Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Puji dan syukur selayaknya kepada Allah kerana dengan taufik dan inayahnya, kita masih diberi peluang merasai nikmat Iman dan nikmat Islam.
Kerana-Nya, ana masih berkesempatan untuk menukilkan persepsi ana setelah seminggu dibiarkan kering dan tandus. Seterusnya selawat dan salam buat Rasulullah dan keluarga serta sahabat yang setia.
Pernahkah anda terfikir, mengapa kita membaca al-Quran?
Sedangkan kita tidak langsung memahami bahasa arab?
Mari saya bawakan satu kisah.
Ada seorang tua yang tinggal di sebuah rumah berdekatan ladang di satu kawasan di timur. Lelaki tua tersebut tinggal bersama cucu lelakinya. Setiap pagi, lelaki tua sentiasa bangun awal dan duduk di meja makan untuk membaca al-Quran.
Cucu lelaki tersebut yang sentiasa memerhatikan tingkah laku datuknya itu mula menyimpan hasrat untuk mengikut contoh dan teladan yang ditunjukkan. Malah ingin mengikuti segala apa yang datuknya lakukan sebelum ini. Apa-apa perkara, semuanya ingin ditiru.
Pada suatu hari, anak kecil itu bertanyakan satu masalah kepada datuknya :
" ... datuk, saya cuba untuk membaca al-Quran sepertimana atuk membaca al-Quran. Tetapi saya langsung tidak memahaminya. Apa yang saya faham sedikit ketika membaca itu hilang setelah saya habis membaca dan menutup al-Quran. Sebenarnya, apakah kebaikan yang akan kita dapat ketika membaca al-Quran? ... "
Tanya cucu lelaki tersebut.
Lelaki tua tersebut yang baru sahaja selesai meletakkan arang di dapur, membalas pertanyaan si kecil itu :
" ... bawa bakul yang atuk gunakan untuk membawa arang ini ke sungai dan tolong bawakan kepada atuk satu bakul yang penuh dengan air ... "
Tiada jawapan.
Hanya suruhan.
Si kecil tersebut tanpa berlengah mula melakukan apa yang disuruh oleh datuknya. Namun, apa yang berlaku adalah dia tidak sempat untuk membawa bakul yang diisi dengan air ke rumah kepada datuknya.
Semua air yang diisi di sungai tumpah keluar dari celah-celah bakul sepanjang perjalanan. Mungkin pergerakannya agak perlahan, fikir si kecil. Lelaki tua hanya mampu ketawa dan berkata :
" ... cucu mungkin perlu bergerak sedikit pantas untuk percubaan akan datang ... "
Perkara ini membuatkan si kecil kembali ke sungai dan cuba untuk membawa sebakul air kepada datuknya.
Kali ini, si kecil melakukan sekali lagi suruhan datuknya.
Dengan langkah yang lebih pantas dari tadi, ternyata apa yang dilakukan olehnya sia-sia sahaja. Bakul tersebut tetap kosong sebelum sampai ke rumah.
Dengan nafas yang tercungap-cungap, si kecil berkata kepada datuknya bahawa mustahil untuknya membawa balik sebakul air seperti yang diinginkan, dan dengan itu, dia mengambil keputusan untuk menukar bakul tersebut kepada sebuah baldi.
Barulah mustahil, fikirnya.
Lelaki tua tersebut terus menyampuk :
" ... Atuk tidak mahu sebaldi air, tetapi atuk mahukan sebakul air. Mungkin cucu pelu tambahkan sedikit usaha lagi ... "
Kemudian dia kembali ke rumah dan menyaksikan lagak si kecil itu di balik tingkap.
Pada saat ini, si kecil tekad bahawa melakukannya adalah satu perkara yang mustahil untuk dilakukannya. Namun kali ini, dia ingin menunjukkan kepada datuknya secara berhadapan bahawa bakul itu tetap kosong sebelum dia sampai ke rumah.
Sekali lagi si kecil membawa bakul ke sungai dan megambil air. Dengan larian sekuat hati, ternyata bakul tersebut masih lagi kosong. Dengan langkah tercungap-cungap di hadapan datuknya, dia berkata :
" ... datuk lihat, tiada guna ..."
Lelaki tua pun membalas.
" ... jadi, cucu fikir apa yang cucu lakukan tidak guna? Cuba lihat pada bakul itu ... "
Cucu tersebut terus melihat bakul tersebut seperti yang disuruh datuknya. Buat pertama kalinya dia baru tersedar bahawa bakul tersebut sedikit berlainan dari tadi. Bakul yang tadinya kehitam-hitaman kerana arang, kini sudah berubah menjadi sangat-sangat bersih.
Dalam juga luaran.
" ... cu, itulah yang berlaku apabila kita membaca al-Quran. Cucu mungkin tidak faham atau lupa akan apa yang dibaca, tetapi ketika cucu membacanya, cucu akan berubah. Dalaman juga luaran. Dan itulah kerja Allah dalam kehidupan kita. Kita mungkin tidak melihat kebaikannya, tetapi Dia mampu. Dan kita, kita hanya boleh merasa. Merasa perubahan pada diri kita. Dalaman mahupun luaran ... "
Kata-kata datuk itu, dia simpan.
Pengajaran baginya.
Pengajaran
Bagaimana? Adakah kita mempunyai nafsu untuk membaca al-Quran sekarang? Wallahu'alam. Bergantung pada masing-masing. Namun yang pasti adalah, kekuatan nafsu untuk mengerjakan kebaikan bukanlah sesuatu yang dapat ditunggu. Ia adalah sesuatu yang harus dibina, dibina dan terus dibina.
Mari, baca Quran!
0 Komen:
Post a Comment