Pengalaman Mengajar Erti Tanggungjawab



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Dengan nama-Nya yang Maha Kaya saya mulakan bicara. Mohon dijauhkan dari segala sifat-sifat mazmumah dan dikurniakan akhlak-akhlak mahmudah. Selawat dan salam buat Rasulullah, keluarga dan sahabat.

Alhamdulillah, suatu pagi saya berkesempatan untuk menjejakkan kaki ke salah satu antara pasaraya terbesar di miri. Walaupun tidaklah sebesar mana sekiranya dibandingkan dengan yang terdapat di semenanjung sana.

Parkson Grand (Sedikit promosi buat pembaca-pembaca dari semenanjung dan luar negara. Hehe). Setelah sekian lama tidak menegangkan urat mata untuk melihat beraneka barang dan sebagainya yang dijual di sana.

Berjalan, Melihat dan Mentafsir

Istilah ini kebiasaannya dianalogikan kepada seseorang individu yang berjalan di bumi sambil melihat akan benda-benda dan keadaan di sekelilingnya disamping mentafsir segala tindak-tanduk yang berlaku berlandaskan syariat agama.

Seterusnya, kembali melihat dan mentafsir kekuatan diri yang sepatutnya disyukuri dan kelemahan diri sendiri yang harus segera diubati.

Akhirnya, sikap tersebut membuatkan individu tersebut berfikir dan semakin berfikir selain menyatakan ucapan syukur mungkin kerana keadaannya tidak seperti yang dilihat juga beristighfar yang mungkin kerana dirinya serba-serbi sama.

Sikap yang sangat tinggi nilainya bagi seorang yang mudah lupa.

Kebiasaannya, bukanlah sifat saya untuk berjalan, melihat dan sekaligus mentafsir. Mungkin perlu diubah sedikit. Berjalan, melihat dan kadang-kadang mentafsir.

Namun kini, saya mencuba untuk mempraktikkan sikap tersebut dalam kehidupan dan pagi itulah permulaannya setelah berkurun sikap itu ditinggalkan.


Aku kembali berjalan, melihat dan mentafsir. Semoga dengannya aku akan sentiasa ingat akan tanggungjawabku di sini. InsyaAllah.

Perjalanan Yang Membuka Mata

Pagi itu, saya menggunakan motosikal. Bermula dari kawasan rumah sehinggalah ke tempat pertemuan dengan kawan-kawan (Sebenarnya keluar bukan saja-saja tetapi ada tugas yang hendak dilangsaikan).

Dalam perjalanan ketika di kawasan pasar, apa yang dilihat? Saya melihat pelbagai jenis dan banyaknya bilangan kenderaan disekeliling.


Dan perkara yang tidak dapat dilupakan adalah bagaimana saya hampir terlibat dalam kemalangan ketika sebuah kereta tiba-tiba keluar dari satu simpang yang kecil. Aduh. Semuanya tidak dapat dijelaskan dengan tulisan.

Syukurlah kerana saya bukan seorang yang mudah fobia terhadap sesuatu perkara yang berlaku secara mengejut. Sepanjang perjalanan menuju ke destinasi, aku sebenarnya masih dalam keadaan terkejut namun wajah yang cool menampakkan bahawa situasi nampak agak terkawal dan tenang.

Nasib baik hanya bunyi hon motosikal dan kereta yang berbalas pantun, bukannya perkataan (Tapi di hati siapa tahu). Peristiwa tersebut secara langsung membuatkan saya lebih berhati-hati pada setiap putaran roda dan pergerakan saya.


Perjalanan diteruskan.

Sebelum sampai di bangunan kuning yang setengah daripadanya masih dalam pembinaan itu, aku singgah sebentar di Hotel Mega. Mencuri masa untuk menyiapkan sebahagian kerja yang juga masih belum selesai.

Aku melalui satu kawasan atau lebih tepat lagi pintu masuk bangunan. Di sana aku melihat seorang individu yang sedang bermain alat muzik piano dengan sebuah tin diletakkan dihadapannya.


Dia insan istimewa. Merdu bunyi alunan muzik yang dimainkan.

