Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Segala puji dan syukur kehadrat Allah kerana kita masih diberikan nikmat iman dan nikmat islam. Juga selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah s.a.w dan keluarga serta para sahabat yang setia.
Salam sejahtera buat para da'ie yang sentiasa berpegang pada agama laksana menggenggam bara api. Teruskanlah misi amar makruf nahi mungkar.
Surat ini, ditujukan buat diriku.
Juga, kutujukan buat kamu, saudaraku.
Surat ini kutujukan buat diriku yang insyaAllah masih dan tetap mencintai Allah dan Rasul-nya di atas segalanya, kerana cinta itu yang dapat mengalahkan segalanya. Sebuah cinta hakiki yang mampu membuat seseorang itu menilai kehidupan dari sudut berbeza.
Sebuah cinta, yang lebih indah dari segalanya.
Surat ini kutujukan buat hatiku yang kerapkali terisi dan diisi dengan cinta selain dari-Nya. Yang cukup mudah sekali terlena kerana indahnya dunia.
Yang terkadang bergerak melakukan sesuatu itu bukan kerana-Nya, lalu di ruang hati yang dalam merasa sangat bangga bila dipuji manusia. Hati yang sentiasa kufur dengan nikmat yang diberi percuma.
Surat ini kutujukan juga buat jiwaku yang mulai lelah dalam perjuangan pada jalan-Nya, ketika seringkali mengeluh dan terasa dibebani malah rasa terpaksa untuk melakukan sesuatu perkara yang sangat mulia disisi-Nya.
Padahal aku sedar.
Bahawa tiada kesakitan, kelelahan dan kepayahan yang akan dirasai oleh seseorang hamba sekiranya tahu bahawa Allah akan mengampuni dosa malah mengurniakan pahala buat sesiapa yang berjuang dijalan-Nya.
Surat ini seterusnya kutujukan buat rohku yang mulai terkikis oleh dunia yang menipu. Serta membiarkan fitrah yang suci tertutup oleh maksiat yang dinikmati.
Dan kini, terabailah sudah nurani yang dahulunya putih bersih saat mana ibadah wajib bagiku hanyalah satu rutin biasa dan kadangkala jika ditinggal tidak mengapa. Juga saat jasmani dan fikiran disibukkan dengan dunia.
Lalu kupaksa diriku bertanya.
Adakah hati ini terseksa atau merana?
Surat ini kutujukan buat diriku yang sombong. Yang kerapkali bangga dengan diri sendiri. Sungguhpun tiada apa yang mampu membuatkan seseorang itu lebih dihadapan-Nya selain dari amalan dan ketaqwaan kepada-Nya.
Padahal diriku sedar bahawa tiap-tiap jiwa akan pasti merasai mati. Tetapi aku, masih tetap bergelumang dengan dunia yang serba fana.
Surat ini juga kutujukan buat hatiku yang mulai mati saat tiada perasaan gentar dan takut tatkala disebut asma Ilahi. Saat tiada perasaan kesal bila mana kebaikan berlalu pergi begitu sahaja.
Saat tiada rasa takut ketika melakukan maksiat dihadapan-Nya, dan saat tiada rasa berdosa ketika menzalimi orang lain dan diri sendiri.
Akhir sekali, kutujukan surat ini buat jiwaku dan jiwa saudara-saudaraku yang masih mempunyai cahaya walaupun sedikit.
Janganlah sesekali biarkan cahaya itu pergi. Teruskan usaha untuk mencari, menggali, mengumpul dan memohon cahaya itu kembali.
Cahaya hidayah dari Ilahi.
Teruskan sehingga cahaya itu menerangi kita.
Dan wajah-wajah di sekeliling kita.
0 Komen:
Post a Comment