Kisah : Perancang Terbaik



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Disana diam seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya adalah membuat tempe dan menjualnya di pasar pada setiap hari.

Pekerjaan tersebut merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup dan tempe yang dijualnya di pasar adalah tempe yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi seperti kebiasaanya, dia sedang bersiap-sedia untuk menjual tempenya. Tiba-tiba, dia tersedar bahawa tempenya yang diperbuat daripada kacang soya itu masih belum menjadi, tetapi separuh menjadi.

Seperti kebiasaannya, tempe tersebut sudah menjadi sebelum dia turun bertolak ke pasar. Diperiksanya bungkusan yang lain, ternyata semuanya masih belum menjadi.

Perempuan tersebut sangat sedih bila memikirkan akan kesemua tempenya yang masih belum menjadi. Fikirnya, pasti tidak akan laku dan tidak menjadilah perniagaannya pada hari itu.

Dalam suasana hatinya yang bersedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Allah bahawa tiada yang mustahil baginya. Lalu dia pun mengangkat kedua tangannya dan berdoa.

" ... Ya Allah, jadikanlah kacang soya ini kepada tempe, amin ... "

Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya.

Dia sangat yakin bahawa Allah pasti akan mengabulkan permintaannya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jemarinya dan membuka sedikit bungkusan tempe untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu berubah manjadi tempe.

Namun, kacang soya tersebut masih lagi seperti itu.

Namun dia tidak putus asa.

Beliau berfikir bahawa doanya mungkin kurang jelas didengar oleh Allah. Maka beliau pun mengangkat kedua belah tangannya sekali lagi dan berdoa.

" ... Ya Allah, sesungguhnya tiada yang mustahil bagi-Mu. Bantulah aku supaya hari ini aku mampu menjual tempe kerana ini sahajalah mata pencarianku, aku mohon agar Engkau jadikanlah kacang soyaku ini supaya menjadi tempe ... "

Dengan penuh harapan, dia pun membuka bungkusan tersebut.

Apa yang terjadi?

Perempuan tersebut hairan kerana tempenya masih lagi belum menjadi. Sementara itu, matahari pula semakin tinggi dan sudah tentulah semakin ramai pelanggan yang berjual-beli di pasar hari itu.

Namun, dia tetap tidak kecewa dengan doanya yang masih belum termakbul. Dengan keyakinannya yang tinggi, dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan itu pun berserah segalanya kepada Allah sambil berdoa agar keseluruhan tempenya yang belum masak itu akan segera masak sepanjang dalam perjalanan nanti.

Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan berlaku dalam perjalanan nanti. Sebelum keluar dari rumah, perempuan tersebut sempat menghulurkan kedua belah tangannya untuk berdoa kepada Allah.

" ... Ya Allah, aku percaya bahawa Engkau pasti akan mengabulkan permintaanku. Sementara aku berjalan menuju kepasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, Engkau jadikanlah tempe ini, amin ... "

Lalu beliau berangkat menuju ke pasar sambil tidak lupa untuk berdoa kepada Allah. Sesampai sahaja di pasar, dia terus meletakkan semua barang-barang jualannya. Dalam pada itu, hatinya penuh yakin bahawa kesemua tempenya pasti sudah menjadi.

Dengan hati yang berdbar-debar, dia pun membuka dan menekan-nekan dengan jarinya akan setiap bungkusan tempe yang ada. Perlahan-lahan dia membuka bungkusan tempenya dan melihat isinya.

Tempenya masih belum menjadi.

Dia pun lalu menarik nafas dalam-dalam. Di dalam hatinya sudah mula timbul perasaan kecewa dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dimakbulkan. Malah dia berasakan bahawa Allah tidak adil.

Dia akhirnya duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya kerana dia pasti bahawa tiada orang yang ingin membeli tempenya yang baru separuh menjadi. Sementara itu, keadaan pasar mulai sepi dan pelanggan sudah banyak meninggalkan kawasan pasar.

Dia meninjau-ninjau kawan-kawan yang turut menjual tempe, yang semakin habis dijual. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa jualannya hari ini yang langsung tidak menjadi dan tiada hasil yang boleh dibawa pulang.

Walaupun begitu, disudut hatinya yang dalam masih menaruh kepercayaan yang kuat terhadap pertolongan Allah. Pasti Allah akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa dia tidak akan membawa pulangan langsung, namun dia terus berdoa kepada Allah buat kali terakhir sebelum pulang.

" ... Ya Allah berikanlah penyelesaian terbaik buat tempeku yang masih belum menjadi ini ... "

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita :

"Maaf ya, saya ingin bertanya, makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah mencari di sekeliling pasar ini tetap masih belum menjumpainya,"

Perempuan tua tersebut termenung seketika dan terpinga-pinga.

Dia berasa sangat gembira dan menyatakan kesyukurannya kepada Allah. Wanita itu pun terus memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu.

Sebelum wanita tersebut pergi, perempuan tua itu sempat bertanya, mengapa ingin membeli tempe yang belum menjadi?

Wanita tersebut terus menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu ingin dikirim ke England, si ibu tadi hendaklah membeli tempe yang belum menjadi.

Supaya sampai di England nanti, tempe tersebut pasti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, pasti disana nanti tempe tersebut tidak elok lagi dan rasanya pun tentu tidak sedap.

Allah telah mengabulkan doanya.

Penutup : Pengajarannya

Pertama, berbaik sangkalah. Kita sering memaksa kehendak kita kepada Allah sewaktu berdoa, sehinggakan apabila tidak menjadi, Dialah yang kita persalahkan. Sedangkan kita tahu bahawa Allah Maha Adil dan Maha Mengetahui akan apa yang terbaik buat kita.

Islam adalah agama yang adil. Apatah lagi Sang Pencipta yang empunya agama. Oleh itu, berbaik sangkalah terhadap pencipta kita.

Kedua, janganlah berputus asa. Percayalah bahawa Allah akan mengabulkan permintaan kita. Kalau bukan pengabulannya hari ini, mungkin hari esok, dan mungkin dalam bentuk yang labih baik buat kita.

Allah, Maha Mengetahui. Dialah sebaik-baik perancang.

Ketiga, tiada yang mustahil bagi Allah.

Keempat, kita mudah jatuh kepercayaan kepada Allah atas perkara-perkara yang kita inginkan tidak menjadi. Jadi, marilah kita memperteguhkan ketaqwaan kepada-Nya dan berdoalah semoga dijauhkan dari berputus asa kepada Allah.

Teruslah mengharap pada-Nya.


4 Komen:

hamba Allah said...

salam.
memeberi keinsafan...
teruskan perjuangan XD
insyaAllah..semoga mendapat keberkatan Allah. ameen!!

AnaAzizul said...

alaikumussalam ya hamba Allah.
alhamdulillah. smoga sampai ke
hati akhi/ukhti..insyaAllah
mudah-mudahan ana d'bri
kkuatan..

syukran atas ziarah wa doa buat
semangat..smoga kita dapat
manfaat =)

insyaAllah..

Anonymous said...

Salam.
You really are a good writer.
^_^

AnaAzizul said...

Wa'alaikumussalam 'Anonymous'.. thank you so much..

Semoga kita sentiasa dibawah rahmat-Nya..insyaAllah..

Semoga mendapat sedikit sebanyak manfaat..

Post a Comment