Ketika itu, agama seolah-olah dipinggirkan.
Ya, itu memang terjadi di Medan.
Malah berlaku bila-bila masa saja.
Dari makhluk yang pertama diciptakan sehinggalah hari perhitungan. Hari kiamat yang dijanjikan. Memang itu fitrah sang manusia dilahirkan ke dunia. Tidak sempurna dan tidak akan sempurna.
Begini kisahnya.
Dewan Saidina Hamzah pada hari itu seakan-akan dewan Akademi Fantasia. Tiada beza seperti konsert Fantasia. Segelintir mujahid dan mujahidah mendaftarkan diri untuk turut serta dalam budaya hedonisme itu. Persembahan karaoke.
Ya benar mujahidin pun ingin berseronok, tetapi tidaklah sehingga mengabaikan hak sebagai seorang hamba. Betul negara pentingkan perpaduan, tetapi tidaklah sampai meminggirkan hak agama.
Sambil dihidangkan dengan lagu yang langsung tidak membangkitkan rasa rindu kepada Maha Pencipta, mujahid biru segera memalingkan badan bertentangan dengan si penghidang lagu.
Dia beristighfar.
Tidak sanggup menonton lenggok-lenggok pergerakan badan yang mampu menaikkan tingkat nafsu kepada manusia.
Dia takut akan zina mata.
Namun, tidak dapat lari dari zina telinga dan zina hati.
Mereka disekat keluar dari Dewan Saidina Hamzah.
Sesiapa yang tidak hadir akan dikenakan hukuman. Namun mujahid biru tahu, ramai lagi bersamanya. Dilihatnya di belakang ramai yang menundukkan pandangan dan berusrah sesama mereka.
Tidak sanggup membenarkan nafsu bermaharajalela, mujahid biru membawa diri untuk bersama mereka dan di sana, dia berkenalan dengan insan-insan yang berpegang teguh bahawa agama tidak akan sesekali dipinggirkan. Sama sekali.
Dan muslim sekaliannya, hanyalah hamba Allah.
Semata-mata.
Mujahid Biru punya seorang sahabat yang agak rapat.
Dahulu ketika belajar di madrasah menengah, mujahid biru dan sahabatnya diberi kepercayaan untuk memimpin organisasi pelajar islam di madrasah masing-masing. Mujahid Biru memimpin Persatuan Pelajar Islam (PPI) dan sahabatnya memimpin Jemaah Pimpinan Pelajar (JPP).
Atas dasar ukhwah kerana Allah, mereka saling berhubung untuk berusrah, sehinggalah mereka dipilih untuk menganggotai Jemaah Mujahidin Siri 1 di Medan Sungai Rait. Mungkin sebab itu mereka rapat di medan.
Tika malam menghembuskan nafas segar untuk melenakan para mujahid, Mujahid Biru dan sahabat seukhwahnya mengadakan usrah tentang masalah yang dihadapi sepanjang di medan.
Bermula dari kejutan budaya, ke permasalahan pergaulan yang tiada batas, aurat yang terpampang jelas sehinggalah sikap meninggalkan solat kerana malas. Namun, mereka berusaha menghindari ghibah dan membuka aib.
Mereka ingat akan firman Allah :
"Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka. Sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengunjing sebahagian yang lain. Sukakah seseorang diantara kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang," (al-Hujurat ayat 12)
Mereka ingat suruhan itu.
Dan tidak mungkin ingin memakan daging saudara sendiri.
Dalam menjalani saki-baki hari latihan di medan, mujahid biru bersama teman-teman yang dikenali di 'Konsert Fantasia' sentiasa saling ingat-mengingati antara satu dengan yang lain.
Saling menghisab diri sebelum dihisab oleh Allah.
Seterusnya, mereka mengingati pula yang lain-lain.
Namun, untuk menyampaikan nasihat kepada insan yang sudah banyak titik hitam dihatinya ternyata sukar. Nasihat yang diberi umpama menambah madu pada jagung. Semakin enak. Enak dilakukan perkara yang jauh dari landasan.
Dari solat, pergaulan sehinggalah aurat. Mujahid biru dan sahabat hanya bersabar. Sekurang-kurangnya mereka sudah melakukan sesuatu untuk mencegah kemungkaran.
Mencegah dengan lidah dan dengan hati.
Belum mampu rasanya mencegah dengan tangan.
Kerana kenal baru sebulan.
Namun, hati tetap membenci kemungkaran.
"Sesungguhnya memberi sedikit tetapi ikhlas lebih mulia daripada memberi banyak tetapi diiringi dengan riak,"
bersambung ...
0 Komen:
Post a Comment