Jadilah Seperti Kopi



Hidup, pastinya tidak lepas daripada ujian.

Kalau hari ini kita tidak ditimpa musibah, mungkin esok kita akan menerimanya. Andai bukan esok, mungkin pula lusa, minggu hadapan dan seterusnya.

Pokoknya, setiap jiwa pasti akan diturunkan musibah.

Saya kira, tipulah sekiranya ada seseorang yang mengaku hidup dia di bumi Allah ini, lengang daripada ujian dan masalah. Masalah dalam persahabatan, masalah kewangan, hancur dalam hubungan percintaan hatta kematian insan yang tersayang.

Semuanya, adalah ujian Allah buat kita.

Yang sebenarnya, ada rahsia dan hikmah yang tersembunyi.

Sama ada Allah ingin menguji keimanan kita ataupun meningkatkan iman kita. Dan juga kerana, kadang-kadang sesuatu ujian yang hadir itulah yang membuka mata hati kita.

Mendidik kita, supaya jangan berputus asa dalam perjalanan kehidupan yang sesungguhnya seperti bahtera di lautan. Kehidupan yang seperti satu jalan, yang penuh dengan duri yang tajam dan penuh onak dan dugaan.

Ramai orang, menilai bahawa dia sudah berjaya melepasi segala masalah yang menimpanya, apabila segala ujian itu terbang pergi dan selesai. Namun pada saya, seseorang itu berjaya andai dia berjaya memperoleh sesuatu bernilai pada ujian tersebut.

Dengan menyandarkan semuanya pada Allah.

Lantas dia menjadi lebih kuat, gagah untuk ujian mendatang.

Justeru, dalam mengharungi detik kesulitan dan kepayahan kerana kehadiran ujian dan masalah, saya kira kita perlu melihat pada kopi, belajar dari kopi dan menjadi seperti kopi.

Ya, saya ingin kita jadi seperti kopi.

Antara Lobak, Telur dan Kopi

Seorang anak mengeluh kepada ayahnya mengenai perjalanan kehidupannya, dan menanyakan bahawa mengapa hidup ini terasa begitu sukar dan sungguh menyakitkan baginya.

Anak tersebut mengeluh.

Tidak tahu bagaimana menghadapinya.

Seolah-olah dia seperti sudah menyerah kalah dengan segala masalah dan ujian yang datang berterus-terusan dalam hidupnya. Setiap kali selesai satu masalah, timbul pula masalah dan ujian yang baru.

Lebih sukar, lebih berat.

Ayahnya, yang merupakan seorang tukang masak membawa anaknya ke dapur. Lalu dia mengisi tiga buah periuk dengan air dan menaruhnya di atas nyalaan api.

Setelah ketiga-tiga periuk yang diisi air tersebut mendidih, si ayah terus meletakkan lobak merah ke dalam periuk yang pertama, telur di periuk kedua dan serbuk kopi ke dalam periuk yang ketiga.

Si ayah membiarkannya mendidih tanpa berkata-kata.

Si anak pula, dia tertanya-tanya dan menunggu dengan tidak sabar sambil fikirannya berpusing-pusing memikirkan apalah yang sedang dikerjakan oleh ayahnya.

Setelah 20 minit, ayahnya mematikan api lantas menyisihkan lobak dan menaruhnya di mangkuk yang pertama. Telur diangkat dan diletakkan di mangkuk yang kedua pula, dan begitu juga pada serbuk kopi, dituangnya ke dalam mangkuk yang lainnya.

Si ayah bertanya kepada anaknya.

"Apa yang engkau lihat, nak?" Tanyanya.

"Lobak, telur dan kopi, ayah," Jawab si anak, ringkas.

Ayahnya terus mengajak anaknya mendekati mangkuk-mangkuk yang telah diisi dengan ketiga-tiga barang tadi.

Perkara pertama yang dilakukannya adalah menyuruh si anak merasakan lobak. Lantas, dia menyatakan bahawa lobak tersebut sangat enak dan terasa lembut.

Kemudian, ayahnya menyuruh untuk mengambil telur dan memecahkannya. Setelah membuang cangkerang telur tersebut, si anak melihat dan mendapati sebuah telur rebus yang mengeras.

