Selamat Datang Ramadhan Bulan Barakah



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Segala puji bagi Allah kerana ana masih lagi mampu bernafas sehingga ke saat ini. Nikmatnya sentiasa ada walaupun diri ini sentiasa melakukan khilaf kepada-Nya. Selawat dan salam buat penghulu anbiya, Rasulullah s.a.w dan keluarga serta sahabat.

Yang sentiasa bertungkus-lumus menyebarkan risalah tauhid dan kebenaran. Semoga ana terus mencari dan membina kekuatan untuk meneruskan perjuangan itu insyaAllah.

Saat menulis entri ini adalah seusai kepulangan ana dari surau menunaikan solat terawih. Sebelum itu, salam ramadhan dan selamat berpuasa kepada semua muslimin dan muslimah di luar.

Semoga kita mampu menempuh bulan yang mulia ini dengan tabah, sabar dan penuh keikhlasan.

Alhamdulillah, bertemu lagi kita dengan ramadhan tahun ini dan insyaAllah dengan berbekalkan semangat dan niat yang suci kita laksanakan kewajipan ini dengan penuh tanggungjawab. Ayuh gunakanlah kesempatan Bulan ramadhan ini untuk kita memperbaiki kualiti diri.

Firman Allah :

"Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertaqwa," (Surah al-Baqarah ayat 183)

Menulis tentang rukun islam kedua ini, perkara pertama yang timbul dalam minda ana adalah tentang saat dan waktu ketika menyambutnya di madrasah lama dahulu. Ingin dikongsi sedikit.

Saat mentari ingin menyembunyikan dirinya, kami ikhwan dan akhawat muslimin dan muslimah al-Hidayah sesetengahnya menuju ke tapak untuk melihat anak bulan.

Ketika itu begitu ramai anggota dari balai cerap atau entah apa namanya sedang bersiap dengan bahan-bahan yang canggih untuk melihat anak bulan. Berdasarkan pengalaman ana selama 4 tahun sebagai warga al-Hidayah, tak silap hasilnya belum pernah lagi positif (tak pernah nampak anak bulan).

Semuanya atas kuasa Allah.

Sekiranya ingin lebih mudah, silalah rajin-rajinkan diri menonton televisyen untuk mengetahui lebih lanjut. Namun pastinya kepuasan itu tidak sama dengan melihat kehadiran anak bulan dengan mata sendiri.

Setelah agak kecewa (kerana tidak dapat melihat anak bulan), kami terus pulang ke surau. Maghrib pada petang itu penuh dengan kehadiran anggota-anggota dari balai cerap. Kemeriahan itu cukup dirasakan.

Dengan berimamkan salah seorang daripada anggota tersebut, kami berharap agar dapat menempuh ramadhan dengan cemerlang pada tahun tersebut.

Bermula dengan malam pertama terawih. Warga al-Hidayah tekun mengerjakan ibadah sunat itu. Maklumlah, tetamu yang jarang tiba iaitu setahun sekali. Peluang pahala dan barakah pada setiap solat terawih itu tidak mungkin disia-siakan.

Dengan berimamkan ustaz dan berbilalkan ikhwan yang bertugas mengikut jadual yang disediakan. Alhamdulillah, pembuka bilal pada malam pertama itu adalah ana sendiri.

Selawat kepada junjungan Rasulullah disambut dengan penuh tenaga.

Seusai solat terawih, kami akan bersama-sama bertadarus mengikut pasangan yang telah ditetapkan atau dipilih masing-masing. Untuk ana, ketika itu ana memilih adik yang lebih junior.

Jadi ana berpeluang untuk bertadarus bersama dengannya disamping menegur kesalahan dan mengajar sedikit sebanyak yang ana tahu. Sekiranya tidak pasti, ana akan sama ada merujuk kepada ustaz atau membuka risalah tajwid.

Itulah adatnya, ana mengajar dan masih lagi belajar.

Namun perkara utama yang ditekankan adalah untuk mengkhatamkan satu kitab al-Quran itu dalam tempoh bulan tersebut. Dengan sebab itu kami digalakkan untuk membaca sekurang-kurangnya satu juzuk setiap malam.

