Langkahan Ini Perlu Kuat



Apa khabar iman kita?

Apa khabar hendaknya amalan kita?

Apa khabar hak-hak yang wajib kita tunaikan?

Doa saya, semoga semuanya sejahtera.

Khabar ini saya tujukan buat diri saya dan sekalian pembaca, yang imannya seringkali berlaku turun naik, seperti ombak di lautan. Lalu ombak iman itu tadi, memberi kesan kepada amalan yang dilakukan sehari-hari.

Khabar yang saya tujukan, supaya kita sentiasa berwaspada.

Berwaspada dengan keadaan iman kita ini.

Supaya apabila ia jatuh, turun menjunam seperti sebuah kapal terbang yang rosak di tengah lautan angin kencang, atau turunnya seperti dedaun kering perlahan-lahan ke tanah, perlu kita naikkan semula, kita baiki supaya tidak terus turun.

Dibiarkan rosak sepanjang jalan.

Turunnya iman itu terus-menerus tanpa ada usaha keras untuk membinanya kembali, adalah antara tanda bahawa hati ini telah mati. Mati dari mengingati zat yang Maha Kuasa. Maka bergembiralah sang durjana syaitan, kerana berjaya membisikkan kata-kata rayuannya.

Menolak manusia jauh dari Allah.

Naiknya iman itu kembali dari kerosakan, menunjukkan jiwa dan roh itu masih bernyawa dan bernafsu untuk mengerjakan suruhan, kembali kepada Tuhannya. Lalu mengalahkan bisikan syaitan, yang berjanji akan menyesatkan manusia sehingga akhir keturunan.

Namun, kita diciptakan lemah.

Kita perlukan sesuatu untuk membakar jiwa yang sedang dalam keadaan nazak ini. Kita sentiasa perlukan peringatan, sebelum tibanya peringatan dari Allah yang sesungguhnya tidak terfikirkan dahsyatnya.

Maka, saya ingin sisipkan sebuah kisah.

Sebagai ingatan, dan pesanan dari saya.

Buat pemangkin, dan semangat untuk terus ikhlas.

Dan bernafsu untuk melonjakkan iman.

Mengubati jiwa yang nazak ini.

Terimalah.

Kisah Batu Pengisar

Suatu hari, Rasulullah menziarahi Siti Fatimah.

Fatimah ketika itu menangis.

"Apakah yang menyebabkan engkau menangis, wahai Fatimah?" Baginda nabi bertanya kepada Fatimah.

"Wahai ayahanda, aku menangis kerana aku amat letih mengisar tepung dan menjalankan kerja-kerja rumah. Sekiranya dapat, ayahanda tolonglah suruh Ali belikan seorang hamba untuk menolong kerja-kerja ini," Jawab Fatimah.

"Dan ia pasti menjadi kurniaan yang besar buat anakanda," Sambungnya.

Begitu sedih bunyinya.

Rasulullah juga turut merasakan kesedihan yang dialami anaknya yang tercinta itu, sehingga mengalirkan air mata. Lalu baginda berkata kepada Fatimah.

"Wahai Fatimah, jika engkau letih melakukan kerja-kerja rumah, maka bacalah Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali dan Allahuakbar 33 kali. Nescaya engkau akan dapati kalimah-kalimah ini merupakan penolongmu yang lebih hebat daripada seorang khadam yang sememangnya dapat aku berikan," Kata Rasulullah, tenang.

Baginda kemudiannya menghampiri batu pengisar itu.

Lalu memasukkan segenggam gandum sambil membaca Bismillah.

Tiba-tiba, batu pengisar itu bergerak mengisar gandum dengan sendirinya sambil melafazkan ucapan tasbih dengan bahasa yang sangat indah. Setelah habis gandum itu dikisar, Rasulullah seraya menyuruh supaya batu itu diam dan berhenti.

"Diamlah wahai batu pengisar. Cukup, tidak perlu kisar lagi," Kata baginda.

Ketika itu, Allah mengizinkan batu itu berkata-kata.

Dengan izin-Nya, batu itu berkata dengan fasih.

"Demi Allah yang mengutusmu dengan kebenaran seorang rasul, bahawa aku tidak akan diam selagi engkau tidak memberikan jaminan kepadaku bahawa aku akan ditempatkan di dalam syurga dan dijauhkan daripada api neraka," Batu berbicara, fasih.

"Sesungguhnya aku mendengar satu ayat daripada al-Quran," Katanya.

"Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka, yang bahan pembakarnya adalah manusia dan batu-batu. Di atasnya terdapat malaikat yang amat garang dan tidak pernah ingkar daripada melaksanakan perintah Allah," Batu itu membacakan ayat al-Quran.

"Maka, apabila aku mendengarkan ayat ini, aku taku bahawa aku nanti akan dimasukkan ke dalam api neraka," Kata batu pengisar.

