Kasih Sayang : Sejauh Mana?



Hari ini 14 Februari tahun 2010.

Dikatakan hari berkasih-sayang.

Antara hari yang dinantikan.

Terutama bagi kita yang sedang mabuk dan tenggelam dalam arus cinta dan kasih sayang. Maklumlah, semua sedia maklum bahawa hari ini, adalah hari besar dimana semua jiwa yang bercinta akan menterjemahkan cinta mereka dalam bentuk apa sekalipun kepada insan yang mereka sayang.

Kenapa agaknya?

Kerana kita sejak dahulu lagi sudah diberitahu dan dipengaruhkan dengan kenyataan, bahawa hari itu adalah hari cinta dan kasih-sayang. Sedangkan kita tidak tahu, adakah kenyataan itu bersumberkan ajaran islam ataupun tidak. Maka, kita akan lihat ramai khususnya remaja akan menggunakan sepenuhnya hari ini, untuk berkepit, rapat dengan pasangan mereka.

Saya? Maaflah, saya tidak menyambutnya.

Saudara saya sekalian?

Muslim?

Semoga anda juga bersama saya.

Tidak perlulah saya menceritakan lagi akan apakah sebabnya. Cukuplah sekadar memberitahu bahawa sambutan perayaan itu langsung tidak bersumberkan ajaran islam. Maka, cukuplah saya mengingatkan diri saya dan kita semua, akan sebuah hadis :

Rasulullah bersabda :


Sesiapa yang meniru sesuatu kaum, maka dia adalah dari kaum tersebut.

(Hadis riwayat Tarmizi)

Justeru, kita langsung tiada hak untuk merayakannya. Para sahabat, para salaf dan tabi'in yang hidup sebelum kita juga tidak pernah menyambut perayaan seumpamanya. Sepertinya kita ini mengubah tradisi.

Kita sepatutnya hanya sekadar menghormati. Menghormati insan-insan yang merayakannya. Samalah juga seperti perayaan-perayaan lainnya yang terdapat di negara kita, yang tidak bersumberkan daripada ajaran islam.

Baik, terus kepada tajuk.

Hari ini, bicara perihal kasih-sayang.

Sejauh Mana Kasih-Sayang?

Pernahkah dalam kehidupan, kita fikirkan sejauh mana kasih dan sayang kita sebenarnya? Sedalam mana dan seikhlas mana kasih kita kepada ibu bapa, adik beradik, kaum keluarga, sahabat dan rakan, guru-guru, sehinggalah kepada insan-insan di sekeliling kita.

Sejauh mana ikhlasnya kasih-sayang kita kepada mereka. Adakah hanya pada waktu dan hari yang tertentu sahaja kita mencurahkan kasih kita yang terbaik kepada mereka? Atau seperti biasa, tiada yang istimewa.

Mari tanya diri kita.

Ibu kita melahirkan, membesarkan dan menjaga kita semenjak kita kecil sehinggalah kita mampu berfikir dengan waras pada hari ini. Ayah kita pula berhempas-pulas mencari rezeki untuk santapan dan keselesaan kita sekeluarga.

Mereka memberikan belanja. Menunaikan segala kehendak dan keinginan dan memberikan sepenuh tumpuan dan perhatian kepada kita, supaya kita nanti, apabila dewasa menjadi orang yang berguna. Setiap masa dan ketika, mereka menyayangi kita.

Kita pula?

Hanya mencurahkan kasih dan sayang kita pada mereka pada hari ibu, hari bapa dan harijadi mereka sahaja. Hari-hari lain, jarang sekali. Sesetengahnya pula langsung tidak mengucapkan selamat walaupun pada hari yang istimewa bagi mereka.

Adakah cukup sekadar itu?

Guru-guru telah menyumbangkan ilmu dan mengajar kita akan pengetahuan-pengetahuan yang berguna untuk kita pada masa hadapan. Mereka memberi tunjuk ajar, menyampaikan kalam-kalam nasihat, memberi semangat dan sebagainya.

Sepanjang di sekolah, mereka mencurahkan kasih-sayang kepada kita.

Kita pula hanya mencurahkan kasih kita kepada mereka pada tanggal 16 Mei sahaja. Kita lakukan aktiviti-aktiviti bersama mereka lalu selepas tarikh itu, kita seringkali menyakiti hati mereka. Melanggar suruhan, tidak mendengar kata.

Menyebabkan mereka bermasam muka, menangis.

Adakah sejauh itu sahaja?

Penutup : Atas Dasar Apa?

Kita perlu muhasabah kembali.

Akan dasar yang kita pegang.

Atas dasar apa kita bina kasih dan sayang kita kepada mereka-mereka yang kita sayang? Dan kita perlu tahu, atas dasar apa pula binaan itu akan rosak. Adakah binaan kasih itu kukuh dan kuat apabila hadirnya hari-hari tertentu, lalu rosak dan tidak dijaga pada hari-hari lainnya.

Justeru, dasar ini perlu kita lihat dan fahami.

Perlu kita cuci dan baiki setiap hari.

Kasih-sayang yang kita bina itu, biarlah paksi dan tunjangnya kerana Allah. Apabila paksinya sudah lurus dan betul, maka kita akan bertindak menterjemahkan kasih sayang itu pula dengan mengikut aturan yang betul.

Lalu kita akan melihat, tiadalah manusia yang akan berlebih-lebihan mengagungkan cinta dan sayang seperti pada hari ini. Tidak akan ada lagi jiwa yang menjual dan menggadaikan dengan murah nilai sebuah maruah.

Akhirnya, saya yakin dan percaya.

Bahawa setiap hari adalah hari yang istimewa.

Untuk kita curahkan kasih pada insan yang kita sayang.

Dengan tetap berpegang teguh kepada syara' dan juga patuh pada batasnya. Tidak berlebih-lebihan sehingga mengakibatkan kita terjerumus ke dalam lembah kekotoran, sehingga mendatangkan mudarat.

Dasar ini, perlu kita pegang, kita genggam.

Agar nilai cinta dan maruah itu, terus suci berseri.

Tanpa disentuh budaya yang cemar.

0 Komen:

Post a Comment