Mujahid Biru 4



Jumaat 12 Rabiulawal 1430 Hijrah : Surau an-Nur

Ada orang cakap, ukhwah itu indah.

Begitulah juga ukhwah pada mujahid biru.

Memang indah.

Kini tiba saat para mujahidin meninggalkan Medan Sungai Rait.

Medan yang sudah pasti meninggalkan banyak nostalgia pahit dan manis sepanjang latihan. Juga saat waktu Mujahid Biru berpisah dengan teman. Teman seiman, teman seukhwah dan teman seperjuangan. Ketika ini, di surau an-Nur dilakukan majlis penutupanan bagi Jemaah Mujahidin Siri 1.

Dalam pada itu, Mujahid Biru dapat merasakan sesuatu.

Bahang kesedihan.

Ya. Bahang kesedihan mula melanda segenap ruang dalam surau an-Nur. Dari saf mujahidah sehinggalah saf mujahid. Namun perasaan Mujahid Biru agak pelik kali ini. Sedih di hati namun tidak dapat diterjemah melalui perbuatan.

Hanya jelas pada raut wajah. Suram dan hambar. Dipaksanya mulut untuk senyum walaupun sedar hakikat matanya jelas berkaca-kaca.

Mungkin kerana hari itu hari terakhir.

Mungkin.

Tidak sanggup rasanya ingin mendengar ucapan perpisahan Jeneral Ibnu Abdullah. Ucapan perpisahan Komander Tiger, Ustaz dan Ustazah yang memimpin mereka selama ini.

Perasaannya seolah-olah ikatan ukhwah antara mereka semakin rapat dan kukuh. Mujahid Biru sedar, semuanya kerana Allah dan Dialah yang telah menyatukan hati mereka sehingga sukar untuk melepaskan masing-masing untuk pergi.

Firman-Nya :

“Dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada dibumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”

Mulalah Mujahid Biru memandang kehidupan ini dari sudut yang berbeza. Dipindahkannya alam ke dalam mata hati. Namun semuanya hanyalah fantasi. Mujahid Biru akur, bahawa semuanya tidak berlaku secara kebetulan.

Disana ada yang mengatur segala-galanya.

Betapa Agungnya Yang Maha Agung.

Kata Imam as-Syahid Hasan al-Banna :

"Dan tiada satupun ikatan yang paling kukuh untuk mempertemukannya selain ikatan akidah dan keimanan. Yang saya maksudkan dengan ukhwah adalah terikatnya hati dan rohani dengan ikatan akidah. Akidah adalah sekukuh-kukuh dan semulia-mulianya ikatan. Ukhuwah adalah saudara keimanan sedangkan perpecahan adalah saudara kembar kekufuran”

Sungguh, hanya dengan kasih-mengasihi kerana Allah hati akan bertemu. Hanya dengan membangun jalan ketaatan hati akan bersatu. Hanya dengan meniti di jalan dakwah hati akan berpadu dan hanya dengan berjanji menegakkan kalimah Allah dalam panji-panji jihad hati akan saling erat bersatu.

Seterusnya, Mujahid Biru dan para sahabat satu jemaah yang memperkenalkan jemaah mereka dengan nama 'Anugerah' dipersilakan untuk menyampaikan sebuah lagu nasyid.

Sebagai penghargaan buat persahabatan yang dijalinkan, pengorbanan dan kesetiaan yang diberikan. Sebuah lagu, yang mampu membangkitkan rasa manisnya persahabatan, hangatnya persaudaraan dan indahnya ukhwah yang dijalinkan semata-mata kerana Tuhan.

Sebuah lagu, teman tejati.

Benar.

Awalnya ketika Mujahid Biru di medan sungguh memeritkan.

Pertengahannya pula perlukan pengorbanan.

Namun, saat akhirnya pasti akan ada tangisan disamping semangat perjuangan untuk berjalan dan menghadapi segala duri di bumi Tuhan.

Disanalah, bermula sebuah perjuangan yang belum selesai ... perjuangan yang menuntut Mujahid Biru untuk mengamalkan segala ilmu yang disampaikan.

Meneruskan misi amar ma'ruf dan nahi mungkar.

Meneruskan misi sebagai seorang hamba.

Membenarkan yang benar, biarpun pahit dan sesekali tidak akan membenarkan yang batil mengalahkan yang haq. Sebuah perjuangan, untuk merebut redha dan kasih sayang-Nya.

Namun hati ini sempat tertanya-tanya.

"Adakah aku mampu untuk meneruskan perjuangan ini?"

"Ya. Aku mampu."

"Kerana Allah bersamaku,"

0 Komen:

Post a Comment