Risalah Itu ...



Ada satu risalah.

Boleh tahan juga tebalnya.

Ciptaannya, adalah antara ciptaan yang agung dan mulia oleh Penciptanya, dan antara benda yang sangat berharga dimiliki oleh manusia. Melaluinya, manusia seakan-akan dikurniakan satu petunjuk dalam kehidupan mereka. Justeru, risalah ini diturunkan adalah sebagai satu petunjuk, pedoman dan juga peringatan.

Tulisan yang digunakan pula adalah tulisan yang sangat unik, iaitu tulisan jawi. Kehalusan dan keindahan unsur sastera yang digunakan dalam bahasa arab itu, adalah melebihi kehebatan sastera yang diolah oleh mana-mana sasterawan.

Sungguh, tidak terjangkau keindahannya.

Tambahan pula, risalah itu sangatlah mulia, kerana apa yang terkandung dalamnya dan yang tertulis di atas setiap helaian kertas risalah itu, adalah kata-kata dari Penciptanya. Kata-kata seolah nasihat, pengajaran, selain terdapat kisah-kisah teladan dan sebagainya.

Maka, risalah itu digelar kalamullah.

Kata-kata daripada Allah.

Ya, Dia yang menciptakan risalah itu.

Risalah Yang Istimewa

Rasanya, semua muslim kenal dengan risalah itu.

Risalah yang nilainya tinggi disisi Allah.

Diciptakan penuh dengan hikmah dalamnya.

Diturunkan kepada Muhammad secara beransur-ansur, bermula dari surah iqra' yang menyeru sekalian manusia, supaya membaca dan sehinggalah sempurnanya risalah itu, dengan kandungan sebanyak 114 surah dan 6666 ayat semuanya.

Memang tebal.

Namun tebalnya berbaloi.

Kenapa?

Kerana Pencipta risalah itu telah menyediakan ganjaran kebajikan yang besar kepada setiap jasad yang membacanya. Setiap ayat yang diturunkan itu, apabila kita membacanya, kita sudah memperoleh satu ganjaran. Satu ganjaran itu pula, bukanlah dikira berdasarkan satu ayat yang dibaca, tetapi dikira berdasarkan setiap huruf yang membentuk ayat tersebut.

Percayalah, akan kata-kata Rasulullah :


Barang siapa membaca satu huruf daripada kitabullah, maka baginya satu kebajikan dan tiap-tiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif-Lam-Mim itu satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.

Setiap huruf diambil kira.

Kemudian, digandakan sepuluh pula.

Itu baru membaca. Belum lagi dikira jika kita mampu memahami setiap bait ayat yang ditulis di dalamnya, apatah lagi jika kita mampu menghafal risalah itu dan memahami maksudnya sekaligus. Sudah tentu, lebih dan lebih besar ganjaran kebajikan yang kita perolehi.

Saya pernah mandengar akan satu golongan, yang mengangkat tinggi martabat risalah itu. Dahulu, pada zaman Rasulullah sehinggalah pada zaman ini, mereka adalah golongan yang sentiasa ada disisi dan sudut masjid, mengajarkan kandungan risalah itu kepada orang lain.

Ya, mereka adalah golongan Rabbani.

Mereka belajar al-Quran, mereka jugalah yang mengajarkannya.

Mereka mengangkat tinggi mertabat risalah itu.

Jika dikira dengan formula satu ayat satu pahala dan digandakan dengan sepuluh, sudah berapa pahala ganjaran yang golongan seperti mereka ini miliki. Belum lagi dikira dengan nilai keikhlasan mereka.

Banyaknya pahala ganjaran mereka.

Itulah, antara keistimewaan yang Allah berikan.

Risalah itu juga diciptakan secara percuma.

Tiada langsung bayaran yang dikenakan kepada Rasulullah walau sedikit. Apatah lagi untuk mendapatkan keuntungan yang besar. Tidak dapat digambarkan sekiranya pemberian risalah itu kepada Rasulullah dikenakan bayaran.

Pasti tidak mampu dibayar.

Terlalu bernilai.

Namun, Allah tidak menghendaki begitu.

Dia mahu manusia lihat dan faham sendiri hikmahnya.

Risalah itu, terlalu banyak keistimewaannya.

Dan banyak lagi kelebihannya kepada kita.

Jika ingin dikira dan diutarakan semuanya, pasti tidak cukup untuk dimuatkan semuanya dalam tulisan ini. Risalah itu, Allah cipta untuk kegunaan manusia dari awal kehidupan mereka, sehinggalah mereka dijemput ajal, dan sehinggalah untuk kegunaan manusia selepas mereka sehinggalah hari kiamat.

Justeru, kita lihat, berapa banyak kebaikannya kepada manusia?

Sebagai panduan hidup.

Sebagai pengajaran.

Sebagai lautan ilmu untuk kita timba.

Sebagai lautan jawapan kepada segala masalah kita.

Banyak.

Memang banyak.

Syukur kepada Allah.

