Marilah bersama-sama menjadi insan yang berjiwa besar.

Dengan tidak membiarkan pengemudi kapal hanyut oleh gelombang nafsu dan emosi semasa berdepan dengan segala kerenah. Manusia yang mulia adalah mereka yang sudi memaafkan di saat mereka berkemampuan untuk membalas dendam.

Bermaafanlah.


0 Komen:

Post a Comment