Program Latihan Khalifah Negara



Program Latihan Khidmat Negara.

Saya gelar Program Latihan Khalifah Negara.

Awalnya, adalah satu program percuma yang agak sukar untuk saya terima, kerana saya sudah merancang untuk berkerja setelah tamat ujian SPM. Namun apakan daya, ketetapan telah diletakkan atasnya, yang menjadikan sesiapa yang menerima surat tawaran itu, wajib untuk menghadirinya, tidak dapat tidak, melainkan ada alasan kukuh, sakit biasanya.

Banyak juga cerita yang saya dengar, itu ini, ada baik dan ada juga yang tidak sedap didengar dek telinga. Menjadikan hati saya dua tiga, dua tiga. Tapi, abang-abang saya sebelum ini baik-baik sahaja.

Jadi, saya positifkan diri, tenang.

Saya juga kadang-kadang berasa pelik, dan mungkin ada hikmah disebalik semua yang berlaku, dimana pelajar-pelajar yang sangat-sangat ingin mengikuti program percuma itu, mereka tidak mendapat peluang. Sebaliknya, yang tidak mahu itu pula yang diberi kesempatan.

Namun, itu semuanya aturan Allah.

Bersangka baik sahajalah.

Tidak hadir, bermaksud akan dipenjara, atau dikenakan hukuman beberapa ribu ringgit, atau kedua-duanya sekali. Oh, apa saya ingin katakan? Rasanya, tidak mampu saya terima kedua-duanya. Mahu tidak mahu, terpaksa juga merelakan jasad ini melangkah pergi.

Minda saya sudah menetapkan untuk saya turut serta.

Kerana kebaikan yang saya akan dapat, lebih besar dari keburukan.

Ramai juga kawan-kawan saya kata, saya nanti akan botaklah, kulit pun akan jadi hitamlah, makanan di sana beracun, tidak selamatlah. Macam-macam. Gerun juga dengar pada awalnya. Ah, apapun,yang perlu saya tahu, semua itu hanyalah perkara sampingan. Pokok pangkalnya, Allah ada bersama-sama saya, dan Dialah yang berkuasa untuk itu, saya hanya menjaga diri saya.

Bakal ditempatkan di Sungai Rait, Bakam, saya akan berada di sana selama sebulan. Tidak kisah sangat, yang penting, saya tidak membuatkan saya sendiri menjadi bosan di sana kelak. Jadi, kenalah ikuti setiap aktiviti yang dilaksanakan.

Apa yang saya harapkan, moga hati saya tetap kuat untuk menerima keadaan di sana kelak. Tidak mudah terpengaruh dengan budaya-budaya yang cemar, mempertahankan apa-apa yang benar, cari hati-hati lain untuk sama-sama berjemaah, dan apa lagi. Banyaklah.

Pendek kata, syariat saya kena jaga.

Baiklah, saya beransur dulu.

InsyaAllah, pengalaman akan saya kongsikan kelak.

Doakan kesejahteraan saya, ya?

0 Komen:

Post a Comment