Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Segala puji bagi Allah. Di atas segala nikmat yang tidak dapat dihitung dengan jari-jemari. Semoga diri ini akan terus mampu mengungkapkan kata syukur atas segala yang dinikmati.
Selawat dan salam buat penghulu sekalian nabi, Muhammad s.a.w juga keluarga dan sahabat. Semoga kita semua sentiasa berada dalam iman yang mantap. InsyaAllah.
Bercerita tentang masa.
Masa itu disifatkan sebagai sesuatu yang sangat penting dan berharga. Ada yang mengatakan bahawa masa itu emas. Ada juga yang kata masa itu ibarat wang.
Pelbagai takrifan tentang masa..
Namun apa yang penting, masa itu milik Allah dan pastinya bukan milik kita. Dalam hal ini saya teringat akan kata-kata guru saya ketika di sekolah dahulu, yang mana beliau kata :
"masa itu emas, emas itu kuning dan kuning itu tahi"
Alamak ("^__^") Jadi mungkin sebab itulah saya kurang menerima bahawa masa itu emas. Sedangkan emas juga boleh habis. Oleh itu, Saya pasti, bahawa masa itu lebih berharga dari emas.
Apa-apa pun, mudah kiranya jika saya mengatakan yang saya lebih senang menerima kata-kata seorang pujangga arab :
" ... masa itu ibarat pedang. Jika kamu tidak memotongnya, nescaya ia akan memotong kamu ... "
Kita Hari Ini
Melihat kepada hakikat hari ini, masih ramai yang membazir masa dan tidak menggunakan masa dengan sebaiknya. Kita buang, dan kita biarkan masa berlalu begitu sahaja.
Kita, mesti menjadi orang yang bijak menggunakan masa.
" ... rebutlah 5 masa sebelum datangnya 5 masa yang lebih mencabar. Masa mudamu sebelum datang masa tuamu. Masa sihatmu sebelum datang masa sakitmu. Masa senangmu sebelum datang masa susahmu. Masa hidupmu sebelum datang masa masa matimu dan masa lapangmu sebelum tiba masa sempitmu ... "
Kata-kata itu, seolah-olah pemandu bagi kita.
Jadi gunalah sebaiknya garis panduan yang diberikan sebagai penyuluh hidup kita untuk mementingkan kepentingan masa. Sungguh, ia adalah satu nikmat yang sangat berharga yang Allah kurniakan kepada kita.
Nikmat itu nanti, akan ditanya semula kepada kita, sebagaimana melalui hadis yang telah diriwayatkan oleh Tarmizi, Tabrani dan ibnu Asakir yang bermaksud :
" ... tidak akan tergelincir 2 kaki anak adam melainkan dia ditanya dengan 5 soalan iaitu umurnya kemana dia habiskan, masa muda bagaimana digunakan, hartanya dari mana diperoleh dan kemana pula dibelanjakan serta tentang ilmunya adakah diamalkan ... "
Demi masa : Manusia selalu lupa
1 hari = 24 jam
1 tahun = 12 bulan
52 minggu
365 hari
8760 jam
525600 minit
31536000 saat
Purata umur kebanyakan manusia yang meninggal dunia adalah 65 tahun (menurut kajian geografi). Baligh pula adalah umur dimana seseorang manusia akan mula diperhitungkan segala amal baik dan amal buruknya selama hidup di dunia.
Lelaki baligh = lebih kurang umur 15 tahun
Perempuan baligh = lebih kurang umur 12 tahun
Purata usia yang kita ada untuk beribadah kepada-Nya : Mati - baligh = 65 - 15 = 50 tahun
Apa yang kita lakukan selama 50 tahun itu?
Catatan :
50 tahun = 18250 hari
18250 hari = 458000 jam
458000 jam.
12 jam siang hari
12 jam malam hari
24 jam sehari semalam
Gambaran kasar :
Waktu kita tidur = lebih kurang 8 jam sehari
Dalam 50 tahun, waktu yang kita habiskan hanya untuk tidur adalah :
18250 hari x 8 jam = 146000 jam = 16 tahun 7 bulan =17 tahun
Logik : Alangkah sayangnya waktu 17 tahun digunakan hanya untuk tidur? Padahal nanti kita akan pasti tertidur di dunia selama-lamanya.
Waktu aktiviti di siang hari = lebih kurang 12 jam
Dalam 50 tahun waktu yang dihabiskan untuk aktiviti siang :
18250 x 12 jam = 219000 jam = 25 tahun
Aktiviti di siang hari = Ada yang bekerja, bercinta, belajar dan mengajar, sekolah atau kuliah, ada yang makan sambil jalan-jalan dan banyak lagi.
Waktu rehat = lebih kurang 4 jam
Dalam 50 tahun waktu yang digunakan untuk berehat :
18250 x 4 jam = 73000 jam = 8 tahun
Aktiviti rehat : Menonton televisyen dan mungkin dihabiskan dalam buai tenung di alam khayalan.
Kesimpulan :
17 tahun + 25 tahun + 8 tahun = 50 tahun
Lalu bila kita nak beribadah?
Allah berfirman yang bermaksud :
" ... tidak Kuciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu ... "
Ini yang kita perlu selalu ingat.
Maut datang menjemput tak pernah bersahut
Malaikat datang menuntut untuk merenggut
Manusia tak berkuasa untuk berkata-kata
Allah maha kuasa atas syurga atau neraka
Terimalah habuan kita seadanya
Lakukanlah semuanya kerana Allah
Berapa banyak solat kita dalam 50 tahun?
1 solat = lebih kurang 10 minit
5 solat = 5 x 10 = lebih kurang 1 jam
Dalam waktu yang terpakai selama 50 tahun untuk solat :
18250 hari x 1 jam = 18250 jam = 2 tahun
Kesimpulan :
Waktu yang kita manfaatkan dalam 50 tahun untuk solat hanyalah 2 tahun (ini kalau solat itu dilakukan selama 10 minit untuk satu solat. Kalau solat bagai singa kelaparan bagaimana?). 2 tahun daripada 50 tahun kesempatan kita. Sungguh, itupun belum pasti solat kita diterima-Nya
Semoga Allah beri kita kekuatan untuk ikhlas kepada-Nya.
Renung Sejenak
Berbanding dengan ini : Dalam percakapan kita yang selalu berdusta. Baik yang sengaja ataupun tidak. Dalam pertuturan kita yang sering mengguris orang tua kita. Dalam harta kekayaan kita yang selalu kedekut terhadap orang faqir. Dalam setiap perbuatan kita yang selalu bergelumang dosa.
Terlalu banyak masa yang terbuang percuma selama manusia hidup di dunia dan semuanya itu akan menjadi bencana.
Penutup : Mari Muhasabah Diri
Tiada kata terlambat walau waktu berlalu cepat. Isilah ia dengan sesuatu yang bermanfaat. Ingat negeri destinasi kita. Negeri akhirat.
"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh ; dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran,"
Bukanlah satu paksaan untuk disebarluaskan. Saling mengingatkan bersama bukanlah hal binasa. Marilah sama-sama muhasabah diri.
Tepuk dada tanya iman.
0 Komen:
Post a Comment