Tokoh : Pembukaan Konstantinopel



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Segala pujian bagi Allah kerana mengurniakan nikmat iman dan nikmat islam. Tuhan yang maha menciptakan segala yang ada dilangit dan dibumi dengan bijaksana. Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Dia.

Selawat dan salam buat Rasulullah dan keluarga serta para sahabat yang memperjuangkan Islam dan mengajar erti ketabahan.

Ketika menggali perit dalam perang kandak, Rasulullah bersabda :

"Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera ... " (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Ramai umat Islam yang berlumba-lumba dalam membebaskan Konstantinopel untuk mendapatkan penghormatan yang dikatakan oleh nabi melalui hadis tersebut.

Walaubagaimanapun, kesemua kempen yang dijalankan menemui kegagalan. Antaranya, lima kempen pada zaman kerajaan Umayyah, satu kempen pada zaman pemerintahan kerajaan Abbasiyyah dan dua lagi kempen pada pemerintahan Uthmaniah.

Dalam sebuah kempen pada zaman pemerintahan kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar nabi iaitu Abu Ayyub al-Ansary telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu kota konstantinopel atas wasiatnya sendiri.

Apabila ditanya mengapa beliau ingin dimakamkan di situ, beliau menjawab :

" ... kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan konstantinopel ... "

Teguhnya iman seorang sahabat besar nabi.

Hadis nabi s.a.w ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh khalifah ketujuh kerajaan Uthmaniah bersama-sama 150 000 orang tenteranya.

Sultan Muhammad al-Fatih.

Pengenalan

Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 masihi di Adrianapolis (sempadan Turki - Bulgaria). Sejarah hidup baginda sebenarnya telah tertulis dan bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai 'sebaik-baik raja' dalam hadis tadi.

Juga digelar al-Fatih atas kejayaannya membuka kota Konstantinopel.

Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 - 1481). Baginda merupakan seorang negarawan yang ulung dan panglima tentera yang agung yang memimpin sendiri 25 kempen perang.

Baginda mangkat pada tahun 1481 kerana penyakit gout. Terdapat ahli sejarah yang berpendapat baginda mangkat kerana diracun.

Pendidikan

Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin al-Wali yang dikatakan dari keturunan Saidina Abu Bakar as-Siddiq. Dalam ilmu peperangan pula, baginda diajar tentang teknik peperangan, menunggang kuda dan memanah oleh panglima-panglima tentera.

Dalam bidang akademik pula, beliau merupakan seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam tujuh bahasa iaitu bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew.

Dalam ilmu pemerintahan, ayah baginda, Sultan Murad 2 dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk di Pulau Magnesia, telah melantik baginda yang baru sahaja berumur 12 tahun untuk memangku jawatan khalifah.

Dalam usia semuda ini, baginda sudah mampu menangani helah musuh.

Keperibadian

Sentiasa bersifat tawadhu' dan rendah diri. Semasa membina benteng Rumeli Hissari, baginda membuka baju dan serbannya serta turut sama mengangkat batu-batu dan pasir sehingga para ulama' juga ikut serta.

Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulama' dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.

Persiapan Membebaskan Konstantinopel




Selama 2 tahun selepass menaiki takhta, baginda mengkaji pelan kota Konstantinopel setiap malam bagi mengenal pasti segala kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan terdahulu serta berbincag dengan panglima-panglima perangnya tentang strategi-strategi yang sesuai digunakan.

Baginda memerintahkan agar dibina peralatan-peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300 kg sejauh satu batu.

Benteng Rummeli Hissari dibina di tebing sebelah eropah, lebih kurang lima batu dari kota Konstantinopel di mana selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu.

Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi selat Bosphorus. Perjajjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hunggary untuk memencilkan Konstantinopel apabila diserang nanti.

Baginda membawa bersama para ulama' dan pemotivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri kubu kota Konstantinopel, baginda mengarahkan agar dilaungkan azan dan didirikan solat secara berjemaah.

Tentera Byzantine gentar melihat 150 000 orang tentera Islam bersolat dibelakan pemimpin mereka dengan membunyikan suara takbir memecah kesunyian alam.

Serangan Ke Atas Konstantinopel

Setelah segala persiapan lengkap diatur, baginda menghantar utusan kepada raja Byzantine meminta supaya beliau menyerah. Keengganan menyebabkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan.

Kota tersebut dihujani peluru meriam selama 48 hari. Sesetengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih lagi kukuh.

Seterusnya baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi daripada kubu kota Byzantine dengan memuatkan ratusan orang tentera. Tentera Byzantine berjaya memusnahkan menara tersebut setelah menara itu menebusi kawasan tengah kubu mereka.

Seterusnya, pope vatican di rome menghantar lima buah armada yang dipenuhi dengan armada dan tentera. Perairan teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada tentera Uthmaniah. Keadaan ini telah menaikkan semula semangat tentera Byzantine.

Perang Berterusan

Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya mereka dikejutkan dengan 72 buah kapal perang Uthmaniah di perairan teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan baginda mengarahkan supaya mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian dilancarkan semula ke perairan teluk Golden Horn.

Taktik ini diakui sebagai antara taktik peperangan yang terbaik di dunia oleh para sejarawan barat sendiri. kapal-kapal itu kemudiannya membedil belakang kubu kota.

Kapal-kapal perang Byzantine habis terbakar kerana bedilan dari meriam tentera Uthmaniah. Justeru, pertahanan tentera Byzantine semakin lemah.

Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberi semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada hadis Rasulullah dan bersama-sama berdoa kepada Allah.

Keesokan paginya, tentera Uthmaniah mencuba untuk memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit dari tentera Byzantine menyebabkan ramai yang gugur syahid. Baginda mengarahkan tentera baginda berundur dan tembakan meriam diteruskan sehingga tengahari.

Karisma Seorang Pemimpin

Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera baginda sultan. Pada saat yang genting ini, baginda berucap untuk menaikkan semangat tenteranya :

" ... wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku ...! "

Mendengarkan itu, Hasan Ulubate yang merupakan salah seorang tentera baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 orang tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh dan memacakkan bendera Islam di situ. Mereka semuanya gugur syahid setelah dihujani panah-panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan tentera Byzantine sambil melaungkan kalimah takbir sekuatnya.

Penawanan Konstantinopel

Pada 29 Mei 1453, kota Konstantinopel jatuh ketangan tentera Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam secara keseluruhan). Gereja besar st. sophies ditukarkan kepada masjid Aya Sofiya.

Lantas, baginda dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah baginda diberikan gelaran " al-Fatih " yang menang kerana kejayaannya membuka kota Konstantinopel.

Itulah yang dimaksudkan Rasulullah dalam hadis baginda.

Sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera.

1 Komen:

Anonymous said...

Thanks for post. It’s really imformative stuff.
I really like to read.Hope to learn a lot and have a nice experience here! my best regards guys!
--
rockstarbabu
--

seo jaipur--seo jaipur

Post a Comment