Risalah Itu Pada Hari ini

Hari ini, risalah itu sudah tersebar.

Luas keseluruh pelosok dunia.

Semenjak turunnya risalah tersebut secara beransur-ansur kepada Rasulullah sehinggalah sempurna, risalah itu kemudiannya dibukukan.

Para alimin yang mengerah tenaga dan ilmu dalam jihad untuk membukukan risalah itu, sungguh telah melakukan satu tugas yang mulia kepada kita, kepada ummah keseluruhannya. (Baca : Pembukuan al-Quran)

Semoga Allah merahmati mereka di atas jihad itu.

Risalah yang telah tersebar itu diterima, dan diamalkan oleh setiap jasad yang beriman, bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan nabi Muhammad itu pesuruh-Nya. Disebabkan tidak semua yang menguasai bahasa arab, tafsir dan terjemahannya pula dikeluarkan untuk memudahkan kita memahami kandungan dalam risalah tersebut.

Terbaru di Sarawak, golongan pencinta risalah itu yang prihatin terhadap bangsa majoriti negeri tersebut yang menghadapi kesukaran dalam memahami al-Quran, telah meminta agar dikeluarkan terjemahan khas untuk mereka. (Baca : Terjemahan al-Quran dalam bahasa iban).

Akhirnya, terjemahan al-Quran dalam bahasa iban dikeluarkan.

Tahniah, semoga Allah merahmati kalian.

Semoga kalian dimudahkan Allah untuk memahami al-Quran.

Seolah-olah Ditinggalkan

Risalah itu, adalah risalah yang mulia.

Dan kita tahu, banyak yang kita dapat melaluinya.

Namun begitu, walaupun terdapat banyak kelebihan yang terdapat pada risalah tersebut, masih terlalu ramai yang tidak memilikinya. Adapun seseorang itu memilikinya, namun jarang sekali untuk membaca dan mentelaahnya.

Ya, risalah itu seolah-olah ditinggalkan.

Dilayan seperti sebuah risalah biasa.

Tidak ramai membaca dan cuba memahami isinya. Tidak ramai yang cuba mengamalkan isi-isi kandungannya. Tak ramai cuba mandalami maksud-maksud, dan menyampaikannya kepada orang lain, menyampaikan firman-Nya.

Sedangkan kita beriman, bahawa al-Quran itu datangnya dari Allah.

Segala kandungannya, adalah kata-kata dari Allah.

Disinilah masalah kita, yang perlu kita lihat dan tinjau semula.

Kita tahu, tetapi kita pandang enteng.

Justeru, kita tanya diri kita.

Apa khabar agaknya risalah itu dengan kita hari ini?

Adakah khabarnya baik, kerana kita ini selalu rajin membaca dan mengamalkan, ataupun khabarnya risalah itu selalu sakit-sakit kerana diserang habuk-habuk disekitar rumah. Betul, ramainya pemilik risalah itu pada hari ini, menjadikan risalah itu sekadar hiasan.

Tidak kurang juga sebagai benteng dan senjata untuk menghalau dan melawan makhluk-makhluk halus yang sentiasa mengganggu rumah. Sekadar digantung dengan kemas di dinding-dinding, tetapi tidak dipandang.

Hubungan ini perlu kita betulkan.

Supaya risalah itu, kita jadikan bukan sekadar risalah.

Tetapi panduan hidup yang sempurna.

Penutup : Jadilah Pencinta Al-Quran

Risalah ini, adalah al-Quran yang mulia.

Sebaik-baik risalah yang diciptakan.

Kita perlu ingat, bahawa al-Quran adalah senjata yang paling mujarab untuk membersihkan hati dan jiwa kita yang seringkali kotor dengan maksiat. Juga mata air yang tidak mungkin kering, yang sentiasa menyampaikan dan mengajarkan ilmu, firman-Nya kepada kita.

Dalamnya penuh dengan nur hidayah dan rahmat-Nya yang sangat luas.

Justeru, jadilah pencinta risalah ini.

Kejarlah rahmat-Nya yang luas itu.

Cintalah risalah ini, seolah-olah apabila kita membaca dan mengamalkannya, kita seperti berhubung dengan Allah dan telah mengamalkan suruhan dan perintah yang telah Dia amanahkan.

Jadilah seperti imam as-Syafie, yang telah menjadikan al-Quran itu, seperti nadi dalam kehidupannya. Berjaya menghafal sedari usia yang begitu muda, dan menyampaikan pula kandungannya bila meningkat usia.

Jadilah seperti para alim ulama' yang sentiasa membaca al-Quran dengan penuh ikhlas dan seringkali menangis apabila membaca ayat-ayatnya yang penuh dengan lautan petunjuk dan bimbingan itu.

Jadilah seperti mereka.

Genggamlah dengan erat risalah itu.

Istiqamahlah dengan al-Quran.

Cintailah al-Quran.


1 Komen:

job said...
This comment has been removed by a blog administrator.

Post a Comment