Akhirnya, si ayah meminta anaknya untuk merasa dan mencicip sedikit air kopi tersebut. Anaknya, yang hanya tersenyum seketika selepas merasakan rasa dan aroma istimewa kopi tersebut, terus bertanya kepada ayahnya.

"Apa erti semua ini, ayah?" Tanyanya.

Ayahnya menerangkan satu-persatu.

Ketiga-tiga barang tersebut telah menghadapi kesulitan yang sama, iaitu perebusan yang hakikatnya adalah panas. Namun, masing-masing menunjukkan reaksi berbeza.

Lobak, asalnya adalah keras dan sukar dipatahkan.

Setelah direbus, lobak ternyata berubah menjadi lembut, lunak.

Telur, sebelumnya adalah cecair, mudah pecah.

Akhirnya, isinya berubah menjadi pepejal, keras.

Serbuk kopi adalah yang paling unik.

Setelah serbuk kopi dimasukkan ke air, kopi menjadi sedap.

Ketiga-tiganya melalui satu kesulitan yang sama, iaitu perebusan. Hasilnya, ketiga-tiga barang yang asalnya lain sifat, berubah kepada sifat yang lain setelah melalui proses perebusan tadi. Yang keras menjadi lembut, yang lembut menjadi keras dan sebagainya.

"Kamu termasuk yang mana?" Tanya ayahnya.

"Air panas yang mendidih itu, adalah umpama kesukaran dan ujian yang engkau lalui. Ketika kesukaran dan kesulitan datang menghampirimu, bagaimana engkau menghadapiya?" Kata si ayah.

"Apakah kamu seperti lobak, telur atau kopi?" Sambungnya.

Si anak, bagaikan terketuk hatinya.

Seakan diberi satu petunjuk.

Penutup : Kita seperti apa?

Allah telah berfirman :


"Apakah manusia mengira bahawa mereka dibiarkan mengatakan : Kami telah beriman. Sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang sebelum mereka dan benar-benar Allah mengetahui orang-orang yang benar dan mengetahui pula orang-orang yang dusta,"

(Surah al-Ankabut ayat 2-3)

Antara kita, ada yang apabila menerima ujian, dia nafikan semua itu. Lalu dengan pantas dia menuduh bahawa Allah ini dengan sengaja turunkan pada dia masalah, supaya dia hidup dalam kesulitan.

Lalu dikatakan Allah itu tidak adil.

Allah itu begini, begitu dan sebagainya.

Ya, dia malah semakin tersesat jauh.

Walaupun satu ketika nanti, masalah dan kesulitan tersebut lari dan terbang dari hidupnya, sesungguhnya, dia masih belum berjaya manghadapi ujian tersebut.

Kita seharusnya sedar, bahawa ujian itu adalah dari Allah.

Sepatutnya, semakin berbisa ujian, semakin dekat kita dengan-Nya.

Kerana pada-Nya sahaja kita pohon kekuatan.

Nampak? Sungguh, Allah itu Maha Adil.

Dia tahu yang terbaik buat kita.

Justeru, kita kena belajar daripada kisah ini.

Apakah kita seperti lobak?

Asalnya kita keras, kelihatan keras dan memang keras. Namun, apabila dihadirkan kesulitan dan ujian, kita dengan pantas menyerah. Kita terus menjadi lemah, lembut dan hilang kekuatan.

Atau, apakah kita telur?

Yang awalnya memiliki hati yang lembut, jiwa yang lunak.

Setelah hadirnya masalah dan kesusahan, kita gagal dalam persahabatan dan sebagainya, kita lalu menjadi keras dan kaku. Luaran kita seperti asal, iaitu mempunyai cengkerang, namun dalaman menjadi pahit dan keras.

Ataupun, kita ini seperti kopi?

Apabila panas, rasanya adalah begitu nikmat.

Ketika sesuatu keadaan menjadi semakin buruk, dan diri kita ditimpa semakin banyak ujian dan kesulitan, maka kita akan menjadi semakin baik dan semakin hebat sehingga jiwa-jiwa yang bersama dengan kita juga berasa baik dan selesa dengan kita.

Justeru, kita ketuk hati kita.

Tanyalah ia dengan azam.

Latihlah, dan disiplinkanlah diri ini.

Agar menjadi seperti kopi.


0 Komen:

Post a Comment