Mari Beringat Sebentar



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Tiga tahun yang lepas, iaitu tahun 2006, saya masih lagi seorang budak menengah rendah. Tahun seterusnya, saya mula menginjak setapak, kepada sebagai seorang budak menengah atas. Dulu saya digelar adik dan tahun seterusnya pula, saya digelar dengan panggilan abang.

Begitulah seterusnya.

Saya sekarang, lebih dewasa dari dahulu. Benarlah masa itu tidak mengenal sesiapa. Akan terus pergi dan berlalu begitu saja, meninggalkan segalanya dibelakang, sebagai kenangan.

Bila terkenangkan umur saya yang semakin meningkat, hati saya mula merasa sepi dan sayu. Perasaan sunyi dan kehibaan yang sangat tiba-tiba hadir tanpa diundang.

Saya tidak pasti sama ada anda pernah mengalami perasaan yang halus seperti itu. Namun, itulah yang sedang saya hadapi sekarang. Mungkin itulah saya. Seorang yang suka mengimbau dan mengingat kembali kenangan dan peristiwa pahit manis ketika saya yang masih lagi sebagai sebiji buah yang mentah, belum begitu masak.

Jadi, mari beringat sebentar.

Saya dan kita semua, dibentuk dengan pengalaman.

Dan itulah yang menjadikan kita hari ini.

Pengalaman itu, mengajar kita akan segala erti sebenarnya. Kalau kita dahulu berkawan dengan seorang penjual wangian, kita juga turut akan ditempiaskan dengan wangian itu. Sekaligus, kita mula dibentuk dengan sikap dan akhlak yang wangi.

Tidak kurang juga liku-liku masalah yang kita hadapi. Kita mula mencari jalan demi jalan untuk menyelesaikan masalah itu, dan akhirnya kita beroleh kemenangan.

Tempias wangian dan segala masalah itu, sebenarnya telah memasakkan kita. Kita terus diajar dan belajar menjadikan kita masak tanpa sedar. Kelakuan dan pemikiran kita yang menjadi bukti segalanya.

Hidup kita, semakin hari semakin berubah.

Kita sekarang berbanding masyarakat lampau, jauh bezanya. Ternyata kehidupan mereka yang lalu lebih mementingkan hubungan dengan Allah sekaligus hubungan sesama manusia. Bahkan sekarang, kawan rapat pun boleh menjadi lawan. Ukhwah, tidak ubah hanya sekadar perkataan.

Muhasabah Diri

Mengingati sejarah, menjadikan saya terfikir seketika, tentang bagaimana kesudahan kita kelak. Baik atau buruk. Matlamat kita adalah ke kampung syurga kerana itulah kampung halaman kita yang sebenarnya, yang pernah dihuni oleh Adam dan Hawa sebelum diturunkan ke dunia yang penuh dengan ujian dan kepayahan.

Kita akui, bahawa kita tidak sempurna. Kita bukan maksum.

Dosa-dosa kecil itu, memang sukar untuk dielakkan. Namun sekurang-kurangnya, sisipkanlah walau sedikit rasa takut akan azab Allah, kerana itu akan membuatkan kita lebih berhati-hati dalam kehidupan kita, pada masa-masa akan datang.

Berfikirlah, mari beringat sebentar.

Kerana dengan dosa kecil yang dibiarkan, ianya mungkin akan menjadi satu kebiasaan dan tidak mustahil jika dikumpul dan terus dikumpul, menjadi bukit dosa yang besar akibat kelaziman kita melakukannya.

Menyesali Dosa Lepas

Seorang ulama, Syeikh Ibnu Athaillah as-Sakandari menyebut :

"Satu maksiat atau dosa yang menyebabkan kamu merasa kerdil, rendah diri, hina dan hancur hati kerana penyesalan dan taubat itu adalah lebih baik dari melakukan taat yang menjadikan kamu merasa agung, hebat dan bangga sehingga ke tahap ujub."

Perasaan bersalah, hina, rendah diri, kerdil, luluh hati mengenangkan dosa-dosa silam yang dilakukan sehingga menimbulkan perasaan bertaubat itu sebenarnya adalah lebih baik daripada seorang alim yang merasa dirinya hebat dengan ilmu yang diperolehinya.

Seorang faqih yang sombong dan merasakan dirinya bersih dengan amal ketaatan kepada Allah dan memandang rendah orang lain, dengan seorang pelacur yang menyesali dan menangisi dosa lampaunya lalu bertaubat dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Manakah yang lebih dikasihi dan manakah yang dibenci Allah?

Itulah yang dimaksudkan oleh ulama itu.

Kemudian, beliau menyambung pula :

"Berkemungkinan telah ditakdirkan bagi kamu supaya melakukan dosa atau maksiat sebagai sebab untuk kamu sampai kepada keredhaan Allah (sehinggalah perasaan berdosa, bersalah dan hina tadi akan menyebabkan kamu berubah menjadi soleh)."

Kata-kata beliau ini, dalam maksudnya.

Sayangnya Allah kepada kita.

“Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh ; maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebaikan. Dan Allah maha Pengampun lagi maha Penyayang ." (Surah al-Furqan ayat 70)

Menyesali keburukan itu, lebih baik dari melakukan kebaikan.

Beringat akan benda ni, baik juga ya?

Jadi, mari sama-sama beringat.


4 Komen:

Mohammad Faize said...

salam alaik syeikh.. bna ya.. banding ngan org alim yg sombong, bagus gk org biasa yg bertaubat.. subhanallah xlamak ana balit!

AnaAzizul said...

w'salam syeikh ..

SubhanAllah, smoga kita dijauhkan dari sifat
sombong.

repent taubat always .. !

insyaAllah

ana tunggu anta, sahabat ..

Anonymous said...

Assalamualikum....
Beringat sebentar jak ka?=D
hehe...
it is true..dalam kehidupan,kta memang ada polah slh la...kta xbersifat maksum..
Allah maha mendengar.. setiap yang berlaku,ada hikmah yang kdg2 kita pun x terfikir...
Subhanallah...

AnaAzizul said...

wa'alaikumussalam anonymous..

er..insyaAllah dengan kita istiqamah dalam beringat walau sebentar, akan membawa kita untuk terus beringat buat selama-lamanya..

selalunya, kita mudah ingat kebaikan yang kita polah, tapi sukar mok ingat dosa yang kita polah..sedangkan, mengingati kesalahan lalu ya adalah penting untuk kita muhasabah kembali..

semoga kita jumpa hikmah yang Allah cuba sampaikan kt kita..

insyaAllah..

Post a Comment