Justeru teringat akan firman-Nya :

"Sesiapa yang beramal soleh daripada lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik, dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka akan pahala mereka dengan balasan yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan," (Surah an-Nahl ayat 97)

Tiba-tiba terasa ingin berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan itu. Akhirnya perasaan jadi kenyataan. Rezeki dari Allah buat seorang insan yang istimewa menampakkan jumlah isi dalam tin semakin bertambah.

Alhamdulillah, rezeki dia.

Paling kurang aku ada melakukan. Mana tahu bila tiba hari aku kelak (mohon dijauhkan dari segala kecelakaan. Amin), ada juga jasad-jasad yang sudi menghulurkan bantuan.


Di Mana Agama? Ke Mana Budaya?

Seusai melaksanakan tugas di sana, aku teruskan perjalanan untuk berjumpa dengan kawan-kawan yang menanti sekian lama. Maaf kerana lewat.

Mencuri masa untuk kebaikan bersama. Seterusnya, kami teruskan langkah ke foodcourt. Mengisi perut dengan sedikit alas dan membasahkan tekak yang mulai terasa kering.


Jus lobak dan sedikit nasi lemak cukup mengenyangkan.

Perjalanan kami diteruskan dengan cerita masing-masing disamping sedikit-sebanyak gurau senda. Di sana, saya melihat, bahawa manusia itu punya pelbagai rupa.

Di sudut ini, manusia itu tahu tanggungjawabnya. Dia ada misi dan objektif. Di sudut yang lain, manusia seolah-olah seperti tiada tanggungjawab. Berhabisan dia bergembira. Tidak sedar agaknya, bahawa ada yang memerhatikannya.

Persoalan adab, semuanya ditolak tepi.

Mereka, seagama dengan saya. Namun, agama seolah-olah hanya sekadar hiasan pada kad pengenalan. Juga satu ungkapan yang sangat mudah diungkapkan. Namun apakah kita sedar akan segala tingkah laku yang kita lakukan setiap ketika itu menampakkan bahawa kita sebagai seorang yang berpegang teguh dengan nilai agama?

Benar syahadah itu mudah kita tuturkan ketika ini. Ketika nyawa masih dikandung badan. Terfikirkah kita akan kepayahan dan kesukaran untuk mengungkapkan kalimah itu saat berhadapan dengan sakaratul maut nanti?


Ini bukan perkara baru. Tetapi soal sejak dahulu.

Harapnya kita mampu menyoal diri akan usaha islah yang sudah, sedang dan akan dilakukan terhadap diri kita. Semoga soal sejak dahulu itu mampu kita tinggalkan hanya sebagai sejarah yang tidak perlu diingati.

Budaya cemar, buanglah.


Apa yang lebih menarik perhatian saya ketika itu adalah persoalan dimana kita meletakkan agama dalam kehidupan. Teringat saya akan satu program yang dilakukan di sekolah lama dahulu. Program nadwah kepimpinan.

Tugasannya, kami kumpulan fasilitator diberi masa untuk memikirkan satu nama program yang seterusnya akan dibentangkan oleh ahli kumpulan masing-masing. Pelbagai nama diutarakan termasuklah anti-pornografi dan lima nama lagi yang tidak dapat diingat.

Nama program yang dapat saya fikirkan adalah ad-Din comes first.


Agama dititikberatkan dahulu sebelum yang lain. Pembentangan program daripada ahli kumpulan sangat memuaskan. Harapnya semua isi yang diutarakan sampai ke hati semua yang mendengar dan mudah-mudahan semua yang terlibat dapat menitikberatkan nilai agama dalam kehidupan masing-masing sehingga sekarang.

Itu halnya di sekolah lama.

Kini? Ayuh. Biarlah ad-Din comes first. Selama-lamanya. Juga membawa kesucian agama dengan budaya yang mulia.

Kalau bukan sekarang, bila?



1 Komen:

Rockstarbabu said...

Thanks for post. It’s really imformative stuff.
I really like to read.Hope to learn a lot and have a nice experience here! my best regards guys!
--
rockstarbabu
--

seo jaipur--seo jaipur

Post a Comment