Adakah Kita Lupa?



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Dalam saya membelek-belek buku-buku lama, saya terjumpa diari lama saya. Lantas, saya membuka dan membaca kandungan di dalamnya. Kebiasaannya, dalam buku diari islam, kita akan disediakan serba sedikit informasi tentang islam.

Saya terus tertarik.

Bukan pada tulisan diari saya, namun pada satu informasi yang diberikan di sana. Lama saya mengamatinya, lantas rasa teringin untuk berkongsi di sini. Informasi yang saya perolehi itu, adalah tentang khutbah terakhir baginda Rasulullah.

Kepada seluruh umat Islam.

Juga kepada kita, secara tidak langsungnya.

Mungkin ada antara kita yang sudah tahu, namun mungkin ada juga yang tidak tahu. Sekarang, saya ingin sampaikan, saya memberitahu. Semoga kita ingat dan sentiasa beringat akannya.

Khutbah ini, baginda sampaikan pada 9 Dzulhijjah tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah Gunung Arafah. Begini bunyi khutbah baginda :

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu.

Allah telah menghramkan riba' oleh itu segala urusan yang melibatkan riba' dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap Syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.

Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia.

Dan hak kamu atas mereka adalah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang tidak kamu sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah. Dirikanlah sembahyang lima kali sehari. Berpuasalah di bulan Ramadhan. Tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu dan kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu.

Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah saudara kepada muslim yang lain. Kamu semua adalah sama. Tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan amal soleh.

Ingatlah bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sesekali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan keada kamu.

Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku.

Saksikanlah Ya Allah bahawasanya aku telah menyampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.

Begitu intipati khutbah baginda.

Penuh dengan pesanan.

Agaknya, berapa ramai yang masih ingat pesanan melalui khutbah baginda, ya?

Itu saya tidak tahu.

Namun, apa yang saya lihat seperti kita ini ramai yang tidak tahu dan lupa dengan pesanan baginda melalui khutbah terakhir itu. Biasanya kita mendengar.

Berapa ramai kita hari ini yang sentiasa menyakiti hati orang lain dengan sengaja? Malah berasa tidak senang jika tidak melakukannya?

Berapa ramai kita hari ini, yang berjual beli mengamalkan riba'?

Kita hari ini mengaku, yang syaitan adalah musuh kita tetapi kita masih mengikuti telunjuknya. Malah tiada langsung berwaspada dengan godaannya.

Berapa ramaikah suami seorang isteri hari ini yang mengabaikan tanggungjawab sebagai suami? Dan berapa ramaikah isteri seorang suami hari ini yang mengabaikan tanggungjawab mereka selaku seorang isteri?

Berapa ramai kita hari ini yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja? Tidak berpuasa pada bulan Ramadhan? Tidak menunaikan zakat dari harta kekayaan mereka? Dan berapa ramai dalam kalangan kita yang tidak mengaku ibu, bapa dan saudara sendiri?

Berapa ramai golongan kita hari ini yang secara terang-terangan mengaku keluar dari agama?

Orang yang mengaku nabi juga tidak terkecuali ada.

Kita hari ini, mengaku berpegang teguh dengan Al-Quran, namun hanya sekadar membaca malah tidak mengamalkannya.

Sepatutnya kita kata, kita langsung tidak ingat pesan itu.

Kita langsung lupa akannya. Jadi, yang ingat dan tidak lupa itu, marilah. Mari kita saling mengingatkan sesama kita.

Kerana baginda ada mengatakan :

Sampaikanlah ilmuku walau sepotong ayat.

0 Komen:

Post a Comment