Perjalanan Membuka Mata



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Segala puji bagi Allah yang Maha Menciptakan dan mematikan. Yang menjadikan langit dan bumi serta isi-isinya. Tuhan yang mengatur alam dengan bijaksana.

Seterusnya selawat dan salam buat penghulu Anbiya', Rasulullah s.a.w. Keluarga dan para sahabat yang setia. Sekerdil doa aku panjatkan buat sahabat-sahabat di luar sana yang berjuang atas nama agama.

Perjalanan

Sekitar jam 6.50 petang setelah menunaikan solat Maghrib, terdetik kerinduan di hati kecilku untuk menjenguk madrasah yang disayangi, Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang.

Tempat yang banyak mengajarku.

Setelah menyatakan hasrat dan meminta kebenaran, aku berlepas dengan menaiki motosikal Honda. Kebiasaannya, aku menunggang dalam kadar kelajuan 80-90 kilometer sejam. Namun malam itu, aku bawa sedikit perlahan. Dalam kadar 60-70 kilometer sejam.

Kesannya, sepanjang perjalanan, aku lebih banyak menikmati keindahan malam.

Melihat kebesaran ciptaan-Nya.

Kedatanganku setelah sekian lama disambut dengan keadaan yang membingungkan. Nampak jelas dari rupa paras adik-adik. Mungkin menjangkakan warden. Namun bila ditanya, sangkaanku ternyata silap.

Penjual kain dan tikar mereka sangkakan.

Sampai hati mereka.

Belum lagi membuka topi keledar, seorang juniorku datang kepadaku. Datang-datang ingatkan ingin bersalaman. Namun jangkaanku jauh sekali melencong.

Rupa-rupanya ingin meminjam motosikal.

Ini, memang ucapan salam yang pelik.

Aku benarkan. Memandangkan minyak motosikal yang masih penuh. Seterusnya aku masuk ke perkarangan surau yang dirindui. Surau al-Hidayah. Tempat yang banyak menabur jasa memberi suasana kepadaku untuk memanusiakan diri.

"Assalamualaikum," Sapaku.

"Wa'alaikumussalam," Jawab mereka. Serentak.

Itu, barulah ucapan salam yang sebenar. Sangat dituntut.

"Apa khabar?" Aku soal.

"Alhamdulillah, beginilah," Jawab segelintir mereka.

"Abang, lama tak lihat, apa khabar sekarang? Tanya mereka.

"Alhamdulillah, begini juga" Aku bagi jawapan yang serupa.

"Sambung tingkatan 6. Mana yang lain?" Sapaku lagi.

"Tu, dalam bilik komputer," Kata mereka.

Aku masuk ke bilik komputer surau. Aduhai terkejut aku melihatkan keadaan adik-adik yang berkumpul dihadapan sebuah komputer riba. Bermain.

"Wah, ramainya disini? Apa yang kamu buat, tiada tadaruskah?" Tanyaku.

"Eh, abang, bila sampai? Er, tadarus? Sudah tadi," Jawab mereka.

Sedih, jauh sekali berubah.

Kenangan Lama

Aku teringat kenangan dahulu.

Dimana amalan suci surauku dahulu? Selepas sahaja solat Maghrib, akan diteruskan dengan solat sunat rawatib selepas Maghrib. Kemudiannya akan diteruskan dengan tadarus, sehinggalah masuk waktu isya'. Kadang-kadang, akan ada kuliah.

Semenjak perpindahan ustaz yang menjaga kami di situ, warga surau semakin bebas. Tidak terkawal. Masing-masing dengan aktiviti masing-masing. Selepas bersalaman, aku terus tinggalkan mereka dan masuk ke dalam surau.

Mereka ini, sebenarnya perlu diingatkan.

Kalau bukan aku, siapa?

Kalau bukan sekarang, bila?

Sinar Cahaya

Itu dia.

Segelintir cahaya yang masih belum padam.

Masih ada yang memaksimumkan masanya di surau. Datang ke surau untuk beribadah, memakmurkan rumah Allah. Aku lihat adikku yang seorang ini sedang tekun membaca al-Quran.

Aku terus pergi kepadanya, membawa al-Quranku.

Sama-sama kami bertadarus.

Masa terus berlalu.

Sehabis sahaja solat Isya' dan bersalaman dengan adik-adik. Terus berniat untuk solat rawatib. Sekali lagi aku terkejut. Alangkah sedikitnya bilangan jemaah yang melakukannya. Sehabis solat, aku bertanya kepada salah seorang.

"Mana yang lain?" Soalku.

"Hm, seperti biasa, di luar, bercerita," Jawabnya.

"Selepas ini ada malam keagamaan, bukan?" Tanyaku.

"Siapa yang uruskan?" Tanyaku lagi.

"Muslimah," Jawabnya.

Seketika apabila malam keagamaan bermula, aku duduk bersama salah seorang adikku di perkarangan surau. Saat itu semuanya sudah berada di dalam melakukan aktiviti. Kami mula bersembang.

Bermacam-macam perkara yang kami kongsikan, dari soal yang kecil sehinggalah soal yang aku anggap serius dan perlukan jalan penyelesaian. Termasuklah tentang perkara-perkara yang tidak enak didengar berlaku di surau dan asrama kediaman.

Penutup

Perbualan itu, membuatkan mataku terbuka. Bermaksud ada sesuatu yang membuatkan aku sedar.

Manusia itu, mudah hanyut andai tiada yang menyedarkan mereka.

Kita lemah, mudah kalah dengan godaan.

Begitu juga dengan diriku sendiri.

Itu aku sedar. Kita semua juga sedar.

Akhirnya, setelah tidak sempat untuk membuat sedikit ucapan lantaran aktiviti yang sangat padat pada malam tersebut, aku ambil keputusan untuk berangkat pulang. Aku bersalaman dengan semua dan menyatakan hasratku untuk datang lagi.

Kehadiranku di sana, telah membuka mataku.

Kepulanganku, dengan azam untuk aku sedar terlebih dahulu, seterusnya untuk aku menyedarkan adik-adikku pula.

Aku terus berjalan, melihat dan mentafsir.

2 Komen:

Anonymous said...

salam...
menarik jgk topik ktk hari ni... paling kurang, kmk dpt tahu apa yg berlaku pd warga al-hidayah skrg.... sedih jgk mendengarnya....
tp, apa citer ttg cikgu yg ktk bincang dgn ajk ppik tu... mun dpt, blh la kongsi pd kmk...
mun xdpt bincang ctuk, email jak... bakty6@yahoo.com...
syukran...

bekas ust kolej
UKM, bangi selangor

AnaAzizul said...

w'salam ustaz. em klw dinangga pd almt emel. rasanya tok mesti ustaz fendi nak? eheh.

rindu kat ustaz eh...!

huhu. cmtu la citer nye ustaz. kmk pun tkejut juak mlm ya. syukur gilak ustaz tauk. em sal ya klak kmk kontek ustaz lah. kongsi ngn ustaz. n jazakallah atas almt eml ya. =)

lastly, syukran ustaz atas ziarah julung2 kali. hehe.

-sentiasa di hati-

anak didik
miri, sarawak

Post a Comment