Mencabar Kemampuan Diri



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Seseorang manusia yang melakarkan sejarah umumnya adalah manusia yang melakukan sesuatu perkara yang berada di luar dimensi pemikiran manusia-manusia lain. Apatah lagi hendak dikatakan sekiranya dia adalah insan biasa.

Tidak dikenali dan tidak ingin dikenali.

Dia, insan biasa yang melakukan perkara luar biasa.

Namun kadang-kadang, apabila seseorang terperangkap dengan realiti dan hakikat yang sedang melanda dirinya, dia lantas mudah berputus asa.

Dengan mudah melupakan perkara-perkara besar yang ingin dilakukannya. Dan apabila ini sudah berlaku, memang sukar untuknya melakukan perubahan.

Perubahan memerlukan ketinggian nilai pengetahuan yang seterusnya mampu mencetuskan kemampuan untuk melakukannya.

Seperti yang telah diajarkan kepada ana sewaktu mengikuti program-program kepimpinan dan lain-lain program ilmiah yang dianjurkan, ia memerlukan wawasan yang jauh, kemampuan untuk merealisasikan wawasan itu dalam kehidupan yang nyata, keberanian untuk mempertaruhkan untung dan nasib dan akhirnya tidak boleh lari daripada satu perkara yang sangat penting.

Berserah segalanya kepada Allah.

Kita mengharap yang terbaik dari-Nya dan sentiasa redha dengan apa sahaja ketentuan. Yang baik mahupun sebaliknya. Tawakkal.

Antara syukur dan redha.

Menyingkap Tirai : Mu'awiyah bin Abi Sufyan

Ingin sekali ana berkongsi di sini akan peribadi seorang tokoh islam dahulukala. Seorang pengasas kepada kerajaan Bani Umayyah. Beliau lewat memeluk islam namun meninggalkan warisan kejayaan yang cukup besar dalam sirah.

Beliau melakukan perkara yang luar biasa.

Beliau mengasaskan kerajaan Bani Umayyah yang mampu bertahan selama 91 tahun. Sekiranya melihat kepada sejarah, mungkin ramai kalangan pembaca lebih mengkagumi kehebatan pada zaman Abbasiyyah terutama sekali apabila kota Baghdad menjadi ibu negara khilafah islam.

Namun penyingkapan tirai terhadap Mu'awiyah bin Abi Sufyan ini telah menimbulkan sedikit sebanyak kekaguman ana terhadap kerajaan Abbasiyyah terutama terhadap Mu'awiyah itu sendiri.

Sekadar pendapat dari logik, mana mungkin sesuatu tamadun itu muncul sebagai satu tamadun yang hebat sekiranya permulaan untuk tamadun itu tidak menunjukkan bahawa tamadun itu kuat dan hebat.

Dari zaman Rasulullah, kepada Bani Umayyah dan akhirnya kepada Bani Abbasiyyah dan seterusnya, islam mula dinukilkan dalam sejarah sebagai tamadun dunia yang hebat.

Bani Umayyah berjaya membuka sebahagian India, sebahagian negara besar China dan melakukan serangan pertama keatas kota Konstantinopel. Juga menyeberangi Perancis dan negara lain di Eropah, membuka dan mengasaskan kerajaan Andalus yang mampu bertahan selama 8 kurun dan lain-lain lagi yang tercatat dalam sejarah.

Cadangan Yang Luar Biasa

Pada zaman Khalifah Umar al-Khattab, Mu'awiyah dengan berani dan yakin mencadangkan penubuhan tentera laut islam. Ini cadangan yang ganjil kerana bangsa Arab yang mahir dengan selok belok di padang pasir tidak pernah terfikir untuk menyeberang lautan.

Apabila cadangannya ditolak, beliau mencadangkan pula untuk kali kedua pada zaman Khalifah Usman bin Affan.

Apabila diterima idea yang ganjil dan berani ini, umat islam berjaya menyeberangi laut Mediterranian yang cabarannya sudah tentu berbeza dengan cabaran di padang pasir yang panas.

Kapal perang pertama yang dilancarkan pada zaman pemerintahan Khalifah Usman dikembangkan lagi pada zamannya. Beliau mempunyai hasrat dan wawasan untuk membuka Konstantinopel, sebuah bandar yang sekadar menjadi khayalan umat pada ketika itu.

Menyebutnya sahaja sudah cukup untuk melemahkan semangat.

Namun keyakinan terhadap janji Rasulullah s.a.w menjadi penguat.

Mu'awiyah seterusnya mencabar dirinya dan diri umat islam sekaliannya sehingga mereka mampu memiliki sebanyak 1700 buah kapal perang dan melayakkan mereka untuk melakukan serangan pertama keatas kota Konstantinopel.

Renung Pada Hakikat

Tidaklah kejayaan Sultan Muhammad al-Fateh dan tenteranya pada suatu ketika dahulu membuka Konstantinopel mewarisi semangat Mu'awiyah pada hari pertama beliau bersama tenteranya melakukan serangan pertama keatas kota tersebut.

Lalu mari kita bertanya pada diri.

Pernahkah kemampuan diri kita, sebagai pendakwah pada hari ini dicabar dengan cabaran seumpamanya?

Allahu'alam.


0 Komen:

Post a Comment