Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Kerana sebuah kerusi, manusia sanggup berbunuhan. Kerana sebuah kerusi, manusia sanggup memfitnah. Kerana sebuah kerusi, ramai yang kecundang. Kerana sebuah kerusi, yang haram menjadi halal.
Kerana sebuah kerusi, prinsip perjuangan sanggup digadai. Kerana sebuah kerusi, manusia hilang pertimbangan. Kerana sebuah kerusi, pelbagai usaha dibuat untuk mencemarkan maruah lawan.
Kerana sebuah kerusi, kawan menjadi lawan.
Kerana sebuah kerusi, manusia sanggup melakukan apa sahaja, asalkan menang dan dapat duduk di atas kerusi tersebut.
Namun, bukanlah kerusi untuk duduk itu yang dicari. Tetapi, kedudukan yang menjadi idaman.
Kerusi hanyalah sebagai lambang kekuasaan. Lambang kemewahan dan pintu untuk mengejar kebendaan.
Sejarah itu membuktikan. Bila kerusi jadi rebutan, akan ada darah yang tumpah ke bumi. Peperangan demi peperangan berlaku dan berlanjutan. Pembunuhan berlaku di mana-mana, hanya kerana merebutkan kerusi.
Sebenarnya, bukan kerusi yang dicari orang. Kerusi boleh didapati di mana-mana. Cari saja kedai perabot berdekatan, dan anda pasti menjumpainya.
Tetapi yang dicari sebenarnya adalah kuasa, yang bersifat sementara. Kerusi itu, hanyalah lambang kepada kekuasaan.
Hebatnya kuasa sebuah kerusi.
Walaupun panas, kerusi itu tetap terus diminati, biarpun yang mendudukinya hanya sebentar sahaja. Ajal itu tetap di tangan Tuhan.
Kerusi itu hakikatnya panas, kerusi itu tanggungjawab, kerusi itu amanah, kerusi itu ketelusan, kerusi itu pengaruh, kerusi adalah segala-galanya. Bertahun-tahun manusia merebutnya, zaman berzaman dari dahulu hingga sekarang, kerusi masih diminati.
Semakin mahal sebuah kerusi, semakin ramailah peminatnya. Semakin ramai juga yang menginginkannya. Mahal bererti kerusi itu sangat penting. Bererti kedudukan sangat penting. Bererti keputusan yang bakal dibuat dari atas kerusi itu sangat mustahak dan perlu dipatuhi.
Orang yang sedang duduk di kerusi itu pula, selalu tidak tenteram. Banyak yang difikirkan. Antaranya, dia bakal dijatuhkan oleh lawan dengan pelbagai cara bergantung kepada kepentingan kerusi tersebut.
Itu lumrah.
Lawan, sinonimnya adalah musuh. Dan tugas seorang musuh adalah untuk menjatuhkan lawannya. Namun, satu yang tidak dapat diterima adalah, kawan-kawan seperjuangan yang bersama-sama membeli kerusi itu dahulu, akhirnya menjadi lawan dalam diam.
Itu kita sebut, musuh dalam selimut.
Membantu kumpulan yang dahulu adalah musuhnya dengan pelbagai cara, hanya untuk menjatuhkan seseorang yang dahulu adalah kawannya, yang kini sedang duduk di kerusi itu.
Adakah itu juga lumrah?
Ya. Itulah lumrah, sebagai manusia.
Akibatnya, dia kehilangan kerusi yang dibelinya dahulu.
Kehilangan kerusi, bermakna kehilangan kuasa.
Kehilangan kuasa, bermaksud cakap sudah tidak lagi dihirau, dan arahan, tidak lagi dipatuhi. Dirinya? Bakal dipinggirkan.
Besar betul peranan sebuah kerusi, ya?
Kesan sebuah kerusi itu juga, tidak kurang besarnya.
Cukup dengan sebuah kerusi, rasanya satu dunia mampu digugat.
Kini, semuanya mahukan kerusi itu. Persoalannya, adakah yang mahu memegang kerusi itu sekadar untuk menuntut kepentingan peribadi, ataupun benar-benar ikhlas kerana agamanya. Atau untuk dianggap hebat, berkuasa, sehingga semua yang dikatakan oleh yang lemah, dipertikai dan diputarbelitkan.
Cuma, masih adakah manusia yang mahu bersila di lantai tidak mahu duduk di kerusi kerana dia tahu kerusi itu panas dan dia tidak layak mendudukinya. Siapakah manusia itu? Adakah masih wujud di zaman ini?
Masih adakah insan-insan seperti Imam Shafie, Imam Maliki, Imam Hanbali atau Imam Hanafi yang wujud? Adakah lagi seseorang seperti al-Ghazali yang menolak bila ditawarkan kerusi yang penting, hanya kerana memikirkan soal jawabnya di akhirat kelak dan bebanan yang tidak mampu dipikul?
Akhirnya
Kita semua mempunyai sekurang-kurangnya satu kerusi, dan kerusi itulah lambang kedudukan kita.
Seorang kerani, ada kerusinya yang tersendiri
Ada kepentingannya yang tersendiri.
Seorang hakim, juga ada kerusinya tersendiri
Dia boleh menjatuh hukuman.
Yang sedang duduk di kerusi masing-masing sekarang ini, saya hormati kalian. Kerana kalian adalah pemimpin saya, keluarga saya dan kawan-kawan saya.
Kepada pemimpin saya, izinkan saya berkata-kata tentang satu kerusi, yang kita selalu lupa bila kita duduk di kerusi yang tinggi.
Kerusi kita sebagai hamba-Nya.
Dan tanggungjawab kita, menunaikan amanah-Nya dengan sebaiknya.
Allahu'alam.
0 Komen:
Post a Comment