Musim BerTuhan?



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Syukur ke hadrat Allah atas kesempatan dan nikmat yang dikurniakan. Selawat serta salam buat Rasulullah dan sahabat yang mengajar akan keikhlasan dalam perjuangan.

Tumpahnya jasa kepada agama. Luhurnya budi tidak ditelan zaman. Indahnya qudwah tercatat dalam sejarah.

Semoga kita terus istiqamah dalam jalan dakwah.

Sekitar Tahun 2008

Jam menunjukkan pukul 4.15 pagi. Asrama kediamanku dikejutkan dengan bunyi-bunyi langkahan sekelompok manusia. Dalam lingkungan empat hingga lima orang. Dalam kesamaran awal pagi itu, dari dalam bilik, aku melihat adik-adik yang berbaju melayu lengkap. Ada juga yang berkain pelekat.

Ke mana mereka? Itu fikirku.

Sekilas kemudian baru aku sedar. Ke surau agaknya. Tahajjud. Mungkin hajat. Taubat barangkali. Maklumlah, bilangan hari menjelang ujian semakin hampir. Dalam membuat persediaan berbentuk teori, mereka tidak lupa bersedia dari segi rohani.

Alhamdulillah. Alangkah mulianya golongan seperti ini. Harapku semoga aku boleh menjadi sebahagian dari mereka. InsyaAllah. Doaku semoga kejayaan mereka setimpal dengan usaha.

Suatu pagi ...

Jam kulihat tepat pukul 4.30 pagi. Aku terus turun dari katilku dan terus melangkah ke surau. Hasratku agar aku boleh bersama berjemaah dengan mereka. Disana, aku tercari-cari.

Di mana kalian?

Pada masa yang sama, aku teringat bahawa hari ini genap satu hari selepas dua minggu ujian yang dihadapi. Mungkin di asrama. Penat agaknya. Hari-hari berikutnya, seperti biasa aku akan bergerak ke sana. Hasratku kali ini pasti aku boleh berjemaah bersama mereka.

Namun sekali lagi aku tercari-cari. Tiada.

Hal ini membuatkan aku berfikir akan keadaanku ketika sebaya dengan mereka dahulu. Ah, tidak perlu terkejut kerana aku juga dulu seperti itu. Tuhan diperlukan hanya pada saat-saat yang genting.

Menjadikan hidup ini bertambah satu lagi musim.

Musim berTuhan.

Agak susah untuk menegur. Kerana aku juga begitu, dahulu. Cukuplah sekadar sama-sama mengingatkan. Dulu ketika hampir ujian, kalamullah diaplikasikan seperti komik. Sukar untuk puas setelah membacanya. Tambah pula dengan nafsu dan perasaan untuk mentadabbur. Lagi dan lagi tanpa rasa ingin berhenti.

Namun setelah ujian, aku layan al-Quran itu seperti sebuah buku yang aku pun tidak memahami maksudnya. Perasaan untuk mentadabbur itu terbang begitu sahaja.

Kini, setiap waktu solat itu seolah-olah akan ada sesuatu yang penting untuk dilakukan selepasnya. Padahal akhirnya nanti hanya duduk bersembang dan bermain.

" ... alah, ujian bulan 8. Nanti bulan 7, aku mulalah solat hajat ... "

Mengapa Begitu?

Fitrah.

Ayat ini sangat suka digunakan dalam kebun ini. Fitrah manusia bukan? Fitrah manusia akan kembali kepada Tuhan. Asalnya kita dari tanah dan kembalinya kita ke tanah.

Yang ini, saya setuju.

Juga kembalinya kita kepada Tuhan hanya bila tibanya kepayahan, kesusahan, kebuntuan, kegagalan dan saat-saat diperlukan.

Yang ini, saya tidak setuju.

Ini sepatutnya bukan fitrah manusia

Tuhan hanya diperlukan pada musim gentir. Namun tatkala musim kelapangan, Dia dilupakan. Cukup sekadar yang wajib sahaja. Sunatnya kemana?

Firman Allah :

Dan apabila manusia ditimpa bahaya, dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri. Tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan ... (Surah Yunus ayat 12)

Bersediakah Kita?

Ramainya di antara kita yang tidak menghargai masa. Termasuklah diri penulis sendiri. Banyak sekali masa yang dibazirkan begitu sahaja dan hanya melakukan persediaan ketika waktu hampir tamat.

Peperiksaan? Kalau minggu depan, minggu inilah ramai yang bertungkus-lumus separuh nyawa. Minggu inilah segala-galanya. Sedih sekali, ada yang sanggup tidak tidur dan makan untuk menghabiskan topik yang belum selesai. Buang masa, katanya.

Makan dan tidur dianggap buang masa?

Alangkah zalimnya terhadap diri sendiri.

Sesuatu Yang Pasti

Kematian itu pasti.

Kematian itu tiba-tiba.

Tiada siapa yang tahu bilakah waktu akhirnya. Tiada siapa tahu bagaimana keadaan akhirnya. Hadirnya tidak mengira masa dan usia. Ketika melakukan kebaikan mahupun ketika melakukan kejahatan.

Bagaimana pula sekiranya hijab itu dibuka. Membuatkan kita semua mampu untuk melihat secara teliti akan tarikh, hari dan masa ketibaan.

Sejadah akan segera dicari.

Solat akan dilakukan sebanyak-banyaknya. Juga doa.

Malamnya pula akan sentiasa dipenuhkan dengan qiamullail. Tahajud, taubat tak tinggal. Harta, pangkat, kekayaan, kemasyuran, semuanya dilupakan begitu saja.

Itu sekiranya hijab dibuka.

Hakikatnya Allah tidak akan secara percuma memberitahu masa tibanya. Kerana tidak ingin manusia menjadikankan-Nya keperluan yang bermusim.

Musim ini Dia dilupakan.

Musim itu Dia sangat-sangat diperlukan.

Musim berTuhan.

Kerana Dia ingin mengajar kita bahawa Dia tidak memerlukan manusia namun manusialah yang memerlukan Dia.

Penutup

Ya, kita perlukan dia. Setiap ketika.

Tidak hanya pada musim tertentu.

0 Komen:

Post a Comment