Rasulullah mendoakan batu tersebut.

Lalu Allah utuskan Jibril kepada baginda.

"Wahai Muhammad, Tuhan yang bagi-Nya segala puji-pujian dan yang maha tinggi penghormatan kepadamu, berpesan kepadamu untuk sampaikan berita gembira kepada batu itu bahawa Allah telah melepaskannya dari api neraka," Kata Jibril.

"Allah akan meletakkannya bersama-sama batu-batu syurga di dalam mahligai Fatimah di akhirat, yang mana batu ini nanti akan mengeluarkan cahaya yang terang menyinari mahligai itu bagai sinar matahari yang menyinari dunia ini," Sambungnya.

Penutup : Kuatkan Langkah

Cerita sebuah batu pengisar.

Sebuah batu, yang tinggi gerunnya kepada neraka Allah.

Tinggi rasa takutnya kepada Allah, sehinggakan setelah menyedari bahawa dirinya bakal menjadi antara jutaan batu yang menjadi bahan bakar di neraka kelak, dia meminta agar Rasulullah memberikan jaminan untuknya selamat.

Batu itu hanya sekadar batu.

Batu itu, hanya batu.

Yang pada kita, tidak langsung merasakan apa-apa kesakitan kerana bentuk semula jadinya yang keras. Lontarlah batu itu pada lantai, di mana kesudahannya hanyalah pecah dan tidak langsung menjerit sakit.

Bakarlah batu itu dengan api lilin, yang akhirnya tiada kesan lain melainkan batu itu menjadi panas dan kehitam-hitaman, lantas menyebabkan kita melepaskannya lantaran panas akibat dibakar.

Kita pula yang menjerit.

Itu sifatnya batu.

Namun, kita ini manusia.

Kita, manusia.

Bukannya batu.

Yang hakikatnya punya deria untuk merasa.

Lontarlah apa-apa batu pada diri kita, dan dengan mudah kita akan berasa sakit, luka parah. Bakarlah hanya sekadar jari kita ini dengan api, yang akhirnya akan menyebabkan air mata mengalir, menahan panas yang sungguh memeritkan.

Justeru, apakah ada alasan untuk kita tidak bersungguh-sungguh dalam mengelakkan diri kita dari neraka Allah? Apakah ada alasan untuk kita tidak mengerjakan segala suruhan dan hak-hak yang Dia amanahkan dan kita tunaikan?

Sungguh, neraka itu panas.

Panasnya lebih dari panasnya api dunia.

Maka, bersungguh-sungguhlah.

Bersungguh-sungguhlah menjadi seorang muslim, seorang muslim yang mukmin. Bersungguh-sungguhlah untuk mencapai nilai taqwa yang tinggi disisi Allah. Bersungguh-sungguhlah kita dalam mendapatkan syurga Allah. Bersungguh-sungguhlah dalam amalan kita sehari-hari., bersungguh-sungguhlah dalam keihlasan.

Cekalkanlah hati dalam keikhlasan.

Kejarlah redha Allah, kejar kasih-Nya, mohonlah hidayah-Nya.

Supaya akhirnya nanti, kita akan menjadi seperti batu tadi. Yang bersinar menyinari padang mahsyar seperti matahari yang menyinari bumi.

Langkah itu, kuatkanlah.

Biar ranjau itu berduri, panas menyengat.

Cuba tahan, lawan sekuat hati.

Kerana Allah ada bersama kita.


4 Komen:

Mohammad Faize said...

subhanallah,tersentuh hati baca post tok gjul :) jazakumullahukhairan

AnaAzizul said...

Assalamualaikum Faize ..

"Antara tanda hati yang masih hidup adalah apabila dibacakan ayat al-Quran, hatinya tersentuh dan segera takut akan Allah,"

Alhamdulillah akhi..moga2 kita selalu update iman bila diserang virus bisikan lembut dari Syaitan.

Sama-sama kita brik peringatan..

"Sampaikan firman Tuhanmu,"

(Teringat kat cerita Sang Murabbi)

Afwan..

I*K*T*I*R*A*F said...

salam ziarah tuan rumah..

kurang,masih kurang rasanya iman di dada.banyak capiknya,banyak compangnya.tersentuh juga baca entri ini.teruskan berdakwah! ;)

AnaAzizul said...

Wa'alaikumussalam cik iktiraf.

Saya juga begitu. Sungguh terasa kurang iman di dada. Semoga hati yang sedar ini akan terus berusaha untuk meningkatkan iman kepada-Nya.

Semoga Allah terima semua amalan kita. Marilah, marilah berusaha mengislahkan diri ini. Allah bersama kita.

Ikhaskanlah hati kita.

InsyaAllah.

Teruskan berdakwah juga ... !

(^___^)

Post a Comment