Fikir Dan Renung : Amalan Yang Terbalik?


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Salam Ramadhan, selamat berpuasa, selamat bersahur dan selamat beramal di bulan yang penuh kemulian ini. Semoga kita mampu menjaga amalan yang kita lakukan sepanjang ramadhan.

Ikhlaslah dan berusahalah untuk merebut redha dan kasih-Nya.

Untuk itu, penulis ingin mengingatkan para pembaca akan sabda nabi yang bermaksud :

"Berapa ramai yang berpuasa, tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga," (Riwayat Imam Ahmad dan al-Baihaqi)

Kali ini ana ingin membawa pembaca budiman sekalian untuk bermuhasabah diri tentang amalan harian kita.

Antara sedar atau tidak, kadang-kadang amalan yang kita lakukan adalah terbalik atau bertentangan dengan apa yang telah dituntut dan digariskan dalam islam. Mungkin juga amalan yang kita lakukan sebelum ini hanya mengikut orang.

Amalan Yang Terbalik?

Kenduri arwah beberapa hari yang dilakukan oleh keluarga si mati selepas sesuatu kematian (hari pertama, kedua, ketiga dan seterusnya sehingga ketujuh) adalah terbalik daripada apa yang dianjurkan oleh Rasulullah.

Baginda menyatakan bahawa jiran tetangga memasak makanan kepada keluarga si mati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka.

Dengan keadaan keluarga tersebut yang sedang bersedih, terpaksa pula mengeluarkan belanja menyediakan juadah kepada mereka-mereka yang datang bertahlil. Takut-takut kalau rezeki yang mereka jamah malam itu adalah menggunakan harta peninggalan arwah yang belum dibahagikan menurut islam.

Sekiranya kita menjadi tetamu di rumah seseorang dan dihidang dengan aneka jenis juadah, kita rasa segan untuk menghabiskan apa yang dihidangkan, sedangkan yang dituntut adalah dibanyakkan makan dan menghabiskannya.

Pertama, kerana hidangan itu adalah rezeki dari Allah dan yang kedua adalah untuk menggembirakan tuan rumah dan tidak membazir.

Kalau bersolat sunat di masjid atau surau sangatlah rajin, tetapi kalau di rumah, malas semalas-malasnya.

Sedangkan sebaik-baiknya yang dianjurkan oleh Rasulullah adalah memperbanyakkan solat sunat di rumah untuk mengelakkan perasaan riak. Firman Allah :

"Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah dan sujudlah (mengerjakan sembahyang) dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkannya) serta kerjakanlah amal-amal kebajikan supaya kamu berjaya (didunia dan diakhirat)" (Surah al-Hajj ayat 77)

Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang mahupun malam, tetap pergi. Hujan ribut tetap diharungi kerana ingin mematuhi peraturan kerja. Tetapi ke rumah Allah (masjid dan surau) sedangkan tak hujan, tak panas dan tiada ribut tetap tak datang.

Walhal rezeki itu datang dari Allah.

Kalau nak mengerjakan haji kebanyakannya akan mengadakan kenduri sebelum pergi ke mekah dan selepas pulang dari mekah langsung tak buat kenduri.

Sedangkan anjuran berkenduri dalam islam adalah kerana selamat dari bermusafir, barulah dibuat kenduri. Bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri.

Ini pula berkaitan puasa. Dalam bulan ramadhan yang wajib adalah puasa bukannya solat terawih. Sesetengah orang, puasa ditinggalkan tetapi terawih diutamakan. Sedangkan puasa adalah wajib dan terawih adalah sunat.

Ini memang amalan yang luar biasa terbalik.

Kerana apa?

Bila tidak hadir ke masjid berterawih, orang akan mengata. Bila tak puasa, orang tak mengata kerana orang hanya nampak dari segi luaran. Tetapi tidakkah kita sedar bahawa Allah itu Maha Melihat?

Tidak takutkah kita andai Allah mengata kita?

Kita sangat teruja untuk mengforwardkan mesej-mesej atau email dalam bentuk-bentuk gosip-gosip, tentang artis-artis kepada kawan-kawan.

Malah kebanyakan mesej-mesej tersebut adalah tidak benar dan hanya rekaan dan ini boleh menjatuhkan maruah orang lain. Tetapi kenapa susah untuk kita menyampaikan peringatan sebegini kepada mereka.

Anda rasa terbalik?

Betulkanlah.

3 Komen:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.

Post a Comment