Sekiranya rajin, bolehlah khatam dua kali sebulan. Ketika itu, terasa sedikitnya amalan jika terkenangkan kisah imam Syafie yang mengkhatamkan al-Quran sebanyak 2 kali semalam.

Pada akhirnya nanti kami akan mengadakan majlis Khatamul Quran.

Agak melucukan tatkala tiba waktu bersahur. Ada ikhwan dan akhawat yang hanya termenung melihat juadah, makannya tidak. Mengantuk barangkali.

Begitu juga dengan saat berbuka juadah puasa. Kami ikhwan dan akhawat yang sudah dibahagikan mengikut kumpulan akan diberikan satu bekas (talam) yang besar berisi juadah berbuka untuk kumpulan masing-masing. Sunnah nabi kata ustaz.

Indahnya saat itu. Terasa sungguh rapat ukhuwwah sehinggakan sanggup menghabiskan sisa-sisa yang tidak mampu dihabiskan oleh teman-teman. Kata ustaz lagi, banyak kelebihannya ikut sunnah nabi. Juga setiap bahagian pada juadah itu terdapat barakah.

Siapa yang ingin mensia-siakannya?

Itu cerita dahulu.

Kini apabila hari terus berlalu, usia semakin meningkat dan ana telah meninggalkan madrasah itu. Namun hati masih berpaut dan ana masih lagi salah seorang daripada ribuan hasil didikan warga al-Hidayah.

Cumanya kini ana tidak dapat lagi merasakan suasana itu. Sekaligus rasa rindu akan suasana itu memuncak dalam diri. Namun itulah hakikatnya.

InsyaAllah, walau apapun ana doakan mudah-mudahan keluarga, kawan-kawan dan ummah sekalian akan mampu menempuh bulan yang penuh kemuliaan ini dengan ikhlas.

Semoga kita mampu untuk meningkatkan amal ibadah dari segi kuantiti dan kualiti. Berterusan bukan setakat pada bulan ini sahaja namun sehingga hari-hari seterusnya.

Penantian Satu Kerinduan

Azan maghrib yang berkumandang di masjid dan surau hari ini telah menandakan ketibaan bulan yang ditunggu-tunggu oleh sekalian ummah insyaAllah. Bermakna bermula lagi episod seterusnya dalam cerita kehidupan bergelar muslim.

Ceritera Ramadhan al-Mubarak.

Lantas diri ini tertanya-tanya, adakah mampu untuk membuat yang terbaik dalam episod kali ini? Ya Allah berilah daku kekuatan.

Seminggu sebelumnya adalah hari-hari yang penuh dengan kerinduan. Walaupun kepala sedang masak diisi dengan segala macam fakta-fakta yang dihafal untuk ujian namun hati sentiasa berdebar-debar ingin menerima tetamu yang julung kali hadir. Setahun sekali pastinya.

Sudah setahun lamanya berpisah. Kala itu terasa seolah-olah dipermainkan oleh masa dan waktu. Penantian selama seminggu turut ditambah dengan segunung harapan supaya sempat untuk bertemu kerana nyawa sentiasa dipegang oleh Yang Maha Kuasa. Namun kini akhirnya diberi kesempatan bertemu.

Syukur sebanyak-banyaknya kepada Allah s.w.t.

Alangkah indah aturan dan perancangan-Nya.

Kehadirannya membawa sejuta rahmat dan barakah. Turut disertai dengan selautan sakinah. Cahaya ibadah pasti bersinar siang dan malam. Saat dimana setiap denyutan nadi untuk mengabdikan diri hidup subur.

Saat manusia berlumba-lumba mengejar kebaikan dan cinta dari kekasih yang agung. Tasbih dan zikir jadi acuan.

Wahai Allah, izinkan aku melangkah ke madrasah agung-Mu dengan hati yang penuh dengan cinta dan rindu.

Berilah kepadaku kekuatan dan kemampuan untuk memperbaiki diri serta melakukan yang terbaik dalam episod ramadhan kali ini ...

dan hari-hari seterusnya ...


0 Komen:

Post a Comment